Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Maafkan saya kerana terpaksa memanjangkan hujah yang pernah
disampaikan oleh Yang Berbahagia Ust.Abdul Ghani Shamsudin
di dalam Harakahdaily dan akhabar Harakah tidak lama dulu,
di dalam mengupas kepentingan dan kewajipan mengundi 
mengikut perspektif Islam bagi menjawab pandangan-pandangan
yang dikemukakan. Siapalah kita yang sanngup menolak kenyataan
seorang tokoh ulama yang mungkin sama dengan ulama lain yang
seangkatan dengannya. Semoga mendapat manafaat daripada semua.
Wallahua'lam.
----------------------------------------------------------------

Kewajiban mengundi dari perspektif Islam
Thursday, December 01 @ 13:36:39 MYT 


Oleh Abdul Ghani Samsudin 

Allah berfirman dalam surah al Talaq ayat 2, yang bermaksud: ”Tegakkan 
(sempurnakan) kesaksian semata-mata kerana Allah. Itulah yang 
disarankan sebagai pengajaran kepada kalian yang beriman kepada Allah 
dan hari akhirat. Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Allah 
beri dia jalan keluar (dari segala kesusahan).” 

Dalam Surah Al Nisa’ ayat 135 Allah berfirman, maksudnya: ”Wahai orang-
orang yang beriman, kamu hendaklah menjadi orang yang sentiasa 
menegakkan keadilan serta menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) 
kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri atau ibu bapa dan 
kaum kerabat kamu. Jika orang (yang didakwa itu) kaya atau miskin maka 
Allah lebih utama dari (perhitungan) kaya atau miskin (tersebut). Oleh 
itu janganlah kalian menurut hawa nafsu, kalian wajar berlaku adil. 
Tapi kalau kalian menyimpang atau berpaling (dari kebenaran) maka 
Allah sangat mengetahui apa yang kalian lakukan.” 

Dalam Surah al Baqarah, ayat 188, maksudnya: Jangan kamu makan harta 
sesama kamu secara yang tidak halal dan kamu menghubungkannya pula 
dengan kuasa dan sewenang pemerintah untuk dapat melahap harta umum 
secara yang berdosa pada hal kamu sedar dan tahu. 

Dalam Surah al Baqarah, ayat 283, maksudnya: Jika kamu dalam 
perjalanan (lalu terlibat dalam hutang atau memberi hutang) tetapi 
kamu tidak ada penulis (notaris penthabit hutang) maka adakanlah 
barang gadaian untuk dipegang (oleh orang pemberi hutang). Tapi kalau 
pemberi hutang percaya kepada yang berhutang maka hendaklah orang yang 
berhutang menunaikan bayarannya (tunaikan amanah), namun dia wajar 
bertaqwa (takut) kepada tuhannya. Janganlah kamu menyembunyikan 
kesaksian (yang benar). Siapa yang menyembunyikan kesaksian (yang 
benar) maka dia adalah manusia (berjiwa kotor dan) berdosa. Allah amat 
mengetahui apa kalian lakukan. 

Firman Allah dalam surah al Maidah ayat 8 yang bermaksud: “Wahai orang-
orang yang beriman , kamu (semua) hendaklah menjadi golongan yang 
menegakkan kebenaran kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Jangan 
sekali-kali kebencian kamu terhadap mana-mana kaum (golongan) 
menyebabkan kamu tidak berlaku adil. Kamu hendaklah adil (kepada 
sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. 
Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang 
kamu lakukan.” 

Muslim meriwayatkan dari Anas Bin Malik katanya: Rasulullah pernah 
menyebut mengenai dosa-dosa besar ( atau beliau ditanya tentang itu). 
Baginda menjawab: (Dosa besar itu ialah ) syirik kepada Allah, 
membunuh orang dan menderhaka kepada ibu bapa. Baginda berkata: Mahu 
kah kalian aku beritahu dosa besar yang paling besar. Baginda 
menjelaskan iaitu bercakap bohong )atau bersaksi dusta). Syu’bah 
berpendapat: berat angkaan saya bahawa yang beliau maksudkan ialah 
kesaksian palsu” 

