---------------------------------------------------------------
Profesional yg ahli dlm agama.. Ustaz yg tak ahli dlm agama
 
Saya ingin menulis tentang persoalan di sekitar "adakah org yg bkn ahli dlm agama tidak boleh bercakap pasal agama? Juga hal-hal di sekitar al-ahkam.net dan forum-forum Islam.
 
(1)
Ahli agama. Siapakah ahli agama?
 
Dulu-dulu, di sebahagian tempat, di kampung-kampung menganggap orang yang sudah naik haji dengan gelaran haji, dengan umur yang tua dianggap sudah alim. Tambahan pula apabila dia pandai sikit bercakap tentang agama. Begitu dan begini... Bila solat waktu di masjid mahupun di surau, dialah yang ditolak untuk menjadi imam. Padahal bacaan al-Fatihah dan al-Qurannya tunggang-langgang. Segala kenduri kendara arwah, dialah yang jadi tekongnya.Orang kampung akan pakat angguk kepala bila pak haji ini buka mulut bercakap tentang hal agama.
 
Bila kita tengok, dia bukanlah pernah mengaji agama secara formal. Atau berguru tak formal secara konsistent dengan segala disiplinnya.
 
Ada sebahagian tempat yang menganggap bahawa orang yang petah berpidato di atas pentas-pentas ceramah sebagai ahli agama. Tok alim. Padahal, dia tak adapun latarbelakang pendidikan agama. Ada yang bekas pegawai itu dan ini.. Sebab dia terbabit barangkali dengan satu-satu jamaah Islam, dan sering diangkat untuk berpidato. Berapi-api dan berasap-asap kalau dia berdalil di pentas ceramah. Ilmunya dalam bidang agama dan hukum-hakam sama saja dengan kita-kita ini. Sama-sama jahil. Cuma, lebihnya dia hafallah beberapa hadis. Ayat-ayat al-Quran untuk peluru ceramahnya nanti. Dia akan cuba kait-kaitkan dengan isu semasa. Ditambah pula dengan gaya berpakaian yang hebat. Jubah dipakai kemas. Serban melilit kemas kepala yang sentiasa botak bercukur; ala tok guru Fathani. Berjalan dengan penuh khusyuk dan tawadhuk.
 
Orang yang mendengar rasa puas. Hebat tok alim ni!!
 
Ada juga yang menganggap tukang kaunseling orang itu adalah tok alim. Ahli agama. Sedangkan sedikitpun dia tidak pernah belajar di mana-mana sekolah arab atau pondok pengajian. Orang terkeliru sebab dia menasihati dan memberi motivasi berdasarkan cerita-cerita Islam.
 
Ah! Terpulanglah bagaimana anggapan orang tentang siapakah ahli agama, asalkan mereka tidak tertipu oleh orang yang mengambil kesempatan. Kalau tertipu, mengapa tertipu? Tertipu kerana rapuhnya asas yang kita pegang untuk mentakrifkan siapakah dia tok alim.
 
Di atas itu adalah ciri-ciri mereka yang dianggap sebagai tok alim atau ahli agama tetapi sebenarnya mereka itu jauh samasekali dari hakikatnya.
 
Dulu-dulu, saya ada menulis satu artikel tentang takrif ulama. Sila buat carian di arkib. Oleh itu ia tak perlulah diulang lagi.
 
 
------------------
(2)
Di dalam al-ahkam.net ramai ulama?
 
Huh! Kita tidak pernah menganggap kita ini ulama. Dan memang bukan ulama. Kata-kata ulama merujuk kepada panel feqh al-ahkam.net adakalanya kerana memang mereka menganggap begitu. Jika itu anggapan mereka, maka itu adalah tanggapan yang salah.
 
Adakalanya kerana menyindir. Dan kerana kebencian yang mendalam. Hatinya berkata: "Berlagak ulama konon..". Tanggapan ini juga salah, kerana kita tak pernah mengaku-ngaku bahawa kita adalah ulama.
 
