Wawancara Syeikh Yusuf al-Qaradawi dengan akhbar Mesir al-Wafd


Subject: Wawancara Syeikh Yusuf al-Qaradawi dengan akhbar Mesir al-Wafd
To:

Membantu Hizbullah adalah wajib menurut syarak. Syabas Bangsa Arab!

Kaherah - www.qaradawi.
net 27 Julai 2006

Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi menegaskan bahawa penentangan rakyat Lubnan (
al-muqawamah al-Lubnaniyyah ) terhadap Israel adalah jihad menurut syarak.
Ia merupakan bentuk penentangan paling mulia di atas muka bumi ini
bersama-sama dengan penentangan saudara-saudara mereka di Palestin. Beliau
juga menegaskan bahawa Syiah adalah sebahagian daripada Umat Islam dan
setiap muslim 'wajib' membantu dan membela 'penentangan' terhadap musuh
iaitu Israel.

Kenyataan ini dibuat oleh beliau ketika diwawancara oleh akhbar Mesir
'al-Wafd' pada hari Khamis 27 Julai 2006. Melalui wawancara tersebut,
beliau mengalu-alukan pendirian dan sikap yang ditunjukkan oleh bangsa Arab
tetapi dalam masa yang sama mengutuk sikap dan pendirian para pemerintah
dan penguasa Arab yang mengkritik penentangan yang dilakukan terhadap
Israel.

al-Qaradawi juga menegaskan bahawa 'penentangan' adalah sesuatu paling
mulia yang dimiliki oleh umat Islam sama ada di Palestin atau Lubnan.
Meskipun ia dilakukan oleh puak Syiah, namun ia tidak menjejaskan
penentangan yang dilakukan oleh rakyat Lubnan itu, kerana Syiah adalah
sebahagian daripada Umat Islam, mereka juga mengucap La ilaha illallah,
mereka banyak serupa dengan kita dalam banyak perkara prinsip dan pokok,
meskipun mereka berselisih dengan kita dalam beberapa perkara cabang.

Namun beliau juga berkata: "Meskipun demikian, saya berkewajipan
mengutarakan beberapa nasihat kepada mereka. Saya tidak bersetuju terhadap
sikap fanatik puak Syiah di Iraq. Saya menyeru agar mereka tidak
menggunakan keganasan terhadap saudara-saudara mereka dari kalangan ahli
sunnah dan menentang sebarang penyembelihan yang sedang berlaku yang hanya
menguntungkan pihak penjajah Amerika dan regim Zionis."

al-Qaradawi juga mengalu-alukan sejarah penentangan rakyat Lubnan yang
mampu membersihkan bumi Islam daripada kekotoran Israel. Hanya tinggal
kebun Shib'a yang akan mereka bebaskan tidak lama lagi, insya Allah.

Beliau juga menganggap antara kebanggaan yang dicapai oleh penentangan
rakyat Lubnan ialah kejayaan mereka menawan beberapa orang tentera Israel
yang sebelum ini hanya kita sahaja yang menjadi tawanan mereka. Di dalam
penjara Israel hari ini terdapat ribuan umat Islam dikurung. Kejadian ini
menyebabkan mereka terkejut dan ingin membalas dendam.

Berikut adalah teks penuh wawancara tersebut:

Soalan: Bagaimanakah keadaan ummat selepas tindakan ganas terhadap Lubnan?

al-Qaradawi: Keadaan ummat kita adalah sebagaimana keadaan sedia ada pada
hari ini iaitu dalam keadaan kekeringan dan kehinaan. Hanya satu perkara
sahaja yang menunjukkan ummat ini masih hidup dan hati mereka masih
mempunyai hubungan dengan kehidupan ialah penentangan yang kita dapat lihat
di Palestin dan Lubnan. Selain dari itu, tiada apa-apa yang menggembirakan.
Menyerah sahaja terhadap apa yang berlaku telah menjadi darah daging mereka
terutama di kalangan para pimpinan kerajaan-kerajaan Arab.

