Temubual Dengan Ambassador EU    
Thursday, 23 November 2006 

Dari apa yang tertera di kad pengenalan dirinya yang berbunyi Thierry Rommel, 
Ambassador Head of Delegation of the European Commision to Malaysia maka 
mafhumlah kami akan siapa sebenarnya yang kini mengunjungi Menteri Besar 
Kelantan.

Kunjung hormat yang berlangsung di Pejabat Menteri Besar pada 16 Oktober 2006 
lalu benar-benar menampakkan pengiktirafan Kesatuan  Eropah terhadap sebuah 
kerajaan kecil di hujung dunia sebelah sini. 

Barangkali pada mereka, tentu setidak-tidaknya ada sesuatu yang unik dan 
menarik di kota “Serambi Mekah” ini.

Sememangnya mereka tidak memerlukan masa yang lama untuk mengesahkan fakta 
sedemikian. Dari perbualan santai di mulai dengan pertukaran maklumat  
kesihatan, geografi dan demografi negara masing-masing, ia pantas beralih 
kepada hal hal yang kian berjejak.


 
Menteri Besar Kelantan bersama Ambassador EU



--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Soalan:    Tidakkah Kelantan diberikan layanan yang sama rata dalam sistem 
politik Malaysia yang demokratik walaupun rakyatnya memilih satu parti 
pemerintah yang berlainan?

Jawapan:    Sistem kerjasama dan pemerintahan yang dipilih oleh Malaysia di 
awal penubuhannya adalah Sistem Persekutuan.  Jika konsep Federalisme 
dilaksanakan sejujurnya tentu sekali tidak akan timbul masalah. Bagaimanapun, 
ini tidak semestinya benar dalam amalan di sini.  Wujud semacam diskriminasi.

Soalan:    Bolehkah diketahui contoh-contohnya dari aspek penyediaan 
infrasturktur di bidang perindustrian misalnya?

Jawapan:    Oh, memang banyak.  Kita tidak diberikan peruntukan yang mencukupi. 
 Misalnya dari segi pembinaan jalan-jalan berturap yang luas dan bermutu secara 
berbanding dengan negeri-negeri yang lain.  Kita tiada pelabuhan.  Tidak ada 
lain-lain infrastruktur sokongan yang memberangsangkan untuk benar-benar 
melahirkan Kelantan yang kompetatif dalam bidang perindustrian.  Sedangkan dari 
aspek tenaga manusia kita memiliki kelebihan berbanding  yang tidak kurang 
seperti tenaga kerja  yang berdisiplin, terlatih dan mudah dilatih serta 
relatifnya  murah.  Jika sebuah pelabuhan diberikan peruntukan dari pusat, 
semestinya Kelantan akan memberi khidmat yang cekap  justeru kedudukannya yang 
strategik baik dilihat dari kepentingan serantau bahkan dunia amnya.

Soalan:    Ada pihak yang mengatakan Kelantan tidak memberi kerjasama yang 
mencukupi untuk kelancaran dan pelaksanaan projek-projek Persekutuan.  Apa 
komen Kerajaan Negeri agaknya?

Jawapan:    Biar saya katakan begini.  Tidak ada satupun projek-projek 
Persekutuan yang terhalang pelaksanaannya disepanjang 16 tahun kami memerintah. 
 Misalnya, kami pernah meluluskan pengambilan balik tanah seluas kira-kira 500 
ekar di Tangok, Bachok untuk memberi laluan kepada pelaksanaan sebuah 
universiti.   Baru tiga empat tahun ini sahaja, barulah dua buah sekolah dibina 
di tapak.  Kini mereka janjikan pula sebuah lagi projek universiti untuk 
(katanya) mahu dilancarkan di Bachok atau Jeli.  Tak apalah, walau di mana 
sekalipun, kami boleh menerima dan tetap akan memberikan kerjasama.  Semua 
projek jalan persekutuan, klinik, hospital, gelanggang dan balairaya.  Semuanya 
tiada masalah.  Pendek kata, kami sentiasa menerimanya dengan penuh kerjasama.  
Buat apa ditolak kerana ia untuk kemudahan rakyat.   Lagipun, duit yang 
kononnya dari Kerajaan Pusat itupun duit dari cukai rakyat.  Ia dari rakyat 
untuk dikembali kepada rakyat.  Tidak ada kena mengena dengan parti Umno
 sebenarnya.

Soalan:    Bagaimana dengan RMK 9.  Adakah terdapat tanda-tanda peningkatan 
dalam peruntukan?

