Mau'izhatul Mu'minin min IHYA' ULUMIDDIN
(Bimbingan Mu'min dari Menghidupkan Ilmu-ilmu Agama)

* Forwardkan kat kengkawan, mudah-mudahan mendapat manfaat.
-----

Kitab Aqidah Ahli-Sunnah

Dua kalimah syahadat sebagai salah satu dasar Islam



Aqidah para ahli-sunnah terhadap Zat Allah Ta'ala yang Maha Suci, ialah
bahawa Allah Tuhan yang Esa tiada sekutu bagiNya. Dia Qadim (lama) tiada
awal bagi wujudNya, dan WujudNya pula terus-menerus tiada akhir bagiNya. Dia
Kekal tiada luput sama sekali, Dia tetap bersifat agung dan sifat
keagunganNya akan berterusan, tiada akan musnah atau terputus dengan
terluputnya berbagai-bagai abad, atau berlalunya bermacam-macam waktu.



Bahkan Dialah Allah yang Awal dan yang Akhir, yang Lahir dan yang Batin dan
Dialah Maha Mengetahui akan segala sesuatu. Tuhan Allah bukanlah semacam
jisim (rupa) yang dapat digambarkan. Dia tiada menyamai apa pun yang maujud
(ada), begitu pula yang maujud itu tiada boleh menyerupaiNya.



Dia tiada dilingkari oleh seluruh penjuru dan arah. Dia tiada pula
bertempat, samada dalam lapisan-lapisan bumi atau langit, malah Dia
beristiwa' (memerintah) di atas Arasy mengikut keadaan yang Dia telah
firmankan, atau dengan makna yang Dia kehendaki. Dia berada di atas Arasy
dan langit, malah di atas segala sesuatu hingga ke batasan bumi.
KetinggianNya tiada menjadikanNya lebih dekat kepada Arasy dan langit,
sebagaimana semua itu juga tiada menambahkanNya jauh dari bumi dan tanah.
Bahkan Allah tetap Maha Tinggi darjatNya dari Arasy dan langit, sebagaimana
Dia juga maha Tinggi darjatNya dari bumi dan tanah.



Walau bagaimanapun, Dia tetap dekat kepada yang maujud, dan lebih dekat
kepada hambaNya dari urat leher hamba itu sendiri. DekatNya kepada hambaNya
tidak serupa dengan dekatnya jisim kepada manusia, begitu juga dengan ZatNya
yang tiada serupa dengan zat jisim manusia. Dia tiada bertempat di sesuatu
benda, demikian pula benda tiada bertempat pada ZatNya. Maha Suci Allah dari
dilingkari oleh sesuatu tempat, sebagaimana Maha SuciNya Dia dari dibatasi
oleh sesuatu zaman. Bahkan Dia telah Ada sebelum terciptanya masa dan tempat
lagi, dan adaNya Dia sekarang adalah sama seperti keadaan sebelumnya juga.



Di dalam ZatNya, Dia telah dibuktikan kewujudanNya oleh akal fikiran, dan
ZatNya dapat dilihat oleh pandangan nanti di kemudian hari di tempat tinggal
yang abadi (syurga). Hal itu merupakan suatu nikmat dari Allah dan belas
kasihanNya untuk orang-orang yang berbakti kepadaNya, dan sebagai
penyempurnaan kenikmatan daripadaNya ialah pengurniaanNya untuk melihat
wajahNya yang Maha Mulia.



Dan bahawasanya Allah Ta'ala itu Maha Hidup, Maha Berkuasa, Maha tinggi dan
Maha Memaksa, tiada didatangi kecuaian atau kelemahan, tiada dihinggapi
kelalaian atau ketiduran dan tiada terkena kehancuran atau kematian. Dialah
satu-satunya yang menjadikan dan menciptakan, satu-satunya yang mengadakan
dan membentuk Dialah Maha mengetahui akan segala sesuatu yang telah
diketahui, ilmuNya meliputi segala apa saja yang berlaku di dalam dasar bumi
hingga ke atas langit, tiada sesuatu pun yang terlepas dari ilmuNya
sekalaipun seberat atom, samada di dalam bumi atau di pucuk langit.



