Kekalkan kemabruran haji sepanjang hayat                            
                         
                        
                                       LanH      
         Wed | Jan 10, 07 | 12:56:44 PM                        Sebahagian 
daripada kira-kira 26,000 jemaah haji negara telah kembali ke tanah air secara 
berperingkat-peringkat. Diucapkan selamat kembali ke pangkuan keluarga, semoga 
dikurniakan Allah SWT haji mabrur yang tiada balasannya kecuali syurga.


  Selepas menunaikan rukun Islam kelima (terakhir) tanggungjawab seseorang itu 
bertambah pada ketika dia berusaha memastikan ibadah hajinya itu kekal mabrur 
(yang diterima) sepanjang hidupnya. Seseorang 'haji' sewajarnya mengekalkan 
peranannya sebagai utusan kebenaran dan menjadi model kepada masyarakatnya.


  Berhubung perkara ini, penulis tertarik dengan dengan pesanan Naib Presiden 
PAS, Haji Mohamad Sabu yang dipetik sebagai berkata, kepulangan jemaah haji 
dari Makkah Al-Mukaramah nanti ibarat 'pahlawan' kerana berjaya penentang 
kebatilan sepanjang berada di sana.


   Justeru, katanya, mereka patut mengekalkan imej tersebut sesuai dengan 
gelaran haji dan hajah dengan mendapat pahala yang berganda.


   "Memandangkan tugas kita menentang kebatilan maka setiap jemaah haji wajar 
pulang dengan semangat pahlawan bukan sekadar gelaran haji atau hajah sahaja," 
katanya ketika berkhutbah Aidiladha di Surau Kebun Sireh, Bukit Mertajam pada 
31 Disember lalu.


  Beliau berkata ajaran mentauhidkan Islam di negara yang diperintah oleh umat 
Islam sendiri kian berkurangan kerana generasi sekarang lebih gerunkan 
teknologi manusia dan kuasa besar.


   Maka, katanya menjadi kewajipan umat Islam untuk melatih diri dan generasi 
muda bagi mengatasi permasalahan yang wujud ekoran kelantangan musuh yang lebih 
kuat menyerang dari segenap segi.


   Ingatan kepada 'haji' dan 'hajah' itu tepat pada masanya bagi membolehkan 
mereka yang telah menunaikan rukun Islam terakhir, memahami, menjiwai 
seterusnya mengamalkan segala pengajaran dan falsafah daripada ibadat yang 
mereka laksanakan itu.


  Mereka perlu dingatkan bahawa mengamalkan Islam sepenuhnya dan menegakkan 
segala hukum-hakamnya menjadi tanggungjawab setiap Muslim apatah lagi mereka 
yang kini bergelar 'haji' dan 'hajah'.


  Apabila dinyatakan mengamalkan Islam sepenuhnya, ia bermaksud menjadikan 
al-Quran dan hadis itu sebagai panduan hidup dalam semua bidang kehidupan.


  Ia bukan sahaja dalam soal ibadat khusus seperti solat dan puasa seperti 
difahami sesetengah pihak tetapi merangkumi segala-galanya - daripada soal yang 
dipandang remeh temeh oleh manusia kepada urusan mengatur masyarakat seperti 
politik, muamalat dan perundangan.


  Berhubung perkara ini, penulis tertarik untuk mengingatkan kembali diri 
sendiri dan insan yang kini bergelar haji dan hajah akan pesanan Kementerian 
Hal Ehwal Islam Arab Saudi melalui buku 'Panduan Untuk Jemaah Haji dan Umrah 
serta Pengunjung Masjid Rasul' yang menegaskan perkara-perkara yang membatalkan 
Islam.


