Tidak Cukup Masa or Sukar Nak Solat - Menjamakkan Solat Alternatifnya
Jamak bererti menghimpun. Dalam sudut perlaksanaan solat ia bererti
menghimpunkan dua solat dalam satu masa. Contohnya ialah
menghimpunkan solat Zohor dan Asar dalam waktu Zohor, ataupun dalam
waktu Asar. Juga seperti menghimpunkan solat Maghrib dan Isyak dalam
waktu Maghrib, ataupun dalam waktu Isyak. Apabila dua solat tersebut
dihimpunkan dalam waktu yang pertama ia digelar sebagai jamak takdim
dan apabila ia dihimpunkan dalam waktu yang kedua ia digelar sebagai
jamak takhir.
Tidak ada jamak antara solat Subuh dan Zohor, tidak ada jamak antara
solat Asar dan Maghrib, tidak ada jamak antara solat Isyak dan
Subuh. Berikut dikategorikan beberapa dalil dan rincian bagi solat
jamak ini.[1]
Dalil yang mensyari'atkannya.
Qutaibah bin Said radiallahu-anhu menerangkan:
Adalah Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam dalam
peperangan Tabuk, apabila hendak berangkat sebelum tergelincir
matahari, beliau mengakhirkan solat Zohor sehingga dikumpulkan solat
Zohor kepada solat Asar dan lalu beliau mendirikan kedua-duanya
serentak. [Ini adalah Jamak Takhir]
Apabila beliau hendak berangkat selepas tergelincir
matahari maka beliau bersolat Zohor dan Asar serentak (dalam waktu
Zohor) kemudian beliaupun berangkat. [Ini adalah Jamak Takdim]
Apabila beliau berangkat sebelum Maghrib maka beliau mengakhirkan
solat Maghribnya sehingga disolatkan bersama solat Isyaknya. [Ini
adalah Jamak Takhir]
Dan apabila beliau berangkat selepas waktu Maghrib maka beliau
mengawalkan solat Isyaknya lalu disolatkan bersama solat Maghrib
(dalam waktu Maghrib). [Ini adalah Jamak Takdim][2]
Hadith ini serta banyak lain yang sedia tercatit dalam kitab-kitab
hadith jelas menerangkan bahawa dibolehkan menghimpun dua solat
dalam satu waktu. Kebolehan ini hanya dibolehkan bagi antara solat
Zohor dan Asar, dan antara solat Maghrib dan Isyak. Selain itu tidak
dibolehkan jamak kerana tiada dalil yang menunjukkan sedemikian.
Usul fiqh mengajar kita bahawa setiap perkara ibadah memerlukan
dalil al-Qur'an atau as-Sunnah untuk membolehkannya kerana ibadah
itu adalah urusan Allah dan bukan urusan manusia dan hanya Allah
yang berhak menetapkan cara serta kaedah bagi hamba-hambaNya
beribadah kepadaNya.
Syarat-syarat bagi membolehkan solat dijamak.
Pertama - Suasana yang sukar atau sulit.
Asal hukum menunaikan ibadah solat-solat fardhu adalah lima kali
sehari dalam waktu-waktunya yang sudah sedia ditetapkan sebagaimana
perintah Allah Subhanahu waTa'ala: Sesungguhnya solat itu adalah
satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang
tertentu waktunya. [Maksud surah an-Nisaa' 4 - 103]. Hukum asal ini
hanya boleh diubah kepada menghimpunkan dua solat ke dalam satu
waktu apabila seseorang itu menghadapi kesukaran untuk
melaksanakannya dalam waktu-waktunya yang tersedia. Penjelasan ini
berdasarkan pertanyaan yang pernah diajukan kepada Abdullah ibnu
Abbas radiallahu-anhu seorang sahabat yang nyata tinggi lagi luas
ilmunya, bahawa kenapakah dibolehkan menjamak solat. Lalu beliau
menerangkan: Nabi sallallahu-alaihi-wasallam berkehendak memberikan
kemudahan kepada umatnya (dalam suasana sukar).[3]
Walaubagaimanapun hendaklah benar-benar diusahakan sekuat mampu
untuk mengelakkan diri dari sengaja melakukan solat-solat fardhu
secara jamak kerana beberapa sebab
1. Perintah asal bagi ibadah solat fardhu ialah dalam waktunya
yang sedia termaktub lima kali sehari. Ini adalah perintah yang amat
penting maka oleh itu hendaklah dipastikan bahawa kesukaran yang
