http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=1123&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm
   
  Adam Nehru tertarik kepada solat  Oleh ZUARIDA MOHYIN
          
      ADAM Mehru Abdullah memotretkan kenangan indah hari bahagia bersama 
keluarga mertua dan keluarga angkat.   
---------------------------------
  
PEGAWAI Sumber Manusia di sebuah syarikat swasta di ibu negara, Adam Nehru 
Abdullah, 30, memeluk Islam pada 1 Mac tahun lalu, sungguhpun mengenali Islam 
dan tertarik dengan disiplin ajaran itu semenjak di tingkatan dua lagi.
   
  Berkongsi kisah yang membawa kepada pengislaman cerita pemuda kelahiran Slim 
River, Ipoh ini, faktor persekitaran merupakan tarikan pertama yang mencetus 
minat awalnya ketika itu. Malah semakin meningkat dewasa, Adam berusaha mencari 
ilmu berkaitan Islam secara lebih mendalam dan serius sama ada menerusi 
pelbagai bentuk media massa.
   
  Katanya, semasa zaman persekolahan dulu, terutama ketika menuntut di Sekolah 
Menengah Sungai Besi, Kuala Lumpur, beliau banyak bergaul dengan teman-teman 
beragama Islam. Boleh dikatakan banyak masa ketika itu dihabiskan dengan mereka 
tidak kira waktu sekolah atau di luar sekolah.
   
  “Pergaulan akrab ini secara tidak langsung mendedahkan saya kepada cara hidup 
masyarakat Melayu beragama Islam. Satu yang saya tertarik ialah apabila melihat 
mereka bersembahyang lima waktu sehari. Yang pastinya amal ibadat seperti ini 
tidak ada dalam agama lain.
   
  “Apa yang lebih menakjubkan, walaupun teman-teman saya suka 
berseronok-seronok seperti melepak dan berborak tetapi apabila tiba waktu 
sembahyang mereka tidak lupa tanggungjawab melaksanakannya. Malah saya sendiri 
ada ketikanya terpaksa tunggu mereka di luar masjid atau surau sebelum 
menyambung aktiviti kami. 
   
  “Saya nampak ini satu disiplin yang amat cantik. Lebih-lebih lagi, ia 
bukannya sekali dilakukan dalam sehari tetapi lima kali. Semangat inilah 
sedikit sebanyak menyentuh hati kecil saya pada masa itu,” jelas Adam sewaktu 
ditemui di ibu pejabat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Jalan 
Ipoh, Kuala Lumpur, baru-baru ini. 
   
  Meskipun minat dan tarikan kepada Islam telah ada namun Adam masih tidak 
berani meluah apa lagi untuk mempamerkannya secara terbuka terutamanya kepada 
ibu bapanya.
   
  Apa yang mampu dilakukan ialah sekadar berserah dan berharap Allah memberi 
kesempatan kepadanya untuk bergelar Muslim suatu hari kelak. 
  Lantaran itu, kehidupan mestilah diteruskan seperti biasa sehinggalah pada 
usia 25 tahun, Adam mula serius dengan agama Islam.
   
  “Setelah mempunyai pendapatan sendiri, saya menggunakan sebahagian wang gaji 
untuk membeli buku-buku agama Islam. Pada masa yang sama juga, saya belajar 
Jawi daripada teman-teman yang mahir mengenai ilmu ini. 
   
  “Dalam tempoh tiga, empat tahun saya semakin memahami dan mendalami ilmu 
Islam namun satu perkara yang masih menganggu fikiran ialah saya masih belum 
memberitahu keluarga terutamanya kepada ibu yang telah melahir dan membesarkan 
saya,” jelasnya.
   
  Kata Adam, selagi ibu tidak mengetahui, perasaannya seperti tidak tenteram 
dan bersalah. Malah beliau tidak mahu memeluk Islam dahulu, kemudian baru 
memberitahu keluarga kerana beranggapan cara sedemikian tidak adil bagi mereka.
   