Menurut riwayat Bukhari dan Muslim dan lain-lain baginda pernah 
berkata: tiap orang dari kamu akan berhadapan dan tuhan akan bertutur 
dengannya secara bersendirian tanpa penterjemah pada hari kiamat 
kelak. Ia memandang kekanan maka ia dapati amalan kejahatan yang telah 
dilakukannya, pandang ke kiri pun ia melihat gambaran yang sama malah 
lebih teruk lagi. Ia pandang ke hadapan lalu ia melihat hanya api 
neraka. Oleh itu kalian semua hendaklah menghindari api neraka 
walaupun dengan (menyedekahkan) setengah ulas buah tamar ataupun 
dengan menuturkan (apa-apa jua) perkataan yang baik. 

Pendahuluan 

Kuasa memerintah dicapai melalui berbagai cara. Ada yang diperolehi 
melalui keturunan (sistem beraja penuh). Ada pula yang diperolehi 
melalui rampasan kuasa samada berdarah atau tidak. Ada yang tercapai 
melalui permuafakatan dan pilihanraya. Dalam bahasa agama disebut 
syura , manakala dalam bahasa yang lumrah masa kini ialah 
melalui “Intikhab “ atau pungutan suara rakyat yang dilakukan dengan 
amanah, bersih dan adil .Manakala sistem yang lumrah di terima kini – 
dalam konteks peralihan kuasa secara aman kini - ialah sistem 
demokrasi yang murni dan bersih. 

Ada beberapa keperluan rakyat yang asas dalam negara demokrasi 
antaranya ialah 1. 

Hak-hak Madani atau sivil 2. 

Sistem dan peraturan serta perlaksanaan pilihanraya yang adil 3. 

Pengurusan kerajaan yang baik dan bersih dari rasuah 4. 

Media yang beretika, profesional, adil dan memihak kepada rakyat 5. 

Undang-undang yang adil dan perlaksanaanya yang tidak pilih kasih 6. 

Penglibatan penuh rakyat dan sistem perwakilan yang sihat 7. 

Kehakiman yang mempunyai integriti yang tinggi 

Asas asas di atas dan beberapa pertimbangan seperti membenarkan 
penubuhan parti politik secara halal , mewujudkan suruhanjaya 
pilihanraya yang bebas, memberi peluang mengundi kepada orang yang 
berkelayakan tanpa menghalang mereka menggunakan hak mereka dengan 
alasan pentadbiran secara licik, mengadakan pilihanraya Kerajaan 
Tempatan, mengadakan pilihanraya negeri (DUN) dan Federal (parlimen) 
dan sebagainya adalah merupakan indikator wujudnya kebebasan dan 
demokrasi dalam sesebuah negara. 

Kendatipun tatacara yang baik sudah sepakati oleh manusia yang 
bertamadun namun itu tidak bermakna manusia dapat menepati 
tuntutannya. Sering berlaku penipuan, pencabulan dan penyalahgunaan 
kuasa sehingga menghilangkan kebaikan dan ketenteraman yang boleh 
dijana oleh sistem yang baik. Manusia yang tamak, korup. dan tidak 
berakhlak terus menerus melakukan penyelewengan tanpa menyedari akibat 
buruk dari perbuatan tersebut. 

Di Malaysia umpamanya terdapat sistem , kaedah perlaksanaan, amalan 
yang jelas bercanggah dengan lunas demokrasi diamalkan oleh parti yang 
memerintah. Setakat hari ini belum ada tanda-tanda yang menunjukkan 
bahwa penyelewengan dari garis demokrasi yang sah ini akan diperbaiki 
oleh mereka . Antara pencabulan demokrasi yang terus menerus berlaku 
di Malaysia kini ialah: 

1 (a) Politik & Pilihan raya 

SPR diletakkan dan bertanggungjawab kepada Perdana Menteri 

Penukaran sempadan pilihanraya secara sewenang-wenang bagi kepentingan 
pihak tertentu 

Menukarkan syarat pendaftaran menurut kepentingan pihak tertentu 

Menukar pengundi keluar dari kawasan mengundi dan memasukkan pengundi 
ke kawasan lain tanpa pengetahuannya 

Penambahan kerusi parlimen dan DUN bagi kepentingan politik tertentu 

Daftar pemilih yang tidak bersih. Ada pengundi hantu 

Menggunakan daftar pemilih yang berlainan 

Berlakunya pengulangan mengundi bagi seorang individu lebih dari 
sekali 

Penyalinan no siri pengundi pada tunggul keratan kertas mengundi yang 
membolehkan dikesan nama pengundi 

Pejabat Pendaftaran Negara diperalatkan bagi menambah dan mengurangkan 
pendaftaran di sesuatu kawasan menurut kepentingan BN. 