dialami adalah sesuatu yang benar-benar tidak dapat dielakkan
2. Walaupun Nabi sallallahu-alaihi-wasallam pernah menjamakkan
solatnya, ini beliau lakukan hanya sekali-sekala apabila suasana
amat menekankannya. Solat secara tetap lima kali sehari lebih beliau
utamakan dan sentiasa didahului daripada pilihan menjamak. Sekalipun
dalam perjalanan di gurun pasir yang panas atau di malam yang
dingin, beliau lebih kerap melakukan solat-solatnya lima kali sehari
dan hanya sekali-sekala menjamakkan solat-solatnya.[4]
3. Sebagai pilihan dipertengahan terhadap pendapat lain yang
mengatakan menjamak solat adalah tidak dibolehkan. Perselisihan
pendapat ini wujud kerana terdapat perbezaan antara ahli-ahli hadith
dalam menilai kekuatan sesetengah hadith yang mensyari'atkan solat
secara jamak dan juga perbezaan tafsiran antara ahli-ahli fiqh
terhadap hadith-hadith tersebut.[5]
Perlu dinyatakan di sini bahawa suasana musafir bukanlah faktor
penentu samada dibolehkan solat dijamak atau tidak. Faktor yang
membolehkan dua solat fardhu dijamak dalam satu masa ialah
berlakunya kesukaran atau kesulitan dalam salah satu daripada waktu
solat tersebut. Oleh itu dibolehkan menjamak solat apabila berada
dalam apa jua suasana yang menimbulkan kesukaran samada di
perkampungan asal atau di dalam perjalanan ataupun di destinasi
perjalanan. Sebaliknya jikalau perjalanan seseorang itu tidak
membawa sebarang kesukaran atau kesulitan maka adalah lebih menepati
kebenaran hukum syara' bahawa dia menunaikan solat-solat fardhu yang
lima itu dalam waktunya masing-masing, tidak secara jamak. Sekali
lagi diulangi bahawa suasana perjalanan atau musafir bukanlah faktor
yang membolehkan solat dijamak.
Ini berbeza hukumnya dengan mengqasarkan solat-solat fardhu yang
empat raka'at kepada dua raka'at, di mana faktor yang membolehkan
sesuatu solat itu diqasarkan ialah suasana musafir tidak kira samada
musafirnya itu membawa kesukaran atau tidak. Perbincangan dalam bab
solat qasar ini akan diperluaskan dalam perbincangan bab ke - 12
nanti.
Dalil yang membolehkan solat dijamak sekalipun di perkampungan asal
atau tempat mastautin ialah dari perbuatan Nabi sallallahu-alaihi-
wasallam yang pernah menjamakkan solat fardhunya apabila masih
berada di rumahnya di Madinah ketika hendak memulakan suatu
perjalanan yang dijangkanya mempunyai kesukaran di dalamnya.
Abdullah ibnu Abbas radiallahu-anhu menerangkan:
Mahukah aku sampaikan kepada kalian tentang kaedah solat Nabi
sallallahu-alaihi-wasallam dalam perjalanan ? Apabila matahari telah
tergelincir (masuk waktu Zohor) sedang Nabi sallallahu-alaihi-
wasallam masih berada di rumahnya maka beliau menjamakkan antara
Zohor dan Asar dalam waktu yang pertama (jamak takdim-P).[6]
Selain itu Nabi sallallahu-alaihi-wasallam juga pernah solat jamak
di Madinah apabila ada suasana kesukaran, sebagaimana terang
Abdullah ibnu Abbas radiallahu-anhu: Bahawasanya Nabi sallallahu-
alaihi-wasallam pernah solat di Madinah 8 rakaat dan 7 rakaat, iaitu
Zohor dan Asar (4+4) serta Maghrib dan Isyak (3+4).[7] Antara sebab
beliau menjamakkan solat-solat fardhunya di Madinah ialah kerana
turunnya hujan lebat, agar tidak membebankan umatnya untuk kembali
ke masjid dalam suasana hujan yang sudah tentu akan menyebabkan para
jamaah basah kuyup dan kotor pula kaki mereka kerana berjalan di
tanah yang kini bertukar menjadi berlumpur. Antara dalil yang
dijadikan panduan oleh para ahli fiqh ialah penerangan Abu Salamah
bin Abdur Rahman radiallahu-anhu yang bermaksud:
