YAB Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, 
Perdana Menteri Malaysia. 
Assalamualaikum wr. wth., 
YAB Dato' Seri, 
Kami membaca kenyataan YAB mengenai cadangan kerajaan mengambilalih semula
dua anak syarikat yang telah terlepas pegangan pengurusannya kepada pihak
Singapura, seperti dilaporkan akhbar utama hari Isnin, 14 Ogos 2006. 
Izinkan saya memetik laporan Berita Harian 14 Ogos 2006 mengenainya; 
        PM mahu kontrak bekal alat hospital dikembali kepada rakyat tempatan
<http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Monday/Mukadepan/20060814003321/Article
/> 
        KEPALA BATAS: Kerajaan mengkaji untuk mengembalikan semula
penguasaan rakyat tempatan dalam syarikat konsesi membekalkan keperluan
hospital di negara ini ekoran penjualan 31 peratus kepentingan Pantai
Holdings Bhd kepada firma Singapura, Parkway Holdings Ltd. 
        Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, berkata kerajaan
memberikan perhatian kepada isu penjualan itu kerana ia menimbulkan masalah
disebabkan beberapa perkara berkaitan konsesi yang diberikan kepada Pantai
Holdings iaitu kontrak membekalkan keperluan hospital. 
        "Jadi (berikutan penjualan saham dalam Pantai Holdings), konsesi
telah terlepas ke tangan orang lain dan (kerajaan) mengharapkan ia akan
(kekal) kepada pihak Malaysia, akan dipegang oleh rakyat Malaysia. 
        "Jadi perkara ini dalam perhatian pihak Perbendaharaan," katanya.

Kami amat berbesar hati di atas hasrat tersebut. Cuma, kami agak keliru
mengenai pendirian sebenar YAB. Ini kerana, dalam wawancara khas YAB seperti
yang disiarkan rakamannya oleh TV3 pada 7 Ogos 2006, YAB dengan tegasnya
memberitahu bahawa tidak ada mana-mana entiti perniagaan Negara kita telah
terlepas kepada pihak asing. 
Bagi mengelakkan pertikaian mengenai apa yang telah disebut oleh YAB, kami
perturunkan petikan wawancara itu seperti yang disiar oleh Utusan Malaysia
seperti berikut; 
        Pemilikan syarikat asing 
        Dato' Seri kita kebetulannya di ambang menyambut kemerdekaan ke-49
tahun merdeka. Dengan hari ini juga kita dengar istilah bentuk penjajahan
baru. dan antaranya yang dikaitkan dengan bentuk penjajahan baru ialah
pemilikan asing dalam syarikat negara yang paling sensitif ialah syarikat
singapura sebab sentimen yang ada hari ini. 
        ABDULLAH - Yang pertama saya kata apa salahnya kalau syarikat lain
negeri lain nak beli saham dalam syarikat kita kerana itu baik sebab mereka
yakin dengan syarikat kita, sebab itu dia orang beli. 
        Tapi yang penting dalam hal ini kita nak jaga supaya kepentingan
kita, control itu kita jaga jangan sampai diambil alih. 
        Dalam hal ini tiada satu pun syarikat kita diambil alih oleh
syarikat ini. Soalnya sekarang ini kita buka yang nak beli saham ini
syarikat mana-mana seperti dari AS ke, Jepun ke, Korea ke, kalau Singapura
beli dia belilah. Tapi banyak orang bila sebut Singapura ni dia lain sikit,
kena tanya merekalah, saya tak tau? 

YAB Dato' Seri, 
Izinkan saya membawa perhatian YAB kepada surat yang saya telah tuliskan
kepada YAB mengenai perkara yang sama bertarikh 28 Disember 2005. Izinkan
saya memetik satu para mengenainya; 
        "Menteri Kewangan perlu menjelaskan mengapa ia telah memberikan
kelulusan terhadap penjualan 31% saham Pantai Holdings kepada Parkway."