  “Saya sanggup terima segala kemungkinan asalkan keluarga tidak dibelakangkan. 
Biarlah mereka lakukan apa sahaja waima dimarah atau disisihkan tetapi saya 
bertekad memberitahu mereka akan hasrat dan pilihan saya,” kata anak sulung 
daripada empat adik-beradik ini.
   
  Adam yang berjawatan Perunding Insurans di sebuah agensi swasta setahun 
sebelum melafazkan syahadah, memberanikan diri memberitahu ibu. Dalam keadaan 
ini, lumrah yang berlaku ialah timbul sedikit ketegangan dan kemarahan di pihak 
keluarga kandung. Mereka pastinya kecewa dan sedih dengan tindakan anak, apatah 
lagi Adam adalah anak sulung dan harapan keluarga.
   
  Bagaimanapun, Adam meyakinkan ibunya agar merestui pilihan beliau kerana 
itulah yang beliau mahukan.
   
  Di samping itu, beliau menegaskan bahawa perbezaan agama tidak bermakna 
terputusnya hubungan darah atau kekeluargaan. Malah hakikatnya, Islam adalah 
agama yang amat menitik beratkan soal menjaga hubungan silaturahim terutamanya 
kepada ibu bapa.
   
  Alhamdulillah, Adam bersyukur kerana akhirnya ibunya menerima keputusan 
pengislaman itu. Malah akuinya lagi sehingga kini ibunya sangat prihatin 
tentang penyediaan makanan halal, tempat tinggal, tempat sembahyang kerana 
beliau masih tinggal dengan keluarga kandung.
   
  Ditanya perasaannya sebaik sahaja bergelar Muslim, Adam mengakui, keseronokan 
dan kepuasannya hanya Allah yang lebih mengetahui apatah lagi, hasrat tersebut 
dipendam sejak sekian lama.
   
  Malah ibadat puasa dan sambutan raya merupakan suatu pengalaman baru biarpun 
sebelum ini beliau mencubanya. Malah, beliau mengakui akan perbezaan jika 
diamalkan dengan penuh keikhlasan atau dalam erti kata Islam sebenar.
   
  Kehidupan Adam semakin bermakna dan bermatlamat selepas bertemu jodoh dengan 
guru di Sekolah Menengah Teknik, Shah Alam, Selangor, Rashidah Mohd. Rasul, 25.
   
  “Isteri banyak memberi tunjuk ajar lebih-lebih lagi dalam soal amal ibadat. 
Saya bersyukur memiliki seorang isteri yang bukan sahaja baik tetapi banyak 
membantu untuk bergelar Muslim sejati.
   
  “Beliau juga yang mendorong saya agar terus menambahkan ilmu di dada. Oleh 
itu pada setiap Sabtu dan Ahad selama dua jam, seorang ustaz akan mengajar jawi 
dan al-Quran di rumah,” kata Adam yang menyimpan hasrat bergelar pendakwah.
   
  Nasihat Adam kepada yang mempunyai keinginan memeluk Islam agar tidak 
menyembunyikan berita pengislaman terlalu lama, seelok-eloknya memberitahu awal 
kerana dibimbangi ia akan mengeruhkan lagi suasana.
   
  Beliau yakin Allah akan sentiasa membantu sekiranya kita ikhlas dan 
benar-benar mahukan Islam. Tindakan seperti disisih keluarga dan teman-teman 
anggaplah ia sebagai cabaran dan dugaan yang pastinya akan membawa pengertian 
tentang kemanisan iman.
   
  Di samping itu, nasihat Adam kepada saudara baru agar mengambil inisiatif 
belajar ilmu agama demi memantapkan keimanan kerana bergelar saudara baru, 
kehidupan mereka tidak lari daripada pelbagai dugaan. Beliau khuatir sekiranya 
iman nipis, syaitan mudah memesongkan seseorang itu.

                
---------------------------------
 
 Real people. Real questions. Real answers. Share what you know.

Kirim email ke