From: "pak ngah" <[EMAIL PROTECTED]>
Date: Thu, 9 Nov 2006 10:21:51 +0800
Subject:Ilmu silat bawa Steven Eric Krauss kepada Islam
Utusan Malaysia, 9 november 2006
Oleh: ZUNAIDAH ZAINON
PERKAHWINANNYA dengan Dr. Latiffah Hassan dikurniakan dua cahaya
mata, Maryam Jameelah (berbaju merah) dan Mohd. Adam Firdaus (tiada dalam
gambar).
---------------------------------
PENGALAMAN hidup yang dilalui oleh setiap individu adalah berbeza. Dalam
melayari kehidupan juga, banyak persoalan timbul tetapi gagal untuk mencari
jawapan yang sering berlegar-legar di fikiran. Begitulah kembara hidup yang
ditempuh Dr. Abdul Lateef Abdullah atau Steven Eric Krauss dalam perjalanannya
menyahut seruan Islam.
Pensyarah berusia 34 tahun ini yang bertugas di Jabatan Pembangunan
Profesional dan Pendidikan Lanjutan, Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti
Putra Malaysia (UPM), menyifatkan Cikgu Sulaiman sebagai individu terpenting
yang membawanya menyelami agama Islam.
Menurut beliau, Islam memberinya jawapan kepada persoalan mengenai kewujudan
Tuhan yang dicari-carinya selama 26 tahun menjadi penganut Kristian Protestan.
"Jiwa saya lebih tertarik kepada pembinaan rohani dan mula mencari-cari
sesuatu yang bermakna dalam hidup. Ketika itu, saya menyedari bahawa terdapat
banyak persoalan yang tidak mampu dijawab seperti Tuhan dan sebagainya," cerita
Lateef yang memperoleh ijazah Sarjana Muda Sains Politik dan Ekonomi dari
Universiti Delaware, Amerika Syarikat (AS).
Jalan menuju keislaman bermula ketika beliau menuntut di Universiti Columbia
New York pada 1998 bagi mengikuti pengajian peringkat sarjana. Lateef tinggal
sebilik dengan rakannya, Seth yang beragama Yahudi. Seth mengikuti kelas silat
gayung iaitu seni mempertahankan diri orang Melayu yang berasaskan kepada
ajaran Islam.
Setiap kali pulang dari kelas, Seth menceritakan keunikan silat hingga pada
suatu masa ia menarik perhatian Lateef untuk turut sama menyertainya. Atas
dasar ingin tahu, beliau mula mengikuti kelas silat bersama-sama dengan Seth di
bawah tunjuk ajar Cikgu Sulaiman. Tanpa diketahui, jiwa halusnya disuntik
riak-riak keislaman sejak mengikuti kelas tersebut buat pertama kalinya pada 28
Februari 1998.
Akui Lateef, beliau cukup tertarik dengan pendekatan Cikgu Sulaiman mengajar
silat yang mengaitkannya dengan konsep mengenali Allah dan mengagumi
kebesaran-Nya. Silat juga banyak berkait dengan pembinaan kekuatan dalaman dan
spiritual.
"Ia bukan sahaja berkaitan dengan silat tetapi cara Cikgu Sulaiman mengajar
dan falsafahnya begitu menarik. Bagi Cikgu Sulaiman, apa sahaja agama dan
kepercayaan yang dianuti, kita perlu menjadi pengikut yang baik dengan mengikut
setiap perintah dan amalannya. Maksudnya, kalau anda seorang Yahudi atau
Kristian jadilah penganut yang baik.
"Sejak mengikuti kelas silat, Seth banyak berubah dan menjadi seorang yang
alim walaupun sebelum itu dia tidak mementingkan agama," cerita Lateef mengenai
keistimewaan Cikgu Sulaiman.
Untuk mendalami Islam, beliau dan Seth pernah tinggal selama dua bulan
bersama-sama Cikgu Sulaiman dan keluarganya. Dalam tempoh tersebut, Lateef
berpeluang melihat kehidupan dan amalan sebagai orang Islam seperti mendirikan
solat, berdoa dan berzikir. Walaupun Seth berminat dengan Islam tetapi hingga
kini difahamkan masih belum memeluk Islam. Berbanding dengan Lateef, beliau
menemui jawapan yang dicari-carinya selepas mengenali Islam melalui Cikgu
Sulaiman.
"Sejak belajar silat, saya merasakan kesempurnaan jiwa, minda dan pemikiran.
Apabila kemahiran silat semakin bertambah, ilmu pengetahuan mengenai Islam juga
semakin meningkat. Tambahan pula, ketika itu, saya sedang tercari-cari sinar
baru dalam hidup setelah merasakan agama dianuti tidak mampu memberi jawapan
kepada persoalan saya mengenai ketuhanan dan spiritual," ujarnya yang mengambil
keputusan melafazkan syahadah pada 30 Julai 1999.
Buat pertama kali Lateef menemui ketenangan jiwa dan panduan yang akan
membawanya ke arah jalan yang benar dengan berpaksikan kepada kebesaran Allah
s.w.t. dan kitab suci al-Quran.
"Saya percaya kepada kewujudan Tuhan semasa menjadi penganut agama Kristian
tetapi setelah memeluk Islam, saya melihat kebesaran dan kekuasaan Allah s.w.t.
dalam pelbagai aspek kehidupan. Ia amat berkait rapat dengan setiap perkara
yang kita lakukan seperti memandu kereta, makan dan bekerja.
