Islam menjadikan umatnya hanya berserah? Oleh: PROF. DR. SIDEK BABA
BANYAK tanggapan dibuat bahawa Islam agama berserah. Umat Islam adalah umat
menyerah. Pergantungan kepada Tuhan yang tinggi menyebabkan pergantungan kepada
nasib tanpa usaha. Doa umat Islam selalunya panjang tetapi ikhtiar umat Islam
lazimnya pendek.
Menerima sesuatu walaupun menyalahi agama dikatakan rezeki. Terjadinya
sesuatu walaupun kerana kesilapan sendiri dikatakan takdir Allah. Umat Islam
sering memilih menjadi tangan yang menerima, lebih dari tangan yang memberi.
Sikap dan mind-set orang-orang Islam memang pelik. Ibadah solatnya hebat,
kesan perubahan diri amat kerdil. Menuding kesilapan orang lain menjadi amalan,
menginsafi kelemahan sendiri kurang berlaku. Kuman di seberang laut nyata
nampaknya, gajah di bibir mata dilupakan saja.
Mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih. Angan-angan tinggi,
kemampuan melaksana kurang. Mencacat sesuatu ghairah belaka, melakukan
pembaikan pantang sekali.
Sikap berserah kepada Allah tidaklah salah. Berserah tanpa usaha menjadikan
umat kalah. Berserah bukan di awal usaha. Kalau tidak dipecahkan ruyung
bagaimana mendapat sagunya. Alang- alang menyeluk pekasam biar sampai ke
pangkal lengan.
Usaha mendatangkan ikhtiar. Ikhtiar dengan jiwa tawakal menjadikan manusia
cekal. Cekal tanpa putus asa membolehkan manusia berjasa. Hujung kejayaan doa
dipanjatkan. Antara usaha dan doa, Allah mengkabulkan hati-hati yang ikhlas.
Pergantungan kepada Allah adalah sesuatu yang wajar. Allah memberi manusia
akal supaya manusia berfikir. Allah membekalkan manusia hati supaya manusia
memiliki neraca pertimbangan.
Ilmu Allah (al-Quran) menjadi suluh kepada akal. Akal yang berkembang tanpa
suluh hikmah menjadikan manusia meraba-raba. Pergantungan kepada Allah kerana
Allah maha berkuasa dan perkasa. Pergantungan kepada manusia banyak kurangnya.
Doa tidaklah salah. Doa kata Nabi, ibu segala ibadah. Doa juga senjata untuk
untuk orang-orang Mukmin. Doa tidak saja permohonan dan harapan, doa adalah
usaha dan ikhtiar. Doa adalah dedikasi dan kesabaran. Doa adalah azam dan
tekad. Doa adalah roh untuk berjaya.
Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu bangsa, melainkan bangsa itu sendiri
mengubah dirinya sendiri. Mengubah diri perlukan ilmu.
Ilmu yang benar dan bermanfaat mendukung akhlak. Ilmu tanpa akhlak sifatnya
tidak membimbing. Ilmu tanpa nilai menjadikan manusia hilang pedoman. Al-Quran
memberi manusia nilai.
Nilai-nilai Qurani mempedoman manusia jalan yang benar dan jalan yang salah.
Mengembalikan diri kepada nilai-nilai Qurani meletakkan manusia sentiasa berada
dalam keadaan fitrah. Inilah asas kemajuan dan perubahan dalam Islam. Menolak
fitrah bermakna menolak jalan Islam.
Rezeki adalah sesuatu yang baik datang dari Allah. Anugerah Allah ini
diperoleh dengan niat yang baik, matlamat yang betul dan cara yang tidak
menyalahi syarak.
Mengaitkan sesuatu sebagai rezeki dari Allah ialah menghubungkan usaha dan
ikhtiar yang diredainya. Jalan berfikir seperti ini harus jelas supaya sesuatu
yang baik dari Allah tidak disalahfaham atau disalahguna. Rahmat dan nikmat
Allah adalah untuk kebaikan.
Kebaikan itu apabila dilimpahkan kepada yang berhak ia memberi barakah yang
tinggi. Barakah sering menjadi hikmah yang hilang dalam usaha dan ikhtiar
manusia.
Takdir Allah boleh berlaku pada sesiapa. Baik dan buruk adalah takdir. Ia
terkandung hikmah. Kebaikan dari Allah yang tidak diterima dengan rasa syukur
boleh menjadi musibah. Keburukan yang diterima, mendorong seseorang bersyukur
ia boleh membawa kepada rahmah. Musibah dari Allah selalunya membawa ujian.
