Assalamualaikum warahmatullah… Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah selain Allah yang Esa, tiada sekutu bagiNya dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammmad saw itu hamba dan pesuruhNya. Selawat berserta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw yang memiliki akhlaq terpuji dan menjadi ikutan selamanya. Juga buat orang2 yang beramal soleh dan kesekalian dari kita.
Bismillahir Rahmanir Raheem… Dalam sebuah bayan, saya pernah mendengar mengenai sebuah riwayat. Riwayat ini sangat panjang untuk diceritakan. Tetapi poin yang ingin saya nyatakan adalah, Allah telah membahagikan kasih sayang kepada 100 bahagian. 99 daripadanya adalah milik Allah iaitu kasihnya Allah kepada sekalian makhlukNya. Hanya satu bahagian yang Allah sebarkan ke muka bumi ini. Itulah kasih seorang ibu terhadap anak²nya. Sebenarnya, 21 Julai yang baru lepas adalah hari ulangtahun kelahiran ibu saya yang tercinta. Pada tarikh itu, cukup 63 tahun umur ibu. Ibu memang sudah tua. Tetapi Alhamdulillah masih kekal cergas dan sihat. Hanya penyakit darah tinggi dan lututnya sahaja yang mencacatkan taraf kesihatannya. Itupun lutut ibu sudah beransur pulih, Alhamdulillah... Tetapi ibu masih belum mampu untuk duduk antara dua sujud. Kasihan ibu. Tenaganya telah dihabiskan ketika membesarkan kami enam adik beradik. Dan setahu saya, dalam enam beradik sayalah yang paling banyak mengerah tenaganya. Maklum saja, saya dilahirkan tidak sempurna jadi terpaksa di tahan di wad hospital. Cerita ibu, dia terpaksa tidur di tepi katil wad. Itupun tidur duduk. Jika tiba saya demam, lagi menyusahkan. Saya hanya mahu tidur di pangkuan. Terpaksalah ibu tidur bersila... Setiap dari kita mempunyai ibu. Sekurang²nya seorang ibu kandung. Bukanlah tujuan saya di sini untuk mengagungkan ibu saya di hadapan anda semua. Tidak. Kerana kasih ibu tidak boleh diperbandingkan. Saya tidak boleh kata ibu saya menyayangi saya lebih dari ibu si anu menyayanginya. Tidak boleh. Kerana kasih sayang adalah subjektif. Tidak boleh diukur dengan pembaris mahupun skala ritcher. Akan tetapi, pokok ceritanya tetap sama. Semua ibu menyayangi anak mereka. Atau lebih tepat lagi, semua ibu menyayangi anak mereka lebih dari segala²nya. Hm... Mungkin ada satu atau dua peratus yang terkecuali tetapi, umumnya memang begitu. Dan sebenarnya, tidak ada kasih apapun di dalam dunia ini yang mampu mengasihi kita seperti kasihnya ibu kita terhadap kita melainkan Nabi saw dan Allah. Saya teringat di tahun lepas. Ketika dalam perjalanan balik ke kampung isteri saya di Tanjung Karang. Waktu itu tengah malam. Saya memandu manakala isteri saya lena tidur di sebelah sambil memangku anak kami, Nurul Naqibah Izzati yang ketika itu baru berusia beberapa bulan. Sesekali tergerak di hati untuk mengusik isteri saya. Lalu sengaja saya bermain'zig-zag'. Saya ingin lihat isteri saya terkejut dan menggelabah.. Malangnya dia tetap lena seperti tidak ada apa². Saya terfikir, mungkin dia terlalu letih. Saya diamkan. Tetapi seketika kemudian, Naqibah bergerak sedikit. Sedikit sangat. Hanya menggerakkan tangannya, kalau tidak silap saya. Saya lihat isteri saya terus terjaga dan terus menepuk² paha Naqibah agak segera lena semula. Saya jadi tersenyum. Begitulah kasih ibu. Ketika tidur pun masih risaukan anak di pangkuan. Ibu kita telah banyak berkorban untuk kita. Pengorbanan mereka yang terawal adalah apabila menahan rasa loya pada tekak, sakit pada pinggang dan macam² 'pembawaan' lain ketika mengandungkan kita. Ini diikuti pula dengan pengorbanan kedua yang jauh lebih besar, iaitu ketika bersabung nyawa melahirkan kita. Teringat kata cikgu saya. Bayangkan lubang sebesar jari hendak melalukan kepala sebesar bola. Tentu sakit, bukan? Namun mereka segera melupakan kesakitan itu sebaik melihat anak mereka selamat di sisi mereka. Dan tambah melegakan, apabila melihat anak² mereka berjaya dalam hidup. Tidak akan terungkit dalam lipatan memori mereka tentang segala penderitaan mereka ketika mengandung, melahirkan dan membesarkan kita. Apa yang mereka ingat hanyalah perasaan syukur dan bangga dengan kejayaan anak² mereka. Lalu kita pun sebagai anak yang telah dewasa, mulalah kononnya hendak membalas jasa. Kita belikan mereka barang yang mahal². Kita bawa mereka berjalan seluruh dunia. Tempatkan di rumah yang besar. Berikan mereka segala apa yang terlintas atas dunia ini. Persoalannya, apakah kita benar² dapat membalas jasa mereka dengan cara begitu? Sekali² tidak. Jangan pernah menyangka kita boleh mampu membayar segala pengorbanan mereka. Berilah mereka apapun. Bawalah mereka ke mana pun. Demi Allah, tidak secalitpun dari jasa mereka