Pensyarah USM mufti termuda
http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Wednesday/Nasional/20061114231310/Article/

ARAU: Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau
Pinang, Dr Mohd Asri Zainul Abidin dilantik Mufti
Perlis berkuat kuasa 1 November lalu sekali gus
menjadi mufti termuda di negara ini.

 


Beliau yang berumur 35 tahun, ialah pensyarah
Pengajian Islam di USM sejak 2003 dan dipinjamkan
sebagai Mufti Perlis untuk tempoh dua tahun.

Dr Mohd Asri dilantik ke jawatan itu bagi menggantikan
Datuk Alim Panglima Mat Jahya Hussin yang kini
dilantik Penasihat Agama Perlis, selepas memegang
jawatan mufti selama 23 tahun.

Watikah pelantikan Dr Mohd Asri disampaikan Pemangku
Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail
dalam satu majlis yang berlangsung di Istana Arau, di
sini, semalam. Hadir sama, pegawai tinggi kerajaan
negeri termasuk Pegawai Kewangan negeri, Musa Hassan.

Mohd Asri, anak kelahiran Bukit Mertajam, Pulau
Pinang, itu adalah penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah
peringkat Perlis tahun ini.

Beliau mendapat pendidikan di Kolej Islam Klang
sebelum menyambung pelajaran peringkat Sarjana Muda di
Universiti Jordan dalam bahasa Arab dan Syariah.

Beliau seterusnya menyambung pelajaran ke peringkat
sarjana di USM dalam bidang Pengajian Islam dan Doktor
Falsafah (PhD) di Universiti Islam Antarabangsa
Malaysia (UIAM) dalam bidang Pengajian Hadis.

Dr Mohd Asri kemudian memulakan kerjaya sebagai
pensyarah di USM pada 2003 sebelum ditawarkan sebagai
Mufti Perlis, tetapi pada masa sama masih terikat
sebagai kakitangan USM.

Ketika ditemui selepas majlis watikah pelantikan itu,
Dr Mohd Asri berkata, dalam tempoh dua tahun ini
beliau mahu meningkatkan pembangunan ilmiah dan minda
umat Islam di Perlis.

Katanya, hanya ilmu pengetahuan dengan fakta yang
jelas saja mampu menyelesaikan sesuatu isu yang
timbul, sekali gus dapat mengelak timbul salah sangka
di kalangan umat Islam.

“Ketika ini, ramai tokoh agama yang bercakap dan
menyuarakan pandangan dengan bersahaja tanpa fakta
lengkap. Jika pandangan itu tidak betul, akan timbul
anggapan di kalangan generasi muda bahawa agama itu
hanyalah mitos,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu pernah berlaku terhadap
agama Kristian satu masa dulu apabila penganutnya
tidak lagi mempercayai kepada institusi gereja.

Dr Mohd Asri berkata, sebagai mufti juga, beliau akan
berusaha membebaskan umat Islam daripada kongkongan
konservatif yang menjadikan Islam seperti milik
golongan tertentu saja.

“Sebagai umat Islam, kita perlu kembali kepada fakta
dan meninggalkan amalan atau perbuatan konservatif.
Kita mesti berubah daripada beragama tanpa sebab
kepada beragama secara sedar,” katanya.



 
____________________________________________________________________________________
Do you Yahoo!?
Everyone is raving about the all-new Yahoo! Mail beta.
http://new.mail.yahoo.com

Kirim email ke