Berhari Raya (`Ied Al-Fithri) Bersama Rasulullah.
Mohd. Yaakub Mohd. Yunus ([EMAIL PROTECTED]) & Hafiz Firdaus Abdullah 
(www.al-firdaus.com)

Definisi `Ied Al-Fithri
        
Secara bahasa `Ied adalah sesuatu yang berlaku secara berulang-ulang 
atau suatu hari yang terjadi perkumpulan. Menurut Ibnul `Arabi 
rahimahullah: Hari raya disebut `Ied, kerana hari itu kembali muncul 
setiap tahun dan membawa kegembiraan baru. - Dinukil dari kitab 
Meneladani Rasulullah Shallallahu 'alaihi Wasallam Dalam Berhari 
Raya ditulis oleh Syaikh `Ali Hassan bin `Ali al-Halabi al-Atsari 
(edisi terjemahan oleh M. Abdul Ghoffar E.M., Pustaka Imam Asy-
Syafi'i, Jakarta 2005), ms. 11.


Fithri atau fitrah pula bermaksud sediakala atau sifat asal. Justeru 
itu Hari Raya `Ied al-Fithri adalah salah satu dari hari kebesaran 
umat Islam yang disambut pada tanggal 1 Syawal setiap tahun bagi 
menyambut kejayaan umat Islam setelah berjaya menyempurnakan ibadah 
sepanjang bulan Ramadan al-Mubarak dan kembali kepada fitrah iaitu 
sifat asal manusia yang dibenarkan makan dan minum sepanjang hari. 
Menurut al-`Allamah Ibnu `Abidin rahimahullah:

Disebut `Ied, kerana pada hari itu Allah Ta'ala memiliki berbagai 
macam kebaikan yang akan kembali kepada hamba-hambaNya setiap hari, 
yang di antaranya (tidak berpuasa) setelah adanya larangan makan dan 
minum (pada bulan Ramadan), zakat fitrah, … Dan kerana kebiasaan 
yang berlaku pada hari tersebut adalah kegembiraan, kebahagiaan, 
keceriaan dan hubur (kenikmatan). - Dinukil dari kitab Meneladani 
Rasulullah Shallallahu 'alaihi Wasallam Dalam Berhari Raya ditulis 
oleh Syaikh `Ali Hassan bin `Ali al-Halabi al-Atsari, ms. 11.

        Dalil disyari'atkan `Ied al-Fithri sebagai hari kebesaran 
bagi umat Islam adalah sebagaimana dikhabarkan oleh Anas bin Malik 
radhiallahu 'anh, dia berkata: Nabi shallallahu 'alaihi wasallam 
pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua Hari 
Raya yang pada keduanya mereka bermain-main (bergembira) di masa 
jahiliyyah, maka baginda bersabda: "Aku datang kepada kalian 
sedangkan kalian memiliki dua hari (raya) yang menjadi medan 
permainan kalian pada masa jahiliyyah. Dan sesungguhnya Allah telah 
menggantikan keduanya dengan yang lebih baik iaitu Hari Raya `Ied al-
Adha dan `Ied al-Fithri." - Hadis riwayat Imam al-Nasa'i, di dalam 
Sunan al-Nasa'i, Kitab al-Sholah, hadis no: 959


Amalan-Amalan Yang Disunnahkan Pada Hari Raya `Ied Al-Fithir
        
Bertakbir

Bertakbir pada tarikh 1 Syawal bersempena `Ied al-Fithri merupakan 
suatu amalan yang disyari'atkan. Ini sebagaimana Firman Allah 
Subhanahu wa Ta'ala:

Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan 
supaya kamu membesarkan Allah (dengan bertakbir) kerana mendapat 
petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur. - al-Baqarah (2) : 185

Tentang jangka masa untuk bertakbir Syaikh al-Islam Ibnu Taymiyyah 
rahimahullah  berkata: Takbir pada hari `Ied al-Fithri dimulai 
ketika terlihatnya hilal (anak bulan), dan berakhir dengan 
selesainya `Ied iaitu ketika imam selesai dari khutbah, (demikian) 
menurut pandangan yang benar. - Majmu' Fatawa, jilid 24 ms. 220 dan 
221. Penulis nukil daripada artikel bertajuk Bimbingan Berhari Raya 
Idul Fithri yang disusun oleh Abu Sulaiman Aris S yang diterbitkan 
oleh Majalah As-Sunnah Edisi 07/VIII/1425H/2004M, ms. 39.

Perihal lafaz takbir raya maka terdapat beberapa riwayat dari para 
sahabat radhiallahu 'anhum yang di antaranya adalah:

•       Ibnu Mas'ud radhiallahu 'anh pernah mengucapkan:

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Laa ilaha illallah, Wallahu Akbar, 
Allahu Akbar wa Lillahilhamd. (Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, 
tiada Tuhan yang berhak diibadahi kecuali hanya Allah semata, dan 
Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, dan segala puji hanya bagi 
Allah). - Hadis riwayat Imam Ibnu Abu Syaibah di dalam Mushannaf, 
hadis no: 5649.

•       Ibnu `Abbas radhiallahu 'anh pernah mengucapkan:

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar wa Lillahilhamd, Allahu 
Akbar wa A-khallu, Allahu Akbar `alaa maa hadaana. (Allah Maha 
Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar segala puji hanya bagi 
Allah, Allah Maha Besar lagi Maha Agung, Allah Maha Besar di atas 
petunjuk yang telah diberikan kepada kita). - riwayat Imam al-
Baihaqi di dalam Sunan al-Kubra (III/315)

•       Salman al-Farisi radhiallahu 'anh pula berkata:

Agungkanlah Allah dengan menyebut Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu 
Akbar Kabira (Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha 
Besar). - Hadis riwayat Imam al-Baihaqi di dalam Sunan al-Kubra 
(III/316)

Ketika dalam perjalan ke tempat solat `Ied, disunnahkan juga untuk 
kita bertakbir sehinggalah apabila solat akan didirikan. Menurut 
Syaikh Muhammad Nashiruddeen al-Albani rahimahullah: … disyari'atkan 
apa yang dikerjakan oleh kaum Muslimin berupa takbir dengan suara 
lantang selama di dalam perjalanan menuju tempat perlaksanaan solat 
(musholla), meskipun banyak dari mereka mulai meremehkan sunnah 
ini. - Dinukil dari kitab Meneladani Rasulullah Shallallahu 'alaihi 
Wasallam Dalam Berhari Raya ditulis oleh Syaikh `Ali Hassan bin `Ali 
al-Halabi al-Atsari, ms. 32.

Bertakbir sejak mula keluar dari rumah adalah untuk menyerlahkan 
syi'ar Islam di seluruh perjalanan yang ditempuhi untuk menuju ke 
tempat solat. Syaikh Wahid Abdussalam Bali telah berkata:

… setiap muslim bertakbir sejak keluar dari rumahnya sehingga sampai 
ke tempat solat, dengan mengeraskan suaranya, sebagai memaklumkan 
syi'ar Islam yang agung ini.

Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar 
agama Allah maka (dialah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya 
perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat taqwa hati orang mukmin. - 
al-Hajj (22) : 32

Ibnu Abi Syaibah meriwayatkan dengan sanad sahih dari al-Zuhri 
rahimahullah: Bahawa Nabi shallallahu 'alaihi wasallam keluar pada 
Hari Raya al-Fithri dengan bertakbir hingga sampai di tempat solat. -
 Syaikh Wahid Abdussalam Bali, 474 Kesalahan Dalam Akidah & Ibadah 
Beserta Koreksinya (edisi terjemahan oleh Ahmad Syaikhu, Darul Haq, 
Jakarta 2005), ms. 415-416.

