Iran sudah lama kuatkuasa peraturan bertudung    
Maslan Yusoh 
Tue | Dec 19, 06 | 09:41:22 AM 
KOTA BHARU, 19 Dis (Hrkh) – Mengapa isu etika berpakaian tidak berbangkit 
ketika Iran menguatkuasa peraturan bagi mana-mana pelancong yang mengunjungi 
negara itu perlu bertudung, sedangkan isu serupa di Kota Bharu dipersendakan. 
Tahukah anda, pelancong wanita asing tanpa mengira agama yang mengunjungi 
Teheran mereka disyaratkan bertudung. 
“Keadaan itu dapat dilihat apabila pilot mengumumkan kapal terbang akan 
mendaratkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Teheran, pelancong wanita 
mengambil kain tudung dalam beg masing-masing. 
“Biar pun pada peringkat awal ramai yang mengkritik langkah dibuat Iran, namun 
lama-kelamaan mereka boleh menerimanya setelah kerajaan Iran menjelaskan 
rasional peraturan itu,” kata Naib Presiden PAS, Dato’ Dr Hassan Ali. 
Biar pun peraturan tersebut dikuatkuasa namun kehadiran pelancong asing semakin 
ramai ke Teheran. 
Menurutnya, situasi serupa juga berlaku di Kota Bharu sekarang apabila 
peraturan menutup aurat dikenakan kepada premis-premis perniagaan di sini. 
Kata beliau, peraturan itu boleh diterima orang ramai apabila mereka tahu 
rasional pengubalan undang-undang kecil mengenai perkara itu dibuat. 
Baru-baru ini, Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam menguatkuasa 
peraturan kod etika berpakaian terhadap pekerja-pekerja wanita di premis 
perniagaan di bandar ini. 
Kod Etika Pakaian itu dibuat mengikut Seksyen 4 (a) Undang-Undang Pengawalan 
dan Penyeliaan Establisment Makanan MPKB 1987 dan dikuatkuasa kerajaan PAS 
selepas berkuasa pada akhir 1990. 
Sebelum ini, MPKB BRI hanya mengambil pendekatan nasihat. Bagaimanapun kaedah 
itu belum berkesan kerana masih ada di kalangan pekerja wanita enggan 
mematuhinya. 
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Seri Shahrizat Abdul 
Jalil sebelum ini dilaporkan mendakwa peraturan dikuatkuasa MPKB BRI 
menyebabkan golongan wanita tidak dapat menentukan pilihan mereka dalam 
berpakaian, sebaliknya ditentukan kerajaan Kelantan. 
Begitu juga dengan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengatakan tindakan 
kerajaan PAS menghukum wanita berpakaian menjolok mata merugikan kerajaan dan 
rakyat negeri terbabit. 


http://harakahdaily.net/v061/index.php?option=com_content&task=view&id=5743&Itemid=29


                
___________________________________________________________ 
All New Yahoo! Mail – Tired of [EMAIL PROTECTED]@! come-ons? Let our SpamGuard 
protect you. http://uk.docs.yahoo.com/nowyoucan.html

Kirim email ke