yang boleh kita setimpalkan dengan pemberian kita. Kita akan kekal terhutang budi dan nyawa kepada mereka. Ia akan kekal begitu. Tidak akan berubah walau sedikitpun. Jadi bolehlah dipadamkan perkataan membalas jasa ibu. Kerana ianya suatu yang mustahil. Mungkin boleh digantikan dengan perkataan berkhidmat untuk mereka. Tidak ada orang dalam dunia ini yang sanggup mengorbankan nyawanya untuk kita seperti ibu kita. Tidak ada orang yang akan mendahulukan kepentingan kita dari lain² hal dalam dunia ini seperti ibu kita. Seperti seseorang yang saya kenal rapat baru². Katanya dia menjahit dan mengambil upah menjaga anak orang bagi menjana pendapatan tambahan. Namun begitu, perbelanjaannya masih tidak mencukupi. Mengapa? Kerana dia mendahulukan perbelanjaan untuk anak²nya. Dua daripada anaknya di IPTA. Seorang di tingkatan satu dan yang bongsu dalam darjah 4. Katanya, hendak membeli baju dalam pun dia terpaksa berfikir banyak kali kerana bimbang kalau² anaknya memerlukan duit untuk perbelanjaan mereka di IPTA. Begitu juga dengan seorang lagi ibu yang juga saya kenal amat rapat. Baru² ini, ketika bertemunya dengannya saya menjadi terkejut. Tubuhnya kurus. Wajahnya agak cengkung. Berat tubuhnya susut dengan begitu banyak. Hinggakan ada antara temannya yang menggelarnya tengkorak hidup. Alasannya menjadi begitu hanya satu. Kerana dia terpaksa bekerja keras untuk menambah pendapatan keluarga. Anak sulungnya kini di Sekolah Menengah Sains Bandar Penawar dalam tingkatan satu. Anak keduanya pula dalam darjah enam dan yang bongsu pula darjah dua. Siapakah agaknya di dalam dunia ini yang sanggup melakukan sebegitu untuk anak² mereka? Tidak ada melainkan mereka sahaja. Kedua² wanita ini boleh memilih untuk berehat sahaja di rumah. Tetapi jika mereka berbuat demikian, yang akan terjejas teruk adalah anak² mereka. Oleh kerana mahukan anak² mereka mendapat hanya yang terbaik, mereka sanggup korban apa sahaja. Begitulah tingginya kasih ibu. Kerana itu saya agak kecewa apabila mendengar berita orang yang mengabaikan orang tuanya terutama ibunya setelah mereka mencapai kejayaan. Lebih menyakitkan hati, apabila ada yang mengenepikan keluarga masing² demi kerana cinta kepada pasangan mereka. Sama ada lelaki atau perempuan. Merekalah manusia yang kejam. Sanggup meracuni orang yang memberikan mereka susu selama hidup mereka. Mati hidup semula, kemudian mati lagi dan dihidupkan sekali lagi pun, tetap kita tidak akan termampu membalas jasa ibu. Tidak ada harta di dalam dunia ini yang setara nilainya dengan jasa mereka. Dan tatkala kita dewasa dan telah berjaya, mereka sudah terlalu tua untuk menikmati hasil usaha kita. Ketika itu, mereka telahpun mensia² masa muda mereka untuk kita dan jam tidak mungkin dapat dipusing kembali. Apa yang mampu untukkita lakukan hanyalah dengan menjadi anak yang soleh atau solehah. Hanya dengan cara itu kita mampu jaminkan satu tempat yang cemerlang baginya di akhirat sana, insyaAllah. Untuk para isteri, redhakan suami anda melebihkan ibu mereka dari anda sendiri. Percayalah, Allah Maha Adil. Hari ini anda meredhai suami anda mendahulukan ibu mereka, insyaAllah di masa hadapan, giliran anda pula didahulukan oleh anak² anda. Berilah suami anda jaminan hidup di syurga dengan berkhidmat kepada orang tua mereka. Semoga dengan itu tempat anda di sana akan terjamin sama, insyaAllah... Sekian buat kali. Segala yang baik datang dari Allah dan yang tidak baik adalah akibat kejahilan saya sendiri. Wabillahitaufiq walhidayah. Wassalamualaikum warahmatullah… -Abu Naqibah- Komen dan kritikan membina dialu2kan. Email saya di [EMAIL PROTECTED] atau lawati http://abunaqibah.blogspot.com/ -------------------------------------------------------------------------- All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved otherwise. If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your mail delivery settings or email the moderators at [EMAIL PROTECTED] with the title "change to daily digest". -------------------------------------------------------------------------- Recommended sites: Angkatan Belia Islam Malaysia : http://www.abim.org.my Jamaah Islah Malaysia : http://www.jim.org.my Radio Islam Kuliyyah : http://www.kuliyyah.com Palestinkini Info : http://www.palestinkini.info Partai Keadilan Sejahtera : http://pk-sejahtera.org Fiqh Siber : http://al-ahkam.net/ The Muslim Brotherhood : http://ikhwanweb.com Yahoo! Groups Links <*> To visit your group on the web, go to: http://groups.yahoo.com/group/hidayahnet/ <*> To unsubscribe from this group, send an email to: [EMAIL PROTECTED] <*> Your use of Yahoo! Groups is subject to: http://docs.yahoo.com/info/terms/
