Penggabungan: PNB dilihat masih keberatan
Abdul Aziz Mustafa
Fri | Dec 22, 06 | 07:15:38 AM KUALA LUMPUR, 21
Dis (Hrkh) - Permodalan Nasional Bhd (PNB) kelihatan masih keberatan untuk
menerima cadangan penggabungan bernilai RM31 bilion Sime Darby Bhd, Golden Hope
Plantations Bhd dan Kumpulan Guthrie Bhd.
Dalam kenyataan yang dilihat sebagai memperlihatkan sikap itu, Ketua Pegawai
Eksekutifnya, Tan Sri Hamad Kama Piah semalam berkata, PNB akan menunggu
mesyuarat agung luar biasanya (EGM) sebelum menimbang cadangan penggabungan itu.
CIMB Group baru-baru ini mencadangkan penggabungan tersebut menerusi jentera
tujuan khas Synergy Drive Sdn Bhd.
"Mengenai tawaran itu, saya rasa kami akan menunggu EGM terlebih dahulu. EGM
itu akan diadakan selepas ini dan PNB akan mengundi sama ada untuk menerima
atau tidak penggabungan itu," katanya kepada pemberita selepas pengumuman
agihan pendapatan Amanah Saham Bumiputera (ASB), di sini.
PNB, cabang pelaburan Yayasan Pelaburan Bumiputera dan Kumpulan Wang Simpanan
Pekerja (KWSP) menguasai bersama lebih 50 peratus pegangan saham dalam
ketiga-tiga syarikat perladangan itu.
"Bagaimanapun seperti yang saya selalu kata, kami sentiasa yakin dalam sebarang
rancangan penyusunan semula yang boleh menjana nilai," kata Hamad Kama.
PNB, katanya, "akan dipandu oleh jenis pemikiran di mana kami percaya sekiranya
ia mewujudkan nilai kepada kami, kami pasti akan menyokongnya".
Hamad Kama sebelum ini berkata, beliau tidak memberi lampu hijau kepada langkah
yang sangat dipertikaikan rakyat itu.
Beliau menegaskan, sokongan PNB terhadap penggabungan tiga syarikat gergasi
perladangan negara bukan bermakna beliau memberi lampu hijau kepada langkah itu.
"Ini bukan bermakna saya beri lampu hijau tetapi sebarang usaha baik yang pada
akhirnya akan menguntungkan kita, pemegang saham dan ekonomi negara, kita akan
beri sokongan," katanya.
Dalam forum bertajuk "Penggabungan Mega dalam Sektor Perladangan dan Tadbir
Urus Korporat di Malaysia" Rabu lalu, pemusnahan tujuan asas Dasar Ekonomi Baru
(DEB) dan penindasan hak pemegang-pemegang saham kecil adalah antara perkara
yang dikaitkan dengan penggabungan Sime Darby, Golden Hope dan Guthrie itu.
---------------------------------
The all-new Yahoo! Mail goes wherever you go - free your email address from
your Internet provider.