Kasih saudara baru 14 pasangan pengantin diraikan  Oleh: W. RAHIMAD DRAMAN
        
      MERIAH...Pasangan pengantin saudara baru yang diraikan diDewan Orang 
Ramai Taman Gemilang, Dengkil, Selangor, baru-baru ini.   
---------------------------------
  
  Jodoh bagi pasangan hidup itu tidak mengenal jarak, tempat, rupa, bangsa dan 
keturunan. Jika sudah tersurat itu jodoh pasangan hidupnya, akan termeterailah 
janji melalui ijab dan kabul.
   
  Itulah yang berlaku kepada 14 pasangan pelbagai bangsa dan keturunan sekitar 
Dengkil, Daerah Sepang Selangor baru-baru ini, apabila mereka dikembalikan 
kepada agama fitrah, 
  Islam untuk disatu dan diikat sebagai suami isteri melalui ijab dan kabul.
   
  Kesemua 14 pasangan dari pelbagai kepercayaan dan agama sebelum ini, 
dihimpunkan pada majlis persandingan besar-besaran yang meriah dalam program 
Mutiara Kasih Saudara Baru Daerah Sepang di Dewan Orang Ramai Taman Gemilang, 
Dengkil, Ahad lepas.
   
  Ia adalah usahasama Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jabatan Agama Islam 
Daerah dan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) Daerah Sepang serta 
Jawatankuasa Penduduk Taman Gemilang dan Ahli Parlimen Sepang.
   
  Program dua hari itu turut disertakan dengan kursus dan bimbingan 
berumahtangga serta tanggungjawab sebagai suami dan isteri menurut tuntutan 
Islam untuk pasangan terlibat.
   
  Meskipun hidup dan membesar bukan sebagai Muslim, namun dengan kehendak Allah 
s.w.t., hidayah agama suci itu mengetuk pintu hati mereka untuk kembali kepada 
agama fitrah itu dalam memulakan penghidupan baru sebagai suami isteri.
   
  “Pengaruh dan dorongan kawan-kawanlah yang membawa saya untuk mendekati 
Islam, belajar dan akhirnya melafazkan syahadah,” cerita Muhammad Nazri 
Abdullah, 20, yang melafaz syahadah tiga bulan lalu.
   
  Berketurunan Orang Asli dari suku Temuan dari Kampung Orang Asli Jenderam 
Hilir, Dengkil, jodohnya adalah dengan masyarakat serumpun tetapi dari suku 
yang berbeza.
   
  Bekerja sebagai penghias taman di salah sebuah agensi landskap di Dengkil, 
beliau memilih Siti Rosmaria Abdullah dari suku Mahberi di Kampung Bumbung, 
Pulau Carey di Banting sebagai teman hidupnya. 
   
  Lebih menarik, Siti Rosmaria, 20, turut tertarik dengan Islam dan mengikut 
jejak Muhammad Nazri meskipun ahli keluarga masing-masing belum mendapat 
hidayah untuk menjadi Muslim.
   
  Mereka adalah pasangan tunggal yang dinikahkan pada majlis persandingan 
beramai-ramai dalam program Mutiara Kasih Saudara Baru yang julung kali 
diadakan di daerah tersebut.
   
  Sementara itu, 13 pasangan lain diijab dan kabul dalam tempoh antara dua 
bulan hingga dua tahun lalu.
   
  “Sebenarnya program ini adalah untuk mengalu-alukan mereka sebagai saudara 
seagama di samping meraikan dan berkongsi kegembiraan bersejarah mereka secara 
bersama,” kata Ahli Parlimen Sepang, Datuk Ir. Mohd Zain Mohammed.
   
  Beliau yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya turut merasmikan program serta 
merenjiskan bunga rampai pada pasangan di majlis persandingan beramai-
  ramai itu.
   
  Bagi pasangan yang disatukan lebih lapan bulan lalu, Mohd Assamarkandi Lee 
Abdullah, 26, dan Norliza Ada, 24, majlis tersebut akan menjadi sejarah manis 
untuk mereka.
   
  “Saya amat terharu kerana tidak menyangka akan diraikan dengan majlis yang 
meriah sebegini,” katanya yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah. 
   
  Anak tunggal yang menjadi yatim piatu sejak lebih 10 tahun lalu ini sedang 
menuntut di tahun dua Institut Dakwah Islam Perkim di Pangkalan Chepa, Kelantan.
   
  Dilahirkan dalam keluarga yang menganut kristian 26 tahun lalu, Mohd. 
Assamarkandi mendapat hidayah setelah melalui pelbagai ranjau kehidupan selepas 
kematian ibu bapanya sejak lebih lima tahun lalu.
   
  “Saya merantau ke Kelantan untuk mendalami ilmu Islam dan ditakdirkan pula 
bertemu rakan yang sealiran semasa belajar di sana,” cerita bakal pendakwah 
kini mengikuti diploma pengajian Dakwah dan al-Quran di Institut Dakwah Islam 
Perkim itu.
   
  Bercita-cita melanjutkan pengajian ke Mesir, Mohd. Assamarkandi berkata, 
perkahwinannya menguatkan lagi azam dan semangat membantu meningkatkan lagi 
syiar Islam khususnya kepada saudara baru.
   
  Isterinya, Norliza yang dinikahi pada 9 Mac lalu membesar dengan kepercayaan 
masyarakat Orang Asli di Kampung Bukit Tampoi, Dengkil sebelum mendapat nur 
Islam.
   
  Lain pula dengan kisah pasangan Sulaiman Veeran Amir Abdullah, 21 dan 
isterinya, Umi Kalsum Othman, 18.
   
  Walaupun mereka dari kaum yang sama iaitu India, tetapi masing-masing 
mempunyai latar belakang kepercayaan agama berbeza.
   
  Sulaiman dilahir dan dibesarkan dalam keluarga beragama hindu, manakala Umi 
Kalsum adalah dari keluarga India Muslim. 
   
  Tetapi beliau kembali kepada Islam hampir lima tahun lalu setelah mula 
mengenali dan menyelami agama suci itu ketika di bangku sekolah lagi.
   
  Lebih bermakna bagi Sulaiman yang berasal dari Dengkil, apabila ibu bapanya 
turut mendapat hidayah menjadi Muslim selepas dua bulan dia melafazkan syahadah.
   
  “Kini saya rasa lebih sempurna apabila mendapat pula seorang isteri dari 
keluarga yang beramal dengan Islam,” kata penuntut tahun tiga pengajian diploma 
dakwah dan al-Quran Institut Dakwah Islam Perkim di Kelantan itu.

 Send instant messages to your online friends http://asia.messenger.yahoo.com 

Kirim email ke