Di antara sunnah Nabi sallallahu-alaihi-wasallam ialah menjamakkan
solat antara Maghrib dan Isyak di hari hujan.[8] Berpijak dari
hadith ini Imam an-Nawawi dan lain-lain fuqaha membolehkan solat di
jamak dalam lain-lain suasana yang turut menyulitkan seperti angin
ribut, salji dan sebagainya.[9]
Pernah di satu hari Abdullah ibnu Abbas radiallahu-anhu menerangkan
bahawa dia melihat Nabi sallallahu-alaihi-wasallam menjamak antara
dua solat fardhunya tanpa dalam suasana musafir, ketakutan atau
keadaan cuaca yang buruk.[10] Para ahli hadith mentafsir perbuatan
Nabi sallallahu-alaihi-wasallam tersebut sebagai kesakitan atau
keuzuran kesihatan yang sedang beliau alami (dan tidak disedari oleh
Ibnu Abbas) lalu kerana itu beliau menjamakkan solatnya.[11] Maka
berdasarkan perbuatan Nabi sallallahu-alaihi-wasallam tersebut, para
ahli fiqh merumuskan bahawa seseorang itu boleh menjamak antara dua
solat-solat fardhunya jikalau dia menghadapi apa-apa penyakit yang
memberatkan.[12]
Ulama'-ulama' mutakhir[13] kemudian memperluaskan syarat kesukaran
ini ke arah konteks yang lebih menyeluruh, seperti umpama seorang
doktor yang melakukan pembedahan sehingga berjam-jam lamanya,
seseorang pekerja shif yang diwajibkan oleh majikannya untuk tetap
bekerja secara berterusan sehingga melepasi waktu solat, seorang
pelajar yang menghadiri kuliah atau peperiksaan di luar negara di
mana jadual kuliah atau peperiksaannya itu mengjangkaui waktu
solatnya, seorang peguam yang terpaksa menghadiri kes perbicaraan
tanpa diberi waktu rehat oleh tuan hakim dan sebagainya. Semua
contoh-contoh ini dan apa-apa yang seumpama membolehkan solat-solat
dijamak. Hukum kebolehan ini tetap berhubung-laku samada di
perkampungan asal ataupun ketika dalam perjalanan ataupun setelah
tiba di destinasi perjalanan.
Selain itu dianjurkan menjamak solat apabila berhadapan dengan
suasana yang menyulitkan perlaksanaan solat secara sempurna.
Contohnya ialah bagi seorang muslimah yang secara tidak sengaja atau
benar-benar terlupa tidak mempunyai pakaian menutup aurat yang
sepenuhnya dan dalam jangkaannya yang kuat dia akan dapat
memperolehi pakaian tersebut dalam waktu akan datang maka dibolehkan
dia mengakhirkan solat pertamanya ke dalam waktu kedua dengan kaedah
jamak. Antara lain ialah suasana ketiadaan air atau tanah untuk
berwudhu' atau bertayamum, maka jikalau dalam jangkaannya yang kuat
dia akan dapat menemui salah satu unsur penyucian ini dalam waktu
yang kedua maka dianjurkan dia melakukan jamak solat yang pertama ke
dalam waktu yang kedua.
Tidak dibolehkan menjamak solat atas alasan-alasan mengejar habuan
dunia atau mentaati bisikan nafsu. Tidak dibolehkan jamak semata-
mata kerana sibuk di bursa saham atau terlalu asyik di gedung beli-
belah atau terlalu taksub dengan tontonan sukan di stadium dan yang
seumpama. Juga tidak dibenarkan jamak dalam suasana hujan jikalau
dia sememangnya biasa atau asalnya berniat mendirikan solat di
rumah. Dalam ertikata lain tidak dibenarkan jamak atas alasan-alasan
yang tidak kukuh lagi sahih di sisi syari'at. Seseorang yang
meremehkan solat-solatnya dengan kerapkali menjamak akan
dipertanggung-jawabkan nanti kerana dipandang sebagai melecehkan
perintah agama yang terpenting ini.
Kedua - Kesukaran itu secara pasti meliputi keseluruhan waktu solat
tersebut.
Kesukaran yang dihadapi oleh diri seseorang untuk dijadikan penyebab
menjamak solat-solat fardhu perlu dipastikan secara jelas atau
dengan jangkaan yang kuat bahawa ia adalah sesuatu yang benar-benar
hadir di sepanjang waktu solat yang akan dijamak itu.