Tentang tatacara takbir yakni dengan suara yang kuat, maka ianya 
tidak berbeza antara `Ied al-Fithri atau `Ied al-Adha (Hari Raya 
Haji). Menurut al-Hafidz Ibnu Hajar al-Asqalani rahimahullah: Sa'id 
bin Manshur meriwayatkan dengan sanad yang maushul (sanadnya 
bersambung sampai kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam), dari 
Ubaid bin Umair, dia berkata: "Bahawa `Umar ketika sedang berada di 
dalam khemahnya di Mina selalu mengumandangkan takbir, begitu pula 
dengan orang-orang yang berada di dalam masjid dan orang-orang yang 
berada di pasar, hingga kota Mina bergemuruh dengan suara takbir." - 
Al-Hafidz Ibnu Hajar al-Asqalani, Fathul Baari Penjelasan Kitab 
Shahih al-Bukhari, Tahqiq Syaikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz, 
(Edisi terjemahan oleh Amiruddin, Pustaka Azzam, Jakarta 2004) Jilid 
5, ms. 315. Selepas ini kitab ini hanya akan disebut sebagai Fathul 
Baari sahaja

Ada pun cara bertakbir, maka ia adalah umum sebagaimana keumuman 
dalil yang menganjurkannya. Oleh itu bertakbir boleh secara 
bersendirian atau berkumpulan, sama ada secara serentak atau 
dipimpin oleh seseorang. Semuanya bergantung kepada suasana ketika 
sedang  bertakbir. Yang dilarang adalah menetap atau mengkhususkan 
cara bertakbir kepada satu cara sahaja sehingga orang ramai 
menganggap ia adalah satu-satunya cara untuk bertakbir.

Ada pun lafaz takbir yang pelbagai pada masa kini, yang lebih utama 
adalah lafaz takbir yang diriwayatkan daripada para sahabat 
sebagaimana yang dikemukakan di atas. Sekali pun dalam riwayat-
riwayat tersebut tidak dinyatakan bahawa ia berasal daripada 
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, dalam kaedah usul fiqh 
sedia diterangkan bahawa perbuatan sahabat dalam ibadah memiliki 
nilai marfu', iaitu berasal daripada Rasulullah, sekali pun mereka 
tidak menyandarkan secara jelas kepada baginda.


Mandi Di Pagi `Ied

Adalah disunnahkan untuk mandi di pagi Hari Raya iaitu sebelum 
berangkat menuju ke tempat perlaksanaan solat `Ied al-Fithri. 
Menurut Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah rahimahullah: Baginda 
(shallallahu 'alaihi wasallam) mandi sebelum berangkat mengerjakan 
solat `Ied. - Ibnu Qayyim al-Jauziyyah, Mukhtasar Zaadul Ma'ad Bekal 
Menuju Ke Akherat, (edisi terjemahan oleh Kathur Suhardi, Pustaka 
Azzam, Jakarta 1999), ms. 48. Di mukasurat seterusnya kitab ini 
hanya akan disebut sebagai Zaadul Ma'ad sahaja.

Ali bin Abi Thalib radhiallahu 'anh pernah ditanya tentang mandi; 
apakah perlu mandi setiap hari? Maka beliau menjawab: Tidak perlu. 
Namun, yang perlu mandi ialah pada hari Jumaat, hari `Arafah, 
hari `Ied al-Adha dan `Ied al-Fithri. - Hadis riwayat Imam al-
Syafi'i di dalam Musnad al-Syafi'i, I/118-119

Menurut Imam al-Nawawi rahimahullah pula di dalam kitab Majmu'nya 
(jilid 1, ms. 7): Imam al-Syafi'i dan rakan-rakannya 
mengatakan: "Untuk melaksanakan solat `Ied al-Fithri dan `Ied al-
Adha dianjurkan mandi. Tidak ada perbezaan pendapat di dalam masalah 
ini." - Dinukil dari artikel karangan Abu Ihsan al-Atsari bertajuk 
Mendulang Sunnah Nabi Pada Hari Raya `Iedul Fitri yang diterbitkan 
oleh majalah As-Sunnah, edisi 08/VII/1424H/2003M, ms. 23.

Tatacara mandi sunat di pagi Hari Raya ini adalah sama dengan 
tatacara mandi wajib (janabah).


Makan Sebelum Solat `Ied Al-Fithri

Adalah disunnahkan untuk menjamah makanan sebelum berangkat 
menunaikan Solat `Ied al-Fithri. Ini bertujuan untuk menutup segala 
andaian bahawa dibenarkan berpuasa pada hari `Ied. Menurut al-
Muhallab rahimahullah: Adapun hikmah makan sebelum solat `Ied adalah 
agar seseorang tidak berpendapat bahawa dia harus berpuasa sampai 
melaksanakan solat `Ied. Maka seakan-akan Rasulullah 
shallallahu 'alaihi wasallam ingin menutup prasangka semacam ini. - 
Dinukil dari Fathul Baari, jilid 5, ms. 272

Adalah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam makan kurma dalam 
jumlah yang ganjil di pagi `Ied. Dari Anas bin Malik 
(radhiallahu 'anh), dia berkata: "Rasulullah shallallahu 'alaihi 
wasallam tidak pergi (ke musholla) pada pagi `Ied al-Fithri hingga 
baginda makan beberapa buah kurma." Murajja' bin Raja' 
berkata: "'Ubaidillah menceritakan kepadaku bahawa Anas 
berkata: "Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam memakannya di 
dalam jumlah yang ganjil." - Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam 
Shahih al-Bukhari, Kitab al-`Iedaini, hadis no: 953.



Memakai Pakaian Yang Indah

Adalah disunnahkan untuk kita menghiaskan diri dengan pakaian yang 
indah-indah pada Hari Raya. Imam al-Syafi'i rahimahullah berkata: 
Saya lebih menyukai seseorang memakai pakaian terbaik yang dia 
miliki pada hari-hari raya iaitu hari Jumaat, dua hari raya 
(iatu `Ied al-Adha dan `Ied al-Fithri), dan tempat-tempat keramaian. 
Hendaklah dia memakai baju yang bersih dan memakai wangi-wangian. - 
Imam al-Syafi'i, Ringkasan Kitab Al-Umm, jilid 1, ms. 327.

Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah rahimahullah berkata: Baginda 
(shallallahu 'alaihi wasallam) mengenakan pakaian yang paling indah 
ketika keluar untuk solat `Ied. Bahkan baginda mempunyai pakaian 
khusus yang digunakan hanya untuk solat Jumaat dan `Ied. - Ibnu 
Qayyim al-Jauziyyah, Za'adul Maad, ms. 48.


Berjalan Kaki Menuju Tempat Dikerjakan Solat `Ied

Adalah dianjurkan untuk berjalan kaki menuju tempat dikerjakan 
solat `Ied jika tidak memberatkan. Ini sebagaimana yang diwayatkan 
dari Ali bin Abi Thalib radhiallahu 'anh: Termasuk sunnah, iaitu 
engkau berjalan kaki menuju tempat solat `Ied dan memakan sesuatu 
sebelum berangkat. - Hadis riwayat Imam al-Tirmidhi di dalam Sunan 
al-Tirmidhi, Kitab al-Jamaah, hadis no: 487.

