RESPON TERHADAP PANDANGAN MUFTI PERLIS DR. ASRI TENTANG SERBUAN KHALWAT DI
HOTEL
Written by al-Ustaz Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Wednesday, 20 December 2006
Intro-Dalam mencegah kemungkaran yang tersembunyi, perlu dibezakan antara
tindakan orang awam dan tindakan penguatkuasa. Orang awam tidak dibenarkan
mengintip perlakuan maksiat yang cuba disembunyikan. tetapi berbeza dengan
penguatkuasa (Hisbah), dia mempunyai hak dalam keadaan tertentu antaranya
seperti yang disebut oleh al-Qadi Abu Ya`la dalam karyanya tentang pemerintahan
Islam iaitu "al-Ahkam al-Sultaniyyah"........
RESPON TERHADAP PANDANGAN MUFTI PERLIS DR.
ASRI TENTANG SERBUAN KHALWAT DI HOTEL
Isu pencegahan khalwat berkait rapat dengan hukum mencegah maksiat dan
kemungkaran dalam Islam. Ulama sepakat bahawa mencegah kemungkaran adalah satu
perkara yang wajib dilakukan oleh umat Islam dan juga pihak berkuasa. Malah
dalam banyak ayat Allah menyifatkan orang yang benar-benar beriman hanyalah
yang melakukan kerja amar makruf dan nahi mungkar iaitu menyuruh melakukan
kebaikan dan mencegah kemungkaran. Kewajipan ini adalah berdasarkan beberapa
firman Allah antaranya:
وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُوْنَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأمُرُوْنَ
بِالْمَعْرُوْفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَأُولَئِكَ هُمُ
الْمُفْلِحُوْنَ
Maksudnya: Hendaklah ada di kalangan kamu satu kumpulan yang menyeru ke arah
kebaikan (Islam), menyuruh melakukan makruf dan mencegah melakukan kemungkaran.
Dan merekalah orang yang berjaya. (Ali `Imran; 104)
Ayat ini mewajibkan umat Islam membentuk kumpulan yang berusaha menyuruh
masyarakat melakukan kebaikan dan mencegah masyarakat melakukan kemungkaran.
Perintah ini lebih utama dilaksanakan oleh pemerintah.Dan ia terlaksana dengan
terbentuknya kumpulan yang dikenali sebagai "penguatkuasa agama" hari ini
walaupun bidang kuasa penguatkuasa ini agak terbatas dalam beberapa perkara
sahaja. Tugas penguatkuasaan ini dibincang oleh para sarjana Islam dalam bab
khusus yang dikenali sebagai "hisbah".
Masyarakat awam juga tidak terlepas daripada kewajipan mencegah
kemungkaran berdasarkan hadis sahih:
:
مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ فَإِنْ لَمْ سْتَطِعْ
فَبِلِسَانِهِ وَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ اْلإِيْمَان
ِ
Maksudnya: sesiapa yang melihat satu perkara mungkar hendaklah dia mengubahnya
dengan tangannya (kuasa). sekiranya tidak mampu hendaklah dengan lidahnya dan
sekiranya tidak mampu hendaklah dengan hatinya. Yang demikian itu adalah
selemah-lemah iman.
(Hadis riwayat Muslim, Ahmad, Abu dawud, Tirmizi, Nasa’I dan Ibn Majah serta
Ibn Hibban.)
Hadis ini menjelaskan kewajipan masyarakat secara umum apabila berdepan dengan
maksiat. Kewajipan ini pula berperingkat berdasarkan kemampuan. Bagi yang
mempunyai kuasa atau kemampuan mencegah dengan tangan hendaklah menggunakan
kuasa dan kemampuan tangannya. Jika tidak hendaklah digunakan lidah dengan
memberi nasihat dan peringatan. JIka tidak mampu juga, sekurang-kurangnya mesti
membenci perlakuan maksiat di dalam hatinya.
Namun apa yang perlu difahami ialah etika dalam menyuruh melakukan
kebaikan dan mencegah kemungkaran. Menyuruh melakukan kebaikan ialah apabila
ternyata sesuatu kebaikan itu ditinggalkan. Mencegah kemungkaran pula ialah
apabila ternyata kemungkaran itu dilakukan.
Dari sinilah sarjana Islam membahagikan perkara mungkar yang perlu dicegah
kepada 2 iaitu perkara mungkar yang dilakukan secara terang-terangan di
khalayak awam dan perkara mungkar yang dilakukan secara tersembunyi. Perkara
mungkar yang dilakukan secara terang-terangan wajib dicegah dengan sepakat
ulama. manakala perkara mungkar yang dilakukan secara bersembunyi pula dibahas
lebih terperinci oleh sarjana Islam.