Jawapan:    Alhamdulillah. Ada peningkatan.  Inipun, biasalah. Lagipun, mana 
ada belanjawan yang tidak meningkat. Ini perkara progresif. Bagaimanapun, dari 
segi pelaksanaannya, kita tidak diberi ruang untuk memantau dan menyelaraskan 
perjalanan projek.  Soal senarai projek itu, kita sedang tunggulah.   Soal 
jentera pelaksanaan; ini satu masalah.   Peruntukan Pusat disalurkan terus dari 
Kuala Lumpur ke JPP dengan meninggalkan Kerajaan Negeri.   Ini tidak betul dari 
segi pelaksanaan pemantauan dan penyelarasan projek kerana kami adalah sebuah 
kerajaan yang sah dilantik melalui suara rakyat.  Kalau nak dicurigai integriti 
dan ketelusan kami,  Kerajaan Pusat ada BPR di negeri ini.  Jika kami salah, 
pintu Kerajaan Kelantan terbuka 24 jam untuk disiasat.  Dengan “by-pass” 
Kerajaan Negeri maka ia merampas hak kami untuk mengikuti kemajuan pelaksanaan 
projek-projek pembangunan secara “hands on.”  Nampak macam tidak logik bukan, 
tetapi inilah yang telah dan sedang berlaku
 sama ada kita percaya ataupun tidak.

Soalan:    Bagaimana dengan demokrasi?

Jawapan:    Ini yang saya katakan demokrasi ala Malaysia, bukan demokrasi asal 
seperti yang dikuliahkan kepada kita di universiti-universiti.

Soalan:    Boleh Tuan Guru bayangkan masa depan PAS dalam perkembangan ini?    

Jawapan:    Jika demokrasi benar-benar berjalan dengan baik, jika 
prinsip-prinsipnya dibenarkan berjalan sepenuhnya, InsyaAllah PAS mempunyai 
masa depan yang cerah.   Walau bagaimanapun, kalau akhbar saluran alternatifpun 
cuma dibenarkan 2 kali dalam sebulan sedangkan akhbar yang pro kerajaan 
bersifat harian, kesempatan berceramahpun bukan main susah, hak untuk 
mengadakan radio dan TV sendiri dinafi, akta Mesin Cetaklah, Akta Hasutanlah, 
Akta Polis lah, ISA lah, OSA lah, bermacam-macam  -  ini semua menyusahkan 
perjalanan demokrasi yang tentunya bertujuan menyusahkan rakyat.    

Soalan:    Beralih kita kepada pergolakan di Selatan Thai.  Adakah sebarang 
kesan dari peralihan kuasa di Bangkok.

Jawapan:    Tiada kesan, pada saya.

Soalan:    Ada tak sebarang hubungan antara Kerajaan Negeri dengan gerakan 
pembebasan seperti PULO dan Barisan Pembebasan Pattani misalnya atau mereka 
diberikan perlindungan dan sebagainya?

Jawapan:    O, tidak ada.  Bagaimanapun berkongsi sempadan, kami tidak ada 
upaya untuk menyekat orang kedua-dua tebing dari bergerak keluar masuk.  
Lagipun aspek-aspek dokumentasi seperti Pass Perjalanan, VISA dan Passport 
berada di luar dari kuasa kami.

Soalan:    Bagaimana jika saya katakan perlunya Kelantan mewujudkan “rapport” 
agar lahirnya suasana dialog antara dua kelompok rakyat ke arah kelahiran 
integrasi sosial bersifat “people to people.”

Jawapan:    Inisiatif  bersifat “G to G” antara Bangkok dan Kuala Lumpur adalah 
urusan Pusat.  Untuk melahirkan suasana “people to people” ini kita tiada 
masalah.   Tanpa diwujudkan saluran hubungan yang berjadual sekalipun, 
pertukaran idea, rapport antara rakyat berupa komunikasi informal telah 
berlaku.  Kami sebenarnya dari rumpun yang sama secara sejarah dari segi agama, 
budaya, bahasa dan adat resam.   Bahkan pertalian darah dan persamaan geografi 
antara kami semakin mengizinkan perkara ini.   Saya juga  turut dirujuk melalui 
hubungan-hubungan rasmi dengan badan-badan hak asasi, NGO dan pihak-pihak 
universiti dari Bangkok, Songkla dan Pattani untuk tujuan ini.   Saya selalu 
tegaskan 2 perkara iaitu:

i)    Perlunya pemerintah di Bangkok mengadakan hubungan dalam bentuk dialog 
yang sivil dengan penduduk selatan Thai untuk memahami psikologi dan isi hati 
mereka.