Mungkin saya begitu kerdil sehingga surat saya tidak layak dibaca oleh YAB
walaupun YAB ada bercakap supaya orang ramai ?tell me the truth? atau
memberitahu hal yang sebenar kepada YAB dan YAB amat tidak suka kepada
'apple polisher'. 
Maka dengan itu, YAB terlupa bahawa isu ini sudah lama dibangkitkan dan YAB
sudah patut bertindak lama dahulu. Jika surat saya tidak dibaca sekalipun,
YAB patut telah dimaklumkan oleh pegawai-pegawai YAB kerana isu ini telah
dari masa ke semasa dibangkitkan oleh pelbagai pihak dan dilaporkan oleh
akhbar-akhbar utama, selain laman-laman web. 
Menteri Kesihatan sendiri telah membangkitkan bangkangannya seperti
dilaporkan oleh akhbar Malay Mail. Tidak mungkin kenyataan terbuka seorang
Menteri Kabinet tidak mendapat perhatian YAB? 
Akhbar-akhbar juga telah melaporkan perkembangan perubahan lima dari tujuh
ahli Lembaga Pantai sebaik sahaja pengambilalihan tersebut dan di bawah
Practice Notes 2.4 for the Malaysian Code on Take-Overs and Mergers,
sesebuah syarikat itu dianggap telah berada di bawah pengurusan baru jika
lebih dari separuh ahli lembaganya bertukar tangan kurang dari tempoh
setahun kemasukan pemegang saham baru dan saya yakin YAB sedar sepenuhnya
hal ini. 
YAB Dato' Seri, 
Lebih menghairankan lagi, semua transaksi penjualan pegangan kepada pihak
asing mesti mendapat persetujuan dan kelulusan YAB selaku Menteri Kewangan
atau paling kurang dimaklumkan kepada YAB. 
YAB saya kira sedar bahawa kelulusan perpindahan kepentingan kepada syarikat
asing ini berlaku pada masa YAB sudah menjadi Perdana Menteri dan pada masa
yang sama menjawat jawatan Menteri Kewangan. Ia tidak berlaku sebelumnya
bahkan semasa YAB sudah memegang teraju utama Negara, sama dengan kes-kes
penjualan kepentingan Malaysia yang lain kepada Singapura seperti 5%
pegangan dalam Telekom pada Mac 2004, di mana ECM Libra adalah financial
advisorynya. Juga pembelian 5% kepentingan dalam Proton oleh Government of
Singapore Investment Corp. pada tahun yang sama. 
Mengapa pada waktu itu YAB memberikan persetujuan dan sekarang YAB bercadang
mengambilalihnya semula? Adakah YAB sedar kos dan perbelanjaan bagi tujuan
pengambilalihan semula tersebut? 
Lebih menyedihkan lagi, penjualan saham Pantai kepada pihak Singapura
sebanyak 31% itu bercanggah dengan garis panduan penggabungan dan pengambil
alihan milik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri sendiri bertarikh
21 Mei 2003 lagi. YAB, maafkan saya, sebenarnya telah melanggar garis
panduan Jabatan Perdana Menteri sendiri berkait dengan fasal-fasal 4.3, 6.3
dan 7.3. Bagaimana ini boleh berlaku? 
Adakah YAB telah terlepas pandang? Atau YAB tidak mengambil berat
mengenainya sebelum ini dan hanya tersedar setelah nasi menjadi bubur? Atau
YAB sebenarnya telah meluluskannya tetapi kemudian terlupa? Atau YAB telah
secara sedar meluluskannya dan kini ingin bermain wayang dengan rakyat
jelata? 
Saya yakin YAB sedar bahawa di bawah prinsip akauntabiliti, YAB tidak akan
membenarkan situasi 'auto pilot' berlaku di mana YAB melepaskan tugas
sebagai 'pemandu coach' sehingga menyebabkan ianya terlanggar dan YAB
mengaku tidak bertanggungjawab mengenainya. Apa lagi, YAB telah secara tegas
menafikan tingkat empatlah yang sebenarnya menentukan segala-galanya. 
YAB Dato' Seri, 
Dua anak syarikat Pantai iaitu Fomema dan Medivest terlibat dengan konsesi
penswastaan dan mengikut garis panduan penswastaan, ianya tidak boleh
diizinkan untuk bertukar milik kepada pihak asing tetapi anehnya, ia telah
berlaku. Siapa yang memberikan kelulusan itu? 
Sebagaimana YAB gemar rakyat jelata memberitahu yang benar kepada YAB, saya
selaku rakyat juga ingin tahu kedudukan yang sebenar dalam isu ini dan YAB
boleh melakukannya menerusi Dewan Rakyat dalam sidang yang terdekat. 
YAB Dato' Seri, 
Izinkan juga saya menyentuh isu percanggahan kepentingan yang mungkin wujud
di antara kedudukan YAB selaku Menteri Kewangan dengan kepentingan
perniagaan anak dan menantu YAB. 
Sekalipun menantu YAB telah melepaskan pegangannya dalam syarikat ECM Libra,
atas apa jua muslihat atau sebab, namun YAB harus sedar bahawa sebuah
syarikat milik kerajaan iaitu Avenue Capital dengan aset-aset diuruskannya
bernilai hampir RM4 bilion, termasuk pegangan dalam Pos Malaysia dengan
tunai melebihi RM 600 juta sudah berada dalam peringkat akhir penggabungan
dengan syarikat di mana pada waktu itu, menantu YAB adalah salah seorang
pemegang sahamnya. 
Setakat saya mengikuti perkembangannya melalui akhbar, ada
kenyataan-kenyataan yang membawa impak bahawa pengurusan entity yang baru
selepas penggabungan akan dipegang oleh pihak ECM Libra. Ini bermakna
syarikat milik kerajaan akan terlepas pengurusannya kepada pihak di luar
kerajaan. Akhbar New Straits Times 18 Jan 2006, boleh dirujuk mengenai hal
ini. 
Perkembangan penyerahan Avenue Capital untuk bergabung dengan ECM Libra,
pada mata orang awam selari dengan kedudukan menantu YAB di dalam ECM Libra
tersebut. 
YAB mungkin boleh mendakwa YAB tidak terlibat dengan proses-proses keputusan
itu dibuat tetapi itu bermakna apabila sesuatu melibatkan aset Negara, YAB
masih ingin berlepas tangan dan hasil dari sikap berlepas tangan itu,
anggota keluarga terdekat YAB akan mendapat faedah. 
Sekalipun anggota keluarga YAB telah melepaskan pegangannya dalam ECM Libra
Avenue, bukan bermakna satu manipulasi selepas semua kelulusan diperolehi
tidak akan berlaku kemudian hari. 
Begitu juga dengan laporan akhbar bertali arus mengenai kejayaan Scomi
memperolehi pelbagai kontrak. Adalah sukar untuk memahami bagaimana
perolehan kontrak tersebut tiada kaitan dengan kedudukan YAB selaku Perdana
Menteri? 
Keadaan ini telah menyukarkan kedudukan politik YAB sendiri dan dari
laporan-laporan akhbar mengenai kenyataan-kenyataan YAB dan menantu YAB,
telah memberikan gambaran agenda negara kini telah bertukar kepada hal-hal
kekeluargaan YAB semata-mata. 
YAB Dato' Seri, 
Surat kami, sama seperti surat-surat terdahulu, adalah satu pandangan untuk
kebaikan negara jua. Maaf saya jika teguran ini menyinggung perasaan tetapi
masa belum terlambat untuk YAB kembali kepada pengurusan berhemah yang
dicita-citakan oleh semua. 
Sekian. Terima kasih dan wassalam. 
Husam Haji Musa 
Naib Presiden PAS 
21 Rejab 1427 | 15 Ogos 2006 