Bagi yang sabar, ia bakal mendapat jawapannya. Bagi yang gopoh dan gelojoh,
menyebabkannya hilang pertimbangan. Hidup adalah suatu perjalanan. Ada ketika
manusia melalui lebuh raya yang luas. Leka dan lalai boleh menyebabkan
kemalangan. Ada ketika manusia melalui jalan yang kecil dan berliku.
Berhati-hati menyebabkan perjalanan selamat.
Takdir jangan dipersalahkan. Takdir harus disyukuri. Hikmah dari takdir
adalah sekolah hidup. Darinya manusia mengenal Allah dan mengetahui
kekuasaan-Nya. Darinya manusia akan sentiasa berjiwa rukuk dan sujud serta
berjiwa hamba.
Semangat kekhalifan menyebabkan putus asas tidak ada. Ikhtiar disertai doa,
doa diiringi tekad dan azam yang tinggi menjadikan usaha diredai dan diberkati.
Tidak salah menjadi tangan yang menerima sekiranya seseorang itu berhak.
Lebih mulia menjadi tangan yang memberi kerana ia menjadi orang yang bersyukur.
Orang yang bersyukur memiliki harga diri.
Rahmat dan nikmat yang melimpah maksudnya untuk manusia. Rezeki tidak datang
bergolek. Usaha dan doa tidak harus putus. Tangan yang memberi memakmurkan
sedekah. Sedekah dari sumber yang halal adalah ibadat. Ibadat yang berterusan
membawa berkat.
Remaja Islam harus ada keinsafan. Bukan agama membawa remaja menyerah membuta
tuli kepada Allah. Allah berikan rahmat dan nikmat untuk jalan remaja
berikhtiar.
Allah berikan akal dan hati supaya remaja ada kekuatan. Kekuatan ilmu dan
nilai memberikan jalan terbaik bagi usaha dan ikhtiar. Bekerjalah remaja
seolah-olah kehidupan itu 1,000 tahun. Hubungkan kerja sebagai ibadah
seolah-olah kematian akan berlaku pada keesokan hari.
Berusaha dengan pedoman Allah, jalannya terang benderang. Berikhtiar dengan
reda Allah, natijahnya kemakrufan. Menjadi remaja perlukan pedoman yang baik.
Tanpa pedoman yang baik nafsu dan keinginan menjadi liar.
Setiap benda yang Allah jadikan ada hikmah rohaniah di sebaliknya. Bagi
remaja yang berfikir, setiap kejadian menjadikan remaja lebih berilmu. Hikmah
di sebalik ilmu menjadi hidup remaja lebih bermakna.
Makna dalam hidup berada pada remaja yang sentiasa bersyukur. Remaja yang
bersyukur adalah remaja yang dekat dengan Allah. Remaja yang dekat dengan Allah
sentiasa diberikan taufik dan hidayah.
Sesetengah remaja menjadikan naluri dan nafsu tanpa batas. Kelazatan dunia
tidak kekal. Kelazatan yang berlaku dengan reda Allah memberi kesan bahagia dan
sejahtera yang panjang. Kelazatan yang bersifat nafsu-nafsi menjadikan remaja
ketagih. Meneruskan ketagihan tanpa reda Allah sering menjerumuskan remaja
kepada kebinasaan.
Remaja yang dikasihi Allah adalah remaja yang insaf bahawa hidup ini adalah
suatu perjalanan. Perjalanan yang singkat belum cukup memberi pedoman dan arah
tentang bukit-bukau dan liku-liku.
Perjalanan jauh belum tentu menemukan remaja dengan destinasi. Belajar dari
perjalanan hidup memperkayakan remaja dengan pemandangan dan pengalaman. Ia
menjadikan remaja dewasa dan matang. Belajar dari proses dewasa dan matang
menjadikan remaja lebih bersedia untuk masuk ke lebuh raya kehidupan iaitu alam
dewasa.
Sebagai remaja Islam sikap menyerah membuta-tuli tidak harus ada. Untuk maju
dan membangun mesti ada ilmu. Membangun dalam acuan yang Allah reda mesti patuh
dengan jalan syarak.
Para remaja jangan membiarkan diri hanyut dalam arus perubahan. Remaja Islam
harus mampu menongkah arus. Arus Barat boleh menghanyutkan bagi yang lalai.
Arus dari Islam boleh menyelamatkan bagi yang menginsafi.
