Dua UTK dituduh bunuh Altantuya pengawal Najib?   
Abu Bakar Rahman 
Fri | Dec 22, 06 | 07:19:13 PM  
KUALA LUMPUR, 22 Dis (Hrkh) - Selepas Melbourne Age melaporkan 
bahawa kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu mencetuskan soalan-soalan 
berapi-api kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun 
Razak, isu itu semakin berapi-api apabila ucapan bekas Timbalan 
Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini memanaskan 
lagi persoalan umum adakah kedua-dua anggota polis dari Unit 
Tindakan Khas (UTK) yang dituduh membunuh Altantuya adalah pengawal 
peribadi Najib. 

Anwar juga mendakwa bahan letupan C4 yang digunakan untuk meletup 
dan menghancurkan mayat Altantuya tidak boleh diperolehi tanpa 
kebenaran Menteri Pertahanan. 

Najib juga adalah Menteri Pertahanan. 

"Saya tidak mahu menuduh sesiapa tetapi hanya menyatakan fakta. Kita 
tidak boleh menuduh tetapi kita boleh bertanya, tidak ada salahnya 
bertanya," kata bekas Timbalan Perdana Menteri ketika berceramah di 
padang Flat Seri Melaka di Cheras baru-baru ini. 

Melbourne Age 14 Disember lalu melaporkan, kes pembunuhan Altantuya 
mengakibatkan soalan-soalan berapi-api kepada Najib. 

Menurut akhbar itu, penganalisis politik Abdul Razak Baginda, yang 
kini didakwa berikutan pembunuhan Altantuya, ialah orang kepercayaan 
Najib. 

Walaupun Najib tidak dikaitkan secara rasmi dengan kes itu, kata The 
Age, tetapi persoalan berbangkit mengenai dakwaan penglibatan UTK 
dan adakah apa yang disebut sebagai penggunaan bahan letupan C4 
boleh dikaitkan dengan penyalahgunaan kuasa Kementerian Pertahanan. 

Kes yang melibatkan Abdul Razak, 46, disifatkan amat menarik 
perhatian apabila isterinya, Mazlinda Makhzan, menekankan di luar 
mahkamah sebelum perbicaraan 16 November lalu bahawa suaminya tidak 
bersalah, diperangkap dan tidak mahu menjadi Perdana Menteri. 

"Dia orang baik. Dia bukan perdana menteri negara ini. Dia tak mahu 
pun menjadi perdana menteri. Dia tidak berminat dengan itu semua," 
Mazlinda, seorang bekas majistret, menegaskan. 

Ketika Abdul Razak memeluknya, beliau berkata: "Begitu teruk. 
Kekejaman". 

Pertanyaan timbul mengapa Mazlinda menyatakan: "Dia bukan perdana 
menteri negara ini. Dia tak mahu pun menjadi perdana menteri. Dia 
tidak berminat dengan itu semua". 

Laporan lain pula menyatakan Mazlina berkata: "Dia tidak berminat 
dengan politik. Dia tidak mahu menjadi perdana menteri yang akan 
datang. Dia orang baik. Dia suami yang baik. Dia sepatutnya 
melindungi saya. Polis yang melakukannya. Merekalah orangnya. Mereka 
sepatutnya mempertahankan negara ini. 

"Sampai hati you all buat dia macam ni. Jangan buat begini kepada 
dia. Itu kehidupan dia. Mengapa letakkannya ke atas suami saya? Ini 
kejam, kejam, kejam". 

Peguam kepada Abdul Razak, Datuk Shafee Abdullah, pernah dilaporkan 
sebagai berkata, "Saya yakin sepenuhnya beliau tidak bersalah ... 
beliau tidak terlibat sama sekali". 

Bagaimanapun dalam perbicaraan 14 Disember lalu di Mahkamah Tinggi 
Shah Alam, Shafee digantikan oleh peguam Wong Kian Kheong. 

Dalam perbicaraan itu juga, Timbalan Pendakwa Raya Salehuddin Saidin 
memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa tiada pihak lain yang terlibat 
dalam pembunuhan Altantuya Shaariibuu selain daripada Abdul Razak 
dan dua anggota UTK Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. 

Salehuddin berkata perkara itu perlu diperjelaskan berikutan wujud 
terlalu banyak tohmahan dan sindiran bahawa ada pihak lain yang 
terlibat sedangkan mengikut siasatan polis hanya tiga tertuduh itu 
yang terlibat. 

Salehudin berkata perbicaraan kes itu juga perlu disegerakan bagi 
memberi peluang pendakwaan menepis segala spekulasi yang timbul. 

Abdul Razak yang lebih dikenali sebagai Razak Baginda didakwa 
bersubahat membunuh wanita warga Mongolia Altantuya, 28, dengan Cif 
Inspektor Azilah Hadri, 30, dan Konstabel Sirul Azhar Umar, 35, di 
pejabat Abdul Razak di tingkat 10, Bangunan Getah Asli, No 148, 
Jalan Ampang antara pukul 9.54 pagi dan 11.05 pagi, 18 Oktober lalu. 

Azilah dan Sirul Azhar yang sebelum ini bertugas di UTK, Ibu Pejabat 
Polis Bukit Aman pula didakwa membunuh Altantuya, 28, di lokasi 
antara lot 12843 dan lot 16735, Mukim Bukit Raja di sini antara 
pukul 10 malam 19 Oktober dan 1.00 pagi 20 Oktober lalu. 

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd Zaki Md Yasin telah menetapkan 5 
Januari depan untuk sebutan semula kes itu dan turut membenarkan 
jaminan terhadap Abdul Razak dilanjutkan tetapi mengenakan syarat 
tambahan dengan mendepositkan wang tunai RM1 juta atau sekuriti yang 
setara dengannya selain melaporkan diri di balai polis seminggu 
sekali dan menyerahkan pas perjalanan ke mahkamah. 

Komen:  Seorang pemimpin muda juga umum diketahui menyimpan minat 
yang tinggi untuk menjadi Perdana Menteri termuda.

Kirim email ke