WBT dan Salam Perjuangan, 
Kemelut yang melanda mantan Perdana Menteri Tun Mahathir dengan penggantinya
Dato' Seri Abdullah Badawi dilihat semakin hari semakin bertambah kronik
kini. Dengan kuasa yang ada, kini Pak Lah khabarnya terlebih dahulu
mengadakan "Road-show" bagi memberi penerangan yang lebih jelas kepada
rakyat terutamanya kalangan ahli UMNO peringkat akar umbi tentang kebenaran
apa yang beliau lakukan selama ini. 

Bermula di Sarawak, kemudian ke Terengganu, Pahang, Johor, Kedah dan
khabarnya selepas ini beliau akan ke Kelantan Darul Naim pula. Mengapakah
Pak Lah lakukan semua ini? Apakah beliau takut dengan kelibat Mahathir yang
kini dilihat berusaha benar untuk menjatuhkan Pak Lah daripada tampuk
pemerintahan. 
Daripada siri penerangan yang telah Pak Lah lakukan, maka terjawablah sudah
keraguan terutamanya berkenaan dengan isu menantu beliau Khairy Jamaluddin
yang memiliki saham dalam ECM Libra Avenue Bhd. Biarpun Khairy kini telah
melupuskan pegangan saham beliau sebanyak RM10.2 juta itu baru-baru ini.
Tetapi yang menjadi persoalannya sekarang ialah daripada mana Khairy
meminjam wang sebanyak itu untuk membeli saham dalam ECM Libra? Pak Lah
mengatakan Khairy meminjam wang dari seorang kawan. Tetapi siapakah kawan
yang sanggup memberi pinjaman sebanyak itu kepada anak muda yang berusia 28
tahun seperti Khairy. Mungkinkah semua ini berlaku dengan campurtangan Pak
Lah agaknya. Jika tidak mana mungkin mana-mana agensi kewangan dapat
meluluskan pinjaman sebanyak itu dengan begitu mudah. Inilah yang
dipertikaikan oleh Mahathir tatkala isu ini ditimbulkan baru-baru ini. 

Melihat kepada tindakan Mahathir yang mengeluarkan kenyataan bahawa beliau
tidak lagi akan mengganggu kepimpinan Pak Lah seandainya pembinaan jambatan
bengkok yang menghubungkan Malaysia dengan Singapura diteruskan, jelas
menunjukkan bahawa "bagai ada usang di sebalik mee".. Apakah Mahathir
benar-benar ikhlas memperjuangkan hak rakyat terbanyak ataupun periuk
nasinya sendiri. 

Kita tidak mahu mempertikaikan kenyataan beliau itu sebenarnya. Mahathir
kini dilihat lebih agresif menentang kerajaan daripada pakatan parti
pembangkang sendiri. Mengapakah ini berlaku, sedangkan dalam masa yang sama
beliau menafikan ingin berkompromi dengan pembangkang dan masih sayangkan
UMNO. 