Soalan: Apakah faktor yang menyebabkan ummat Islam mengalami kehinaan
sedemikian rupa?

al-Qaradawi: Kerajaan-kerajaan Arab bertindak berdasarkan pegangan mereka
terhadap beberapa perkara seolah-olah perkara itu adalah suatu yang tetap
kekal, tidak lagi boleh berubah, atau mereka ingin menanamnya ke dalam
kepala orang ramai. Antaranya ialah mereka berpegang bahawa Israel
mempunyai kekuatan yang tidak mungkin boleh diatasi dan ditentang sama
sekali. Oleh itu, kita hendaklah mengelak daripada bertembung dengannya.

Dalam keadaan ini, kerajaan-kerajaan Arab menganggap penentangan yang
dilakukan oleh HAMAS, Shuhada' al-Aqsa dan Solahuddin di Palestin, serta
Hizbullah di Lubnan sebagai tindakan penuh bahaya dan tidak membawa apa-apa
faedah serta menjerumuskan mereka ke kancah pertentangan terbuka dengan
pihak Israel. Mereka bercakap tentang Israel seolah-olah Israel memiliki
kekuatan yang tidak mungkin dikalahkan sebagaimana dikatakan tentang
tentera Tatar dahulu. Dikatakan dahulu: "Jika dikatakan kepada anda bahawa
Tatar telah kalah, janganlah percaya."

Itulah yang berlaku dan dengan sebab kelemahan yang ada pada kita, mereka
berjaya mengalahkan kota Baghdad, memusnahkan tamadun Islam di sana dan
membunuh sejuta orang Islam. Sehinggalah Allah mengurniakan kepada ummat
ini seorang pahlawan beriman iaitu Saifuddin Qutz yang berjaya mengalahkan
mereka dan mendustakan kepercayaan tadi. Selepas itu, tentera Tatar tidak
lagi berdaya melakukan apa-apa.

Soalan: Apa lagi perkara-perkara yang ingin mereka tanam dalam kepala umat
Islam?

al-Qaradawi: Antara perkara yang mereka ingin tanamkan ke dalam kepala umat
Islam, tidak kira golongan berpendidikan, para pemerintah mahu pun rakyat
ialah bahawa apa sahaja yang diinginkan oleh Amerika pasti akan berlaku,
seolah-olah Amerika adalah tuhan alam ini yang tidak boleh dipersoalkan
tentang apa yang ia lakukan.

Beliau menambah: Umat Islam masih lagi alpa meskipun perancangan jelas yang
dipimpin oleh Amerika bagi merubah peta rantau Arab bermula dengan
menamakannya sebagai Timur Tengah yang baru. Berdasarkannya, Amerika
bertindak sebagaimana seorang tuan bertindak terhadap hambanya, atau
sebagaimana seorang pemilik bertindak terhadap barang-barang milikannya.
Ganjilnya, kita tidak mampu menentang.

Amerika Syarikat mahu rantau ini berubah dengan Israel menjadi satu-satunya
kuasa yang mencengkam dan boleh memaksa agar segala kehendaknya terlaksana
terhadap semua negara Arab. Sesiapa yang tidak percaya terhadap hakikat
ini, dia hendaklah melihat kembali kepada peristiwa-peristiwa yang telah
berlaku. Seluruh dunia menyeru agar genjata senjata segera dilakukan, namun
Amerika adalah satu-satunya negara yang menentang dengan menyeru agar
peluang diberikan bermatlamat untuk merubah hakikat realiti yang sedang
berlaku.

Bahkan lawatan yang dilakukan oleh Setiausaha Luar Amerika, Condoliza Rice
lewat dilakukan bertujuan memberikan peluang kepada Israel untuk
menyempurnakan perancangannya untuk memusnahkan semua prasarana kehidupan
di Lubnan dengan meruntuhkan rumah-rumah, membunuh orang-orang yang tidak
bersalah dan menyebabkan ribuan rakyat kehilangan tempat tinggal. Inilah
Amerika sebenarnya. Selagimana ia menjadi pemberi perintah dan larangan
kepada negara kita, maka selama itulah kita akan tetap menjadi hambanya
yang sentiasa patuh kepada segala perintah dan larangannya!