ii)    Selatan Thai memerlukan program-program pembelaan ekonomi yang segera 
kerana setiap kali saya berkesempatan melawat di kawasan-kawasan tersebut 
(sebelum pergolakan), mata dan hati saya dapat  menyaksikan suasana ‘kering’ 
dari segi kurangnya pembelaan nasib khususnya dari aspek program-program 
pemulihan ekonomi.  Penduduk mereka pun tidak dapat tidak, juga boleh 
membandingkan dengan apa yang sedang berlaku ke atas saudara-saudara mereka di 
sebelah Kelantan ini yang dilihat relatifnya jauh lebih baik daripada mereka.

Kekerasan tidak boleh dilawan dengan kekerasan.  Sudah beratus-ratus kali 
agaknya saya tekankan perkara ini.   Manusia ini dia ada naluri melawan secara 
semula jadi.  Walaupun katakanlah, mereka miskin sekalipun tetapi kesatuan 
untuk melawan yang muncul semula jadi di kalangan mereka adalah sebuah 
kekuatan, “a force by itself” yang bukan kecil.   Lihat sahaja di Iraq,  
Palestin, Afghanistan dan Lubnan terkini  -  kita boleh saksikan betapa AS 
sedang terlekat di dalam lumpur Iraq.   

Mengikut laporan internet, AS sedang mengalami kekalahan hari demi hari.  
Mereka pernah tuduh Iraq mempunyai senjata pemusnah (WMD) tetapi sampai 
sekarang masyarakat dunia tahu bahawa AS berbohong.  Secara setempat pun dalam 
konteks politik Malaysia sekalipun, jangan ditindas Kelantan dengan kaedah 
penindasan dan diskriminasi menggunakan senjata demokrasi yang disalahgunakan.  

Rakyat Kelantan tidak mudah disilap matakan melalui kaedah pengkhianatan ini.  
ISA misalnya; itu anti perlembagaan.  Anti kemanusiaan.  Menuduh lalu mengheret 
rakyat ke penjara tanpa proses pengadilan melalui saluran mahkamah adalah tidak 
betul.  Ia sah zalim.   Anak saya sudah lima tahun dinafikan hak keadilan ini.  
Kini, beliau masih  di penjara tanpa sebarang sebab yang konkrit dan dibuktikan 
apa kesalahannya.

(Diperingkat ini, Ambassador tunduk dan merenung jauh ke lantai sambil menarik 
nafas berat.  Menteri Besar lalu menambah bahawa masalah kita dengan pemimpin 
atau manusia pada amnya ialah masalah keikhlasan dan kejujuran.  Beliau dengan 
pantas menyambung dengan kata-kata, “honesty and integrity are the lost words 
in our current world.”   Tuan Guru lalu kembangkan  sifat Al-Amin  milik Nabi 
kita S.A.W. sebagai asas penjelasan disambut penuh akur oleh Ambassador  
berterusan).


PENUTUP

Di akhir sesi, tetamu telah berkali-kali mengucapkan terima kasih kerana 
kesudian Kerajaan Kelantan menerima beliau.  Setelah bertukar-tukar 
cenderahati, Encik Rommel lalu membisikkan sesuatu kepada saya berbunyi “kamu 
mempunyai seorang Menteri Besar yang amat tajam.  Rugi sekali jika pihak-pihak 
di Kuala Lumpur tidak mengambil manfaat daripada idea beliau.”  

Kami lalu erat berpimpin tangan  menuju ke lif.  Beliau meninggalkan saya 
dengan sebuah mesej berupa “a seal endorsement” tentang status kepimpinan 
seorang Tuan Guru yang mungkin dilihat cukup biasa bagi orang-orang biasa.  
Tetapi bagi ahli yang berkeahlian,  Nik Abdul Aziz dilihat seorang yang 
sebaliknya.    Termenung lama apabila saya cuba menyelami akar dan kejujuran 
kata-katanya itu.


Ditulis oleh :

Anual Bakri Haron
SU Politik MB.

Bertarikh        : 19 Oktober 2006


                
___________________________________________________________ 
Now you can scan emails quickly with a reading pane. Get the new Yahoo! Mail. 
http://uk.docs.yahoo.com/nowyoucan.html

Kirim email ke