Surau Berembang Dirobohkan, 11 Orang Pemuda Ditahan Polis 
Kuala Lumpur, 30 November 2006: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan mengutuk 
tindakan zalim dan tidak berperikemanusian pihak Kerajaan Negeri Selangor yang 
membiarkan kuli batak mereka iaitu MPAJ merobohkan Surau Al-Rahmaniah, Kampung 
Berembang hari ini.



Pada 20 November 2006 lalu mereka telah meratakan semua rumah-rumah penduduk 
kampung yang berada disekitar surau berkenaan. Kini mereka datang lagi bagi 
memastikan hasrat Khir Toyo yang mahukan matlamat Setinggan Sifar Negeri 
selangor sebelum akhir 2006 tercapai.

Kehadiran lebih 100 orang penguatkuasa MPAJ yang dibantu oleh pasukan polis 
Ampang, FRU, SB dan JAIS telah disambut dengan berani oleh para penduduk dan 
sukarelawan yang terdiri daripada NGO, ahli PAS serta Parti KeAdilan Rakyat dan 
individu.

Para penduduk telah bersolat hajat mohon kekuatan dan kesabaran dari Allah bagi 
menghadapi episod duka yang penuh tragis ini. Solat hajat berkenaan telah di 
imamkan oleh YB Salahuddin Ayub, Ketua Pemuda PAS Pusat.

 

Sejurus selepas itu beliau mengetuai benteng-benteng manusia yang didirikan 
bagi menghalang penguatkuasa MPAJ dari memasuki surau berkenaan. Walaubagaimana 
pun benteng ini telah dirempuh dengan ganas oleh pihak FRU dan penguatkuasa 
MPAJ. Mereka dipukul, ditendang dan dihambat dengan kayu. Pergelutan berlaku 
kerana para penduduk dan sukarelawan enggan membiarkan surau berkenaan 
dirobohkan.

Surau inilah satu-satu tempat yang terdekat dan paling bersih untuk mereka 
tunaikan solat setiap hari disamping menempatkan anak-anak penduduk kampung 
yang masih kecil.

Setelah berjaya, meleraikan benteng manusia yang didirikan oleh penduduk, 
beberapa orang penguatkuasa MPAJ dilihat meluru ke dalam surau dengan memakai 
kasut but dan menendang barang-barang yang ada disamping memecahkan semua 
tingkap surau. Pada masa yang sama mereka menemui sekumpulan kanak-kanak dan 
orang dewasa yang turut berkubu didalam surau.







Mereka telah memanggil anggota lain dan FRU sehingga menyebabkan pergelutan 
hebat berlaku. Kanak-kanak yang terkejut dengan serangan tersebut telah 
menjerit dan menangis. Mereka diheret keluar secara kasar dan yang dipukul oleh 
oleh beberapa orang penguatkuasa MPAJ. Dalam masa yang sama beberapa orang 
pemuda telah meluru masuk dan menyelamatkan mereka.



Setelah semua penduduk dan sukarelawan dihalau keluar, MPAJ telah meminta pihak 
FRU membuat halangan bagi memastikan para penduduk tidak dapat memasuki surau 
itu lagi.




Papan tanda surau dipotong tiangnya dan diberikan pada penduduk sebagai 
memperingati kezaliman Kerajaan UMNO-BN. Pemandu, jentolak telah diarahkan 
untuk merobohkan surau berkenaan bermula dari bahagian hadapan surau hingga ke 
tempat wuduk. Suasana hiruk pikuk yang datang dari bunyi enjin jentolak gagal 
menenggelamkan suara takbir yang dilaungkan oleh para penduduk.


Satu demi satu binaan surau runtuh menyembah tanah, Bermula dari dinding, 
bumbung dan lantai surau, semuanya musnah dek kezaliman Khir Toyo dan Kroni 
UMNO Selangor.

DPPWP melihat bahawa kejadiaan ini tiada bezanya dengan apa yang berlaku 
terhadap rakyat Palestine yang turut dirobohkan rumah mereka oleh tentera 
Israel Laknatullah.

DPPWP juga amat kesal kesan pihak MPAJ turut merobohkan beberapa khemah 
penduduk yang telah dibina sejak 20 November lalu. Negara apakah ini? Inikah 
kerajaan yang ingin kita pertahankan dan sokong. Di mana letakkan 
perikemanusiaan. Rakyat dilayan seperti haiwan yang boleh diusir bila-bila masa 
tanpa sebarang gantirugi atau ehsan. Hidup berbumbungkan langit dan berlantai 
bumi sahaja.


