Azam 1428H: Jika Perbankan Islam wujud, mengapa tidak Kewartawanan Islam?
LanH
Tue | Jan 23, 07 | 12:46:20 PM Tahun 1427
Hijrah telah melabuhkan tirainya. Dalam saya terkial-kial, menghitung hari-hari
bulan Muharam yang berlalu pantas pada tahun baru, saya terjumpa kembali buku
'Kewartawanan Islam - Dicabar, Tercabar, Mencabar' - ditulis H M Tuah Iskandar
(terbitan 1990) yang dipinjamkan kepada seorang rakan perempuan beberapa tahun
lalu tetapi tidak dipulangkan.
Buku itu amat berharga pada saya kerana ia mengandungi maklumat asas dunia
kewartawanan, dan yang lebih penting lagi membicarakan keperluan dan usaha ke
arah pembentukan Kewartawanan Islam.
Di institusi pengajian tinggi negara, setakat yang saya tahu, tiada lagi
fakulti, sekolah, atau pun akademi Kewartawanan Islam. Perkara ini masih asing,
sama seperti Perniagaan Islam atau Perbankan Islam suatu ketika dulu.
Jika Perniagaan Islam dan Perbankan Islam malah Kejururawatan Islam dapat
disemarakkan dan kini diterima sebahagian besar rakyat - Islam dan bukan Islam
- sebagai pengajian di institusi pengajian tinggi dan diamalkan dalam kehidupan
seharian, mengapa tidak perkara yang sama digerakkan dalam memajukan
Kewartawanan Islam.
Bagi melahirkan 'modal insan' cemerlang, gemilang dan terbilang seperti yang
sering diuar-uarkan oleh pemimpin negara, adalah wajar bakal wartawan dibimbing
dan dididik dalam sebuah institusi formal yang menawarkan 'Kewartawanan Islam'.
Untuk mengerakkan atau merealisasikan perkara ini tentulah memerlukan gerak
kerja besar membabitkan pelbagai pihak. Bagaimanapun, seperti kata bijak pandai
Cina, Confucius, 1,000 langkah bermula daripada langkah pertama.
Sebagai permulaan, eloklah dicatatkan sedikit sebanyak pandangan beberapa
penulis dan tokoh seperti yang dicatat dalam buku berkenaan mengenai media
massa dan Kewartawanan Islam.
USTAZ AHMAD AWANG (ketika itu Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia): Media
Islam belum lagi wujud di dunia ini. Yang dikatakan media Islam itu mestilah
komited kepada Islam dan ia hendaklah menjiwai Islam.
Media Islam mesti bermatlamat untuk melahirkan masyarakat yang dapat
melaksanakan tugas-tugas kepada Allah dan ia hendaklah membimbing akal fikiran
manusia ke arah kebaikan di dunia dan akhirat.
Selagi pemerintah tidak tunduk kepada Islam, selagi itulah media Islam tidak
dapat dilahirkan dalam erti kata yang sebenar.(Forum Media Islam dan
Cabarannya, anjuran YADIM, 10 April 1989).
DATO' WIRA AHMAD NORDIN MOHD (ketika itu ADUN Sungai Udang, Melaka):
Berita-berita di dalam akhbar Harakah lebih adil dan tepat jika dibandingkan
dengan akhbar-akhbar pengampu yang lain di negara ini.
Akhbar-akhbar pengampu itu masih tenggelam dalam khayalan mereka, dengan
menduga rakyat masih terus tertipu dengan laporan mereka yang sesat dan berat
sebelah. (Harakah, 16 Disember 1988).
AHMAD LUTFI OTHMAN (penulis): Rasanya tiada sesiapa pun tidak menafikan
antara wadah penting menyebarkan dakwah Islam ialah melalui media massa. Begitu
juga untuk menangkis serangan musuh-musuh Islam, yang sentiasa ingin
menghancurkan Islam dengan pelbagai cara dan kaedah.
Dengan tidak menafikan kebanjiran buku-buku Islam di pasaran khususnya
buku-buku terjemahan dari Tanah Arab, yang ketara ialah ketandusan media cetak
(apatah lagi media elektronik) sama ada di peringat antarabangsa mahupun
tempatan yang popular seperti majalah atau surat khabar.
Tidak ada media di peringkat antarabangsa sama ada diterbitkan secara bulanan
atau mingguan bagi memuatkan berita mahupun ulasan mengenai permasalahan ummah
Islam meskipun dunia telah digemparkan bahawa era sekarang ialah zaman Islam,
bukan lagi Washington ataupun Moscow.