Imam al-Syafi'i rahimahullah juga menjelaskan di dalam kitab al-Umm: 
Kami mendengar dari al-Zuhri bahawa dia berkata: "Rasulullah 
Shallallahu 'alaihi wasallam tidak pernah naik kenderaan baik ketika 
solat `Ied ataupun solat jenazah." - Dinukil dari Fathul Baari, 
jilid 5, ms. 286.


Mengikuti Jalan Yang Berbeza Ketika Pergi Dan Kembali Dari 
Mengerjakan Solat `Ied

Disunnahkan bagi kita mengikuti jalan yang berbeza ketika pergi dan 
kembali dari mengerjakan solat `Ied.  Jabir bin `Abdullah 
radhiallahu 'anh berkata: Nabi shallallahu 'alaihi wasallam melalui 
jalan yang berbeza pada hari `Ied. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari 
di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-`Iedaini, hadis no: 986.

Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah rahimahullah berkata: Baginda 
(shallallahu 'alaihi wasallam) selalu menempuh jalan yang berbeza 
ketika berangkat dan ketika pulang dari tempat solat `Ied. Ada yang 
berpendapat, hal ini dilakukan agar dapat bersalaman dengan orang-
orang yang melalui dua jalan tersebut. Ada pula yang berpendapat 
untuk memberikan barakah kepada mereka. Ada yang berpendapat untuk 
memberikan pertolongan kepada mereka yang memerlukannya di kedua 
jalan tersebut. Ada yang berpendapat untuk menampakkan syi'ar Islam 
di jalan-jalan. Pendapat yang lebih menepati kebenaran adalah agar 
perjalanan yang ditempuh lebih jauh (banyak langkahnya). Orang yang 
berjalan ke masjid atau tempat solat, maka salah satu langkah 
kakinya akan meninggikan darjatnya, sedangkan langkah kaki yang lain 
akan menghapuskan kesalahan-kesalahannya. - Ibnu Qayyim al-
Jauziyyah, Za'adul Maad, ms. 49.

Menurut al-Hafidz Ibnu Hajar al-Asqalani rahimahullah: Imam al-
Syafi'i (rahimahullah) di dalam kitabnya al-Umm mengatakan bahawa 
seorang imam dan makmum disunnahkan untuk mengikuti jalan yang 
berbeza dengan jalan waktu pergi ketika pulang dari solat `Ied. 
Demikian juga pendapat majoriti pengikut mazhab Syafi'i. - Al-Hafidz 
Ibnu Hajar al-Asqalani, Fathul Baari, jilid 5, ms.341.


Tempat Perlaksanaan Solat `Ied Adalah Di Musholla 

Mengerjakan solat `Ied al-Fithri di musholla merupakan satu amalan 
yang hampir tidak dilakukan di Malaysia melainkan beberapa kelompok 
kecil manusia yang benar-benar kuat berpegang kepada sunnah Nabi 
shallallahu 'alaihi wasallam. Apakah itu musholla dan apakah 
perbezaanya dengan masjid? Al-Hafidz Ibnu Hajar al-Asqalani 
rahimahullah berkata:

Adapun perbezaan di antara musholla dan masjid adalah bahawa 
musholla berada di tempat terbuka (seperti padang-pen) sehingga 
khatib dapat melihat semua hadirin. Sedangkan masjid berada di dalam 
sebuah tempat (bangunan-pen) yang tertutup, sehingga terkadang 
seorang khatib hanya dapat melihat sebahagian sahaja para hadirin. 
Shalat `Ied disunnahkan untuk dilakukan di musholla, dan tidak 
dilakukan di masjid kecuali apabila di dalam keadaan darurat 
(seperti hujan, angin kencang dan lainnya-pen). - Al-Hafidz Ibnu 
Hajar al-Asqalani, Fathul Baari, jilid 5, ms.282.

Dalil yang menunjukkan disunnahkan untuk mengerjakan solat `Ied di 
musholla adalah sebuah hadis dari Abu Sa'id al-Khudri 
(radhiallahu 'anh), dia berkata: Pada hari `Ied al-Fithri dan `Ied 
al-Adha, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam keluar menuju 
musholla. Ketika itu yang pertama baginda lakukan adalah 
solat `Ied. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-
Bukhari, Kitab al-`Iedaini, hadis no: 956.

Ketahuilah bahawa solat di Masjid Nabawi itu adalah 1000 kali lebih 
baik dari bersolat di masjid-masjid lain. Ini sebagaimana sabda 
baginda shallallahu 'alaihi wasallam: Solat di masjidku ini (iaitu 
Masjid Nabawi) adalah lebih baik dari seribu kali solat di masjid 
lainnya kecuali Masjidil Haram (di Mekah al-Mukarramah). - Hadis 
riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-Jamaah, 
hadis no: 1190.

Namun ternyata meskipun dengan keutamaan sebesar ini Rasulullah 
shallallahu 'alaihi wasallam tetap memerintahkan para sahabat 
radhiallahu 'anhum untuk mendirikan solat `Ied al-Fithri di 
musholla. Ibnu Qudamah rahimahullah di dalam al-Mughni (jilid 3, ms. 
260) berkata:

Mengerjakan solat `Ied di musholla adalah sunnah, kerana dahulu Nabi 
shallallahu 'alaihi wasallam keluar ke tanah lapang dan meninggalkan 
masjidnya (iaitu Masjid Nabawi). Demikian pula para khulafa' al-
Rasyidin. Dan ini merupakan kesepakatan kaum muslimim. Mereka telah 
sepakat di setiap zaman dan tempat untuk keluar ke tanah lapang 
ketika solat `Ied. - Penulis nukil dari artikel bertajuk Bimbingan 
Berhari Raya Idul Fithri yang disusun oleh Abu Sulaiman Aris S, ms. 
40.

Tentang hikmah diselenggarakan solat `Ied di musholla, Syaikh Abu 
Ubaidah Masyhur bin Hasan telah berkata:

Sesungguhnya mengerjakan dua solat `Ied di tanah lapang (musholla) 
memiliki hikmah yang besar. Di antaranya adalah seluruh kaum 
muslimin setidaknya boleh berkumpul bersama dua kali selama setahun. 
Semua orang dari penjuru negeri berkumpul di sebuah tempat, baik 
lelaki, perempuan mahupun kanak-kanak. Mereka semua menghadap Allah 
dengan hati yang penuh konsentrasi, dikumpulkan dengan satu kalimat 
(kalimat tauhid), solat di belakang seorang imam, membaca takbir dan 
tahlil bersama dan berdoa kepada Allah dengan penuh ikhlas. Seakan-
akan hati mereka terikat menjadi satu, merasa bahagia dan mensyukuri 
nikmat Allah yang telah dilimpahkan kepada mereka. Dengan demikian, 
Hari Raya benar-benar memiliki erti yang agung bagi mereka. - Syaikh 
Abu Ubaidah Masyhur bin Hasan, Koreksi Total Ritual Shalat, (edisi 
terjemahan oleh W. Djunaedi S, Pustaka Azzam, Jakarta 2001), ms. 394.