"Allah s.w.t. sentiasa melihat apa yang kita lakukan. Ini membuatkan saya
merasakan agama Islam sangat unik. Tidak dinafikan, sebagai orang Barat, mereka
juga mencari persoalan yang sama iaitu tentang kewujudan Tuhan. Dan Islam
adalah jawapan kepada pencarian saya selama ini," tambahnya.
Lebih manis, selepas empat bulan memeluk Islam, atas ketentuan Allah, beliau
dipertemukan dengan Dr. Latiffah Hassan, 35, yang ketika itu menuntut di
Universiti Cornell, AS pada peringkat Doktor Falsafah (PhD). Enam bulan
kemudian iaitu pada Jun 2000, mereka berkahwin. Sejurus Latiffah tamat
pengajiannya, mereka kembali ke Malaysia pada 2001.
Perkahwinan dengan pensyarah di Fakulti Perubatan dan Veterinar, UPM itu yang
telah mencecah usia enam tahun mengurniakan mereka dua cahaya mata, Maryam
Jameelah, 4, dan Mohd. Adam Firdaus, tiga bulan.
"Sekali lagi Cikgu Sulaiman membantu saya dalam urusan perkahwinan
termasuklah menghubungi bapa Latifah untuk mewalikan hakim isteri saya kerana
beliau tidak dapat hadir.
"Kami juga menempuh pengalaman yang cukup menarik apabila diraikan dalam satu
majlis perkahwinan tradisional Melayu lengkap berpakaian songket dan
persembahan silat," jelasnya.
Kata Lateef, ibu mertua Cikgu Sulaiman yang datang ke New York turut membawa
kelengkapan perkahwinan termasuklah perhiasan dan sebagainya.
"Lebih menarik kerana ia turut dihadiri oleh tetamu berbilang agama seperti
Yahudi serta Kristian," tambahnya yang menyifatkan Latiffah sebagai wanita yang
sangat istimewa dalam segala aspek.
Selepas bergelar Muslim, pandangan Lateef terhadap prospek kehidupan semakin
berkembang luas terutama menjaga hubungan yang baik dengan ahli keluarga.
Katanya, di AS, ibu bapa yang telah tua selalunya menjadi beban kepada
anak-anak tetapi Islam mengajar agar setiap umatnya bertanggungjawab kepada ibu
bapa walaupun mereka sudah tua.
Secara tidak langsung Islam mendidiknya supaya menjadi anak yang lebih
bertanggungjawab kepada keluarga dan ayahnya sudah meninggal dunia pada 2002.
Kini, ibu dan kakaknya menetap di Pennsylvania, AS. Banyak nilai dalam
hidupnya sudah berubah dalam usaha meningkatkan kualiti hidup.
Menurut Lateef, Cikgu Sulaiman kini berada di Bayan Baru, Pulau Pinang dan
masih mengajar silat gayung kepada anak muridnya. Malah hubungan baik yang
terbina antara Lateef dan Cikgu Sulaiman masih diteruskan hingga ke hari ini.
Beliau menggambarkan Cikgu Sulaiman sebagai lelaki yang dinamik dan pernah
merantau ke beberapa buah negara. Cikgu Sulaiman pernah menetap di Jerman
selama tujuh tahun dan kemudiannya di AS selama 13 tahun.
Malah dia dan isterinya mempunyai restoran di Philadelphia dan sekolah
berasrama penuh yang mempunyai 30 pelajar Islam AS. Semua orang mengenali
mereka dan sekolah tersebut.
*Disoal siasat
"Bagaimanapun, secara tiba-tiba semua keadaan tersebut berubah selepas
peristiwa 11 September 2001. Orang Islam tidak kira berasal dari negara mana
menjadi suspek dan disoal siasat.
"Keadaan ini menyebabkan Cikgu Sulaiman dan keluarganya mengambil keputusan
pulang ke Malaysia dan menetap di Pulau Pinang," ujar Lateef mengenai kesan
peristiwa tersebut ke atas masyarakat Islam di AS.
Beliau yang memperoleh PhD dari UPM pada tahun lalu dan merupakan penulis
jemputan untuk islamonline.net berpendapat, wujud banyak perbezaan dari aspek
pembangunan dan pendidikan Islam di AS dan Malaysia. Jelasnya, Islam di negara
ini mempunyai susur galur sejarahnya tersendiri yang tidak boleh dipisahkan
dengan budaya.
Berbanding di AS, hampir 70 peratus penduduknya masih menganggap Islam adalah
perkara baru bagi mereka. Situasi ini menyebabkan masyarakat Islam termasuk
saudara baru sukar untuk mempraktikkan agama itu.
Selain itu, cabaran utama yang perlu dihadapi saudara baru ialah kekurangan
guru agama walaupun ramai yang berminat mendalami Islam.
"Ketika di AS, saya tidak terlepas berhadapan dengan masalah ini. Keadaan ini
amat sukar kerana sebagai saudara baru, kita memerlukan panduan dan bukannya
hanya belajar dari buku-buku dan Internet. Bahkan sokongan keluarga juga amat
diperlukan," katanya.
Selain Cikgu Sulaiman, beliau turut belajar mengaji daripada Ustaz Johari
yang ketika itu berkhidmat di Kedutaan Malaysia di Washington. Lateef bekerja
di Washington selama tiga tahun selepas menamatkan pengajian peringkat sarjana.
--
Posted By Pak Ngah to Bicara Bersama Pak Ngah 2 at 11/09/2006 10:02:00 AM
--
"Sesungguhnya Solatku, Ibadatku, Hidupku dan Matiku adalah kerana Allah Tuhan
Semesta Alam"