Menyerah kepada Allah selepas azam dan ikhtiar dilakukan. Darinya kurniaan
rezeki dan berkat memberi jalan kepada amal soleh. Amal soleh adalah puncak
ikhtiar dan takdir.
- DR. SIDEK BABA ialah pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
(UIAM), Gombak.
Islam menghalang kemajuan? Oleh PROF. DR. SIDEK BABA
Ada orang berpendapat bahawa untuk maju seperti orang Barat, agama jangan
dibawa serta. Banyak dari ajaran agama menghalang proses kemajuan. Dari sudut
ilmu, ada yang berpendapat bahawa agama sesuatu yang tidak rasional.
Agama dikaitkan dengan dogma. Sehingga seorang pemikir Barat bernama Derrida
menyebutkan Tuhan sudah mati.
Golongan ini berpendapat bahawa akal adalah segala-galanya. Kaedah saintifik
adalah kaedah yang selari dengan akal yang berasaskan logik dan rasional.
Kaedah agama dikatakan tidak logik dan tidak rasional. Oleh itu menjadikan
agama sebagai pedoman hidup dikatakan tidak saintifik.
Untuk maju, sains adalah jawapan. Minda atau akal adalah segala-gala. Yang
penting ialah data dan fakta. Sesuatu yang ghaib dianggap tidak berasaskan data
dan fakta. Oleh itu kemajuan yang harus didukung ialah kemajuan yang berasaskan
sains.
Islam sebenarnya tidak menolak kepentingan akal dan sains. Akal dan sains
tidaklah segala-gala. Menjadikan faktor sains dan akal semata-mata sebagai
ukuran maju dan membangun tidak senafas dengan makna Islam itu sendiri.
Sejarah tamadun Islam menunjukkan sains berkembang dengan subur. Tetapi sains
yang didukung oleh nilai Rabbani dan etika yang tinggi.
Akal adalah sesuatu yang amat diutamakan oleh Islam. Al-Quran menyebutkan
pada banyak tempat tentang kepentingan akal. Akal membolehkan seseorang
mengingat dan menghafaz, berfikir dan mempunyai daya taakulan. Al Quran
menyebutkan ulul albab dan konsep tadabbur sebagai asas berfikir dan
mengetahui. Tetapi pemikiran berasaskan akal tidak cukup untuk memahami diri,
persekitaran, alam dan kehidupan apalagi perkara-perkara yang ghaib.
Allah memberikan kita pedoman al-Quran yang terkandung hikmah bagi memimpin
akal supaya pemikiran terarah dan mendapat makna yang betul.
Sains mengikut perspektif Islam ialah ikhtiar manusia untuk mengetahui
sesuatu sama ada alam, cakerawala, bumi, manusia dan kehidupan - supaya manusia
mempunyai jawapan terhadap sesuatu itu. Tetapi tradisi sains Islam tidak saja
mengkaji kewujudan sesuatu yang memerlukan kajian dan penelitian, tetapi di
sebalik kewujudan sesuatu terdapat hikmah atau rahsia kewujudannya yang
dikaitkan dengan pencipta iaitu Allah s.w.t.
Surah al-Alaq yang membawa maksud Iqra' atau baca membawa maksud yang amat
luas. Membaca tidak hanya bermaksud menatap apa yang tersurat tetapi mengkaji
apa yang tersirat. Al- Quran tidak sekadar dibaca untuk mendapatkan fadilat
atau pahala tetapi ayat-ayat Allah terkandung pedoman untuk hidup dan gambaran
tentang kehidupan manusia untuk dijadikan ibrah atau pedoman.
Lima ayat pertama surah itu memberikan kita asas tentang ilmu dan sains.
Maksud alaqa iaitu darah beku itu selari dengan sains embriologi. Surah
al-Mukminun, ayat 24, menyatakan darah beku terhasil dari air mani yang
datangnya dari saripati tanah. Saripati tanah dalam erti kata yang luas
terkandung bahan-bahan zat seperti kalsium, mineral, protein dan lain-lain dan
ia wujud dalam buah-buahan, sayuran-sayuran yang tumbuh dan dimakan oleh
manusia. Ia menjadi darah dan daging dan sebahagiannya air mani yang terkandung
kromosom X dan Y. Asas saintifik ini tidak bercanggah dengan apa yang terdapat
dalam al-Quran.