Anak-anak yang masih kecil merintih sayu, ibu-ibu membisu seribu bahasa, para 
ayah kelihatan merah mukanya menahan amarah.

Dicelah-celah cerita sedih ini, kita melihat rakyat Malaysia masih boleh 
ketawa, Khir Toyo masih boleh bergembira, MPAJ-Polis-JAIS tersenyum bangga 
kerana berjaya membuktikan pada bos mereka, bahawa merekalah balaci yang 
terbaik dan hebat di dunia ini.

Dalam kejadian penuh kezaliman ini seramai 11 orang pemuda yang terdiri dari 
penduduk kampung dan sukarelawan pemuda telah ditahan. Mereka telah dibawa ke 
IPD Ampang untuk diambil keterangan.



Dalam kejadian hari ini SUK DPPWP, Saudara Zulkarnain turut ditahan. Exco 
DPPWP, Saudara Khairul Anuar dan para sahabat masih menantikan mereka diluar 
Balai IPD Ampang.

Marilah kita sama-sama berdoa dan bermunajat pada Allah agar sahabat-sahabat 
kita ini dapat dibebaskan dan penduduk Berembang dapat dibela.-Herman Samsudeen 
posted by pemudaWILAYAH @ 5:37:00 PM   0 comments   
Surau Kg Berembang Bakal Tinggal Nama 
Pihak Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) telah dihubungi oleh wakil 
penduduk Berembang, Saudara Mishod malam tadi dan memaklumkan tentang maklumat 
terkini tentang tindakan terbaru yang bakal dilakukan oleh MPAJ.

Beliau telah memaklumkan bahawa pihak MPAJ sudah merancang dan bersiap sedia 
untuk melakukan operasi terakhir mereka iaitu merobohkan Surau Kg. Berembang.

Beberapa orang SB disyaki telah memasuki kampung berkenaan sebelum ini dengan 
menyamar dan tanpa disedari. Mereka telah memerhatikan pergerakkan penduduk 
kampung dan aktiviti yang mereka lakukan bersama NGO dan masyarakat luar yang 
berkunjung.

Nampaknya, surat yang diserahkan oleh wakil penduduk kepada Setiausaha Kerajaan 
Negeri Selangor tidak memberi apa-apa petanda yang positif. Mereka tetap enggan 
untuk berunding.

Para penduduk mendapat maklumat bahawa esok pagi (30 November 2006) pihak MPAJ 
akan datang sekali lagi dengan pihak Polis dan FRU untuk merobohkan Surau Kg. 
Berembang.

Oleh itu, diharapkan agar mereka yang mendapat maklumat ini dapat 
menyebarkannya dan beramai-ramai turun ke Berembang untuk mempertahankan Surau 
berkenaan dari dirobohkan.

Operasi MPAJ dijangka akan diadakan pada waktu pagi sekitar jam 8.30-11.00 
pagi. 

Adalah satu ketidakadilan kepada penduduk yang dinafikan hak untuk berlindung 
dan hidup dalam tanahair sendiri dengan aman dibawah pemerintahan sebuah 
kerajaan yang mereka pilih sendiri. Terlalu zalim untuk mereka dijadikan mangsa 
atas ketamakkan pembangunan dan dasar Setinggan Sifar yang di impikan sekian 
lama oleh seorang Menteri Besar yang sudah lupa asal usulnya.

Ayuh! kira perkukuhkan benteng manusia yang dibina atas nama keadilan dan 
kemanusiaan.

Penduduk Berembang sedang menanti anda untuk memulakan langkah juang bersama 
mereka. Jangan lepaskan peluang ini untuk menyaksikan perjuangan rakyat 
marhaein secara langsung.

Mereka tiada harta, tiada kediaman, tiada kemudahan...yang mereka ada hanyalah 
semangat yang kian mantap dan tabah mengharungi kepahitan hidup yang dipaksakan 
oleh Kerajaan yang mengkhianati mereka.

-Herman Samsudeen


                
___________________________________________________________ 
Now you can scan emails quickly with a reading pane. Get the new Yahoo! Mail. 
http://uk.docs.yahoo.com/nowyoucan.html

Kirim email ke