Soalan: Bagaimana pula sikap pemimpin-pemimpin Arab terhadap krisis ini?

al-Qaradawi: Kerajaan-kerajaan Arab tidak mempu bernafas dan bercakap
apa-apa. Jika kerajaan-kerajaan ini berkata kami tidak bersedia untuk
menghadapi apa-apa peperangan, maka apa lagi yang boleh kita harapkan
daripada mereka? Mereka telah memberikan lampu hijau kepada Israel agar
Israel berbuat apa sahaja terhadap kita dan akhirnya menundukkan rantau ini
sepenuhnya.

Sehingga salah seorang pemimpin Arab pernah berkata: "Kita tidak mampu
berhadapan dengan Israel." Seolah-olah mereka berkata kepada Israel:
"Benamkanlah kepala kami ke dalam lumpur sebagaimana kamu inginkan!
Musnahkanlah rumah-rumah kami! Cabulkanlah kehormatan kami! Bunuhlah
kanak-kanak kami! Kami tidak mampu menghadapi kamu!" Adakah wujud di dunia
ini seorang berakal yang berkata kepada musuhnya: "Aku tidak mampu
menghadapi engkau?!"

Seorang manusia yang merdeka akan berkata kepada orang yang mahu
membunuhnya: "Aku sanggup menghadapi kematian kerana mempertahankan
kehormatanku." Kehinaan yang kita saksikan pada para pemimpin Arab hari ini
adalah bercanggah dengan adat kebiasaan bangsa Arab. Mereka lupa dan
melupakan kita kepada bait-bait syair yang kita hafal yang berbicara
tentang kemuliaan Arab. Di manakah syair yang diungkapkan oleh
al-Mutanabbi:

Kemuliaan yang tinggi pasti beriringan dengannya kesakitan.
Sehingga ditumpahkan darah di sekitarnya.

Di mana pula kata-kata Shawqi:

Bagi mencapai kemerdekaan, mesti melalui pintu merah.
Kerana diketuk dengan tangan berlumuran darah.

Soalan: Apakah penyelesaiannya bagi menghadapi para pemimpin yang hanya
mementingkan tampuk kekuasaan mereka?

al-Qaradawi: Keadaan pelik ini tidak mungkin akan berterusan. Mungkin ia
akan berterusan buat sementara waktu, tetapi ia tidak mungkin berterusan
selama-lamanya. Pada waktu ini kita dapati banyak bangsa telah bangkit
menentang pemerintah mereka. Para pemimpin Arab juga tidak mungkin akan
terus berkuasa selama-lamanya selagi mana mereka tidak berubah. Jika ini
juga tidak berlaku, maka logik mengatakan bahawa mana-mana pemimpin tidak
akan berkekalan selama-lamanya.

Bukti paling jelas ialah negara Kesatuan Soviet yang mencapai puncak kuasa
yang tidak pernah dicapai oleh mana-mana negara dan menjadi kuasa dunia
kedua terbesar. Namun ia tetap runtuh hasil daripada masalah dalaman yang
berlaku. Ia juga sebagaimana firman Allah yang bermaksud: "Jika kamu
berpaling, nescaya Allah akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain."

Soalan: Bagaimana pula tentang 'penentangan' (al-muqawamah ) dan sikap
rakyat terhadapnya? Apakah hukum syarak terhadap apa yang dilakukan oleh
Hizbullah?

al-Qaradawi: Mana-mana negara dan mana-mana bangsa berhak untuk bangkit
menentang penjajah. Dan sebagai orang Islam, kita wajib bangkit memberikan
bantuan kepada saudara kita seIslam. Jumhur fuqahak Islam berkata mana-mana
negeri yang dijajah oleh musuh, penduduknya wajib mempertahankannya dengan
segala kemampuan yang ada.

Dalam keadaan ini, segala hak individu gugur dan diutamakan hak umum, jihad
menjadi fardu ain. Seorang perempuan hendaklah keluar berjihad meskipun
tanpa keizinan suaminya, seorang anak meskipun tanpa keizinan bapanya,
seorang hamba meskipun tanpa keizinan tuannya, kerana hak umat Islam
hendaklah diutamakan daripada hak individu.