Kita agak hairan dengan sikap seorang pemimpin seperti Mahathir ini
sebenarnya. Apakah yang beliau inginkan daripada Pak Lah agaknya. Cara dan
tingkah laku beliau sememangnya akan mengundang masalah yang lebih besar
kepada kerajaan. Mungkin jika kemelut ini berterusan, harapan besar untuk
melihat kejatuhan lebih banyak kerusi BN ke tangan parti pembangkang amat
cerah sekali. Sama, apa yang berlaku pada pilihan raya ke-10 yang lalu di
mana isu Anwar Ibrahim telah berjaya menarik simpati rakyat untuk menyokong
pembangkang. 

Kini, Mahathir bukan sahaja disokong oleh parti pembangkang malahan juga
ramai ahli UMNO terutamanya di peringkat akar umbi masih percayakan Mahathir
daripada Pak Lah. Pengalaman selama 22 tahun memerintah negara ini jelas
menunjukkan bahawa beliau sudah sebati di hati ahli UMNO terutamanya di
peringkat akar umbi. 

Biarpun Mahathir kini ditentang oleh ramai pendekar-pendekar UMNO seperti
Nazri Aziz, Aziz Shamsuddin, Rahim Tamby Chik. Muhammad Taib, Radzi Sheikh
Ahmad, Idris Jusoh, Adnan Yaakob dan ramai lagi. Tetapi sebaliknya umum
mengetahui bahawa Mahathir adalah orang yang bertanggungjawab menaikkan
semua nama-nama tersebut di persada politik tanah air. Justeru itu, biarpun
pedas semua mereka ini terpaksa berkata-kata dan memburuk-burukkan Mahathir.
Inilah yang dikatakan oleh Mahathir bahawa, ketika beliau ada kuasa semua
orang akan sokong apa saja yang diperkatakan tetapi bila sudah tiada kuasa
semua tidak berani menyatakan kebenaran. Sememangnya beginilah mentaliti
para pemimpin UMNO sejak dulu, kini dan selamanya. 

Persoalan mengapakah UMNO tidak mengadakan mesyuarat tergempar untuk memecat
Mahathir. Sama seperti Mahathir memanggil Ahli Majlis Tertinggi untuk
memecat Anwar Ibrahim pada 2 September 1998 yang lalu. Kenyataan Nazri Aziz
kononnya UMNO tidak mengamalkan cara untuk memecat individu yang telah
banyak berjasa kepada parti dan negara. Namun, pernahkah beliau terfikir
inilah yang dilakukan oleh Mahathir terhadap Anwar Ibrahim. Biarpun Anwar
belum dibicarakan dan diberi peluang untuk membuktikan kesalahannya, mudah
sahaja Mahathir memecat Anwar ada nama pengkhianat UMNO. 

Jika dilihat secara jelas, kini siapakah yang lebih khianat sebenarnya.
Anwar dahulu tidak pernah menentang kerajaan secara terbuka. Kes-kesnya pun
banyak yang dilihat hanyalah rekaan dan khayalan semata-mata hingga
menyebabkan ahli UMNO berbelah bahagi untuk mempercayai atau tidak. Namun,
kini kes Mahathir sebenarnya tidak perlu dipertikaikan lagi. Beliau secara
jelas mengatakan bahawa Pak Lah tidak layak menjadi Perdana Menteri kerana
terlalu lemah dan tiada karisma. Sedangkan sebelum ini beliaulah yang
bertanggungjawab untuk melantik Pak Lah ke jawatan tersebut. Malahan
Mahathir dilihat sedang bersiap sedia untuk menggempur kem Pak Lah dengan
memburuk-burukkan pemimpin nombor satu negara itu. 

Bukankah sikap yang ditunjukkan ini jelas membuktikan Mahathir telah
mengkhianati parti dan kerajaan yang ditinggalkan. Jika beliau berfikir Pak
Lah tidak betul sama sekali pun, beliau sepatutnya memberi peluang kepada
Pak Lah untuk memperbetulkan keadaan, bukannya dengan menyerang peribadi Pak
Lah. Apakah beliau merasakan beliau terlalu bersih untuk berhadapan dengan
rakyat Marhaen. 
Kita harus sedar dengan sandiwara Mahathir ini. Jangan kita lupa apa yang
telah beliau lakukan selama ini. Pembangunan yang terlaksana dan berapa
ramai kroni-kroni beliau yang telah menikmati limpahan kemewahan ini.
Sedangkan rakyat terbanyak masih berada dalam tahap kemiskinan tegar yang
melampau. Lihat sahaja apa yang dipaparkan dalam rancangan Bersamamu TV3.
Maka itu, usahlah Mahathir berkira-kira kononnya beliau ingin digelar
sebagai pejuang bangsa bagi menuntut keadilan untuk rakyat terbanyak.
Kenyataan beliau bahawa tak akan lagi mengganggu Pak Lah setelah projek
jambatan bengkok dilaksanakan oleh kerajaan jelas membuktikan Mahathir
mempunyai agenda dan wawasannya yang tersendiri sebenarnya. 

