http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2006&dt=1228&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm
   
  Fikir masak-masak sebelum mengahwini saudara baru  Oleh MOHD. SAIFUL MOHD. 
SAHAK
          
      Walaupun sudah memeluk agama Islam, ikatan kekeluargaan Salmah Abdullah 
(dua dari kanan) masih erat apabila beliau turut menyambut hari jadi ibu 
saudaranya di Genting Highlands, Pahang.   
---------------------------------
  
SALMAH Abdullah, 68, reda dengan penentuan ilahi apabila mengenang nasib yang 
menimpa dirinya dengan pelbagai cabaran dan dugaan hidup yang terpaksa di 
tempuhi sepanjang bergelar seorang muslim.
   
  Hatinya terbuka untuk memeluk Agama Islam setelah mendapat nur dengan bantuan 
jejaka yang kini suaminya yang terpaut akan kecantikan Salmah pada alam remaja.
   
  Niat mendirikan rumah tangga dengan jejaka pilihan semasa berusia 18 tahun 
pada mulanya mendapat tentangan ahli keluarga terutama ibu dan bapa yang ketika 
itu berlainan agama. Namun, kecintaan terhadap agama Allah mengubah dirinya 
menjadi seorang muslim sejati.
   
  “Pada ketika itu, hati saya berbelah bagi untuk memilih keluarga atau suami, 
namun saya berdoa kepada tuhan yang esa untuk membukakan hati saya untuk 
menerima agama ini atau sebaliknya. “Hari demi hari saya memikirkan perkara 
ini, namun jawapan bersalah masih membelenggu diri ini sekiranya tindakan yang 
ambil menyebabkan dirinya disisihkan oleh keluarga dan saudara mara,” katanya 
kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini. Namun Allah masih memberinya peluang dan 
hidayah apabila keluarga mertua sebelah suami bertandang ke rumah keluarga 
dengan niat dan hajat untuk menjadikan saya sebagai menantu. “Akhirnya ibu-bapa 
dan keluarga saya menerima niat tersebut dengan harapan demi kebahagiaan saya 
di dunia dan akhirat,” jelasnya.
   
  Tahun 1957 yang juga tahun kemerdekaan negara merupakan detik tahun keramat 
kepada Salmah yang mengahwini suami tercinta selepas setahun memeluk Islam.
   
  Kata Salmah, detik-detik indah perkahwinan itu diabadikan sebagai kenangan 
yang sukar digambarkan kerana perkahwinan tersebut mendapat restu daripada 
kedua-dua belah pihak keluarga. 
   
  Kini hampir 50 tahun setelah memeluk agama Islam kehidupan saya terus berubah 
di samping mendapat hidayah dan bimbingan untuk mengamalkan ajaran Islam 
sepenuhnya. 
   
  “Kehidupan saya bertambah bahagia setelah dikurniakan dengan enam orang anak 
yang merupakan pengikat kasih sayang. Saya bimbing dan memberi tunjuk ajar 
kepada mereka. 
   
  “Kehidupan saya dirahmati oleh Allah s.w.t kerana memberi saya rezeki yang 
melimpah ruah demi menyara saya dan anak-anak tercinta,” tambahnya yang menetap 
di Selayang Baru, Kuala Lumpur.
   
  Namun kebahagiaan itu tidak kekal lama. Setelah 38 tahun mendirikan rumah 
tangga pasangan ini akhirnya berpisah.
   
  “Hati ini luluh dan pasrah kerana suami yang merupakan tempat bergantung 
selama ini membuat keputusan berkahwin dengan wanita lain disebabkan masalah 
peribadi,” katanya.
   
  Pada waktu itu, beliau mula tertekan dan keadaan semakin terumbang-ambing dan 
hatinya mula berkata-kata dan merasakan tiada guna lagi untuk hidup di dunia 
ini.
   
  “Pada waktu itu, saya mula membawa diri bersama-sama dengan rakan-rakan agama 
lama saya iaitu buddha, dari situ saya mula takut dan gusar kerana merasakan 
bahawa keinginan untuk kembali kepada agama asal mula tergambar di fikiran saya.
   
  “Namun alhamdulillah, saya mengucap panjang dan memohon kepada Allah supaya 
terus memberi kekuatan kepada diri saya. Hati saya mula tidak tenteram dan 
perasaan ketika itu mula berbelah bahagi dan akhirnya, saya membuat keputusan 
untuk berjumpa seorang ustaz bagi mendapatkan pandangan dan nasihat apakah 
tindakan yang perlu dilakukan demi kebaikan diri saya dan anak-anak,” jelasnya.
   
  Benarlah Allah itu maha adil dan penyayang kepada umatnya. Setelah berbincang 
dengan sedalam-dalamnya, ustaz mencadangkan agar beliau mengerjakan umrah bagi 
mendapat ketenangan di samping melakukan amal ibadat yang dituntut oleh Allah 
s.w.t.
   
  “Pandangan ustaz itu saya terima dan pada tahun itu juga, saya mengerjakan 
umrah. Apabila sampai di sana, hati saya benar-benar mendapat ketenangan dan 
seolah tuhan memberi hidayah kepada saya untuk terus melakukan amal ibadat dan 
mengikut ajarannya. 
   
  “Saya teruja melihat masyarakat di sana kerana sifat mereka yang sentiasa 
membimbing di antara satu sama lain. Di Mekah, alhamdulillah saya turut 
dimurahkan rezeki di samping diberi kesihatan yang baik untuk menunaikan 
ibadat,” katanya gembira.
   
  Di Tanah Suci, Salmah mendapat satu petunjuk lagi apabila mendapat kenalan 
daripada pelbagai bangsa dan negeri yang berpusu-pusu untuk mengajarnya membaca 
al-Quran.
   
  Katanya, kadang-kadang timbul perasaan malu dalam diri, namun apabila melihat 
mereka yang bersungguh-sungguh mengajarnya, beliau mula memahami bahawa Allah 
s.w.t sentiasa memberi pertolongan kepada umatnya yang dalam kesusahan. 
   
  Beliau juga sentiasa bermohon kepada Allah s.w.t untuk terus membimbingnya 
dan anak-anak ke jalan yang benar.
   
  “Kini setelah kembali ke tanah air, saya memperbanyakkan amalan dengan 
mengikuti program-program yang dianjurkan oleh Pertubuhan Kebajikan Islam 
Malaysia (Perkim) cawangan Selayang Baru dan surau yang berdekatan,” katanya.
   
  Wanita yang berusia lebih setengah abad ini berpegang dengan prinsip setiap 
manusia perlu mengelak daripada sifat tamak, haloba dan kedekut serta jangan 
menghina sesama manusia.
   
  Dalam menghabiskan sisa-sisa kehidupannya yang semakin senja, Salmah 
mengingatkan kepada setiap Muslim yang ingin mendirikan rumah tangga dengan 
bangsa asing yang berlainan agama, agar memikirkannya dengan masak.
   
  Katanya, ini bagi mengelakkan berulangnya peristiwa yang menimpa dirinya yang 
hampir kembali semula ke agama asal apabila berlaku perceraian.
   
  “Pegangan agama dan pedoman yang tidak kuat di dada merupakan penyebab kepada 
masalah yang berlaku pada hari ini. 
   
  “Keadaan akan bertambah sulit apabila, mereka tiada tempat mengadu dan tidak 
dipedulikan oleh masyarakat. Mereka menjadi mangsa kepada keadaan secara 
langsung merosakkan imej Islam itu sendiri dari persepsi pandangan agama lain,” 
katanya.

 Send instant messages to your online friends http://asia.messenger.yahoo.com 

Kirim email ke