Jika penduduk negeri itu tidak bertindak, maka jiran mereka hendaklah
menyelamatkan mereka, kemudian jiran yang lebih jauh dan jiran yang lebih
jauh, sehingga mencakupi ummat keseluruhannya. Sekarang kita semua
berkewajipan bangkit mempertahankan Lubnan daripada serangan angkuh Israel
yang memusnahkan sebuah negara hanya kerana tiga orang tenteranya yang
ditawan. Sebelum itu, seorang Arab pun tidak bergerak demi menyelamatkan
hampir 10 ribu tahanan di dalam penjara Israel yang bongkak dan angkuh itu.

Peribahasa ada mengatakan: Wahai Firaun! Apakah yang menyebabkan engkau
bertindak zalim?" Dia menjawab: "Kerana tak aku temui seorang pun
menghalangku!"

Soalan: Apa pandangan anda terhadap apa yang dilakukan oleh rakyat dan
bangsa Arab serta kemarahan memuncak yang mereka tunjukkan?

al-Qaradawi: Umat Islam sedang berada dalam keadaan yang boleh diratapi.
Satu-satunya perkara yang menyeksakan saya ialah kemarahan yang mereka
tunjukkan di jalan-jalan raya. Mereka semua kepanasan menahan api kemarahan
dan mereka mahu keluar berperang dan berjihad serta membalas dendam
terhadap para pembunuh. Tetapi malangnya, mereka tidak mempunyai jalan
untuk merealisasikan cita-cita mereka untuk berjihad.

Soalan: Apakah masalah yang menghalang umat Islam di negara-negara Arab
untuk melaksanakan jihad?

al-Qaradawi: Masalah mereka ialah kerana mereka tidak mempunyai kebebasan.
Jika benar negara kita mempunyai kebebasan, nescaya jutaan umat Islam
bersedia untuk berjihad dan memberikan bantuan kepada semua bentuk
penentangan di seluruh negara Arab dan Islam.

Soalan: Ada orang berkata 'penentangan' rakyat Lubnan adalah penentangan
Syiah sedangkan majoriti kita adalah terdiri daripada ahlis sunnah?

al-Qaradawi: Penentangan adalah perkara paling mulia yang dimiliki oleh
umat ini, sama ada di Palestin atau Lubnan. Meskipun ia dilakukan oleh puak
Syiah, namun ia tidak menjejaskan penentangan yang dilakukan oleh rakyat
Lubnan itu, selagi mana merekalah yang mengangkat senjata dan mengambil
tanggungjawab untuk membersihkan bumi Islam daripada kekotoran Israel.
Sebelum ini mereka pernah menang, mengalahkan Yahudi dan yang hanya masih
tinggal ialah Kebun Shib'a yang mereka akan bebaskan tidak lama lagi, insya
Allah.

Saya tidak membezakan antara Syiah dan Sunnah, meskipun Syiah berbeza
dengan kita dalam beberapa perkara cabang. Mereka tetap terdiri daripada
ahli La ilaha illallah. Mereka mempunyai persamaan dengan kita dalam banyak
perkara-perkara prinsip. Mereka bersama-sama dengan kita dalam lingkungan
umat Islam, sebahagian yang tidak terpisah daripadanya.

Namun saya mempunyai kata-kata nasihat yang ingin saya sampaikan kepada
mereka. Saya tidak bersetuju dan mengutuk sikap fanatik yang ditunjukkan
oleh Syiah di Iraq. Saya menyeru agar mereka meninggalkan tindakan
keganasan yang mereka lakukan terhadap saudara-saudara mereka dari kalangan
ahlis sunnah. Mereka hendaklah menghalang daripada berlaku penyembelihan
yang sedang berlaku, kerana ia hanya akan memberikan keuntungan kepada
penjajah Amerika dan regim Zionis.