Pengeluaran kad pengenalan sementara bagi pengundi-pengundi upahan 

Memanipulasi pengundi-pengundi pos 

Politik wang dan rasuah politik 

Penambahan waktu mengundi – bercanggah dengan akta pilihanraya 

Keputusan penghakiman petition pilihanraya yang tidak konsisten 

Parti pemerintah menggunakan peralatan dan kemudahan kerajaan 

Menyekat golongan tertentu yang sudah berkelayakan dari mengundi 

Menggunakan samseng dan kaki pukul untuk menyekat dan menakutkan 
pengundi 

Menahan atau tidak menyerahkan borang 14 bagi tujuan penipuan 
keputusan mengundi 

Memonopoli segala media elektronik dan cetak 

2.Pencabulan Hak Asasi 

Malaysia tidak telus dan tiada kebebasan media. Global Freedom Ranking 
of Freedom House pada tahun 2004 meletakkan Malaysia pada ranking 
122/167. Berkedudukan lebih teruk dari Indonesia 117/167. 2003 
Malaysia mendahului Indonesia pada ranking 111/167. 

New York City Based Think-Tank Freedom House 2005 meletakkan Malaysia 
pada ranking 152/194 terkebelakang dari Phlippine (77), Thailand (95) 
dan Singapura (139). 

Wujudnya di Malaysia akta-akta ISA (1960), OSA – Akta Rahsia Rasmi 
(1972), Akta Hasutan (1948), Akta AMCP –Akta Mesin Cetak Dan 
Penerbitan (1984), AUKU (1971) dan AKU JANJI (2002). 

PBB menghantar Pelapor Khasnya (Special Rapporteur) ke Malaysia 
menyiasat tuduhan pencabulan hak kebebasan bersuara dari 20 hingga 24 
Oktober 1998 dan berpendapat ``…hak kebebasan bersuara dan 
mengeluarkan pendapat adalah terbatas daripada segi kewujudan akta-
akta ISA, Akta Hasutan, dan AMCP; kawalan pemilikan media arus perdana 
dan memperolehi maklumat mengenai parti pembangkang di media 
elektronik oleh parti pemerintah, `self-censorship` para wartawan, 
menghukum wartawan asing dan menghalang pengedaran media elektronik 
asing; menghalang rakyat memperolehi maklumat yang berupa pandangan 
dan pendapat kritikal kepada kerajaan; serta memperlihatkan usaha 
campur tangan kerajaan ke atas badan kehakiman (Commission On Human 
Rights 1998: 7-8 dipetik Azizuddin Mohd Sani: 84-85). 

International Bar Association (IBA), International Commission of 
Jurists (CIJL), The Commonwealth Lawyers’ Association (CLA) dan Union 
Internationale des Avocats (UIA) yang menghantar misi pengkaji 
perundangan Malaysia dari 17 hingga 27 April 1999 diketuai Lord 
Abernethy menyiasat mengenai kebebasan kehakiman di Malaysia mendapati 
Perlembagaan Persekutuan membatasi hak-hak yang penting dan menafikan 
kajian semula kehakiman tindakan badan eksekutif dan menggugat konsep 
pengasingan kuasa yang diamalkan. (Azizuddin Mohd Sani: 85-86). 

