Mai Izz <[EMAIL PROTECTED]> wrote:
Air pasang besar Jumaat ini

Rabu, 04 Oktober 2006(Harian Metro, Online)
 
SHAH ALAM: Penduduk Selangor khususnya di Lembah Klang diminta berjaga-jaga dan bersedia menghadapi ancaman banjir berikutan kemungkinan berlaku air pasang besar antara Jumaat dan Selasa ini.
 
Pada tempoh itu, hujan dan ribut petir dijangka berlaku di sebelah petang dan senja manakala beberapa kawasan rendah di Lembangan Sungai Klang dan Sungai Damansara dijangka dinaiki air dan akan bertambah buruk jika hujan di hulu lembangan sungai itu melebihi 60mm.

Ketua Penolong Setiausaha Sekretariat Akhbar Kerajaan Negeri Selangor, Farush Khan Akbar Khan dalam satu kenyataan di sini semalam berkata, air pasang laut dijangka bertambah tinggi, terutama pada tarikh itu berdasarkan Buku Air Pasang Surut.

Katanya, pada Jumaat ini, air pasang diramal mencapai ketinggian 5.6 meter pada jam 5.12 pagi, manakala pada Sabtu pula ketinggian dijangka pada paras 5.9 meter jam 5.54 pagi, dan pada Ahad ketinggian akan bertambah kepada 6.0 meter pada jam 6.34 pagi.

Pada hari Isnin pula ketinggian air pasang laut dijangka mencapai 5.9 meter pada jam 7.08 pagi dan hari berikutnya keadaan dijangka reda sedikit dengan paras air pasang laut berada pada ketinggian 5.6 meter pada jam 7.08 pagi.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor Datuk Abdul Fatah Iskandar dalam kenyataan yang sama berkata penduduk di kawasan terlibat dinasihatkan supaya menghubungi pejabat daerah, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) atau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sekiranya mengalami sebarang kesulitan.

Menurutnya JPS sudah mengambil tindakan awal menghadapi sebarang kemungkinan seperti memeriksa struktur binaan kawalan banjir, benteng sungai dan pantai di kawasan yang dikenalpasti, menempatkan pam bergerak di lokasi yang sering dilanda banjir kilat serta menjalankan kerja meninggikan ban di lokasi rendah sepangjang Sungai Damansara.

Selain itu, JPS juga melaksanakan kerja penyelenggaraan sungai, menambah baik sistem amaran banjir di kawasan terbabit serta menjalankan kerja memperkukuh dan meninggikan benteng sungai.

Sebagai langkah berjaga-jaga, JPS sentiasa memantau dan mengambil tindakan segera serta akan memaklumkan kepada orang awam disamping menjalankan pemantauan rapi selama 24 jam untuk mengesan sebarang perubahan cuaca buruk. MBernama