  Selain syirik iaitu mempersekutuan Allah yang dianggap kesalahan terbesar, 
turut disenaraikan perkara batil lain ialah berkeyakinan bahawa petunjuk yang 
lain daripada Nabi s.a.w. adalah lebih sempurna atau berkeyakinan bahawa 
hukuman yang lain daripada hukuman Nabi s.a.w. lebih baik seperti mereka yang 
mengamalkan peraturan thaghut (aturan manusia yang melampaui batas dan 
menyimpang dari hukum Allah) dan mengenepikan Rasulullah s.a.w. Maka orang yang 
berkeyakinan seperti itu adalah kafir.


  Sebagai contoh; a) berkeyakinan bahawa peraturan atau perundangan yang dibuat 
oleh manusia lebih utama daripada Syariat Islam; atau perundangan Islam tidak 
sesuai dilaksanakan sekarang; atau Islam adalah sebab kemundaran umat Islam; 
atau Islam hanya mengatur hubungan manusia dengan Tuhannya sahaja dan bukan 
urusan kehidupan dunia.


  b) Berpendapat bahawa melaksanakan hukum Allah seperti melaksanakan hukum 
hudud, memotong tangan pencuri dan merejem penzina yang telah berkahwin 
(muhsan) tidak sesuai lagi pada masa kini.


  c) Berkeyakinan bahawa dibolehkan untuk mengamalkan perundungan yang lain 
daripada Syariat yang diturunkan oleh Allah SWT sama ada dalam hukum muamalat 
(perdagangan) atau dalam melaksanakan hukum hudud (jenayah) atau lainnya 
sekalipun tidak disertai dengan keyakinan bahawa hukum-hukum tersebut lebih 
utama daripada Syariat Islam kerana dengan sedemikian, ia telah menghalalkan 
perkara yang diharamkan oleh Allah WT menurut ijmak (kesepakatan) ulama.


  Setiap orang yang menghalalkan perkara yang sudah jelas dan tegas diharamkan 
oleh Allah SWT dalam agama seperti zina, arak, riba dan melaksanakan 
perundangan yang lain daripada Syariat Islam adalah kafir menurut kesepakatan 
umat Islam.


  Perkara lain yang boleh membatalkan Islam ialah membenci sesuatu yang telah 
ditetapkan oleh Rasulullah s.a.w. sebagai Syariat walaupun ia mengamalkannya. 
Dengan melakukan demikian dia telah menjadi kafir, kerana firman Allah SWT yang 
bermaksud: "Demikian itu adalah kerana mereka benci terhadap sesuatu yang 
diturunkan Allah, maka Allah menghapuskan (pahala) segala amal perbuatan 
mereka."


  Selain itu, mempersendakan Allah SWT atau Kitab-Nya, atau Rasulullah s.a.w. 
atau sesuatu daripada ajaran agama, maka dia telah menjadi kafir, kerana firman 
Allah yang bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): Adakah terhadap Allah dan 
ayat-ayat-Nya serta Rasul-Nya kamu sekalian memperolok-olok? Tiada ertinya kamu 
meminta maaf kerana kamu telah kafir setelah beriman."


  Dalam urusan masyarakat hari ini banyak perkara termasuk hukum-hakam 
disandarkan kepada undang-undang ciptaan manusia. Ini termasuklah dalam urusan 
memilih pemimpin seperti pilihan raya yang kita kenal hari ini. Berdasarkan 
hakikat ini, sedar dan insaflah betapa banyak dosa yang telah kita lakukan. 
Hanya kepada Allah SWT-lah kita memohon keampunan kerana kegagalan kita 
melaksanakan hukum-hakamnya.


  Kepada haji dan hajah yang baru kembali, disarankan supaya berpegang teguh 
kepada perlakuan manasik dan falsafah haji yang telah sedaya upaya diterapkan 
semasa di Tanah Suci. Sebagai contoh mudah, di Tanah Suci sudah istiqamah 
membungkus diri dengan pakaian menutup aurat, termasuk rambutnya sekali, tetapi 
kenapa di tanah air kembali mendedahkannya?

                
---------------------------------
 New Yahoo! Mail is the ultimate force in competitive emailing. Find out more 
at the Yahoo! Mail Championships. Plus: play games and win prizes.

Kirim email ke