MPKB BRI tidak naikkan cukai pintu 300 peratus                            
                         
                        
                                       Salmah Mat Husain      
         Wed | Jan 03, 07 | 12:26:49 PM                         KOTA BHARU, 3 
Jan (Hrkh) -   Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) tidak 
pernah berhasrat untuk menaikkan cukai pintu sehingga 300 peratus sebagaimana 
didakwa sesetengah pihak sebelum ini.

   
Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan 
Pembangunan Masyarakat, Dato’ Husam Musa berkata, sehingga kini tiada cadangan 
untuk menaikkan cukai pintu sehingga 300 peratus dibuat.

 
 “Bagaimanapun kenaikan cukai pintu pernah dicadangkan sebelum ini hanya di 
peringkat Jawatankuasa Kewangan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam 
tetapi hanya 20 peratus sahaja."

 
“Namun cadangan tersebut hanya dibincangkan di peringkat jawatankuasa kecil 
yang bersidang pada 18 September lalu dan belum lagi dibawa kepada mesyuarat 
penuh MPKB-BRI,” ujarnya ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat Exco, di 
Kota Darulnaim, di sini hari ini.

 
Sebelum ini surat pembaca ruangan forum sebuah akhbar harian mendakwa kerajaan 
negeri melalui MPKB-BRI akan menaikkan cukai pintu sebanyak 300 peratus.

 
 Kali terakhir nilaian cukai pintu dibuat bagi Seksyen 1 hingga 28 (bandar 
lama) ialah pada 1 Januari 1987.

 
“Itulah kali terakhir penilaian cukai pintu dibuat, jadi tentulah ianya lebih 
rendah berbanding dengan kos sekarang kerana ia tidak dikaji semula. Sedangkan 
negeri-negeri lain sudah beberapa kali menaikkan cukai,” kata Husam.

 
 Beliau juga berkata, penilaian terakhir bagi bandar baru bermula Seksyen 29 
hingga 65 pada 1 Januari 1988, manakala tarikh berkuatkuasa penilaian semula 
diluluskan mulai 1 Julai 2002.

 
 “Saya berharap masyarakat Kelantan khususnya warga bandar Kota Bharu tidak  
bimbang terhadap berita berkenaan,” ujarnya.

 
Beliau juga berkata, penduduk yang menerima notis bagi nilaian baru yang 
melebihi 20 peratus boleh mengemukakan semula surat berkenaan kepada MPKB-BRI.

 
Tegasnya kadar cukai yang dikenakan bagi tahun ini adalah sama seperti 
tahun-tahun sebelumnya iaitu antara empat hingga 12 peratus sahaja.

 
Sebagai contoh cukai pintu bagi pusat bandar masih lapan peratus, kawasan 
membangun tujuh peratus, kawasan sedang membangun enam peratus, taman perumahan 
tujuh peratus dan kawasan bandar baru empat hingga enam peratus.

 
Bangunan seperti kilang, hotel, pusat membeli-belah dan lain-lain 12 peratus. 
Bagi pegangan tanah kosong dikecualikan cukai pintu mulai 2001, termasuk semua 
pegangan harta yang jumlah cukai kurang dari RM50 setahun.     

 Send instant messages to your online friends http://uk.messenger.yahoo.com 

Kirim email ke