Satu riwayat daripada Imam Ahmad menyebut ia tidak perlu di selidik
dan dicari. Satu lagi riwayat daripada Ahmad pula menyebut bahawa yang
tersembunyi sekira dapat dipastikan perlakuannya ia boleh dibongkar dan dicari.
Perbahasan ini timbul kerana terdapat hadis yang melarang dilakukan pengintipan
iaitu hadis riwayat Abi Dawud, Baihaqi, Abd Razzaq dan Tabrani dengan sanad
yang sahih.
Dalam mencegah kemungkaran yang tersembunyi, perlu dibezakan antara tindakan
orang awam dan tindakan penguatkuasa. Orang awam tidak dibenarkan mengintip
perlakuan maksiat yang cuba disembunyikan. tetapi berbeza dengan penguatkuasa
(Hisbah), dia mempunyai hak dalam keadaan tertentu antaranya seperti yang
disebut oleh al-Qadi Abu Ya`la dalam karyanya tentang pemerintahan Islam iaitu
"al-Ahkam al-Sultaniyyah"
Beliau menyebut tentang kemungkaran yang cuba disembunyikan oleh pelakunya. Ia
terbahagi kepada dua.
Pertamanya Sekiranya perkara mungkar yang cuba disembunyikan itu melibatkan
pencemaran terhadap maruah/ kehormatan yang mungkin terlepas daripada dihalang
(tak sempat dihalang) seperti zina dan pembunuhan,
maka boleh dilakukan pengintipan dan dilakukan usaha membongkarnya dan
menyelidiknya kerana bimbang akan terlepas daripada menghalang sesuatu
yang bersifat pencemaran terhadap maruah/ kehormatan.
Contohnya - kata Abu Ya`la - orang yang dipercayai memberitahu
kepada penguatkuasa bahawa seorang lelaki berada bersendirian dengan seorang
lelaki untuk membunuhnya atau seorang lelaki berdua -duaan (berkhalwat) dengan
seorang perempuan untuk berzina. Pengintipan dan pendedahan boleh dilakukan
demi untuk menjaga maruah dan kehormatan manusia.
Dalilnya ialah kisah al-Mughirah bin Syu`bah. Seorang perempuan
daripada suku Bani Hilal bernama Ummu Jamil binti Mihjan sentiasa datang
bertemunya. Perempuan itu pula telah bersuami iaitu Hajjaj bin `Ahid daripada
suku Thaqif. Apabila keadaan ini sampai ke maklumat Abi
Bakrah, Sahl bin Ma`bad, Nafi` bin Harith dan Ziyad bin `Abid, mereka lalu
mengintipnya. Apabila perempuan tersebut masuk bertemu dengan al-Mughirah,
mereka lantas menyerbu mereka berdua.Tindakan serbuan mereka ini tidak
dipersalahkan oleh Umar.
Kedua: Sekiranya martabat kemungkaran itu lebih rendah daripada itu, maka tak
perlulah dilakukan pengintipan dan pendedahan. (al-Ahkam
al-Sultaniyyah, hlm. 296).
Apa yang disebut oleh Abu Ya`la ini boleh diaplikasikan dalam isu pengintipan
khalwat di hotel-hotel atau dirumah. Sekiranya dengan maklumat orang yang
dipercayai, perlakuan zina dibimbangi berlaku di bilik hotel tertentu atau di
rumah tertentui, maka pengintipan dan pencegahan oleh
penguatkuasa boleh dilakukan. Tetapi sekiranya tanpa sebarang maklumat, tetapi
hanya dilakukan pemeriksaan secara sembarangan dengan tujuan mencari dan
menyelidik secara umum ia termasuk dalampengintipan yang
dilarang.
Kenyataan Abu Ya`la juga membezakan antara kemungkaran yang
melibatkan maruah dan kehormatan dengan maksiat-maksiat lain. Maksiat
melibatkan maruah dan kehormatan ialah seperti zina dan mukaddimah zina serta
pembunuhan. Ia boleh dibongkar sekiranya terdapat maklumat orang yang diyakini.
Maksiat lain seperti minum arak, nyanyian yang diharamkan sekiranya dilakukan
secara bersembunyi tidak perlu dibongkar. Tetapi sekiranya dengan nyata dan
terang-terangan dimaklumi oleh masyarakat ia boleh dicegah dan dihalang.
Wallahu A`lam.
Yang benar,
al-Ustaz Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Presiden Nadwah Ilmuwan Muslim (NAIM).
No Kad Pengenalan: 731209-11-5001.
No Hp : 013 3621236.
___________________________________________________________
Copy addresses and emails from any email account to Yahoo! Mail - quick, easy
and free. http://uk.docs.yahoo.com/trueswitch2.html