Bahkan Dia Mengetahui gerak-geri seekor semut yang hitam di atas batu yang
licin di malam hari yang gelap-gelita. Dia Mengetahui juga gerakan sebutir
debu di tengah-tengah cakerawala ini. Dia Mengetahui yang rahasia dan yang
tersembunyi. Dia dapat menyingkap akan perkara-perkara yang terlintas di
dalam diri dan gerak-geri hati dan segala rahsia yang disembunyikan; iaitu
dengan ilmuNya yang Qadim Azali yang sentiasa Dia masih bersifat dengannya
sejak di dalam Azalil-Aazal.



Dan bahawasanya Allah Ta'ala itu Maha menghendaki ke atas semua yang
dijadikanNya, dan Maha Pengatur terhadap segala yang diciptakanNya. Tiada
boleh berlaku sesuatu pun dalam kerajaanNya atau kekuasaanNya, melainkan
dengan ketentuanNya dan kudratNya, dengan hikmatNya dan kemahuanNya. Apa
yang Dia kehendaki akan berlaku, dan apa yang Dia tiada menghendaki tidak
akan berlaku. Tidak akan ada yang dapat menentang perintahNya, dan tidak
akan ada sesiapa yang dapat menolak terhadap hukumNya.



Dan bahawasanya Allah Ta'ala itu Maha Mendengar dan Maha Melihat. Tiada satu
pun yang bakal terhalang dari pendengaranNya sesuatu yang terdengar
sekalipun yang amat samar, dan tiada satu pun yang bakal tertabir dari
pemandanganNya sesuatu yang terlibat sekalipun yang amat halus.
PendengaranNya tidak akan terhalang kerana jauh, dan pemandanganNya tidak
akan tertutup kerana gelap. PendengaranNya dan pemandanganNya tiada
menyerupai pendengaran dan pemandangan makhlukNya, sebagaimana ZatNya juga
tiada menyerupai zat makhlukNya.



Dan bahwasanya Allah Ta'ala itu Maha Berkata-kata, Maha Memerintah, Maha
Melarang, Maha Mengingatkan dan Mengancam, dan bahawasanya al-Quran, Taurat,
Injil dan Zabur itu adalah kitab-kitabNya yang diturunkan ke atas para
RasulNya alaihimus-salam membawa percakapanNya yang merupakan sifat bagi
ZatNya dan bukanlah sifat bagi mahklukNya. Dan sesungguhnya al-Quran itu
adalah Kalamullah yang bukan makhluk (diciptakan) sehingga ia boleh binasa,
dan bukan pula sifat bagi makhlukNya sehingga ia boleh punah.



Dan bahwasanya Allah Ta'ala itu Maha Esa, tiada sesuatu yang ada selainNya,
bersifat Hadis (baru) yang terjadi dengan perbuatanNya, yang menerima dari
keadilanNya dalam rupa yang paling sempurna, paling lengkap dan paling adil.



Dan bahawasanya Allah Ta'ala itu Maha Bijaksana dalam segala perbuatanNya,
Maha Adil dalam segala keputusanNya. Dan segala sesuatu selain Allah dari
bangsa manusia, jin, malaikat, langit, bumi, binatang, tumbuh-tumbuhan,
benda-benda padat yang dapat dilihat atau dapat dirasakan, semuanya itu
adalah Hadis (baru) yang dicipta oleh Tuhan dengan kekuasaanNya daripada
tidak ada menjadi ada. Dan dijadikanNya pula dalam bentuk yang paling
sempurna, yang pada asalnya tidak ada, sebab yang ada di dalam azal itu
hanya Zat Allah Subhanahu wa Ta'ala saja dan selainnya tidak ada bersamaNya.
Maka Allah telah menjadikan makhluk sesudah itu, sebagai tanda kekuasaanNya
dan untuk merealisasikan apa yang terdahulu dari kemahuanNya, dan apa yang
ditentukan di dalam azal dari kalimatNya, bukan kerana Dia berhajat
penciptaan itu atau memerlukannya. Bila Allah berkehendakkan untuk
menjadikan atau menciptakan atau membebankan, bukanlah itu merupakan suatu
kewajiban ke atasNya.



Begitu pula bila Dia memberikan nikmat dan membuat kebaikan, bukanlah juga
disebabkan suatu kemestian atasNya. Hanya bagiNyalah segala keutamaan dan
kebaikan, kenikmatan dan kekurniaan.