Contohnya ialah apabila seorang doktor yang dijadualkan untuk
melakukan pembedahan pada pukul 4 petang, lalu dengan ilmu serta
pengalamannya dia tahu serta yakin bahawa pembedahan tersebut akan
memakan masa yang lama sehingga lanjut ke waktu Maghrib maka dengan
itu dibolehkan dia melakukan jamak takdim dengan mendirikan solat
Zohornya beserta solat Asar dalam waktu Zohor. Akan tetapi jikalau
diketahui bahawa pembedahan tersebut adalah mudah dan ia dijangka
akan selesai pukul 5 atau 6 petang maka tidak dibolehkan bagi doktor
tersebut menjamakkan solatnya.
Demikian juga, apabila seseorang bersolat Zohor dalam pesawat
terbang lalu diketahuinya bahawa dia akan tiba ke destinasi pada
awal waktu Asar maka dia tidak boleh menjamakkan solat Asarnya
bersama solat Zohornya secara jamak takdim. Akan tetapi dalam kes
yang sama, jikalau dia sedia mengetahui akan kesukaran yang bakal
mendatang seperti mendarat di lapangan terbang asing di negara non-
muslim maka dibolehkan dia menjamakkan solat secara jamak takdim.
Demikian juga yang seumpama bagi kes-kes jamak takhir.
Apabila seseorang itu telah pasti atau yakin benar bahawa kesukaran
yang dihadapinya itu benar-benar meliputi waktu solatnya lalu dia
mempraktikkan solat jamak, akan tetapi kemudian secara tidak diduga
kesukaran tersebut hilang maka solat yang telah dijamaknya itu
dikira sah dan tidak perlu diulangi. Berbalik kepada contoh seorang
doktor yang yakin bahawa pembedah yang bakal dilakukannya itu akan
meliputi seluruh waktu solat Asar lalu dia menjamakkan solat Asar
tersebut bersama solat Zohornya secara jamak takdim, lalu secara
tidak diduga pembedahannya itu selesai lebih awal dari yang
dijangkakan dan waktu solat Asar pula masih hadir maka dia tidak
perlu mendirikan semula solat Asarnya itu.[14]
Ketiga - Solat dijamak mengikut tertib dan berturut-turut.
Solat yang akan dijamak itu perlu didirikan secara tertib mengikut
susunannya yang asal. Ini berpandukan dari perbuatan Nabi sallallahu-
alaihi-wasallam sebagaimana yang tertera dalam hadith-hadith yang
telah dikemukakan sebelum ini. Seseorang yang akan melakukan jamak
takdim hendaklah dia menunaikan solat Zohornya dahulu kemudian
diikuti oleh solat Asar, juga menunaikan solat Maghribnya dahulu
kemudian diikuti oleh solat Isyak.
Susunan tertib yang sama adalah juga bagi seseorang yang akan
melakukan jamak takhir. Hendaklah dia menunaikan solat Zohor dahulu
kemudian diikuti dengan solat Asar sekalipun ini dilakukan dalam
waktu Asar, juga menunaikan solat Maghrib dahulu kemudian diikuti
dengan solat Isyak sekalipun dilakukan dalam waktu Isyak. Akan
tetapi jikalau dijangkakan bahawa waktu solatnya itu akan berakhir
dalam masa yang singkat maka dianjurkan dia menunaikan solat yang
hadir dahulu kemudian diikuti dengan solat yang akan dijamak. Iaitu
orang yang akan menunaikan solat secara jamak takhir padahal waktu
Asar sudah hampir luput maka dianjurkan dia menunaikan solat Asar
dahulu kemudian diikuti dengan solat Zohor.[15]
Perlaksanaan solat yang akan dijamak juga hendaklah secara berturut-
turut tanpa dipisahkan antara satu sama lain sekalipun dengan bacaan
zikir. Disunnahkan membaca iqamat antara keduanya mengingatkan
kepada sunnah Nabi sallallahu-alaihi-wasallam yang menyuruh agar
diiqamatkan solat-solat yang akan dijamak, satu bagi yang solat yang
pertama dan satu lagi bagi solat yang kedua. Oleh itu bagi seseorang
yang menunaikan solat Zohor dan Asarnya secara jamak, apabila sahaja
dia selesai solat Zohornya maka hendaklah dia iqamat kemudian terus
diikuti oleh solat Asar. Demikian juga bagi jamak antara solat
Maghrib dan Isyak. Dibolehkan menjarakkan antara satu-satu solat
yang akan dijamak atas sebab-sebab yang amat perlu seperti
mengulangi wudhu' yang terbatal.[16]
Keempat - Solat jamak takhir hendaklah diniatkan pada waktu yang
pertama.