Menurut Syaikh Wahid Abdussalam pula: Para ulama' telah mengemukakan 
sejumlah hikmahnya:

a)      Berkumpulnya kaum muslimin di satu tempat untuk menampakkan 
kejayaan kaum muslimin.
b)      Berkumpulnya kaum muslimin di tempat terbuka yang terlihat 
awal dan akhirnya disertai takbir dan tahlil, dapat menguatkan 
keimanan dan memantapkan keyakinan.
c)      Keluarnya kaum muslimin di satu tempat, dewasa dan kanak-
kanak, laki-laki dan perempuan, adalah salah satu fenomena 
kegembiraan pada Hari Raya.
d)      Tercerai-berainya kaum muslimin di beberapa masjid pada hari 
yang diberkahi ini menyebabkan perselisihan hati dan tercerai-
berainya kalimat.
e)      Kaum muslimin memakai pakaian baru dan berkumpul di satu 
tempat dengan bertakbir, bertahlil, solat dan mendengarkan nasihat 
(khutbah), adalah salah satu bentuk rasa syukur kepada Allah, Rabb 
semesta Alam yang berfirman:
Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan 
supaya kamu membesarkan Allah (dengan bertakbir) kerana mendapat 
petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur. - al-Baqarah (2) : 185
f)      Berkumpulnya kaum muslimim di dalam pemandangan yang 
disegani ini dapat menggentarkan para musuh agama dan membuat marah 
kaum kafir. - Syaikh Wahid Abdussalam Bali, 474 Kesalahan Dalam 
Akidah & Ibadah Beserta Koreksinya, ms. 298-299.

Oleh itu sewajarnya umat Islam di Malaysia berusaha untuk 
mengembalikan pengamalan sunnah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam 
yang semakin dipinggirkan ini. 

Namun begitu janganlah disebabkan di Malaysia Solat `Ied al-Fithri 
tidak dilaksanakan di musholla maka ada yang beranggapan tidak perlu 
untuk menunaikan solat tersebut kerana menghindari amalan bid'ah. 
Insya Allah penulis akan membahaskan hukum solat `Ied al-Fithri di 
dalam risalah ini. Menunaikan solat `Ied al-Fithri di masjid adalah 
diperbolehkan oleh Imam al-Syafi'i rahimahullah sekiranya masjid 
tersebut mampu menampung seluruh penduduk di daerah tersebut. Imam 
al-Syafi'i berkata:

Jika sesebuah masjid di dalam sebuah daerah dapat menampung seluruh 
penduduk, maka menurut saya mereka tidak perlu lagi pegi ke tanah 
lapang (untuk mengerjakan solat `Ied al-Fithri). Tetapi jika tidak 
dapat menampung seluruh penduduk, maka tidak dianjurkan melakukan 
solat `Ied di dalamnya. - Dinukil daripada Fathul Baari, jilid 5, 
ms. 283.

Dari fatwa Imam al-Syafi'i ini maka al-Hafidz Ibnu Hajar al-
Asqalani  rahimahullah telah membuat kesimpulan seperti berikut:

Dari sini dapat disimpulkan, bahawa permasalahan ini sangat 
bergantung kepada luas atau sempitnya sesuatu tempat, kerana 
diharapkan pada Hari Raya itu seluruh masyarakat dapat berkumpul di 
suatu tempat. Oleh kerana itu, jika hal itu dapat dilakukan di dalam 
masjid, maka melakukan solat `Ied di dalam masjid lebih utama 
daripada di tanah lapang. - al-Hafidz Ibnu Hajar al-Asqalani, Fathul 
Baari, jilid 5, ms. 283.

Apa pun jua, mencontohi Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam 
adalah lebih utama kerana hadis-hadis baginda bersifat umum tanpa 
meletakkan sebarang syarat berkaitan keluasan atau kesempitan 
sesebuah masjid dalam menentukan tempat untuk di laksanakan 
solat `Ied al-Fithri. Wallahu'alam



Menunaikan Zakat Fitrah

Zakat Fitrah adalah sejenis zakat yang diwajibkan ke atas seluruh 
umat Islam yang merdeka, kanak-kanak mahupun dewasa, lelaki dan 
wanita. Zakat fitrah ini boleh dilaksanakan sepanjang bulan Ramadan 
namun melewatkannya pada akhir Ramadan adalah lebih baik. Waktu yang 
paling afdhal untuk membayar zakat fitrah adalah sebelum 
dilaksanakan solat `Ied al-Fithri. Dari Ibnu `Umar radhiallahu 'anh, 
dia berkata: 
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mewajibkan zakat fitrah satu 
sha' kurma, atau satu sha' syair atas budak, orang yang merdeka, 
laki-laki, wanita, anak-anak dan orang tua di antara kaum muslimin, 
dan baginda memerintahkan agar (zakat tersebut) dikeluarkan sebelum 
manusia keluar untuk solat (`Ied al-Fithri). - Hadis riwayat Imam al-
Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-Zakat, hadis no: 1503

Satu sha' bersamaan dengan 2.5 sehingga 3 kilogram. Bagi kita di 
Malaysia majoriti berpendapat satu sha' adalah bersamaan dengan satu 
Gantang Baghdad iaitu 2.7 kilogram. Oleh itu bagi setiap ahli 
keluarga kadar zakat fitrahnya adalah 2.7 kilogram beras. Imam al-
Syafi'i rahimahullah mewajibkan membayar zakat fitrah hanya dengan 
menggunakan makanan ruji (asas) sesebuah negara. Namun begitu Imam 
Abu Hanifah rahimahullah membenarkan makanan ruji tersebut 
digantikan dengan wang sebagai medium untuk membayar zakat. 
Wallahu'alam.

Bagi mereka yang membayar zakat fitrah setelah solat `Ied al-Fithri 
ia hanya akan dikira sebagai sedekah sahaja dan bukan zakat fitrah. 
Dari Ibnu `Abbas radhiallahu 'anh dia berkata: Barangsiapa yang 
menunaikannya sebelum solat `Ied maka itulah zakat yang diterima, 
sedangkan barangsiapa yang menunaikannya sesudah solat maka itu 
dihitung sebagai sedekah daripada berbagai macam sedekah. - Hadis 
riwayat Imam Abu Dawud di dalam Sunan Abu Dawud, Kitab al-Zakat, 
hadis no: 1371.

Hikmahnya zakat fitrah ini adalah untuk membersihkan mereka yang 
berpuasa dari segala perkara yang menyebabkan ibadahnya menjadi 
kurang sempurna seperti melakukan perkara yang sia-sia dan 
mengucapkan perkataan yang tidak sewajarnya. Di samping itu di 
sebalik kemeriahan menyambut `Ied al-Fithri, Islam tetap menitik 
beratkan perihal orang miskin. Melalui zakat fitrah ini sedikit 
sebanyak dapat meringankan beban golongan miskin ketika menyambut 
Hari Raya `Ied al-Fithri dan membolehkan mereka bersama-sama umat 
Islam yang lain menyambut Hari Raya di dalam suasana yang 
menyenangkan. Dari Ibnu `Abbas radhiallahu 'anh dia berkata: 
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menetapkan kewajipan zakat 
fitrah sebagai pembersih bagi orang-orang yang berpuasa dari kesia-
sian dan perkataan kotor serta sebagai makanan untuk orang-orang 
miskin. - Hadis riwayat Imam Abu Dawud di dalam Sunan Abu Dawud, 
Kitab al-Zakat, hadis no: 1371.