Nah, apa yang berlaku sekarang ini beliau dilihat tidak berupaya untuk
berhadapan dengan kerajaan. Ceramah dan program majlis penerangan yang ingin
beliau adakan dikacau ganggu oleh pihak-pihak tertentu. Terbaru program
beliau di Perlis juga terpaksa dibatalkan atas alasan tidak mendapat permit
dan sebagainya. Kini Mahathir sudah tiada kuasa lagi. Samalah apa yang
beliau lakukan terhadap Anwar Ibrahim dahulu. Anwar dihalang bertemu rakyat
dan akhirnya ditangkap dengan ganas menggunakan skuad komando ala tentera di
kediamannya di Bukit Damansara tatkala baru habis menyampaikan ucapan kepada
rakyat. 

Sesungguhnya Allah itu Maha adil, Mahathir kini menerima balasan ketika
usianya masih ada. Segala kebobrokan yang dilakukan terhadap rakyat dan
Anwar dahulu kini mengenai batang hidupnya sendiri. Belia mula mengenali
bahawa amalan demokrasi telah terhakis di Malaysia ini. Sudah tiada
kebebasan untuk berhimpun dan bersuara. Beliau mula sedar segala akta-akta
mengarut yang diguna pakai selama ini telah mula terpalit pada dirinya
sendiri. 

Mahathir sepatutnya bersyukur, kerajaan masih berlembut dengan sikap beliau
itu. Bayangkan kerajaan pimpinan Pak Lah semakin hilang sabar, pasti
Mahathir juga akan merasai pengalaman hidup sebagai tahanan ISA agaknya.
Siapakah yang berani mengeluarkan arahan ini. Sedangkan untuk memecat
Mahathir dari UMNO pun tiada siapa yang berani untuk mengeluarkan kenyataan
itu selain daripada Nazri Aziz, anak didik Mahathir sendiri. Beliau juga
baru sedar yang mana kawan dan yang mana lawan. Indah sungguh riwayat hidup
Mahathir ini sebenarnya. Dahulu beliau dikenali sebagai Diktator, Maha
Firaun dan banyak lagi. Kini mungkinkah beliau sedar akan segala perbuatan
yang telah dilakukan itu selama ini. 

Justeru itu, pada pandangan Cucu seandainya Mahathir benar-benar telah insaf
akan segala kesalahannya selama ini maka beliau harus mengeluarkan kenyataan
terbuka dengan mengatakan beliau telah tersilap menghukum Anwar. Beliau
sepatutnya mendedahkan siapakah dalang-dalang dan konspirator yang
bertanggungjawab menjatuhkan Anwar serta merancang konspirasi jahat untuk
merosakkan imej Anwar. Mahathir harus lakukan ini demi rakyat, dan kita
sendiri sudah mengetahui Anwar kini sudah dibebaskan daripada pertuduhan
yang direkacipta oleh Mahathir. Umum juga mengetahui semua perancangan jahat
terhadap Anwar selama ini, Mahathir adalah sutradaranya. Maka dengan ruang
yang ada, dalam usia yang semakin senja elok sangatlah Mahathir kembali
membersihkan nama dan imej Anwar yang telah tercalar selama ini. Beritahu
sekalian hamba rakyat bahawa beliau tersilap kerana menurut hawa nafsu dan
mendengar pandangan-pandangan yang silap terhadap Anwar. 

Jika ini Mahathir lakukan, maka benarlah beliau telah mulai insaf. Namun
sehingga kini beliau masih sombong dan ego dengan dirinya bahkan masih
menuduh mahkamah tersilap membebaskan Anwar serta tidak mahu memohon maaf
terhadap Anwar. Lebih melukakan hati lagi, biarpun kini beliau diberi ruang
yang luas untuk bercakap di pentas PAS dan platform pembangkang. Namun
setiap kali ditanya apakah beliau kini telah mula menerima PAS dan parti
pembangkang yang lain, beliau secara jelas memperli ideologi dan Islam yang
dibawa oleh PAS. Katanya terpesong dari ajaran Islam sebenar. 

Maka, apakah yang ingin ditunggu lagi. Apakah kita mahu menunggu sehingga
Mahathir menamatkan riwayat hidupnya begitu sahaja tanpa ada ucapan maaf
dari mulut beliau. Justeru itu marilah kita sama-sama berdoa agar Mahathir
akhirnya akan berada di saf kepimpinan ulama dan parti pembangkang untuk
menentang UMNO/BN dalam pilihan raya umum akan datang. Jika melihat senario
sekarang, dengan omongan kosong yang beliau hamburkan sudah pasti beliau
akan terus berkokok dan diberi peluang untuk berkata-kata di platform
pembangkang. Sedangkan di hatinya masih lagi pekat dan karat dengan UMNO dan
juga Barisan Nasional. Apakah kita mahu tertipu dengan sikap Mahathir ini. 