Apabila hendak menunaikan solat secara jamak dalam waktu yang kedua
(Jamak Takhir), maka dituntut bagi orang tersebut mengetahui dengan
sedar dalam waktu yang pertama bahawa dia akan melakukan solatnya
itu di waktu yang kedua. Contohnya bagi seseorang yang mahu
melakukan solat Zohor dan Asar secara jamak dalam waktu Asar maka
dia wajib secara sedar berniat dalam waktu Zohor bahawa dia akan
menunaikannya secara jamak dengan solat Asar dalam waktu solat Asar
nanti. Ini tercapai dengan lintasan hati atau sebutan mulut yang
berbunyi Solat Zohor aku ini akan aku jamakkan dengan solat Asar
dalam waktu Asar nanti atau apa-apa yang seumpama. Demikian juga
bagi solat jamak takhir Maghrib dan Isya'. Tuntutan ini diwujudkan
bagi membezakan bahawa seseorang itu bersolat jamak takhir
berdasarkan pengetahuan yang sedar sejak dari awal dan bukan kerana
lalai, berlaku remeh atau malas ketika di dalam waktu yang pertama.
[17] Jika seseorang itu benar-benar lupa secara ikhlas lagi tidak
sengaja untuk meniatkan jamak takhir bagi solatnya yang pertama
padahal sudahpun dirancang sejak dari awal maka dibolehkan bagi dia
untuk tetap menunaikan solatnya itu secara jamak takhir kerana lupa
itu adalah salah satu dari keuzuran yang dimaafkan oleh Islam. Sabda
Nabi sallallahu-alaihi-wasallam: Sesungguhnya Allah telah memaafkan
kerana aku, kesilapan dan kelupaan dari umat aku serta apa yang
mereka lakukan kerana dipaksa.[18]
Beberapa Catatan Tambahan.
1. Azan dan Iqamat. Adalah merupakan sunnah Nabi sallallahu-
alaihi-wasallam untuk berazan apabila masuknya waktu solat dan
kemudian iqamat bagi memulakan solat. Bagi solat yang akan dijamak
iqamatnya adalah dua, satu adalah bagi permulaan solat yang pertama
dan satu lagi ialah antara selesainya solat pertama dan sebagai
permulaan bagi solat yang kedua.[19]
2. Dibolehkan solat secara jamak jikalau seseorang itu menjadi
makmum kepada sekumpulan jamaah yang sedang bersolat secara biasa.
[20] Contohnya seseorang yang merancang untuk melakukan jamak takdim
antara Zohor dan Asar lalu dia mengikut imam dan para makmum yang
sedang bersolat Zohor secara berjamaah, lalu apabila selesai sahaja
solat Zohor itu maka dia bangun, beriqamat dan kemudian terus
melaksanakan solat Asarnya. Dianjurkan dia menyisih posisi sedikit
dari barisan saf bagi mengelak kekeliruan kepada para makmum
selainnya.
Jikalau dia menunaikan solat Maghrib dan Isyak secara jamak takhir
lalu dia menemui sekumpulan orang yang sedang menunaikan solat Isyak
mereka secara berjamaah maka dianjurkan dia untuk turut mengikut
jamaah tersebut dengan menunaikan solat Isyak kemudian apabila
jamaah selesai maka dia berdiri sendirian dan menunaikan solat
Maghribnya. Walaupun telah dinyatakan bahawa kaedah perlaksanaan
solat jamak hendaklah mengikut turutan tetapi apabila berhadapan
dengan situasi sebegini mengutamakan solat secara berjamaah adalah
lebih terpilih dari solat sendirian.
Bagi orang yang melaksanakan dua solatnya secara jamak dengan
mengikut barisan imam dan makmum secara jamaah dalam salah satu
solatnya, tidak perlu timbul sebarang pertanyaan tentang perbezaan
niat antara imam, makmum dan dirinya kerana manhaj serta tuntutan
solat berjamaah bukanlah persamaan niat tetapi adalah persamaan
perbuatan dan ikutan kepada imam yang memimpin. Sabda Nabi
sallallahu-alaihi-wasallam: Seseorang imam itu dijadikan supaya
diikuti. Oleh itu, janganlah kamu melakukan perkara-perkara yang
berbeza dengannya. Apabila dia bertakbir, takbirlah. Apabila dia
rukuk, rukuklah. Apabila dia membaca bacalah dan apabila dia sujud,
sujudlah. Apabila dia sembahyang dalam keadaan duduk, sembahyanglah
juga dalam keadaan duduk.[21] Tambahan lagi menentukan niat imaman
atau makmuman tidak pernah diajar oleh al-Qur'an mahupun as-Sunnah.