Kalau ustaz, itu tidak dinafikan. Ustaz bukanlah ulama. Ustaz menurut apa yang umum masyarakat kita faham ialah, mereka yang berlatarbelakangkan pendidikan agama & arab. Tambahan lagi jika mengajar agama, samada secara formal ataupun tidak. Malah yang tidak mengajarpun, mereka masih dianggap sebagai ustaz.
 
Ada juga ustaz-ustaz yang tidak tahu hukum-hakam. Bukan tidak tahu langsung, tetapi sekadar sana sikit, sini sikit. Ini bukan perkara aib. Tetapi perkara biasa. Sebab itulah mereka itu dianggap ustaz biasa dan bukan ulama.
 
Ada juga mereka yang bukan berpendidikan agama/arab secara formal, tetapi tahap pengetahuannya mengalahkan ustaz-ustaz yang paling minima ilmunya. Namun pengetahuan mereka tidaklah sampai ke tahap ilmu ulama. Dan orang begini tidak ada salahnya kita anggap mereka sebagai ustaz.
 
Satu persoalan lain.. Ustaz-ustaz di al-ahkam.net sudah pandai berijtihad! Huh! Ini adalah ejekan dan penghinaan dari mereka yang menyimpan sakita hati dan dendam kesumat terhadap perkembangan feqh semasa. Juga dari mereka yang akalnya sudah beku ke tahap maksima.
 
Kita tidak pernah berijtihad dan kita tidak ada kelayakan untuk itu. Cuma kita mendokong seruan membuka kembali pintu ijtihad setelah ia ditutup sekian lama. Mendokong seruan ini bukan bermakna telah melakukan ijtihad.
 
Dan ijtihad adalah untuk orang yang mempunyai kelayakan. Ijtihad di sini bukan semestinya bermaksud membentuk satu mazhab baru. Ijtihad ada tahap-tahapnya sebagaimana yang disebutkan di dalam mana-mana kitab Ushul.
 
------------------------
(3)
Suatu ketika dahulu, banyak pihak yang menyerukan "meng-ulamakan intelek dan meng-intelekkan ulama". Al-marhum ustaz Fadhil Noor juga pernah membuat seruan ini. Ia adalah seruan yang baik yang patut disokong oleh pencinta-pencinta kebaikan dan kebajikan. Tambah baik lagi jika ia disahut oleh kita.
 
Bukankah bagus seandainya seorang profesional dalam bidang tertentu mendalami ilmu-ilmu agama dan mahir dalam bidang berkenaan. Dan para ulama atau ustaz memahirkan diri dalam bidang-bidang di luar bidangnya.
 
Bukankah seruan di atas itu kita katakan tadi sebagai suatu kebaikan? Bila ada orang yang begini, yang menyahut seruan kebaikan itu, tak kira dari mana datangnya, mengapa dicerca? Mengapa diejek-ejek? Bukankah ini satu penentangan terhadap usaha kebaikan?
 
Ia tidak lain melainkan datangnya dari orang yang membenci jika kebaikan tersebar. Atau mereka yang cemburu dan hasad dengki.
 
al-ahkam.net sejak dari mula lagi adalah wadahnya bagi orang yang mahu menyahut seruan ini. Jika tidak, sudah tentu syeikh thtl tidak berada bersama kita sejak dari awal lagi. Barangkali ramai 'anak-anak didik' al-ahkam.net yang bertebaran di merata-rata tempat, samada yg terkesan dari al-ahkam.net secara nyata atau secara senyap dan tidak disedari.
 
Barangkali (sudah semestinya) ramai profesional yang ingin menjadi seperti syeikh thtl. Seperti hj Kamin. Ust ziyad dsbnya.
 
Untuk semua-semuanya itu.. Semuanya sekali.. Apa salahnya? Bukankah ia satu kebaikan, malah antara kebaikan yang paling baik dan tinggi kedudukannya.
 
Namun.. Masih ramai yang dibutakan mata hatinya. Dipekakkan telinganya untuk melihat dan mendengar itu semua sebagai satu kebaikan. Ini semua kerana mata-mata mereka dan telinga-telinga mereka sudah ditutup dengan rasa hasad dan dengki. Ditiup-tiup dan dihembus-hembus oleh bisikan syaitan!
 