Asas nilai dan etika
Oleh itu, asas kemajuan saintifik dalam tradisi Islam berasaskan nilai-nilai
murni dan juga etika yang baik. Sandaran nilai-nilai murni datangnya dari
al-Quran dan sunah Nabi dan sandaran etika yang baik datangnya dari ajaran
Islam yang menganjurkan amanah, keikhlasan, kejujuran, keadilan, bijaksana,
sifat syukur dan lain-lain. Asas nilai dan etika yang dijadikan pedoman
berfikir dan melakukan kajian saintifik akan membimbing manusia dekat kepada
pencipta dan memanfaatkan rahmat dan nikmat Allah yang banyak untuk
kesejahteraan manusia. Bukan melakukan monopoli atau eksploitasi yang
menyebabkan manusia menderita.
Para remaja harus insaf bahawa umat Islam adalah umat yang bertamadun.
Al-Quran dan As- sunah adalah sumber utama kepada pembinaan tamadun. Umat Islam
yang bertamadun ialah yang menjadikan al-Quran sebagai sumber ilmu dan sunah
Nabi sebagai sumber ikutan dalam akhlak dan tingkahlaku.
Sebahagian remaja Islam pada hari ini kagum tentang Barat sebagai sumber
tamadun. Apa saja yang datang dari Barat dianggap maju. Sehingga terdapat di
kalangan remaja lupa kepada agama dan tamadun yang dicetuskan oleh Islam. Malah
terdapat remaja yang menolak tradisi dan budaya baik yang terdapat dalam
peradaban bangsanya.
Islam tidak mengambil pendekatan menentang Barat semata-mata kerana ia Barat.
Banyak manfaat yang boleh diperoleh di Barat yang berguna kepada umat Islam.
Tetapi umat Islam yang menghayati agamanya, akan berasa tidak selesa dengan
proses pemBaratan yang sedang berlaku.
Globalisasi yang sedang berjalan membawa maksud pemBaratan. Ukuran maju dan
membangun di kalangan sesetengah remaja Islam ialah Barat, fahaman kebendaan,
budaya berpoya-poya dan hiburan dan akhirnya terjebak dengan dadah, salah laku
sosial dan maksiat.
Remaja harus faham bahawa kemajuan itu terletak kepada diri manusia. Diri
manusia harus dibangunkan dengan kekuatan akhlak mulia supaya sebagai hamba dan
khalifah Allah di muka bumi, manusia dapat berperanan mengurus diri dan
mengurus kehidupan dengan baik supaya manfaatnya memberi kebaikan kepada yang
lain.
Terlibat dengan salahguna dadah, kegiatan mat rempit, pergaulan yang lepas
bebas, ketagih hiburan yang melampau umpamanya bukanlah lambang maju dan
membangun. Ia adalah lambang mundur dan kemusnahan. Islam mengajak remaja
supaya berilmu dan berketerampilan. Dalam surah Az Zumar, ayat 9, Allah
meletakkan kedudukan orang yang berilmu lebih tinggi berbanding orang yang
tidak berilmu.
Rasulullah s.a.w menyatakan bahawa tujuan kenabian ialah untuk menyempurnakan
akhlak manusia. Ilmu dan akhlak adalah asas yang sangat penting untuk remaja
maju dalam kehidupan dan perubahan.
Ilmu yang dipandu oleh nilai-nilai yang Qurani, akhlak yang dirujuk dari
akhlak Nabi bakal memimpin remaja untuk memiliki kekuatan keilmuan dan contoh
peribadi yang mampu memimpin remaja akhirnya ke jalan peradaban atau tamadun.
Kemilau kemajuan hari ini yang banyak diwarnai dengan faham kebendaan dan
nafsu-nafsi akan akhirnya menjebak remaja ke arah kerosakan dan kebinasaan.
Para remaja harus mempunyai tekad dan azam untuk maju berasaskan acuan kita
sendiri. Remaja Islam tidak saja harus reflektif terhadap tamadun umat Islam
yang amat bernilai pada masa yang lalu tetapi harus proaktif dengan
faktor-faktor kemajuan semasa yang berlaku pada hari ini.
Memahami al-Quran secara ilmu, meneliti sirah dan sunah Nabi sebagai sumber
contoh bakal memberikan jalan kepada remaja membina acuan tersebut.
Acuan sendiri tidak menolak kebaikan yang terdapat dari Barat dan Timur
tetapi harus ada upaya yang kreatif membangunkan sumber ilmu, sains dan
teknologi supaya ia tidak bertentangan dengan faktor maqasid syariah yang bakal
memberikan pedoman dan batasan terhadap makna dan maksud kemajuan dan perubahan
yang Islami.
- DR. SIDEK BABA ialah pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
(UIAM), Gombak.
---------------------------------
Yahoo! Movies - Search movie info and celeb profiles and photos.