Oleh itu tidak perlu berpegang kepada sesuatu syarat yang tidak ada
nas atau dalilnya.
3. Dibolehkan menjamak solat Asar bersama solat Juma'at bagi
mereka yang memerlukannya. Iaitu bagi seseorang yang menjangka
secara pasti bahawa dia akan mengalami kesukaran untuk menunaikan
solat Asarnya nanti pada hari Juma'at maka dia boleh melaksanakan
solat Asarnya itu sejurus selepas solat Juma'atnya secara jamak
takdim. Dan solat Juma'atnya itu adalah sebagaimana yang
difardhukan, iaitu secara berjamaah lengkap dengan khutbahnya di
masjid-masjid. Ini sebagaimana yang diterangkan oleh Shaikh Mahmud
Abu Hasan, seorang ulama' al-Azhar dalam kertas tesisnya.[22]
Kebolehan ini adalah berdasarkan kepada kesamaan tujuan (illat)
disyari'atkan solat secara jamak iaitu bagi memudahkan umat apabila
mereka berhadapan dengan sesuatu kesukaran, dan adalah kesukaran itu
rambang sifatnya dan boleh berlaku bila-bila sahaja termasuk di hari
Juma'at. Walaubagaimanapun tidak boleh menunda solat Juma'at ke
waktu Asar secara jamak takhir kerana solat Juma'at adalah tetap
lagi khusus waktunya tanpa boleh diubah-ubah.
Analisa Pendapat.
Sesetengah pendapat menyatakan bahawa apabila sahaja seseorang itu
berada dalam suasana musafir, dia diharuskan menjamak setiap
solatnya (kecuali subuh) sekalipun setelah tiba di destinasi
perjalanan asalkan tempoh keseluruhan musafirnya itu tidak melebih 3
hari, atau mengikut pendapat lain, 4 hari.
Pendapat ini dianalisa sebagai tersangat lemah kerana Nabi
sallallahu-alaihi-wasallam tidak pernah menjadikan solat secara
jamak suatu ketetapan mahupun kekerapan apabila beliau bermusafir.
Tidak ditemui hadith bahawa Nabi sallallahu-alaihi-wasallam secara
tetap menjamakkan solatnya apabila berada di dalam perjalanan
ataupun apabila tiba di destinasi. Yang ditemui tertulis dalam kitab
Sahih Bukhari dan lain-lain kitab hadith adalah bahawa beliau hanya
mengqasarkan solatnya secara tetap apabila musafir, samada dalam
perjalanan atau apabila tiba di destinasi. Solat qasar ini beliau
lakukan tetap pada waktunya masing-masing, tidak secara jamak.
Apa yang benar adalah beliau selalu solat lima kali sehari dalam
waktunya masing-masing dan hanya sekali-sekala beliau menjamakkannya
apabila wujud kesukaran samada ketika dalam perjalanan atau setelah
tiba di destinasi. Malah adakalanya beliau tidak menjamak langsung
solatnya dalam satu-satu perjalanan itu. Imam Ibnu Taimiyah
menerangkan: Nabi sallallahu-alaihi-wasallam apabila dalam satu
pergian (musafir) kadang-kadang menjamakkan solatnya dan kadang-kala
tidak. Bahkan yang lebih kerap adalah beliau tidak menjamakkan solat-
solatnya. Ini menunjukkan bahawa jamak bukanlah sunnah perjalanan
sebagaimana mengqasarkan solat, tetapi ia (jamak) hanya dilakukan
apabila perlu sahaja baik dalam suasana musafir ataupun tidak
musafir supaya bertujuan tidak memberatkan umatnya.[23]
Imam as-Sha'nani juga telah menulis: Ketahuilah bahawa belum pernah
Nabi sallallahu-alaihi-wasallam menjamakkan solat-solatnya secara
terus menerus selama dalam perjalanannya sebagai mana yang dilakukan
oleh kebanyakkan orang pada masa sekarang. Dan beliau tidak menjamak
sewaktu singgah di satu tempat. Beliau hanya menjamakkan solatnya
apabila waktu perjalanannya sudah terlalu mendesak dan apabila
langsung berangkat sehabis solatnya itu.[24]
Walhasil yang jelas adalah bahawa solat-solat hanya boleh dijamak
apabila timbul sesuatu kesukaran samada ketika di perkampungan asal,
atau ketika dalam perjalanan atau ketika setelah tiba ke destinasi
perjalanan. Inilah sunnah Nabi sallallahu-alaihi-wasallam yang jelas
dan sedia tercatit dalam sekian banyak hadith-hadith beliau. Malah
yang utama ialah tetap berusaha sekuat mampu untuk melakukan solat
tetap pada waktunya yang masing-masing kerana sememangnya dasar
perintah solat adalah sedemikian.