---------------------
(4)
Adakah org yg bukan ahli dlm agama tidak boleh bercakap pasal agama?
 
Tidak semestinya orang yang belajar agama/arab secara formal merupakan orang yang mendalam ilmu agamanya. Tahu serba-serbi tentang hukum-hakam. Dan tidak semestinya orang yang belajar agama secara tidak formal itu lebih jahil dari orang yang belajar secara formal.
 
Ada yang belajar agama secara formal, ada MA.. Malah ada Phd, yang masih tidak mahir merujuk kitab-kitab induk. Dan. Ada yang belajar agama secara tidak formal, namun boleh merujuk kitab-kitab rujukan utama para ulama. Boleh memahami. Boleh menyelami. Ini adalah fakta yang benar-benar wujud. Walaupun tidak semua begitu, tapi ia memang wujud.
 
Bercakap tentang agama. Siapapun boleh bercakap tentangnya, berdasarkan kemampuan masing-masing. Yang boleh tentang hal-hal fardu ain dan hukum-hakam yang mudah-mudah apa salahnya dia bercakap tentang itu dengan rakan taulannya. Kalau dia mampu dan mahir dalam masalah-masalah hukum yang rumit dengan disiplin ilmu yang betul, tidak salah dia bercakap tentang itu dengan sesiapa sahaja.
 
Saya berlatarbelakangkan pendidikan agama, walaupun tidak tinggi pengajiannya. Juga dianggap ustaz konon-kononnya.. Dengan ciri-ciri ini, syeikh thtl lebih tahu berbanding saya tentang hal hukum-hakam. Dan hj kamin dan syeikh ziyad, lebih pandai dari saya dalam hal-hal fatwa dan masalah-masalah agama. Juga dengan sdra Hafiz Firdaus, sudah tentu pengetahuannya lebih mendalam dari saya ini.
 
Dengan hakikat dan kenyataan ini, apakah mereka ini tidak layak untuk bercakap tentang agamanya atas dasar bantu-membantu dan dakwah? Tentang apa yang merekja tahu? Dan mereka ini bukanlah tidak berguru. Mereka juga berguru untuk mendalami ilmu-ilmu agama.
 
Jangan pula bandingkan saya dengan ustaz Pendekar, ustaz tytsezh, ustaz nahzaluz atau ustaz Mashadi yg juga berpendidikan agama secara formal. Seperti langit dengan bumi ilmu mereka. Tidak terkejar oleh saya untuk mencapainya.
 
Kebenaran untuk bercakap tentang agama tidak semestinya oleh ulama atau ustaz. Sebagaimana yang disebutkan tadi, hendaklah berdasarkan kepada kemampuan masing-masing. Kerana jika dia mempunyai pengetahuan yang benar tentang satu-satu masalah -sekalipun dia tidak belajar agama secara formal- dia hanya berdiam diri sahaja, maka bermakna dia termasuk orang-orang yang menyembunyikan ilmu yang dilaknat oleh agama. Sebaliknya, jika dia bercakap tentang satu-satu perkara yang dia tidak tahu -sekalipun dia berpendidikan agama secara formal- maka dia pasti akan sesat dan menyesatkan orang lain. Ini juga dilaknat.
 
Dunia perubatan, siapa sahaja boleh bercakap tentang dunia itu. Namun berdasarkan kepada pengetahuan masing-masing. Tidak ada salahnya. Namun, jika dia tidak tahu, tetapi mereka-reka cerita kepada teman-temannya, berkemungkinan ada yang jatuh sakit akibat fatwa perubatannya itu.
 
Al-Marhum Syeikh Sya'rawi, seorang mufassir yang disegani dizaman ini, sering bercakap tentang hal-hal kedoktoran dalam fatwa-fatwanya. Seolah-olah dia adalah seorang doktor pakar. Namun dia bukanlah seorang doktor perubatan. Dan, ia tidak salah.
 