Report of `The Royal Commission to Enhance the Operation and 
Management of The Royal Malaysia Police, mendapati bahawa: The 
Commission’s findings are that there is extensive and consistent abuse 
of human rights in the implementation of these laws and standing 
orders by PDRM personnel. This has added to the erosion of integrity 
in the police service and further undermined the trust of the public 
in this important institution ( Report of The Royal Commission, 2005: 
4) 

Berbagai-bagai cara pencabulan Hak Asasi Manusia dilakukan oleh Polis 
di bawah desakan parti-parti politik pemerintah seperti menyekat 
permit untuk berceramah, walaupun diminta memohon, menyekat jalan-
jalan ke tempat ceramah, walaupun ceramah di dalam premis, memasuki 
premis- premis yang sedang dalam sesi ceramah, walaupun polis tidak 
berhak berbuat demikian, menggempur kawasan dan premis ceramah dengan 
jip, trak, lori dan menembak gas dan air kimia, bahkan menangkap 
mereka yang hadir ke ceramah. 

Untuk menghadapi realiti politik Malaysia yang begitu buruk rakyat dan 
parti-parti yang berperanan memperkasa demokrasi dan memulihkan 
kedaulatan rakyat perlu menyebarkan kefahaman yang betul tentang 
pilihanraya dari perspektif Islam. Ini kerana kita yakin bahawa 
kefahaman dan komitmen keagamaan yang tinggi sahaja boleh menjana 
kesedaran moral yang kukuh untuk mengatasi kelemahan batin dan jiwa 
manusia yang kerap terjebak melakukan pengkhianatan dan penipuan dalam 
mengurus pilihanraya dan memerintah negara. Lanjutan dari itu kita 
perlu memperincikan tajuk di atas sehingga boleh mencetus kesedaran 
yang tinggi di kalangan rakyat mengenai akauntabiliti, responsibiliti 
dan tanggungjawab dalam melaksanakan amanah dan tugas mengundi. Pendek 
kata dalam mengundi rakyat perlu memilih calon yang layak kerana mirit 
mereka dan bukan kerana wang dan janji habuan yang ditaburi mereka. 

Hakikat Mengundi 

Ada beberapa pandangan yang ditampilkan oleh ulama mengenai kewajipan 
mengundi ini. 

(a) Ada yang mengatakan bahawa kewajipan mengundi ialah ialah suatu 
syahadah atau kewajipan mengutarakan syahadah seperti yang disebut 
oleh Allah dalam Surah al Talaq:2, Al Nisa’ 135,, al Baqarah:283, al 
Maidah:8. Ringkasan penghujahan mereka ialah: bahawa Allah telah 
mewajibkan sesorang itu menampilkan kesaksiannya (syahadah) dengan 
jujur dan benar. Allah melarang umat Islam menyembunyikan kesaksian 
Allah berfirman:Al Baqarah 283, maksudnya: “Janganlah kalian 
menyembunyikan syahadah, siapa yang menyembunyikan kesaksian maka ia 
adalah manusia yang (hatinya) berdosa.” 

Penyembunyian syahadah tidak hanya dengan keengganan melaksanakan 
syahadah tetapi juga dengan menafikan yang hak dan kebenaran dengan 
tidak menyokong dan menonjolkan kebenaran itu; sebaliknya mendokong 
dan menyokong kebatilan. Menyokong dan memenangkan kebatilan adalah 
satu bentuk dari kejahatan menyembunyikan kebenaran. Perbuatan ini – 
tidak ada khilaf ulama – hukumnya adalah haram dalam Islam. 

Syahadah mesti dilaksanakan kerana Allah bukan kerana yang lain 
seperti wang, pembangunan, kesenangan atau keuntungan kebendaan. Oleh 
kerana pilihanraya dan mengundi dalam pilihanraya itu adalah satu 
bentuk syahadah maka pertimbangan dalam membuat pilihan siapa yang 
patut diundi itu mesti kerana Allah. Dengan lain-lain perkataan sampai 
di mana calon atau parti yang diwakili oleh seseorang itu memihak dan 
mahu melaksanakan perintah Allah. Sebab itu rasuah dalam pengundian 
diharamkan dalam Islam justeru itu satu pembelotan dan pengkhianatan 
terhadap Allah. Atau lebih jelas adalah kerana perbuatan itu bermakna 
tidak bersyahadah kerana Allah; sebaliknya kerana duit atau habuan 
kebendaan. Perbuatan seperti ini adalah ditegah oleh syara’. 