Soalan: Apakah yang menjadikan anda kagum terhadap 'penentangan' Lubnan
pada masa lalu?

al-Qaradawi: Antara kebanggaan yang lakukan oleh penentangan Lubnan ialah
buat pertama kalinya mereka berjaya menawan tentera Israel sedangkan
sebelum ini Israellah yang menawan kita. Di dalam penjara-penjara Israel
terdapat ribuan tawanan kita sedangkan tidak seorang pun yang kita tawan
daripada mereka.

Oleh itu, Israel menjadi gila setelah tenteranya ditawan, sedangkan sebelum
ini hanya Israel yang boleh menawan, membunuh dan memusnahkan. Seolah-olah
hanya tentera mereka adalah manusia sedangkan tentera kita bukan manusia.
Penentangan Lubnan itu telah memberikan pengajaran yang menyakitkan kepada
regim Israel dan membalas dendam demi mempertahankan kehormatan kita
seluruhnya.

Beliau seterusnya menambah: Antara kebanggaan yang dilakukan oleh
'penentangan' Lubnan juga ialah kemampuannya untuk melancarkan roketnya
hingga ke dalam kawasan Israel sehingga menyebabkan mereka lari
bertempiaran mencari tempat perlindungan. Buat pertama kali, Israel mengaku
kehilangan nyawa dan berlaku kecederaan hasil daripada pengeboman yang
dilakukan oleh Hizbullah terhadap beberapa bandar di Israel sehingga
menyebabkan kerugian yang ditaksirkan berjuta-juta dolar.

Hanya orang yang tahu sahaja menyedari betapa besarnya kerugian yang
dialami oleh Israel kerana ia berlaku pada masa kebiasaannya Israel
dikunjungi oleh ramai pelancong yang memberikan keuntungan jutaan dolar
kepada mereka. Tetapi kini, para pelancong tidak lagi berani datang ke
sana. Manakala kemalangan jiwa dan kecederaan yang berlaku pada pihak kita,
maka kita mengatakan sebagaimana dikatakan oleh Rasulullah saw ketika
Perang Uhud:
"Orang-orang yang terbunuh di kalangan mereka di dalam neraka, tetapi
orang-orang yang terbunuh di kalangan kita di dalam syurga."

Kita berperang demi memperoleh dua ganjaran iaitu sama ada kemenangan atau
mati syahid. Sebagaimana firman Allah swt yang bermaksud: "Jika kamu merasa
sakit, mereka juga merasa sakit sebagaimana kamu merasainya, tetapi kamu
berharap kepada Allah sedangkan mereka tidak."

'Penentangan' Lubnan berjaya menyebabkan kerugian besar kepada tentera
terkuat yang di belakangnya terdapat Amerika dan sekalipun Israel berperang
menggunakan senjata canggih Amerika, di samping sokongan Amerika dari sudut
politik, ekonomi, ketenteraan dan senjata veto, tetapi Hizbullah berperang
dengan kekuatan keimanan.

Soalan: Adakah anda melihat ada bibit-bibit kebaikan selepas umat Islam
memperlihatkan kemarahan mereka terhadap tindakan serangan yang dilakukan
oleh Israel?

al-Qaradawi: Dalam tempoh terdekat masih belum kelihatan bibit-bibit
kebaikan itu. Namun dalam jangka masa panjang, berbekalkan kekuatan dalaman
yang ada pada kita, kita dapati banyak terdapat bibit-bibit kebaikan itu.
Umat Islam memiliki banyak perkara yang tidak boleh dipandang mudah. Dari
sudut bilangan, mereka mencapai angka satu setengah bilion. Dari sudut
ekonomi, mereka memiliki minyak di samping bumi mereka adalah bumi yang
mempunyai pelbagai jenis kekayaan. Mereka juga mempunyai pantai, lautan dan
lembah yang indah.