Islam adalah agama nasihat. Agama amar makruf nahi munkar. Agama yang menggalakkan ilmu. Agama yang memerintahkan umatnya sampai menyampaikan dalam masalah ilmu dan kebaikan.
 
al-ahkam.net dengan barisan mereka yang bertanggungjawab dalam masalah feqh dan hukum-hakam bertindak atas dasar ini. Dasar taawun. Bantu membantu dalam hal kebaikan. Menyebar ilmu dan kebaikan. Dakwah dsbnya...
 
Perbuatan menyindir, mengejek dan menghina mereka yang ahli dalam agama tetapi tidak secara formal pendidikannya adalah perbuatan bodoh dan keji. Ia tidak menunjukkan apa-apa melainkan hanya lebih menampakkan busuk dan rendahnya akhlak.
 
Jika anda seorang yang luas ilmunya, adalah menjadi tanggunjawab anda untuk membimbing dan menegur mereka, jika dikesan ada berlaku kesilapan. Bukannya mengejek.
 
 
------------------------------
(5)
Memang.. Kita menghadapi masalah dengan sebahagian golongan profesional atau intelek Islam yang cenderung kepada Islam. Keberanian mereka kadangkala melampui batasan. Ini memang kenyataan yang perlu kita terima. Namun, ia tidaklah terjadi di al-ahkam.net. Alhamdulillah...
 
Melampaui batas begini dapat kita lihat pada beberapa individu dan kumpulan tertentu yang sebahagiannya amat popular. Melampunya tidak boleh ditegur. Terlajaknya susah nak diundur.
 
Sebahagiannya akan terjebak ke lembah kehinaan anti hadis. Sebahagiannya menjadi penganut Islam Liberal. Sebahagiannya menjadi pejuang sesat hak wanita. Dan tidak kurang juga yang terjebak dengan sufi kebatinan. Aliran takfir dan jihad. Dsbnya..
 
Masalah kita ialah, kita berhadapan dengan dua golongan, iaitu profesional yang terlalu berani dan ulama yang terlalu takut.
 
Terlalu berani seperti yang telah dijelaskan. Terlalu takut hingga tidak berani untuk melakukan kajian kritis terhadap ijtihad-ijtihad ulama silam. Segala isi kitab dianggap sama seperti nash ilahi. Menganggap ulama seperti maksum.
 
al-ahkam.net cuba berada di tengah-tengah antara keberanian tak bersempadan dan ketakutan tanpa batas. Dan inilah juga yang syeikh thtl lakukan. Inilah yg sdra hafiz fidaus perjuangkan.
 
Tok Guru Hj Abdul Wahab pernah diajak untuk berdakwah diluar dari masyarakat pelajar oleh seorang tok guru lain. Jawabnya, "murid saya datang dari jauh untuk belajar. Mereka sudah tentu orang yang mahu kepada ilmu dan seruan Islam. Sedangkan di luar sana, belum tentu mereka menerima seruan kita. Jadi apakah wajar, saya meninggalkan mereka yang sudah pasti menerima seruan ini kerana pergi kepada mereka yang belum tentu menerimanya."
 
Memang benar pendirian beliau. Kita menumpukan kepada mereka yang belum pasti mahu seruan ilmu dengan mengabaikan mereka yang sudah pasti mahukan seruan Ilmu adalah salah. Kerana kesudahannya, mereka yang mahu itu akan meninggalkan kita, sedangkan yang belum tentu mahu itu ramai yang tidak mengendahkannya.
 
Ini kerana beliau tidak dapat mengendalikan dua kelompok dalam satu masa. Maka hajat orang yang berhajat hendaklah didahulukan. Nanti, apabila murid ini sudah berilmu dan beramal, mereka inilah yang akan keluar kepada masyarakat berkenaan untuk berdakwah dan menyampaikan ilmu.
 
Kepada profesional yang ahli dalam agama, seperti syeikh thtl, sdra hafiz firdaus dan lain-lain, menumpukan kepada mereka yang sudah tentu mahukan ilmu kalian itu lebih utama dari menumpukan kepada mereka yang belum tentu mahukannya.
 