P/S - Terkini isu Siti & Datuk K klik www.cucumatkilau.blogdrive.com
<http://www.cucumatkilau.blogdrive.com> 
"Keadilan Untuk Semua, Teruskan Agenda Perubahan Demi Agama Bangsa Dan
Negara" 
Salam Perjuangan, 
CUCU MAT KILAU 
Anak Watan Jengka 
Pahang DM 
Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera kepada anda pembaca semua. 
Kali ini saya ingin membicarakan beberapa isu tempatan yang mana ianya boleh
dirangkumkan dalam tajuk penulisan yang sama. Tajuk kali ini adalah "Lebih
Sudu Daripada Kuah". Semua orang tahu apa itu kuah dan apa itu sudu.
Biasanya di dalam mangkuk kuah cuma ada satu sudu sahaja, namun kadang kala
berlaku beberapa kejadian sudu lebih banyak di dalam mangkuk kuah tersebut.
Sudu (boleh juga dikenali sebagai camca) adalah satu alatan yang digunakan
oleh kita untuk mengambil lauk atau kuah di dalam mangkuk. Tidak pernah
orang menggunakan senduk atau sudip sebagai ganti fungsi sudu. 
Kita semua sedia maklum atas kemenangan Saudari Sharifah Amani dalam
Festival Filem Malaysia Ke-19 (FFM19) sebagai watak utama dalam filem
"Gubra". Gubra sebenarnya adalah tidak tepat untuk menggambarkan keadaan
gugup manusia. Ini kerana perkataan yang tepat ialah "Gabra". Namun, seperti
mana ketidaktepatan penggambaran watak atau senario masyarakat dalam filem
ini, seperti itulah juga tajuk filem tersebut yang tersalah sasar. 
Sharifah Amani yang dengan bangga dan sinisnya memperlekehkan "Bahasa
Melayu" ketika memberikan ucapan kemenangan telah menunjukkan bahawa siapa
beliau sebenarnya. Ianya juga melambangkan betapa ceteknya tahap
patriotisme, tahap keilmuan dan tahap sopan beliau. Betapa pendeknya akal
beliau sehinggakan tidak memahami bahawa tindakan beliau akan mengundang
padah yang berterusan kepadanya. Tindakan BODOHnya itu telah menyebabkan
kemungkinan beliau tidak akan dapat lagi diundang dalam mana-mana majlis
yang berkait rapat dengan Malaysia atau Kemelayuan. 
Sepatutnya sebagai rakyat Malaysia dan berbangsa Melayu, wajarnya beliau
menunjukkan adab sopan dan tatasusila yang baik di hadapan Menteri
Kebudayaan, Kesenian dan Warisan serta kepada seluruh tanah air yang
menyaksikan rancangan tersebut. Cuba kita bayangkan jika yang menang dalam
festival tersebut ialah Saudara Karam Singh Walia, Saudari Christine Ling,
Saudari Mary Anne Massilamani ataupun Saudara Harjit Singh Hullon (sekadar
menyebutkan beberapa nama). Mungkin kita akan dapati mereka-mereka ini akan
berbangga berbahasa Melayu sefasih-fasih yang mungkin malah jika diberi
peluang mereka akan melemparkan beberapa rangkap pantun, sajak, puisi,
seloka mahupun gurindam. 
Ini menunjukkan bahawa sikap Saudari Sharifah Amani lebih menjurus kepada
peribahasa "Lebih Sudu Daripada Kuah" yang mana kononnya beliau lebih fasih
berbahasa inggeris daripada orang inggeris. Jika saya menjadi Perdana
Menteri, mahu rasanya saya menggubal satu akta bahawa "jika sesiapa rakyat
Malaysia yang tidak fasih atau mahu berbahasa Melayu, maka taraf kerakyatan
mereka akan dibatalkan serta merta". Akan tetapi, apa yang mampu dilakukan
oleh Perdana Menteri kita yang nampaknya lebih bersikap mementingkan diri
sendiri, saudara mara dan keluarga sahaja. Jika kita ingin mengharapkan
Dewan Bahasa Dan Pustaka untuk melaksanakan dasar "Pembudayaan Bahasa
Melayu" secara menyeluruh, mungkin kita hanya bermimpi di siang hari di kala
Ketua Pengarah dan Pengerusi Lembaga Pengelola lebih mementingkan politik
daripada memartabatkan bahasa Melayu. 
Kita juga sedia maklum akan situasi politik negara yang nampaknya lebih
berpihak kepada mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad. Beliau
telah menunjukkan sikap seorang Negarawan yang baik walaupun pernah di satu
ketika saya tidak menyetujui tindakannya yang banyak memperlekehkan Agama
Islam. Namun daripada segi pengurusan politik dan pentadbiran, saya mengaku
saya lebih mengagumi beliau dalam banyak aspek. Perdana Menteri Dato' Seri
Abdullah Ahmad Badawi nampaknya semakin hari semakin "tenggelam punca" dalam