Di samping itu, kita juga memiliki kekuatan ruh terhadap risalah terakhir
yang diturunkan Allah. Kita juga memiliki al-Quran, dokumen ilahi yang
tidak dimiliki oleh orang lain. Di samping itu, kita juga memiliki kekuatan
tamadun. Kita adalah kawasan tamadun-tamadun kuno bertapak, tamadun Firaun
di Mesir, tamadun Babylon di Iraq dan tamadun Parsi di Iran. Amerika pula
hanya mempunyai umurnya yang berjumlah 2 ribu tahun sahaja. Kita juga
merupakan tempat lahirnya semua risalah langit.

Soalan terakhir: Adakah semua ini sudah memadai bagi kita mencapai
kemenangan dalam menghadapi segala perancangan musuh?

al-Qaradawi: Kita berkeyakinan bahawa kita berada di atas kebenaran
sedangkan musuh kita berada di atas kebatilan. Sekalipun kebenaran itu
menghadapi beberapa rintangan, tetapi ia pasti akan menang akhirnya.
Lihatlah kepada sejarah! Golongan Salib telah datang ke Palestin dan mereka
mendirikan tembok serta benteng, namun Allah swt menghantar beberapa orang
pahlawan bagi orang-orang Islam yang dapat mengalahkan mereka dengan teruk.

Hari-hari pasti akan bertukar ganti. Dalam kehidupan ini pasti sentiasa
berlaku sunnah 'pertukaran ganti' itu. Zaman terdapat dua hari. Satu hari
bagi mereka, dan satu hari bagi kita, insya Allah. Ya Allah! Perlihatkanlah
pada mereka bagi suatu hari (yang memenangkan kami terhadap mereka) dan
goncangkanlah mereka. Ya Allah! Tolonglah penentangan yang gagah berani di
Palestin, Lubnan dan setiap negara umat Islam.

Sumber:
http://www.qaradawi.net/site/topics/article.asp?cu_no=2&item_no=4345&versionfiltered=1&template_id=116&parent_id=114

(Diterjemahkan oleh Ustaz Anwar Fakri Hj. Omar)

 
 

Moderator
Hidayahnet
Subscribe: [EMAIL PROTECTED]

Group Information

  • Members: 9750
  • Category: Islam 
  • Founded: Sep 6, 2003
hidayahnet ยท eGroup For The Muslim Ummah (Malay)

Assalamualaikum Wa Rahmatullahi Wa Barakatuh

Hidayahnet is for Muslims to share their knowledge and discuss issues pertaining Muslim ummah. Postings either in Malay or English. We encourage participation from Malay-based communities such as from Malaysia, Indonesia, Singapore, Brunei and whoever can read Malay.

 


{Invite (mankind,O Muhammad) to the Way of your Lord (i.e. Islam) with wisdom (i.e. with the Divine Inspiration and the Qur'an) and fair preaching, and argue with them in a way that is better. Truly, your Lord knows best who has gone astray from His Path, and He is the Best Aware of those who are guided.}(Holy Quran-16:125)

 

Hidayahnet eGroup

 

Recommended sites:
Angkatan Belia Islam Malaysia :
http://www.abim.org.my
Jamaah Islah Malaysia              : http://www.jim.org.my
Radio Islam Kuliyyah                 : http://www.kuliyyah.com
Palestinkini Info                         : http://www.palestinkini.info
Partai Keadilan Sejahtera         : http://pk-sejahtera.org
Fiqh Siber                                   : http://al-ahkam.net/
The Muslim Brotherhood           : http://ikhwanweb.com

__._,_.___

--------------------------------------------------------------------------

All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved otherwise.

If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your mail delivery settings or email the moderators at [EMAIL PROTECTED] with the title "change to daily digest".

--------------------------------------------------------------------------

Recommended sites:
Angkatan Belia Islam Malaysia  : http://www.abim.org.my
Jamaah Islah Malaysia          : http://www.jim.org.my
Radio Islam Kuliyyah           : http://www.kuliyyah.com
Palestinkini Info              : http://www.palestinkini.info
Partai Keadilan Sejahtera      : http://pk-sejahtera.org
Fiqh Siber                     : http://al-ahkam.net/
The Muslim Brotherhood         : http://ikhwanweb.com





YAHOO! GROUPS LINKS




__,_._,___

Kirim email ke