Cuba kita lihat di pasaran, apakah impian kita untuk menatap berita yang
ditulis secara jujur dalam media yang dikuasai sepenuhnya oleh orang-orang
Islam yang komited dengan Islam tercapai? Kita tidak menafikan, di mana-mana
akhbar ada dimuatkan ruangan khusus mengenai permasalahan dunia Islam.
Tetapi, kita juga menyatakan bahawa agensi-agensi berita seperti Reuters,
AFP, UPI dan AP umpamanya dimiliki ataupun dipengaruhi oleh Yahudi. Apakah kita
boleh mempercayai berita-berita yang dilaporkan oleh agen-agen musuh-musuh
Islam itu sepenuhnya. (Dewan Budaya, September 1988).
HAJI HASSAN SALLEH (ketika itu Naib Presiden Persatuan Ulama Malaysia): Jihad
dengan tulisan, jihad dengan harta benda, jihad dengan tenaga termasuk antara
jihad-jihad yang sangat besar.
Kita hidup dalam zaman jahiliah (sekarang) dan jahiliah kini lebih dahsyat
dari zaman sebelum kedatangan Rasulullah s.a.w. Tanggungjawab memulihkan
masyarakat Islam antara lain tertanggung di atas bahu para wartawan dan
penulis. (Petikan kumpulan ceramah agama di Kumpulan Karangkraf, 24 Disember
1988).
ABDUL KADIR JASIN (ketika itu Pengarang Kumpulan Berita Harian): NSTP
sentiasa memastikan dasar pemberitaan akhbar-akhbarnya lebih mengutamakan
unsur-unsur positif yang boleh membawa ke arah kestabilan dan kemajuan negara.
Kepemimpinan NSTP sekarang berpegang kepada falsafah bahawa NSTP maju jika
negara maju, kewartawanan mantap jika negara mantap. (Petikan kertas kerja
'Perkembangan Industri Persuratkhabaran di Malaysia', Seminar Akhbar dan
Majalah, UKM, 1989.)
Semoga petikan-petikan ini dapat menyemarakkan usaha ke arah merealisasikan
pengajian 'Kewartawanan Islam' di universiti dan institusi media massa
sekalipun ia mungkin benar bagi situasi tahun berkenaan sedangkan banyak
perubahan berlaku pada abad ke-21 ini.
Berikut pula artikel lama penulis mengenai 'Kewartawanan Islam'
Merindui sebuah pusat pengajian Kewartawanan Islam
Dari Tashkent ke Timbuktoo dan dari Washington ke Wellington, kerajaan dunia
dan media massa yang dikuasai mereka, terus menuding jari kepada apa yang
mereka labelkan 'pelampau Islam' apabila berlaku sesuatu keganasan, termasuk
kes terbaru di London.
Dan menjadi kecenderungan media massa negara Dunia Ketiga termasuk negara
kita menjadi penyambung lidah kepada agensi berita asing/antarabangsa yang
mempunyai agenda tersendiri, sama ada secara nyata atau sembunyi. Mereka
seolah-olah menjadi burung kakatua, mengutip apa yang dituturkan tuannya dan
kemudian menghamburkannya.
Laporan berita secara membabi-buta (mengulangi apa yang disebarkan) oleh
agensi berita asing/antarabangsa tidak menghendaki kehendak ummah yang mahu
berfikir, apatah lagi mengaku sebagai seorang Muslim.
Dalam al-Quran (Ayat 6, Surah Al-Hujurat), Allah SWT berfirman yang
maksudnya: "Hai orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa
suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan
kecelakaan kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu
menyesal atas perbuatanmu itu."
Berdasarkan maksud firman Allah SWT ini, adalah penting untuk pengamal media
dan cendekiawan mengambil iktibar untuk mewujudkan (atau jika sudah ada,
memantapkan) satu cabang ilmu - 'Kewartawanan Islam'. Bidang ini kurang
mendapat perhatian jika dibandingkan dengan 'Kewangan Islam', 'Perbankan
Islam', 'Ekonomi Islam', 'Insurans Islam' dan pelbagai skop pengajian lain yang
digandingkan dengan nama 'Islam'.
Mungkin ada pihak yang berhujah 'Kewartawanan Islam' tidak segah bidang
disebutkan (seperti kewangan dan perbankan) yang membabitkan 'soal wang
(fulus)' tetapi berdasarkan perkembangan teknologi maklumat yang begitu pantas,
cabang ilmu ini perlu diterokai, dijelas dan diperkemaskan.