proses pentadbiran negara. Malah beberapa isu pengalihan kepentingan negara
nampaknya tidak diambil peduli olehnya sehinggalah ianya dihebohkan oleh
rakyat jelata dan Tun Mahathir. Malah Dato' Seri Abdullah lebih banyak
menumpukan bagaimana untuk memperbaiki imejnya yang kadang-kala nampak
seperti budak hingusan. 
Manakan tidak sehinggakan seluruh rakyat Malaysia nampak dan percaya bahawa
Saudara Khairy Jamaluddin yang sedang memimpin negara ini dan bukannya Dato'
Seri Abdullah. Ini lagi satu sikap "Lebih Sudu Daripada Kuah" bilamana
Khairy nampaknya lebih ke depan dan seterusnya mempengaruhi bapa mertuanya
yang masih lagi bersedih atas kematian isteri tercinta. Isu ini bukannya
boleh disorokkan lagi kerana ianya seperti peribahasa "Seperti Menutup
Bangkai Gajah". Sifat gelojoh Khairy dan rakan-rakannya melacurkan negara
tidak dapat dilindungi lagi walaupun oleh Suruhanjaya Sekuriti mahupun Bank
Negara Malaysia. Nasib baiklah Badan Pencegah Rasuah dan Badan Kehakiman
adalah di bawah kuasa Dato' Seri Abdullah, jika tidak rasanya sudah lama
Khairy Jamaludin disiasat dan dibicarakan atas nama "Pengkhianatan Terhadap
Negara" (Treason) yang membolehkan dijatuhi hukuman mati mandatori. 
Beberapa individu di Malaysia yang nampaknya menepati peribahasa "Lebih Sudu
Daripada Kuah" seperti Dato' Zainudin Maiden (Menteri Penerangan), Dato'
Seri Nazri Aziz (Menteri Di Jabatan Perdana Menteri), Saudara Khairy
Jamaludin (ECM Libra) dan beberapa lagi individu yang senarainya jika
ditulis di sini akan mengakibatkan beberapa siri artikel boleh diterbitkan.
Dato' Zainudin Maiden (ZAM) nampaknya terlebih sudu apabila mencadangkan
bahawa Internet akan dipantau atas sebab kononnya tidak boleh dipercayai.
Dato', ingin saya nyatakan di sini bahawa untuk kami mempercayai berita
akhbar Malaysia tidak sama sekali melainkan berita gossip, keputusan nombor
ekor, judi atau lumba kuda. Mengenai berita TV atau radio, kami lebih
mempercayai berita kemalangan, kecelakaan atau gossip dari berita politik
dan kenegaraan. Jika Dato' tidak percaya, cuba siasat bilangan jualan
majalah picisan seperti Mangga atau URTV. Rasanya jumlah jualan kedua-dua
majalah picisan ini lebih banyak daripada bilangan Utusan Malaysia dan
Berita Harian serta The Star jika digabungkan semuanya sekali. 
Dato' Seri Nazri Aziz nampaknya terlebih sudu dari kuah apabila melabelkan
Tun Mahathir sebagai pengkhianat negara. Walaupun Tun Mahathir nampak
terlebih "world" daripada Dato' Seri Abdullah, namun tindakan Tun Mahathir
menegur Perdana Menteri amatlah bertepatan atas dasar menyelamatkan negara
daripada dikuasai pengaruh asing. Pada masa berkuasanya Tun Mahathir, beliau
dengan bersemangatnya mahukan banyak syarikat asing dimiliki oleh Malaysia
termasuklah bidang teknologi, namun pada zaman Dato' Seri Abdullah nampaknya
banyak pula syarikat Malaysia dilelong kepada syarikat atau negara asing.
Jika Dato' Seri Nazri Aziz berani berkata benar (banyak sangat
dolak-daliknya orang ini) dan ada "telur" tentunya beliau akan mengatakan
bahawa Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan menantunya adalah
sebenar-benarnya pengkhianat negara. Peribahasa yang sesuai bagi Dato' Seri
Nazri Aziz ialah "Kuman di seberang laut nampak, gajah di depan mata tidak
nampak". 
Saudara Khairy Jamaludin pula memang nampak "lebih terang lagi bersuluh"
dalam menunjukkan sikap "Lebih Sudu Daripada Kuah"nya. Manakan tidak, di
mana-mana pun semua orang tahu bahawa Saudara Khairy Jamaludin lebih
dikenali dengan panggilan manjanya "Mister Twenty Percent". Tanyalah
mana-mana usahawan berbangsa Cina, India mahupun Melayu, rata-rata mereka
mengenali sikap Saudara Khairy Jamaludin yang terlebih sudu dari kuah itu.
Hinggakan Tun Mahathir sendiri pun tahu bagaimana orang-orang di tingkat 4
lebih berkuasa dari orang-orang di tingkat 5. Kalau tidak masakan Projek
Segitiga Johor Selatan yang diwar-warkan oleh Dato' Seri Abdullah sebenarnya
