Batu Talam: Beri peluang kepada PAS - Ketua Muslimat
Azamin Amin
Fri | Jan 05, 07 | 07:45:42 AM KUALA LUMPUR, 5
Jan (Hrkh) - Pengundi dan penduduk Batu Talam perlu memberi peluang kepada
PAS untuk memenangi pilihan raya kecil tidak lama lagi supaya Umno tidak
sewenang-wenangnya menyalahgunakan kuasa dan menindas rakyat pada masa akan
datang.
Kehadiran PAS, akan mengimbangi kuasa monopoli yang ada pada Umno dan dengan
adanya pembangkang akan menyebabkan Umno dan Kerjaan Barisan Nasional khususnya
di negeri Pahang akan semakin peka dan prihatin kepada masalah rakyat.
Demikian menurut Ketua Muslimat PAS, Ustazah Azizah Khatib Mat ketika dihubungi
Harakahdaily bagi mengulas perkembangan terkini dan persiapan bagi menghadapi
pilihan raya kecil kawasan Batu Talam berikutan kematian Ahli Dewan Undangn
Negeri Dato' Tengku Paris Tengku Razlan, 65, pada 27 Disember lalu akibat
barah usus.
"Saya menyeru semua pengundi khususnya kaum ibu dan wanita supaya memberi
kepercayaan dan peluang sekali ini kepada PAS," katanya.
"Betapa pentingnya kehadiran pembangkang untuk memantau dan menegur dengan
berani segala kepincangan dan kesilapan Umno," katanya lagi.
Terkini imej Umno Pahang semakin tercalar berikutan saman terhadap lima
pemimpin kanan Umno Raub oleh seorang ahli perniagaan Razali Hassan, 46, di
Mahkamah Tinggi Temerloh baru-baru ini berkaitan isu tanah.
Antara yang disaman Naib Ketua Umno bahagian Raub, Dato Ir Azinudin Abdul
Rahim; Ketua Umno Bahagian Raub yang juga Exco Kerajaan Pahang, Dato
Shahiruddin Ab Moin dan Setiausaha Umno Bahagian Raub, Abd Aziz Kiram.
Turut disaman ialah bekas Ketua Wanita Umno Bahagian Raub, Hajah Asma Haji
Ismail sebagai defenden kelima dan Setiausaha BN Raub, Ahmad Sabri Haji Zainal
Abidin.
Tanpa pembangkang, kata Azizah akan membuatkan Umno/BN mudah untuk melakukan
apa sahaja untuk memperkotak-katikkan hidup rakyat.
Beliau yakin rakyat semakin sedar dan peka kepada isu-isu semasa khususnya
kepincangan yang melibatkan Umno/ BN selama ini dan tidak mudah untuk rakyat
terpengaruh dengan pelbagai janji manis serta pelbagai 'limpahan sogokan' yang
akan bertaburan tidak lama lagi kepada penduduk Batu Talam.
PAS sentiasa perjuangkan dan bela nasib rakyat
"Tak mengapalah terimalah apa yang diberi kerana itupun adalah duit rakyat
bukannya Umno, dan yang penting di peti undi kita memberi sokongan kepada
PAS," katanya.
Dalam masa yang sama beliau mahu masyarakat khususnya pengundi berfikiran
terbuka dan mencontohi rakyat Sarawak yang memberi peluang kepada pembangkang
(DAP) pada pilhan raya yang lalu.
"Dengan adanya pembangkang, saya yakin kerajaan Umno/BN terpaksa
melaksanakan pembangunan dengan bersungguh-sungguh dan nasib rakyat semakin
terbela," katanya lagi dan turut menyatakan PAS sentiasa dikenali sebagai parti
yang memperjuangkan nasib semua rakyat khususnya golongan miskin dan
berpendapatan rendah.
Beliau turut menambah bahawa Muslimat telah bersiap sedia untuk mengembleng
tenaga membantu jentera pilihan raya PAS dan turut akan bekerjasama dengan
sayap wanita Parti KeADILan Rakyat (PKR) untuk memastikan kemenangan calon
PAS.
Pada 10 Januari nanti katanya, semua pimipinan PAS peringkat negeri Pahang akan
'turun padang' ke Batu Talam untuk menggerakkan jentera pilihan
raya,menziarahi, memberi penerangan serta pendedahan dan membantu dari sudut
kerja-kerja amal manakala pada 12 Januari dijangka semua pimpinan PAS Pusat
akan turut sama ke Batu Talam.
"Kita akan berjuang bersungguh-sungguh untuk memastikan kemenangan di samping
berdoa kepada Allah agar cita-cita kita tercapai hendaknya," katanya.
"Biarpun kelengkapan, sogokan dan jentera Umno lebih hebat, kita tidak gerun,"
katanya.
Beliau turut mendapat maklumat, persiapan Umno telah pun bermula dan lambakan
wang sudah kedengaran malah di tempat-tempat tertentu Umno menyewa rumah banglo
untuk dua minggu sejumlah hampir RM200,000.00 untuk kegunaan pilihan raya
nanti.
Banglo tersebut dakwanya tersebut disewa untuk menempatkan petugas-petugas dan
difahamkan sekitar Raub, rumah kebanyakan hampir habis disewa oleh Umno untuk
tujuan tersebut.
Beliau yakin dengan usaha yang berlipat ganda daripada PAS dan semua penyokong
di samping kesedaran rakyat terhadap salah laku Umno/BN selama ini, PAS akan
meraih kemenangan dalam pilihan raya tersebut.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan penamaan calon bagi pilihan
raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Batu Talam di Raub, Pahang
pada 16 Januari ini dan hari pengundian telah ditetapkan pada 28 Januari.
Dalam pilihanraya umum 2004, BN menewaskan calon PAS Dr Muhammad Nilam Abdul
Manap dengan kelebihan 2,761 undi. Terdapat 10,886 pengundi berdaftar pada
masa itu.
Manakala pada tahun 1999, BN dengan calon yang sama menang hanya dengan
majoriti 931 undi sahaja.
Sebagai rekod, peratusan penduduk mengikut bangsa di kawasan Batu Talam dengan
majoriti Melayu 79 peratus, Cina (11 peratus) India (5 peratus) dan lain-lain
(5 peratus). - mns
Send instant messages to your online friends http://uk.messenger.yahoo.com