Hadith-hadith yang menerangkan perbuatan Nabi sallallahu-alaihi-
wasallam menjamak antara solat-solat fardhunya ketika musafir
hanyalah sebeberapa, berbanding dengan sekian banyak perjalanan,
musafir, ekspedisi dan misi perjuangan yang beliau lakukan - di mana
solat-solat fardhunya ketika itu dilaksanakan secara biasa, tidak
secara jamak. Tidak temui sebarang dalil yang menunjukkan Nabi
sallallahu-alaihi-wasallam atau para sahabat beliau radiallahu-anhum
ada melaksanakan solat secara jamak setiap kali secara berterusan
apabila sahaja mereka bermusafir.
Kesimpulan.
1. Bagi seseorang yang mengalami kesukaran untuk mendirikan
solat-solat fardhunya dalam waktu-waktu yang sedia termaktub,
dibolehkan dia menjamak dua solat dalam satu waktu.
2. Kesukaran yang dialami itu hendaklah sesuatu yang pasti lagi
tulen serta tidak dapat dielakkan.
3. Jamak dibolehkan apabila berada di perkampungan asal, atau
di dalam perjalanan atau setelah tiba di destinasi perjalanan.
Tidak ditemui sebarang dalil yang membolehkan solat-solat dijamak
secara tetap dan berterusan bagi suasana musafir.
________________________________________
[1] Terdapat khilaf yang mendalam berkenaan kebolehan
menjamak antara solat-solat. Pendapat yang penulis cenderongi ialah
jamak itu dibolehkan, berpandukan kepada analisa dan perbandingan
antara beberapa hujah dan dalil yang dipadukan oleh Shaikh-ul-Islam
Imam Ibnu Taimiyah dalam kitabnya Majmoo al-Fatawa, vol 24. Sebagai
hujah perbandingan lihat Subul-us-Salam, 2/169-178 dan Koleksi
Hadith-hadith Hukum as-Shiddieqie, 4/382-393.
[2] Maksud hadith riwayat Imam Ahmad [5/241], Abu Daud
[1220], Tirmizi [2/438], ad-Daruquthni [151] dan al-Baihaqi [3/163]
dan dinyatakan sahih oleh Shaikh Nasiiruddin al-Albani dalam -
Silsalah al-Ahadith as-Sahihah wa Syaiun min Fiqh wa Fawaaidiha,
1/368. Bagi perbandingan kajian hadith lihat Zaad-ul-Ma'ad, 1/410-
411.
[3] Maksud atsar sahabat riwayat Imam Bukhari, Muslim
dan Abu Daud, Sunan Abu Daud - no: 1167.
[4] Lihat penerangan Imam Ibnu Taimiyah - Majmu'atur
Rasail wal-Masail, 2/25-28.
[5] Lihat Subul-us-Salam, 2/169-178 dan Koleksi Hadith-
hadith Hukum as-Shiddieqie, 4/382-393.
[6] Maksud atsar sahabat riwayat Imam Shafie - Musnad
Shafie, 1/116, Imam Ahmad - Musnad Ahmad, 1/367 +2/191 dan Imam al-
Baihaqi - Sunan al-Kubra, 3/164. Hadith dinyatakan sebagai lemah
pada asalnya tetapi diperkuatkan oleh jalan periwayatan yang
berlainan oleh para perawi yang terpercaya (tsiqah). Demikian
takhrij oleh Shaikh Abdul Qadir dan Shaikh Syu'aib al-Arna'uth dalam
pentahqiqan mereka terhadap kitab Zaad-ul-Ma'ad, vol 1,ms 411,
notakaki 880.
[7] Maksud atsar sahabat dari Sahih Muslim - no: 0705-E.
[8] Maksud atsar sahabat riwayat Imam al-Atsram dalam
kitab sunannya dan beliau adalah seorang ahli hadith yang menuntut
bersama Imam Ahmad bin Hanbal, hadith disalin dari Koleksi Hadith-
hadith Hukum as-Shiddieqie, no: 1196. Diriwayat yang seumpama oleh
Imam AbdurRazzaaq dalam kitab hadithnya al-Musannaf, 2/556.