Rasulullah bersabda: “Allah mengutuk orang yang memberi dan menerima 
rasuah” Hadith riwayat Ahmad , al Tabrani dan Abu Daud dan Termizi. Ia 
mengatakan bahawa hadith itu adalah hadith Hasan. Dalam setengah 
riwayat ditambah dengan ungkapan : .. “dan orang yang menjadi 
perantara kepada pemberi dan penerima rasuah.” 

Larangan terhadap rasuah ini malah dirakam dalam kitab Taurat dalam 
bab dua. Tersebut di situ : Janganlah kamu menerima rasuah; justeru 
rasuah itu membutakan mata hakim dalam penghakiman mereka. 

b) Kewajipan mengundi adalah unjuran dari kewajipan amr makruf dan 
nahi anil munkar yang wajib ditunaikan oleh setiap muslim. Ia suatu 
jihad madani untuk mendokong kebenaran dan menumpaskan kebatilan. 

Rasulullah bersabda: “Sesiapa dari kalangan kamu yang melihat 
kemungkaran ia hendaklah merubah (mencegahnya) dengan tangan(kuasa). 
Kalau tidak berdaya maka dengan lisan.” 

Fatwa Islam online menegaskan: (Pengubahan dan pencegahan dengan lisan 
tidak semestinya bermakna pengubahan dengan perbuatan. Ia bermakna 
pengubahan dengan membuat teguran terhadap kemungkaran itu sendiri. 
Salah satu mekanisme menegur kemungkaran ialah apabila seorang ahli 
parlimen yang pandangannya lumrah diterima oleh orang ramai menegur 
kemungkaran berkenaan bagi pihak rakyat di parlimen. Teguran seperti 
itu tentu mudah diterima oleh orang ramai, di samping akan disebar 
luaskan oleh media massa.) 

c) Kewajipan mengundi adalah seumpama kewajipan mentazkiah atau 
merekomenkan seseorang untuk memegang suatu jawatan dan tanggungjawab 
penting dalam negara. 

d) Kewajipan mengundi adalah kewajipan politik yang terbit dari sifat 
seseorang sebagai rakyat yang wajib mengundi secara berkala untuk 
menentukan kumpulan dan wakil pemerintah yang akan menguruskan negara 
berasaskan perintah Allah. 

e) Tugas mengundi adalah merupakan penunaian amanah untuk memberi 
mandat kuasa kepada seseorang yang layak dan soleh untuk memerintah 
dan menguruskan negara di lokaliti masing-masing. 

Perawi hadith meriwayatkan: “Ketika Nabi sedang memberi bimbingan 
(tazkirah) kepada orang ramai tiba-tiba datang seorang Arab Badui 
bertanya: Bilakah kiamat? Tapi Rasulullah terus sahaja bercakap. Lalu 
kata segolongan; beliau dengar tapi beliau tidak suka dengan soalan 
itu. Segolongan yang lain pula berrpendapat ; beliau tidak dengar 
pertanyaan itu. Sehinggalah apabila selesai tazkirah baginda bertanya: 
siapa yang bertanya mengenai kiamat tadi. Orang itu menjawab, sayalah 
wahai Rasulullah. Rasulullah menjawab: Apabila disia-siakan amanah 
maka tunggulah kiamat. Orang itu bertanya pula: Bagaimana yang 
dikatakan mensia-siakan amanah ? Bagina menjawab: Apabila sesuatu itu 
diserahkan kepada orang yang tidak berkelayakan maka tunggulah 
kiamat.” 

Menurut Dr. Walid Rabi’ Mahaguru Syariah di Universiti Kuwait asas 
syariah tanggungjawab mengundi ini berkisar sekitar dua teras sahaja : 

Pertama: Ia merupakan kesaksian dari pengundi tentan layaknya calon 
yang diundi untuk melaksanakan amanah dan tanggongjawab memikul tugas-
tugas awam. 