Hukum Solat `Ied

Ulama' berbeza pendapat tentang hukum solat `Ied al-Fithri. Bagi 
kebanyakan umat Islam di Malaysia mereka berpegang kepada pendapat 
bahawa hukum solat `Ied adalah sunat mu'akkadah (yang dituntut). 
Ulama' yang berpegang kepada pendapat ini berpandangan bahawa dengan 
wujudnya hadis-hadis yang menyatakan solat yang hukumnya wajib 
hanyalah solat lima waktu membuktikan solat `Ied tidak termasuk di 
dalam kumpulan solat yang wajib. Antara hadis yang dijadikan 
pegangan mereka adalah sabda Nabi shallallahu 'alaihi wasallam:

Ada lima solat yang diwajibkan Allah ke atas hamba-hamba-Nya. Maka 
siapa yang mengerjakannya dan tidak mengsia-siakan walau satu pun di 
antaranya disebabkan menganggap mudah, Allah berjanji akan 
memasukkanya ke dalam syurga. - Hadis riwayat Imam al-Nasa'i di 
dalam Sunan al-Nasa'i, Kitab al-Sholah, hadis no: 457.

Namun ada juga sebahagian ulama' yang berpendapat Solat `Ied al-
Fithri adalah fardhu `ain atau wajib. Mereka melihat kepada 
kesungguhan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam di dalam menganjurkan 
para sahabat radhiallahu 'anhum untuk mengerjakannya sebagai bukti 
kewajipannya. Malah baginda shallallahu 'alaihi wasallam sendiri 
tidak pernah gagal untuk mengerjakan solat `Ied. Baginda 
memerintahkan para wanita yang sedang haid untuk turut serta 
menghadirkan diri di musholla hanya untuk menyaksikan upacara 
solat `Ied tersebut. Bahkan bagi wanita yang tidak memiliki pakaian 
yang sempurna untuk menutup aurat  telah diperintahkan untuk 
dipinjamkan pakaian kepada mereka hanya semata-mata untuk turut 
serta di musholla. 

Ummu `Athiyah  radhiallahu 'anha telah berkata:

Kami telah diperintahkan (oleh Nabi shallallahu 'alaihi wasallam) 
untuk keluar, maka kami memerintahkan wanita-wanita yang sedang 
haid, para gadis dan wanita-wanita pingitan untuk keluar. Ibnu `Aun 
berkata: "atau wanita-wanita pingitan," dan wanita-wanita yang haid 
diperintahkan (Nabi shallallahu 'alaihi wasallam) agar menyaksikan 
jamaah kaum muslimin dan dakwah mereka serta menjauhi tempat solat. -
 Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-
`Iedaini, hadis no: 981

Bagi wanita yang tidak memiliki pakaian sempurna untuk bersolat `Ied 
al-Fithri, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

(Jika dia tidak mempunyai jilbab) hendaklah temannya meminjamkan 
jilbabnya, sehingga dia dapat menyaksikan kebaikan dan dakwah orang-
orang mukmin. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-
Bukhari, Kitab al-`Iedaini, hadis no: 980.

Pandangan akan wajibnya solat `Ied al-Fitri ini diperkuatkan lagi 
dengan hakikat bahawa solat `Ied ini dapat menggugurkan kewajipan 
solat Jumaat jika keduanya terjadi pada hari yang sama. Hanya 
sesuatu yang wajib dapat mengugurkan kewajipan yang lain. - Inilah 
pendapat Syaikh Muhammad Nashiruddeen al-Albani rahimahullah di 
dalam Terjemah Tamamul Minnah Koreksi dan Komentar Ilmiah Terhadap 
Kitab Fiqhus Sunnah Karya Syaikh Sayyid Sabiq, (edisi terjemahan 
oleh Afifuddin Said, Maktabah Salafy Press, Gajah Mada 2002) jilid 
2, ms. 103.

Dalil yang menunjukkan kewajipan solat Jumaat gugur sekiranya ianya 
serentak dengan hari `Ied adalah:

Dari Iyas bin Abi Ramlah al-Syami, dia berkata: "Aku pernah 
menyaksikan Mu'awiyah bin Abi Sufyan yang sedang bertanya kepada 
Zaid bin Arqam. Dia bertanya: "Apakah engkau menyaksikan Rasulullah 
shallallahu 'alaihi wasallam menghadiri dua Hari Raya (hari `Ied dan 
hari Jumaat) yang berkumpul dalam satu hari?" Dia menjawab: "Ya." 
Mu'awiyah bertanya: "Lalu apa yang baginda kerjakan?" Dia 
menjawab: "Baginda mengerjakan solat `Ied, kemudian baginda 
memberikan keringanan dalam hal (mengerjakan) solat Jumaat dan 
bersabda: "Barangsiapa yang ingin solat (Jumaat) maka hendaklah dia 
solat." - Hadis riwayat Imam Abu Dawud di dalam Sunan Abu Dawud, 
Kitab al-Sholah, hadis no: 904

Syaikh al-Islam Ibnu Taymiyyah rahimahullah di dalam Majmu' Fatawa 
(jilid 23, ms. 161) berkata:
… oleh kerana itu, kami mentarjih (menguatkan) bahawa solat `Ied itu 
wajib bagi setiap individu muslim, sebagaimana pendapat Abu Hanifah 
dan lain-lainnya. Dan ini merupakan salah satu pendapat al-Syafi'i, 
dan ia merupakan salah satu dari dua pendapat di dalam mazhab Ahmad.

Adapun pendapat mereka yang menyatakan tidak wajib maka ia benar-
benar jauh (dari kebenaran), kerana ia termasuk salah satu syi'ar 
agama Islam yang paling agung. Dan orang-orang yang berkumpul untuk 
mengerjakannya lebih banyak dari solat Jumaat. Di dalamnya 
disyari'atkan bacaan takbir. Sedangkan pendapat orang yang 
menyatakan bahawa solat `Ied merupakan fardhu kifayah, sama sekali 
tidak kuat… - Dinukil dari kitab Meneladani Rasulullah 
Shallallahu 'alaihi Wasallam Dalam Berhari Raya ditulis oleh 
Syaikh `Ali Hassan bin `Ali al-Halabi al-Atsari, ms. 47-48.

Apa pun jua pendapat yang dipegang sama ada wajib mahupun sunat 
mu'akkadah, ketahuilah bahawa baginda shallallahu 'alaihi wasallam 
amat menitik-beratkan agar kesemua umat Islam memenuhi musholla 
termasuk kaum wanita sebagaimana yang tercatat di dalam hadis-hadis 
di atas. Ini berbeza dengan amalan kebanyakan umat Islam di Malaysia 
yang mana kaum wanita hanya ditinggalkan di rumah untuk menyiapkan 
apa-apa persediaan yang diperlukan di rumah sempena budaya rumah 
terbuka di hari Lebaran. Budaya sedemikian rupa perlu dikikis. 
Berusahalah untuk membawa seluruh isi keluarga untuk menghadirkan 
diri bagi mengerjakan solat `Ied al-Fithri. Setelah selesai 
solat `Ied boleh teruskan apa jua agenda yang berupaya 
menggembirakan keluarga anda asalkan tidak bertentangan dengan 
syari'at.


Tatacara Solat `Ied

Waktu untuk mengerjakan solat `Ied  adalah setelah terbitnya 
matahari setinggi tombak sehingga tergelincirnya matahari iaitu 
waktu dhuha. Disunnahkan untuk dilewatkan solat `Ied agar memberikan 
kesempatan mereka yang belum menunaikan zakat fitrah untuk 
menyempurnakannya.