Memberi penjelasan tentang Islam, Iman dan ihsan kepada mereka yang mahu tanpa menghiraukan kata nista mereka yang tidak mahu itu lebih utama lagi. Kerana jika kita melayan mereka yang mencerca, masa hanya akan habis sia-sia sahaja, sedangkan kita mengabaikan mereka yang dahagakan ilmu kalian.
 
 
------------------------
(6)
Berkaitan dengan bercambahnya forum atau portal yang berteraskan Islam. Atau forum-forum biasa yang ada menyelitkan ruangan islam, ia adalah perkara yang baik sekali. Namun, perkara agama dan isi ajarannya bukanlah perkara sembang-sembang di tepi jalan. Ia adalah perkara serius. Perkara yang bukan main-main.
 
Oleh itu mengendalikan forum atau ruang agama lebih sukar dari mengendalikan forum remaja dan sembang-sembang kosong. Banyak perkara yang perlu dijaga. Banyak hal yang perlu dikawal.
 
Jika berlaku kesalahan dalam forum sembang-sembang kosong, masih boleh ditolak ansur, namun kesilapan dalam forum agama membawa padah hingga ke akhirat.
 
Seorang doktor yang tersalah dalam memberi rawatan, akan menyebabkan kemudaratan fizikal pesakit. Atau nyawanya. Kesalahan ulama dalam menanggapi permasalahan umat akan menyebabkan dunia dan akhirat umat dalam bahaya.
 
Antara perkara yang sering berlaku dalam banyak forum ialah masalah 'forum hantu'. Seperti forum tidak dikawal. Kiriman-kiriman liar dan sampah berkeliaran di sana sini. Seperti pelesit tak bertuan.
 
Forum-forum hantu begini memang memberi daya tarikan kepada pengunjung yang singkat akalnya. Kadangkala tuan forum hantu ini sengaja memancing-mancing topik panas sebagai menarik ramai pengunjung. Lebih sensasi. Bukan ilmu yang diperolehi tapi seperti kata syeikh thtl, hanya sampah sarap. Ramai juga yang nak 'test power' di forum-forum hantu. Tak kurang juga yang ketagihan dengan sampah-sarap ini.
 
Jika masyarakat dilonggokkan dengan sampah sarap ini, akan jadi apa pada bangsa dan umat ini?
 
Ada beberapa forum yang agak baik dan terkawal. Antaranya ialah forum Bicara muslim. Yang kadangkala seperti adik kepada al-ahkam.net. Juga forum madrasah al-wahidah. Dan beberapa forum lain lagi.
 
Seperti syeikh thtl, saya juga menerima beberapa pelawaan dari web ternama untuk bertugas entah sebagai apa.. Saya menolak dengan alasan yang sama seperti syeikh thtl.
 
al-ahkam.net juga pernah ditegur kerana dianggap sebagai forum yang terlalu serius dan berat isikandungannya. Maksudnya, bukan forum hantu jembalang. Saya kata, biarlah terus seperti adanya. Ia dibina dengan perancangan jangka panjang. Seandainya genarasi hari ini tidak sudi menatapnya, genarasi akan datang pasti akan menjadikannya sebagai bahan rujukan penting.
 
 
Sekian, semoga bermanfaat..
 
zain y.s (Feb 02, 2005)


Talk is cheap. Use Yahoo! Messenger to make PC-to-Phone calls. Great rates starting at 1ยข/min. __._,_.___

--------------------------------------------------------------------------

All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved otherwise.

If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily digest of emails by logging-on to
http://www.yahoogroups.com to change your mail delivery settings or email the moderators at [EMAIL PROTECTED] with the title "change to daily digest".

--------------------------------------------------------------------------

Recommended sites:
Angkatan Belia Islam Malaysia  : http://www.abim.org.my
Jamaah Islah Malaysia          : http://www.jim.org.my
Radio Islam Kuliyyah           : http://www.kuliyyah.com
Palestinkini Info              : http://www.palestinkini.info
Partai Keadilan Sejahtera      : http://pk-sejahtera.org
Fiqh Siber                     : http://al-ahkam.net/
The Muslim Brotherhood         : http://ikhwanweb.com





YAHOO! GROUPS LINKS




__,_._,___

Kirim email ke