Kedua: Ia merupakan suatu rekomendasi “Tazkiah” pengundi untuk calon, 
Rekomendasi adalah termasuk dalam persoalan pengadilan atau kehakiman; 
di mana seseorang itu merekomenkan kelayakan seseorang saksi di 
hadapan hakim. Para ulama fiqh menetapkan bahawa saksi yang mendapat” 
tazkiah” sama dengan saksi pendakwaan dalam beberapa perkara. 
Antaranya mereka perlu memiliki kewarasan akal yang sempurna, kuat 
ingatan, mampu memikul tugas, adil, tidak buta, boleh bertutur, tidak 
pernah kena hukuman hudud sepeti qazaf, tidak ada pertalian kerabat 
yang menghalang penerimaan kesaksian di samping kesaksiannya terlepas 
dari membawa kepenting diri kepada saksi itu sendiri 

Pendek kata keseluruhan huraian di atas adalah menjadi asas kepada 
kewajiban mengundi dalam Islam. Umat tidak dapat lari dari memikul 
tanggungjawab di dunia dan di akhirat apabila mengkhianati tugas dan 
kewajiban mengundi sehingga menobatkan para pemimpin korup, sesat dan 
tidak bermoral atau kredebiliti. Apatah lagi kalau mereka penuh 
temberang, tembelang dan pasti akan kecundang di akhirat kelak. 

Hukum menjual atau membeli undi 

Ulama sepakat berpendapat haramnya perbuatan menjual atau membeli undi 
dalam pilihanraya. Sebab ia adalah merupakan rasuah yang diharamkan 
baik kepada pengambil atau penerima mahupun pemberinya, bahkan penjadi 
orang tengah dalam kejahatan ini pun dilarang. Ia termasuk dalam 
kategori penipuan atau pemalsuan serta pembohongan. Justeru ia 
berbohong dan menipu orang lain. Ia mengaku layak menjadi pemimpin dan 
menguasai orang ramai akan tetapi ia sebenarnya tidak layak dan berhak 
dengan martabat tersebut. Membeli undi adalah suatu pengkhianatan umum 
yang membawa kepada meratanya kejahatan dan kemusnahan tanggungjawab, 
serta wasilah untuk memakan duit dan wang haram. Walhal itu semua itu 
merupakan dosa besar. Ia juga seolah-olah menyembunyikan kesaksian 
yang benar terhadap yang berhak; padahal perbuatan tersebut dilarang 
oleh Allah.S.W.T Allah berfirman dalam surah al-Baqarah, ayat 283 yang 
bermaksud: Jangan kamu sembunyikan kesaksian (yang benar). Siapa yang 
berbuat demikian maka dia adalah manusia berdosa. 

Perbuatan ini juga termasuk dalam kategori kejahatan kezaliman , sebab 
ia ”meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya”. Apabila kejahatan ini 
berleluasa maka akan berkembanglah amalan rasuah yang memungkinkan 
manusia penyeleneh menduduki tempat-tempat kekuasaan yang penting 
dalam masyarakat serta manusia terkutuk dapat memperkotakkatikkan 
kepentingan umat. 

Rasuah ialah pengajuan wang, benda, atau khidmat atau sebarang janji 
untuk memberi sesuatu habuan kepada seseorang untuk menghalang proses 
kebenaran atau usaha menumpaskan kebatilan. Ia adalah salah satu dosa 
besar yang paling besar bahananya di dunia dan di akhirat; berdasarkan 
firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 188, maksudnya: Jangan kamu 
makan harta sesama kamu secara yang tidak halal dan kamu 
menghubungkannya pula dengan kuasa dan wewenang pemerintah untuk dapat 
melahap harta umum secara yang berdosa pada hal kamu sedar dan tahu. 

Berbagai Ragam Pembelian Undi 

Sebenarnya bentuk dan cara membeli undi masa kini berbagai ragam. Ada 
yang membeli dengan memberikan kepada pengundi tiket kapal terbang 
untuk melancong secara langsung atau melalui pihak ketiga. Ada yang 
memberi perabot rumah, motor, motokar, basikal, malah kadang-kadang 
rumah murah, atau penginapan di hotel mewah dan sebagainya untuk 
memancing dan memastikan pengundi mengundi diri mereka atau parti 
mereka. Semua ini tergolong dalam kategori dosa besar. 

Walau bagaimana pun pemberian ikhlas kerana sedekah, tanpa 
menghubungkaitkan pemberian itu dengan kepentingan peribadi atau 
kumpulan untuk meraih undi atau kepentingan yang lain maka hal itu 
tidaklah terlarang dalam Islam. Allah maha mengetahui hakikat niat dan 
tujuan sebenar sesuatu pemberian. Allah mengganjari sesuatu yang 
dibuat kerananya. 