•       Tidak ada solat sunat sebelum dan sesudah Solat `Ied. Dari 
Ibnu `Abbas bahawasanya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam 
keluar pada `Ied al-Fithri kemudian solat dua rakaat dan tidak solat 
sebelumnya dan tidak pula sesudahnya. - Hadis riwayat Imam al-
Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-`Iedaini, hadis no: 989.

Hanya sahaja di Malaysia ini solat `Ied dikerjakan di masjid-masjid. 
Maka perlu untuk dilaksanakan solat Tahiyat al-Masjid kerana secara 
umumnya setiap kali seseorang masuk ke dalam masjid adalah 
disyari'atkan untuk dikerjakan solat sunat dua rakaat Tahiyat al-
Masjid. Ini adalah sebagaimana sabda Nabi shalallahu 'alaihi 
wasallam: 

Apabila salah seorang di antara kamu masuk masjid, hendaklah dia 
rukuk (solat) dua rakaat sebelum duduk. - Hadis riwayat Imam al-
Bukhari dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-Sholah, hadis no: 444


•       Tidak ada azan atau iqamah mahupun apa-apa ucapan sebelum 
solat `Ied. Dari Ibnu `Abbas radhiallahu 'anh: Bahawa Rasulullah 
shallallahu 'alaihi wasallam melaksanakan solat `Ied tanpa azan dan 
tanpa iqamah. - Hadis riwayat Imam Abu Dawud di dalam Sunan Abu 
Dawud, Kitab al-Sholah, hadis no: 968.

Namun untuk kemaslahatan umum, dibolehkan membuat pengumuman ringkas 
untuk memberi tahu para hadirin bahawa solat `Ied berjamaah akan 
bermula, agar mereka dapat bangun dan mula menyusun saf, lebih-lebih 
di tempat solat yang luas dimana kedudukan imam tidak dapat dilihat. 

•       Jumlah rakaat solat `Ied al-Fithri adalah dua. Dari 
Ibnu `Abbas radhiallahu 'anh dia berkata: Bahawasanya Rasulullah 
shallallahu 'alaihi wasallam keluar pada `Ied al-Fithri kemudian 
solat dua rakaat… - Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-
Bukhari, Kitab al-`Iedaini, hadis no: 989.

•       Terdapat tambahan takbir di dalam solat `Ied. 
Dari `Aisyah (radhiallahu 'anha), dia berkata: "Bahawa Rasulullah 
shallallahu 'alaihi wasallam biasa bertakbir pada solat `Ied al-
Fithri dan `Ied al-Adha, pada rakaat pertama tujuh kali takbir dan 
pada rakaat kedua lima kali takbir, selain dari dua takbir rukuk. - 
Hadis riwayat Imam Abu Dawud di dalam Sunan Abu Dawud, Kitab al-
Sholah, hadis no: 970.

Ada pun tentang jumlah takbir secara keseluruhannya sebelum bacaan 
al-Fatihah, maka terdapat dua pendapat yang masyhur:

1.      Untuk rakaat pertama lapan takbir, iaitu satu Takbiratul 
Ihram dan tujuh takbir kerana solat `Ied. 1 + 7 = 8. Untuk rakaat 
kedua enam takbir, iaitu satu takbir kerana memulai rakaat kedua dan 
lima takbir kerana solat `Ied. 1 + 5 = 6.

2.      Untuk rakaat pertama tujuh takbir, iaitu satu Takbiratul 
Ihram dan enam takbir solat `Ied. 1 + 6 = 7. Untuk rakaat kedua lima 
takbir, iaitu satu takbir kerana memulai rakaat kedua dan empat kali 
takbir solat `Ied. 1 + 4 = 5.

Kedua-dua pendapat termasuk dalam kategori perbezaan pendapat yang 
dibenarkan. Boleh memilih salah satu daripadanya atau yang lebih 
tepat, mengikuti takbir imam solat `Ied dalam pendapat yang 
dipilihnya.

•       Tentang haruskah diangkat tangan atau tidak ketika takbir 
tersebut, menurut Syaikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hassan: Tidak 
pernah diriwayatkan dari Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam 
bahawa baginda mengangkat kedua tangannya ketika takbir pada 
solat `Ied (takbir pada rakaat pertama yang berjumlah tujuh kali dan 
pada rakaat kedua lima kali)… Hanya sahaja Ibnul Mundzir 
berkata: "Malik telah berkata bahawa di dalam masalah ini (iaitu 
angkat atau tidak tangan ketika takbir tersebut) tidak ada sunnah 
yang dianggap muktamad. Barangsiapa ingin mengangkat kedua tangannya 
pada waktu takbir tidak mengapa. Namun pendapat pertama (iaitu tidak 
mengangkat tangan) lebih aku sukai." - Syaikh Abu Ubaidah Masyhur 
bin Hassan, Total Koreksi Ritual Salat, ms. 395-396.

Oleh itu di dalam hal ini bolehlah kita memilih untuk mengangkat 
atau tidak tangan ketika takbir-takbir tersebut, namun yang lebih 
hampir kepada sunnah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam ialah dengan 
tidak mengangkatnya. Wallahu'alam.

•       Mengenai bacaan di antara takbir-takbir tersebut maka 
Syaikh `Ali Hassan bin `Ali al-Halabi al-Atsari berkata: Tidak ada 
hadis yang sahih yang diriwayatkan dari Nabi shallallahu 'alaihi 
wasallam mengenai doa tertentu yang dibaca di antara takbir-takbir 
solat `Ied, tetapi telah ditetapkan dari Ibnu Mas'ud 
radhiallahu 'anh bahawasanya dia berkata mengenai solat `Ied: "Di 
antara dua takbir dipanjatkan pujian kepada Allah 'Azza wa Jalla 
sekaligus sanjungan ke atasNya." - Syaikh `Ali Hassan bin `Ali al-
Halabi al-Atsari, Meneladani Rasulullah Shallallahu 'alaihi Wasallam 
Dalam Berhari Raya, ms. 61.

Menurut Imam Ahmad dan Imam al-Syafi'i rahimahumallah sunat di 
antara dua takbir itu membaca zikir seperti:
 ÓõÈúÍóÇäó Çááøóåö æóÇáúÍóãúÏõ áöáøóåö æóáÇó Åöáóåó ÅöáÇøó Çááøóåõ æóÇááøóåõ 
ÃóßúÈóÑõ 
"Subhanallah, walhamdulillah,wa la ilaha illallah, wallahu akbar". - 
Dinukil darpada kitab Fikih Sunnah, karya Syaikh Sayyid Sabiq (edisi 
terjemahan oleh Mahyuddin Syaf, Victory Agencie, Kuala Lumpur, 1990) 
jilid 2, ms. 286.

•       Tentang surah-surah yang dibacakan baginda 
shallallahu 'alaihi wasallam setelah membaca al-Fatihah, Imam Ibnu 
Qayyim al-Jauziyyah rahimahullah telah berkata: Diriwayatkan secara 
sahih dari bacaan pertama surah Qaf dan surah al-Qamar dan bacaan 
kedua surah al-A'laa dan al-Ghaasyiah, dan hanya inilah riwayat yang 
sahih dari beliau tentang bacaan itu (iaitu pada solat `Ied). - Ibnu 
Qayyim al-Jauziyyah, Zaadul Ma'ad, ms. 49.