Dan bahwasanya Allah azzawajalla itu memberi pahala kepada hamba-hambanya
yang beriman ke atas segala ketaatnya, ialah sebab kemurahatian dan janjiNya
bukan sebab kewajiban atasNya. Kerana tidak wajib atas Allah sesuatupun
terhadap manusia, dan tiada tergambar dariNya sesuatu kezaliman pun. Begitu
pula tidak wajib atas Allah satu hak pun kepada manusia, melainkan hak Allah
yang merupakan ketaatan menjadi wajib mutlak atas manusia.



Dan kewajiban itu ditentukan setelah peneriamaanya dari para NabiNya
alaihimus-salam, dan bukan dengan secara akal-fikiran belaka. Untuk urusan
ini, Allah telah mengirimkan para Rasul kepada mereka dan telah
melengkapkannya dengan berbagai-bagai mukjizat yang nyata. Para Rasul itu
telah pun menyampaikan perintah dan larangan Allah serta janji dan
ancamanNya. Maka dengan itu wajiblah atas makhluk membenarkan apa yang
mereka membawanya.



Dan bahwasanya Allah Subhanahu wa Ta'ala telah mengutus nabi yang ummi
(tidak pandai tulis-baca) dari keturunan Quraish, iaitu Muhammad s.a.w.
Perutusan Muhammad itu kepada sekalian bangsa Arab dan Ajam, jin dan
manusia, dan dengan perutusannya, maka berakhirlah semua perutusan  para
Rasul dan para Nabi. Bagindalah menjadi penyudah sekalian para Rasul,
pembawa berita yang menggembirakan dan yang menakutkan dan penyeru kepada
jalan Allah dengan izinNya, dan sebagai pelita yang memberikan cahayaNya.
Allah menurunkan ke atas baginda kitabNya yang penuh hikmat yang memberikan
penerangan tentang agamaNya yang lurus dan menunjukkan kejalan
*Shirathil-Mustaqim
*(jalan yang betul). Allah telah mewajibkan ke atas semua makhluk, agar
mempercayai baginda dengan apa yang diberitakannya.



Dan bahawasanya Hari Kiamat itu pasti akan tiba juga, tiada boleh diragukan
lagi, dan bahawasanya pada hari itu Allah Subhanahu wa Ta'ala akan
membangunkan segala sesuatu yang telah mati, serta mereka akan kembali hidup
semula seperti keadaan mereka sebelum itu.





Dan bahawasanya Allah Ta'ala telah menciptakan syurga yang disediakan
sebagai tempat tinggal yang kekal bagi orang-orang yang dikasihiNya, dan
mereka itu nanti akan diberikan kemuliaan dengan kurnia yang terbesar, iaitu
melihat wajahNya yang Maha Mulia itu. Dan Allah Subhanahu wa Ta'ala telah
mencipta nereka pula yang disediakan sebagai tempat tinggal yang kekal bagi
orang-orang yang mengkufuriNya, dan menentang keterangan-keteranganNya,
tiada mempercayai kitab-kitabNya dan para RasulNya, dan mereka itu nanti
akan terhalang dari dapat melihat wajah Allah Subhanahu wa Ta'ala.



(Sampai di sini saja petikan dari huraian kata-kata Imam Ghazali. Berikutnya
pula adalah petikan dari kitab "*al-Ibanah*" oleh Imam Ash'ari)



Seterusnya hendaklah kita tidak menghukumkan kafir seseorang pun dari ahli
kiblat (orang Islam), kerana sesuatu dosa yang dilakukannya seperti zina,
mencuri, meminum arak, dan hendaklah kita tidak menentukan seseorang dari
ahli tauhid atau yang berpegang teguh dengan keimanan, tempatnya di syurga
atau neraka, melainkan sesiapa yang telah disaksikan oleh Rasulullah s.a.w.
sendiri tempatnya di syurga atau neraka. Sebaiknya kita harus mengharapkan
orang-orang yang berdosa itu untuk memasuki syurga, sebagaimana kita rasa
bimbang kalau-kalau mereka akan dimasukkan ke dalam nereka untuk menerima
azabNya.



Dan hendaklah kita mengatakan, bahawasanya Allah Azzawajalla akan
mengeluarkan beberapa golongan dari neraka sesudah mereka itu hangus
terbakar, iaitu dengan syafaat Rasulullah s.a.w. sebagai membenarkan
riwayat-riwayat yang dijelaskan sendiri oleh Rasulullah. Dan haruslah kita
mempercayai berlakunya azab di dalam kubur, dan bahawasanya Allah
Azzawajalla akan mengumpulkan sekelian hamba-hambaNya di suatu tempat
perhentian (Mahshar) dan memperhitungkan amalan-amalan orang Mu'minin.