[9] Imam an-Nawawi - Majmu Syarh al-Muhadzzab, 4/233,
Imam Ibnu Qudamah - al-Mughni, 3/137.
[10] Pengajaran hadith riwayat Imam Bukhari, Muslim dan
Abu Daud, Sunan Abu Daud - no: 1167.
[11] Shaikh Muhammad Mahmud Abu Hasan - Hukum dan
Persoalan Sembahyang Jamak dan Qasar, ms 112, Prof.Dr. Wahbah
Zuhaili - Fiqh dan Perundangan Islam, 2/378-379.
[12] Imam an-Nawawi - Majmu Syarh al-Muhadzzab, 4/237.
Imam Ibnu Qudamah - al-Mughni, 2/261.
[13] Lihat Prof. Dr. Yusuf Qardhawi - Hadyu Islam - Fatwa
al-Mu'ashirah, ms 325-327,
[14] Lihat penerangan Shaikh Muhammad Mahmud Abu Hasan -
Hukum dan Persoalan Sembahyang Jamak dan Qasar, ms 101-102.
[15] Shaikh Muhammad Mahmud Abu Hasan - Hukum dan
Persoalan Sembahyang Jamak dan Qasar, ms 95
[16] Shaikh Muhammad Mahmud Abu Hasan - Hukum dan
Persoalan Sembahyang Jamak dan Qasar, ms 99.
[17] Prof. Dr. Wahbah Zuhaili - Fiqh dan Perundangan
Islam, 2/377, Shaikh Muhammad Mahmud Abu Hasan - Hukum dan Persoalan
Sembahyang Jamak dan Qasar, ms 105.
[18] Maksud hadith dari Abu Dzarr al-Ghaifiri dan
Abdullah ibnu Abbas radiallahu-anhuma, diriwayatkan oleh Imam Ibnu
Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim, at-Thabrani dan ad-Daruquthni; dinilai
sebagai hadith hasan oleh Imam an-Nawawi sebagaimana dinyatakan oleh
Imam as-Suyuti dalam al-Asybah wa al-Nazha'ir, ms 166.
[19] Lihat Sahih Bukhari, 2/732 dan banyak lagi hadith-
hadith yang lain.
[20] Penjelasan lanjut lihat Persoalan Solat dan
Penjelasannya, ms 116-120 oleh Shaikh Abdul Aziz bin Baz.
[21] Maksud hadith daripada Abu Hurairah radiallahu-anhu,
diriwayatkan dalam kitab Sahih Bukhari dan Muslim; Al Bayan Hadith
no: 0230. Lihat juga hadith-hadith no: 0228 dan 0229.
[22] Kini telahpun dibukukan atas tajuk Hukum dan
Persoalan Sembahyang Jamak dan Qasar, diterjemahkan oleh Suadara
Ramzi Omar dan diterbitkan oleh Pustaka Ilmi - Malaysia 1999.
Penjelasan berkenaan menjamak solat Jumaat dan solat Asar
diterangkan pada mukasurat 104.
[23] Imam Ibnu Taimiyah - Majmu'atur Rasail wal-Masail,
2/28.
[24] Imam as-Sha'nani - Subul-us-Salam, 2/174.
--------------------------------------------------------------------------
All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in
any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved
otherwise.
If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily
digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your
mail delivery settings or email the moderators at [EMAIL PROTECTED] with the
title "change to daily digest".
--------------------------------------------------------------------------
Recommended sites:
Angkatan Belia Islam Malaysia : http://www.abim.org.my
Jamaah Islah Malaysia : http://www.jim.org.my
Radio Islam Kuliyyah : http://www.kuliyyah.com
Palestinkini Info : http://www.palestinkini.info
Partai Keadilan Sejahtera : http://pk-sejahtera.org
Fiqh Siber : http://al-ahkam.net/
The Muslim Brotherhood : http://ikhwanweb.com
Yahoo! Groups Links
<*> To visit your group on the web, go to:
http://groups.yahoo.com/group/hidayahnet/
<*> Your email settings:
Individual Email | Traditional
<*> To change settings online go to:
http://groups.yahoo.com/group/hidayahnet/join
(Yahoo! ID required)
<*> To change settings via email:
mailto:[EMAIL PROTECTED]
mailto:[EMAIL PROTECTED]
<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
[EMAIL PROTECTED]
<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
http://docs.yahoo.com/info/terms/