•       Apabila seseorang tidak dapat turut serta untuk solat `Ied 
bersama secara berjemaah maka hendaklah dia solat dua rakaat secara 
sendiri. Di dalam Shahih al-Bukhari terdapat sebuah riwayat dari 
Atha' bahawa dia berkata:

Jika seseorang terlewatkan (tidak mendapatkan) solat Hari Raya, maka 
hendaklah dia solat dua rakaat. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari di 
dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-`Iedaini, Bab Apabila Seseorang 
Tidak Mendapatkan Solat `Ied, Maka Hendaklah Dia Melaksanakan Solat 
Dua Rakaat.


Khutbah `Ied Al-Fithri

Adalah disunnahkan untuk dilaksanakan khutbah sesudah mengerjakan 
solat `Ied al-Fithri. Dari Abu Sa'id al-Khudri (radhiallahu 'anh), 
dia berkata:

Pada hari `Ied al-Fithri dan `Ied al-Adha, Rasulullah 
shallallahu 'alaihi wasallam keluar menuju musholla. Ketika itu yang 
pertama baginda lakukan adalah solat `Ied. Kemudian baginda 
berpusing dan menghadap jamaah yang sedang duduk di saf-saf mereka. 
Kemudian baginda memberikan nasihat, wasiat dan perintah kepada 
mereka. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, 
Kitab al-`Iedaini, hadis no: 956.

Ada pun cara memulakan khutbah, maka menurut Imam Ibnu Qayyim al-
Jauziyyah rahimahullah:

Baginda memulakan khutbahnya dengan bacaan Hamdallah (Ãóäú ÇáúÍóãúÏó áöáøóåö
...) dan tidak disebutkan di dalam satu hadis pun bahawa baginda 
memulai khutbah `Ied dengan takbir. Hanya sahaja Ibnu Majah 
(rahimahullah) menyebutkan di dalam Sunan-nya, bahawa Sa'd al-Qaradh 
(radhiallahu 'anh), salah seorang mu'adzin Nabi shallallahu 'alaihi 
wasallam pernah memperbanyakkan takbir di dalam khutbah `Ied. 
Sekiranya hadis ini benar, (Seolah-olah Ibnu al-Qayyim meragui 
kualiti sanad hadis tersebut. Yang benar ia adalah dhaif, rujuk 
keterangan Syaikh `Ali Hassan bin `Ali al-Halabi al-Atsari dalam 
bukunya Meneladani Rasulullah Shallallahu 'alaihi Wasallam Dalam 
Berhari Raya, ms. 72. Bertakbir sempena `Ied al-Fithri berhenti 
dengan terdirinya solat `Ied al-Fithri) tetap hal itu tidak 
menunjukkan bahawa baginda memulai khutbah `Ied dengan takbir. Yang 
benar, baginda memulai semua khutbah dengan Hamdallah. - Ibnu Qayyim 
al-Jauziyyah, Zaadul Ma'ad, ms. 49.

Khutbah `Ied juga berbeza dengan khutbah Jumaat kerana ianya tidak 
dibahagikan menjadi dua khutbah dan khatib tidak perlu duduk di 
antara dua khutbah tersebut. Imam al-Nawawi rahimahullah telah 
berkata:

Apa yang diriwayatkan dari Ibnu Mas'ud bahawa dia 
mengatakan: "Disunnahkan berkhutbah pada Hari Raya dengan dua 
khutbah yang keduanya dipisahkan dengan duduk adalah dhai'f (lemah) 
lagi tidak bersambung. Tidak ada satu riwayat sahih pun yang 
menyebutkan dua khutbah. - Dinukil dari kitab 474 Kesalahan Dalam 
Akidah & Ibadah Beserta Koreksinya, karya Syaikh Wahid Abdussalam 
Bali, ms. 424. 

Ini tidak lain menunjukkan sikap keterbukaan Imam al-Nawawi 
rahimahullah memandangkan pendapat ini sebenarnya bercanggah dengan 
pendapat Imam al-Syafi'i rahimahullah yang mengsunnahkan bagi imam 
memisahkan antara dua khutbahnya dengan duduk ketika solat `Ied. 
Inilah sikap yang sepatutnya kita ambil dalam bermazhab. Sekiranya 
terdapat hujjah yang lebih kukuh dari pendapat mazhab yang kita 
pegangi, maka sepatutnya kita meninggalkan pendapat tersebut dan 
mengikuti al-Qur'an dan hadis Nabi shallallahu 'alaihi wasallam. 
Sebenarnya Imam al-Syafi'i rahimahullah sendiri telah melarang kita 
untuk taksub terhadap pendapatnya. Menurut beliau:
Bila kalian menemukan dalam kitabku sesuatu yang berlainan dengan 
hadis Rasulullah, peganglah hadis Rasulullah itu dan tinggalkanlah 
pendapatku itu. (Diriwayatkan oleh Harawi di dalam Dzamm al-Kalam, 
al-Khatib di dalam Ihtijaj bi al-Syafi'i, Ibnu Asakir, al-Nawawi di 
dalam al-Majmu', al-Fullani, Ibnul Qayyim, Abu Nu'aim di dalam al-
Hilyah dan Ibnu Hibban di dalam Shahihnya. Penulis nukil daripada 
buku Sifat Shalat Nabi karya Syaikh Muhammad Nashiruddeen al-Albani, 
ms. 58)

Penulis ingin menganjurkan para pembaca yang budiman untuk 
mendapatkan sebuah buku bertajuk Pedoman-Pedoman Bermazhab Dalam 
Islam yang ditulis oleh Hafiz Firdaus Abdullah terbitan Jahabersa.

Para jemaah juga tidak diwajibkan untuk menghadiri khutbah `Ied ini. 
Oleh itu setelah selesai mengerjakan solat `Ied bagi seseorang yang 
tidak ingin turut serta untuk mendengar khutbah maka dia dibenarkan 
untuk meninggalkan majlis tersebut. Ini sebagaimana diriwayatkan 
dari `Abdullah bin al-Sa'ib (radhiallahu 'anh), dia berkata: 

Aku pernah menghadiri solat `Ied bersama Nabi shallallahu 'alaihi 
wasallam dan ketika selesai solat baginda bersabda: "Sesungguhnya 
kami akan berkhutbah, barangsiapa ingin duduk untuk mendengarkan 
khutbah maka dipersilakan. Dan barangsiapa yang ingin pergi, maka 
dipersilakan untuk pergi. - Hadis riwayat Imam Abu Dawud di dalam 
Sunan Abu Dawud, Kitab al-Sholah, hadis no: 975

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam juga amat mengambil berat 
tentang perihal kaum wanita. Setelah selesai berkhutbah baginda akan 
menemui kaum wanita dan memberi nasihat khusus kepada mereka lalu 
menganjurkan mereka untuk banyak bersedekah. Dari Jabir 
bin `Abdullah radhiallahu 'anh dia berkata bahawa dia mendengar 
Atha' radhiallahu 'anh berkata:

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berdiri pada hari `Ied al-
Fithri melakukan solat dan berkhutbah. Setelah selesai, baginda 
turun lalu menemui para wanita, baginda menasihati mereka seraya 
memegang tangan Bilal. Bilal membentangkan bajunya, dan para wanita 
menghulurkan sedekah mereka…  - Hadis riwayat Imam al-Bukhari di 
dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-`Iedaini, hadis no: 978.