adalah idea atau tamak haloba Khairy Jamaludin. Ini termasuk projek-projek
bioteknologi dan pertanian yang rata-ratanya ada saham "Mister Twenty
Percent" ini sama ada secara telus atau melalui proksi. 
Kumpulan Sisters In Islam (SIS) yang diketuai oleh Cik Zainah Anuar pula
memang nampak terang-terangan "Lebih Sudu Daripada Kuah" apabila
mempertahankan kononnya hak Lina Joy @ Azlina Jelani untuk murtad dan
memeluk agama Kristian. Bagaimana pula kumpulan yang kononnya memperjuangkan
kesyumulan Islam dan hak-hak wanita Islam mengambil jalan pintas dan BODOH
yang akan akhirnya memudahkan mana-mana mubaligh melakukan "tindakan mereka"
memurtadkan wanita dan orang-orang Islam. Tidakkah mereka tahu bahawa
tindakan mereka menyalahi agama dan seterusnya tindakan mereka ini boleh dan
telah menyebabkan mereka (Kumpulan SIS) sendiri jatuh kafir. Perkara aqidah
bukannya boleh dibuat mainan atau lelucon. Tersilap langkah perbuatan,
kata-kata, penulisan mahupun niat boleh menyebabkan jatuhnya aqidah dan
seterusnya menjadi kafir (murtad). Tindakan mereka ini (Kumpulan SIS) dan
juga pengarah/penerbit filem "Gubra" menunjukkan bahawa mereka ini
mengamalkan fahaman liberalisasi dan "pluralism". "Gubra" adalah sebuah
filem yang mengambil kira dasar liberalisme dan pluralisme sebagai nadi
penceritaan naratif filem tersebut yang mana kesan daripada menontonnya
boleh menyebabkan kurangnya iman dan jatuhnya aqidah seseorang penonton
dalam jangka masa pendek mahupun panjang. Amatlah diharapkan agar pihak
Lembaga Penapis Filem mengharamkan filem ini atau memotong banyak adegan
yang tidak wajar. 
Saudari Yasmin Ahmad adalah diharapkan janganlah "terlebih sudu daripada
kuah" dalam membicarakan isu-isu sensitif dan seterusnya bertekad untuk
"berperang" dengan kumpulan yang kuat pegangan agama di Malaysia tercinta
ini. Jika anda terus-menerus membuat filem-filem yang berteraskan isu yang
sama, mana anda sebenarnya nampak lebih BODOH dari kebijaksanaan yang anda
cuba tonjolkan. 
Kumpulan Artikel 11 pula yang memang terlebih sudu dari kuah nampaknya masih
bertekad untuk meneruskan usaha dan agenda mereka dalam mengubah persepsi
kemurtadan dan penyamarataan semua agama. Untuk mereka-mereka ini yang
berminat untuk mencampuri urusan agama Islam ini saya berikan satu pesanan
iaitu "Bagi kamu, agamamu, dan bagi kami, agama kami". Jangan pandai-pandai
mencampuri urusan agama kami kerana selama lebih 1400 tahun kami tidak
pernah mencampuri agama kamu. Jika kamu bertindak juga, maka sedialah....
Kumpulan kedua akan menyusul dan seterusnya Hanya Allah sahaja yang tahu
kesannya. 
Sekian Terima Kasih, Segala yang baik datangnya dari Allah Azza Wajalla, dan
yang buruk pastinya datang dari kesilapan dan kealpaan saya sendiri. 
JANGAN JADI BANGANG.. 
KAMI BUKAN BANGANG <mar_b_suhairul04.html> 
Untuk Malaysia Yang Bijak 
- Suhairul Hanim Hj Kamaruddin- Shah Alam - 17.08.2006 






--------------------------------------------------------------------------

All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in 
any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved 
otherwise. 

If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily 
digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your 
mail delivery settings or email the moderators at [EMAIL PROTECTED] with the 
title "change to daily digest". 

--------------------------------------------------------------------------

Recommended sites:
Angkatan Belia Islam Malaysia  : http://www.abim.org.my
Jamaah Islah Malaysia          : http://www.jim.org.my
Radio Islam Kuliyyah           : http://www.kuliyyah.com
Palestinkini Info              : http://www.palestinkini.info
Partai Keadilan Sejahtera      : http://pk-sejahtera.org
Fiqh Siber                     : http://al-ahkam.net/
The Muslim Brotherhood         : http://ikhwanweb.com 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/hidayahnet/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 



Kirim email ke