Dan hendaklah kita mencintai para salaf yang dipilih oleh Allah Azzawajalla
menjadi sahabat-sahabat kepada Rasulullah s.a.w. Kita memuji-muji mereka,
sepertimana Allah telah memuji mereka, dan kita menjadi pengikut-pengikut
mereka sekelian.



Kita harus mengatakan, bahwa Imam yang termulia sesudah Rasulullah s.a.w.
itu ialah Abu Bakar as-Siddiq r.a dan bahawa Allah s.w.t telah memuliakan
agama ini dengan beliau, dan membuktikan keunggulannya terhadap kaum murtad.
Abu Bakar telah ditunjuk oleh seluruh ummat Muslimin untuk memegang
kepemimpinan, sebagaimana beliau telah ditunjuk oleh Rasulullah s.a.w. untuk
menjadi Imam sembahyang.



Oleh itu kaum Muslimin telah memanggilnya Khalifah Rasulullah. Sesudah Abu
Bakar, Umar Ibnul-Khattab r.a. pula menjadi Khalifah, dan sesudah beliau
Usman bin Affan r.a. pula Khalifah Usman r.a. telah dibunuh secara zalim dan
aniaya. Kemudian dari itu, Ali bin Abu Talib r.a mengambil tempat Khalifah.
Keempat-empat Khalifah ini adalah pemimpin-pemimpin yang mengantikan tempat
Rasulullah s.a.w. dan kekhilafahannya samalah seperti khilafah kenabian.



Kita harus menjejaki jalan sekelian para sahabat Rasulullah s.a.w. dan kita
tidak boleh mencampuri perselisihan-perselisihan yang timbul di antara
mereka.



Dalam perkara-perkara yang kita perselisihkan pula, hendaklah kita kembali
kepada kitab Tuhan kita (al-Quran) dan sunnah Nabi kita (al-Hadith) dan
seterusnya kepada ijma' kaum muslimin atau persepakatannya atau apa yang
diertikan dalam pengertian persepakatan itu. Kita tidak boleh mengada-adakan
sesuatu yang baru dalam agama Allah, iaitu dalam urusan-urusan yang kita
tiada diizinkan. Kita tidak boleh mengatakan sesuatu terhadap Allah padahal
kita tiada mengetahui.



Kita harus berpendapat bahwa sedekah untuk kaum Muslimin yang meninggal
dunia itu baik sekali, demikian pula berdoa untuk mereka. Kita harus
mempercayai bahawa Allah akan menyampaikan manafaatnya kepada mereka itu.
(*) Kita berkata pula bahawa para sholihin itu boleh dikhususkan oleh Allah
dengan tanda-tanda (keramat) yang  diperlihatkanNya bagi mereka sendiri.



(*)   Dalam kitab al-Iqnak dan syarahnya dari kitab-kitab mazhab Hanbali
berbunyi demikian: Semua peribadatan yang dilakukan oleh seorang Muslim
dengan maksud pahalanya dihadiahkan kepada seorang Muslim lain yang hidup
atau yang sudah mati. Hukumnya adalah harus dan perbuatan itu akan
mendatangkan manafaat kepada orang yang dituju dan ia akan mendapat
pahalanya, sehingga untuk Rasulullah sekalipun boleh juga ditujukan amalan
serupa itu: iaitu dari ibadat yang berupakan tathauwu' ataupun wajib yang
boleh digantikan oleh orang lain, misalnya haji, puasa nazar, atau yang tak
boleh digantikan seperti bersembahyang, berdoa, beristighfar, bersedekah,
memerdekakan hamba, menunaikan hutang, puasa dan begitu juga membaca dan
lain-lain lagi. Berkata Imam Ahmad: Orang mati itu sampai kepadanya
segala-gala yang ditujukan kepadanya dari amalan-amalan yang baik kerana
nas-nas yang warid mengenainya. Dan sebab kaum Muslimim sentiasa berkumpul
di setiap bandar membaca dan menghadiahkan pahala kepada pembacaan itu
kepada kaum keluarganya yang telah mati tanpa ditegah oleh orang banyak,
maka bolehlah itu dianggap sebagai ijma' juga.


--
* Forwardkan kat kengkawan, mudah-mudahan mendapat manfaat.

Kirim email ke