"Bot PM" RM28 juta: Pemuda akan kemukakan bantahan
kepada Turki        
KUALA LUMPUR, 21 Dis (Hrkh) - Pemuda PAS akan
menghantar nota bantahan kepada Kedutaan Turki dan
meminta kerajaan negara itu mengambil tindakan ke atas
akhbar Hurriyet yang menyiarkan berita yang disifatkan
oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi
sebagai "tidak betul langsung dan satu pembohongan". 

Akhbar Turki, Hurriyet, baru-baru melaporkan Perdana
Menteri melawat bandar Bodrum di negara itu untuk
melihat bot persiaran bernilai US$8 juta (kira-kira
RM28 juta) yang dilaporkan oleh akhbar itu sebagai
ditempahnya. 

"Walaupun berbeza fahaman politik, tetapi Pemuda PAS
menganggap bantahan kepada kerajaan Turki itu perlu
dibuat bagi mempertahankan kewibawaan "institusi
perdana menteri" negara kita," kata ketuanya,
Salahuddin Ayub. 

Dalam siaran televisyen semalam, Perdana Menteri jelas
kelihatan begitu marah dengan laporan akhbar tersebut.


“Laporan itu tidak betul langsung dan satu
pembohongan. Saya tidak tahu bagaimana mereka mendapat
maklumat itu hingga boleh menulis begitu,” kata
Perdana Menteri kepada wartawan Malaysia pada akhir
lawatan rasmi tiga harinya ke Venezuela. 

Beliau malah menegaskan akan meminta Hurriyet membuat
pembetulan mengenai laporan berkenaan. 

Perdana Menteri mengakui ada ke Turki, tetapi tidak
pernah terfikir untuk membeli bot mewah. 

“Memang saya ada di Turki, tetapi saya tidak pergi
melihat bot,” katanya yang singgah di negara itu dalam
perjalanan ke Venezuela. 

Mengambilkira kesungguhan Perdana Menteri menafikan
laporan itu, Salahuddin berkata pihaknya akan menuntut
kerajaan Turki mengambil tindakan ke atas akhbar
tersebut jika ia gagal membuktikan kebenaran
laporannya. 

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Haji Mahfuz Omar pula
mendesak Perdana Menteri sendiri mengambil tindakan
undang-undang ke atas Hurriyet bagi membersihkan
namanya. 

"Meminta akhbar itu membuat pembetulan mengenai
laporan berkenaan adalah tidak memadai sama sekali
malah mungkin akhbar itu enggan membuat pembetulan
sedangkan laporan itu pasti menjejaskan nama Perdana
Menteri. 

"Beliau mesti mengambil tindakan undang-undang ke atas
Hurriyet supaya tidak ada pihak lagi yang berani
membuat laporan yang disifatkan Perdana Menteri
sebagai tidak betul langsung dan satu pembohongan,"
katanya. 

Namun, kata Mahfuz lagi, perkara yang lebih baik untuk
dilakukan ialah menubuhkan sebuah jawatankuasa
siasatan untuk menyiasat bagaimana berita itu boleh
disiarkan oleh akhbar Turki itu dan apakah motif
akhbar tersebut dalam menyiarkan berita itu. 

"Penubuhan jawatankuasa itu bukanlah sesuatu yang
berlebihan untuk membersihkan nama baik Perdana
Menteri. Jika beliau sendiri yang menafikan, orang
boleh kata, tidak ada siapa pun yang akan mengaku jika
menghadapi keadaan seperti yang dihadapi oleh Perdana
Menteri. 

"Oleh itu, Perdana Menteri memerlukan pihak lain untuk
membuat penafian dan membersihkan namanya setelah
siasatan membuktikan laporan itu tidak betul langsung
dan satu pembohongan," kata Mahfuz lagi. 

Harakah keluaran terbaru mempersoalkan, benarkah Cobra
Sultan, bot persiaran (yacht) bernilai sehingga US$8
juta itu dihadiahkan oleh seorang ahli perniagaan
kepada Perdana Menteri? 

Jika benar, perkara tersebut menimbulkan persoalan
yang tidak berkesudahan; mengapa perahu layar itu
dihadiahkan kepada Perdana Menteri, adakah perahu
layar itu dihadiahkan oleh seseorang yang tidak
mempunyai kepentingan perniagaan di negara ini,
bolehkah Perdana Menteri menerimanya dan pelbagai
persoalan lain. 

Seseorang kakitangan awam ditegah dari menerima hadiah
atau hamper yang bernilai lebih dari RM50. 

Cerita bot persiaran mewah yang boleh memuatkan 14
penumpang itu pertama kali didedahkan kepada rakyat
Malaysia oleh bekas Editor Eksekutif Malay Mail,
Ahirudin Attan dalam blognya, Rocky's Bru 

Ahiruddin memetik laporan Hurriyet mengenai lawatan
Perdana Menteri ke bandar Bodrum "untuk melihat bot
persiaran yang ditempahnya". 

Beliau tiba di bandar itu dengan jet peribadi milik
Penerbangan Malaysia. 

Turut menyambut kedatangan Perdana Menteri ialah,
tokoh keenam paling kaya di Asia, Tan Sri T. Ananda
Krishnan. Kekayaan Ananda berjumlah kira-kira RM8.77
bilion. 

Dalam lawatan itu, Perdana Menteri turut mengambil
kesempatan untuk memancing dengan menaiki sebuah bot
mewah, "Obsessions", milik Kremala Holding. 

Bot persiaran berukuran 44 meter panjang yang
dilaporkan sebagai ditempah oleh Perdana Menteri itu
diperbuat dari kayu Akaju, Maun, Sipo dan Brimanya
yang diimport dari Afrika Selatan. 

Ia dijangka dapat disiapkan dalam tempoh 16 bulan
selepas Perdana Menteri dilaporkan menempahnya. 

60 orang terlibat menyiapkan perahu persiaran itu. 

http://harakahdaily.net/v061/index.php?option=com_content&task=view&id=5772&Itemid=28


    KEAMANAN - KESEJAHTERAAN - KEADILAN 
  Sila layari Blog PAS N.Sembilan di http://pasns.blogspot.com
  Sumbangan untuk pembinaan Bangunan PAS N.Sembilan boleh disalurkan melalui 
Bank Islam No Akaun 50120100 27521.  “Bank in slip” bolehlah dihantar kepada :
    Bendahari
  Tabung Bangunan PAS NS, No 11, Tingkat 1, Bangunan PKNNS,Jln Seremban 
K.Pilah, Ampangan,
  70400 Seremban, N.S.





__________________________________________________
Do You Yahoo!?
Tired of spam?  Yahoo! Mail has the best spam protection around 
http://mail.yahoo.com 

Kirim email ke