Golongan yang terlanjur menerima rasuah atau habuan tertentu perlu 
berpegang teguh kepada prinsip mengundi kerana Allah. Mereka tidak 
sepatutnya mudah terpengaruh dengan muslihat pemberi rasuah berkenaan. 
Mereka perlu setia kepada prinsip kebenaran, Islam dan Allah S.W.T. 
Jika mereka teguh dan tetap mengundi kebenaran atau pihak yang benar 
maka mereka tidaklah terlibat dalam apa yang dipanggil sebagai politik 
wang atau rasuah dalam politik. Rezeki di tangan Allah dan dari Allah. 
Manakala sumpah yang wajib dan wajar dikota ialah sumpah yang benar 
atau demi menegakkan kebenaran dan Islam. Al Quran tidak pernah 
menjadi kitab sumpahan untuk memenangkan kebatilan, kejahatan atau 
kekufuran. Sumpahan al Quran dan laknat Allah hanya mengenai 
pengkhianat dan penentang ajaran Islam yang sebenar. 

Penutup 

Apa yang penting para pengundi, baik muslim mahupun bukan harus bijak 
dan tidak menyerahkan kad pengenalan mereka kepada pihak yang tidak 
bertanggungjawab yang boleh menghilangkan hak mereka mengundi pada 
masanya atau memberi hak kepada orang lain untuk membuat pengundian 
atas namanya tanpa sebarang rasa bersalah dan berdosa hanya kerana 
sehelai kain atau beberapa ringgit wang imbuhan. 

Ingatlah undi dan hak pengundian anda adalah amanah Allah dan rakyat 
kepada anda. Anda wajib menunaikan amanah ini dengan sebaik-baiknya 
dan demi Allah semata-mata. Allah Allah berfirman dalam Surah al 
Taubah ayat 40, maksudnya: “Mengapa kalian tidak mahu menyokongnya 
(perjuangan Muhammad atau perjuangan Islam ) pada hal Allah sendiri 
telah menyokongnya ketika orang-orang kafir mengusirnya keluar (dari 
kota Mekah) sehingga beliau menjadi salah seorang dari dua orang 
(pelarian).(Ingatlah juga) ketika mereka berdua dalam gua dan dia 
berkata kepada temannya; jangan bimbang, Allah bersama kita. (Justeru 
itu ) Allah turunkan rasa tenteram dalam jiwanya, Allah bantu dia 
dengan tentera yang mereka tidak nampak. (Malah) Allah jadikan dasar 
perjuangan orang kafir hina dan rendah. (Sebaliknya) Allah julangkan 
perjuangan atas nama Allah (Islam). Memang Allah maha perkasa maha 
bijaksana.” 


 




--------------------------------------------------------------------------
**Boycott Israel**Support Palestine** 

All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in 
any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved 
otherwise. 

If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily 
digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your 
mail delivery settings or email the moderators at [EMAIL PROTECTED] with the 
title "change to daily digest". 

--------------------------------------------------------------------------

Affiliates:
Islamic_Board - Malaysia - Islamic Events and Notices 
http://groups.yahoo.com/group/islamic_board/

iPerintis - eGroup untuk Saintis dan Jurutera Muslim  
http://groups.yahoo.com/group/iperintis/

Recommended sites:
Angkatan Belia Islam Malaysia  : http://www.abim.org.my
Jamaah Islah Malaysia          : http://www.jim.org.my
Radio Islam Kuliyyah           : http://www.kuliyyah.com
Palestinkini Info              : http://www.palestinkini.info
Partai Keadilan Sejahtera      : http://pk-sejahtera.org
Fiqh Siber                     : http://al-ahkam.net/
The Muslim Brotherhood         : http://ikhwanweb.com
Hidayahnet website             : http://hidayahnet.multiply.com/   
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/hidayahnet/

<*> Your email settings:
    Individual Email | Traditional

<*> To change settings online go to:
    http://groups.yahoo.com/group/hidayahnet/join
    (Yahoo! ID required)

<*> To change settings via email:
    mailto:[EMAIL PROTECTED] 
    mailto:[EMAIL PROTECTED]

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 

Kirim email ke