Bergembira Di Hari Raya `Ied Al-Fithri

Islam adalah agama yang praktikal lagi munasabah. Setelah sebulan 
umat Islam memberi tumpuan sepenuhnya untuk beribadah kepada 
Allah 'Azza wa Jalla, maka kini tiba masanya untuk menyambut 
kejayaan tersebut dengan kegembiraan dan kemeriahan. Oleh itu usaha-
usaha untuk menimbulkan suasana kegembiraan di dalam keluarga masing-
masing pada Hari Raya `Ied al-Fithri adalah sebahagian daripada 
syi'ar Islam. Suasana kegembiraan ini berbeza mengikut adat 
setempat. 

Bagi kita di Malaysia kegembiraan sambutan Hari Raya `Ied al-Fithri 
dapat dilihat dengan berkumpul seluruh ahli keluarga dan ziarah-
menziarah sesama umat Islam. Di sesetengah negara Timur Tengah, cuti 
umum Hari Raya `Ied al-Fithri dipergunakan untuk membawa ahli 
keluarga bersiar-siar serta berkelah di tempat-tempat peranginan. 
Semua bentuk kegembiraan dan kemeriahan ini adalah sebahagian dari 
tuntutan agama Islam sempena menyambut `Ied al-Fithri selagi mana ia 
dilaksanakan sesuai dengan lunas-lunas syarak. Menurut Syaikh Sayyid 
Sabiq rahimahullah:

Mengadakan permainan serta kegembiraan yang tidak melanggar aturan 
agama, begitupun pelbagai macam nyanyian yang baik, semua itu 
menjadi syi'ar agama yang disyari'atkan Allah pada Hari Raya, untuk 
melatih tubuh jasmani dan untuk kepuasan serta kesenangan hati. - 
Syaikh Sayyid Sabiq, Fikih Sunnah, jilid 2, ms. 290.

Terdapat beberapa hadis yang menunjukkan suasana kegirangan di Hari 
Raya pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam di mana 
baginda membenarkan acara-acara permainan untuk tontonan umum dan 
nyanyian yang tidak bercanggah dengan syarak. Di antara hadis-hadis 
tersebut adalah:

Hari itu adalah Hari Raya, di mana orang-orang Sudan bermain pedang 
dan perisai. Aku (`Aishah radhiallahu 'anha) tidak ingat apakah aku 
yang meminta untuk melihatnya ataukah Rasulullah shallallahu 'alaihi 
wasallam yang berkata: "Apakah kamu ingin melihatnya." Aku pun 
menjawab: "Ya." Aku disuruhnya berdiri di belakangnya, di mana 
pipiku dekat dengan pipi baginda. Baginda berkata: "Biar yang lain, 
wahai Bani Arfidah!" Ketika aku merasa bosan, baginda bertanya 
kepadaku: "Sudah cukup?" Aku menjawab: "Ya." Bagindapun 
bersabda: "Pergilah." - Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam 
Shahih al-Bukhari, Kitab al-`Iedaini, hadis no: 950

Dari `Aisyah radhiallahu 'anha, dia berkata: "Rasulullah 
shallallahu 'alaihi wasallam masuk ke rumahku (pada Hari Raya), dan 
ketika itu aku bersama dua budak perempuan yang sedang menyanyikan 
lagu peperangan Bu'ats. Baginda langsung berbaring di atas tempat 
tidur sambil memalingkan wajahnya. Ketika Abu Bakar 
(radhiallahu 'anh) masuk ke rumahku, dia memarahiku dan 
berkata: "Pada pandangan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, 
(nyanyian) itu adalah seruling setan." Mendengar itu maka Rasulullah 
shallallahu 'alaihi wasallam menemui Abu Bakar dan berkata 
kepadanya: "Biarkanlah mereka." Ketika Rasulullah 
shallallahu 'alaihi wasallam lengah, aku memberikan isyarat dengan 
mata kepada kedua budak perempuan itu hingga mereka keluar. - Hadis 
riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-
`Iedaini, hadis no: 949.

Dari kedua-dua hadis ini al-Hafidz Ibnu Hajar al-Asqalani 
rahimahullah telah berkata: Pada Hari Raya dibolehkan mengadakan 
kegiatan yang dapat menghiburkan keluarga untuk melepas kelelahan 
setelah melakukan ibadah. Menampakkan kegembiraan pada Hari Raya 
merupakan sebahagian dari syi'ar Islam. - Al-Hafidz Ibnu Hajar al-
Asqalani, Fathul Baari, jilid 5, ms 262.


Oleh itu kebiasaan masyarakat kita dalam berhari Raya seperti 
bersalaman dengan orang tua sambil meminta maaf, saling 
mengucapkan "Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin", menjamu 
rendang, lemang, ketupat dan kuih-muih serta melanjutkan sambutan 
Hari Raya sehingga genap sebulan adalah sesuatu yang dibolehkan. Ia 
tidak menyalahi syari'at mahu pun sunnah selagi mana dalam kebiasaan 
tersebut tidak dilakukan sesuatu yang mungkar atau ibadah yang 
bid'ah.


Kesimpulan

Demikianlah sunnah-sunnah Rasulullah shallallahu `alaihi wasallam 
dalam berhari Raya. Di antara sunnah-sunnah tersebut adalah memiliki 
nilai hukum, ada yang memiliki nilai anjuran dan ada yang terbuka 
kepada uruf (kebiasaan) masyarakat mengikut masa dan tempat. 
Hayatilah ia dan ikutilah ia, nescaya kita seolah-olah berhari Raya 
bersama Rasulullah sekali pun kita hidup lebih 1400 tahun selepas 
kewafatan baginda. 

MOHD YAAKUB BIN MOHD YUNUS ialah Penolong Naib Presiden di Bahagian 
Perbankan Perusahaan, Affin Bank Berhad. (016 2640 722) dan KAPTEN 
HAFIZ FIRDAUS ABDULLAH ialah seorang Juruterbang di Sistem 
Penerbangan Malaysia (019 384 8467)






--------------------------------------------------------------------------
**Boycott Israel**Support Palestine** 

All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in 
any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved 
otherwise. 

If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily 
digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your 
mail delivery settings or email the moderators at [EMAIL PROTECTED] with the 
title "change to daily digest". 

--------------------------------------------------------------------------

Affiliates:
Islamic_Board - Malaysia - Islamic Events and Notices 
http://groups.yahoo.com/group/islamic_board/

iPerintis - eGroup untuk Saintis dan Jurutera Muslim  
http://groups.yahoo.com/group/iperintis/

Recommended sites:
Angkatan Belia Islam Malaysia  : http://www.abim.org.my
Jamaah Islah Malaysia          : http://www.jim.org.my
Radio Islam Kuliyyah           : http://www.kuliyyah.com
Palestinkini Info              : http://www.palestinkini.info
Partai Keadilan Sejahtera      : http://pk-sejahtera.org
Fiqh Siber                     : http://al-ahkam.net/
The Muslim Brotherhood         : http://ikhwanweb.com
Hidayahnet website             : http://hidayahnet.multiply.com/   
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/hidayahnet/

<*> Your email settings:
    Individual Email | Traditional

<*> To change settings online go to:
    http://groups.yahoo.com/group/hidayahnet/join
    (Yahoo! ID required)

<*> To change settings via email:
    mailto:[EMAIL PROTECTED] 
    mailto:[EMAIL PROTECTED]

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 

Kirim email ke