Demikian juga perkembangan semasa yang semakin menghanyutkan kebenaran
sebaliknya menonjolkan kemaksiatan dan kebendaan sebagai idola, adalah penting
untuk menyegerakan cabang ilmu yang dinamakan 'Kewartawanan Islam' itu.
Dua puluh atau 30 tahun lalu, tiada orang bercakap mengenai 'Insurans Islam'
atau 'Perbankan Islam' sebagai satu subjek di pusat pengajian tinggi, tetapi
kini ia sudah menjadi kenyataan. Begitulah diharapkan dengan 'Kewartawanan
Islam', tetapi persoalannya kini, siapa dan di mana ilmu ini hendak disuburkan.
Jika pihak swasta yang terbabit dalam dunia penyiaran dapat merintis jalan
dalam menubuhkan akademi kewartawanan dan penyiarannya, tidak ada sebab
individu atau kumpulan orang Islam yang berkemampuan sama ada dari segi
kewangan atau keilmuan untuk menubuhkan sebuah 'akademi kewartawanan Islam'
ataupun sekurang-kurang menghasil sejumlah karya-karya bermutu mengenai
kewartawanan Islam.
Ini setidak-tidak akan menjadi cabaran kepada perkumpulan orang Islam, sama
ada yang berkaitan dengan politik atau tidak, untuk membuktikan bahawa Islam
mencakupi semua aspek kehidupan, hatta dalam pemberitaan dan pelaporan
(kewartawanan) kerana media sudah menjadi dominan dalam masyarakat moden.
Sekolah-sekolah kewartawanan dan komunikasi di pusat pengajian tinggi sarat
dengan segala ilmu dan teori oleh tokoh-tokoh Barat (dari Amerika dan Eropah)
tetapi tidak mengetengahkan langsung seorang pun sarjana Islam dalam bidang
berkaitan. Tidak juga dikutip sebarang ayat-ayat al-Quran atau hadis berhubung
bidang komunikasi dan kewartawanan.
Pendek kata, hari ini kita dapat saksikan betapa jauh dan terpisahnya bidang
kewartawanan dan keagamaan menyebabkan ada pengamal media yang mengaku beragama
Islam tidak dapat membezakan antara perkara yang dibenar dan tidak dibenarkan
(halal dan haram) dalam mereka menjalankan tugas masing-masing.
Sebagai contoh dalam dunia persuratkhabaran, apa yang sering ditekankan
ialah 'sale, sale and sale' (jualan, jualan dan jualan). Dalam mengejar 'sale'
ini, difikirkanlah cerita dan gambar yang dapat menarik perhatian pembaca. Maka
natijahnya gambar lucah dan berita sensasi tanpa bukti dihidangkan bagi
memenuhi keghairahan manusia tanpa sandaran agama semata-mata bagi mengejar
'material reward' (ganjaran kebendaan).
Ilmu kewartawanan yang dicelup bulat-bulat dari Barat itulah yang telah
melahirkan sebahagian besar daripada wartawan kita hari ini - daripada
pengarang, penerbit sehinggalah kepada wartawan, hatta kepada pemberita daerah
atau sambilan nun jauh di ceruk pedalaman.
Mereka tidak menjadikan agama sebagai pokok (dasar) dalam menjayakan
profesion mereka tetapi menuruti cendekiawan besar Barat dalam bidang ini.
Mereka lebih mengenali dan berbangga dengan 5W mereka daripada memahami 6 Rukun
Iman.
Jika mereka 'ada 6 Rukun Iman', salah satu daripadanya percaya kepada Hari
Pembalasan, tentulah mereka takut untuk menyiarkan berita bohong atau gambar
lucah kerana semuanya akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.
Tetapi disebabkan terlalu berkiblat kepada 'tok-tok guru' komunikasi dan
kewartawanan Barat, maka jadilah mereka sebagai penyambung lidah agensi berita
asing yang dengan mudah melabelkan orang Islam sebagai pengganas, pemberontak,
militan, teroris, pengebom berani mati, fundamentalis, ekstremis, pelampau,
pemisah dan sebagainya.
Dan alangkah malangnya, hati mereka tidak tersentuh langsung apabila mereka
sendiri menulis, menterjemah dan mengambil secara bulat-bulat penghinaan musuh
Islam dengan memberi gandingan labelan buruk kepada Islam seperti pengganas
Islam, pelampau Islam, ekstremis Islam, teroris Islam dan pengebom berani mati
Islam.
Jika musuh Islam melabel Islam begitu, ia difahami tetapi jika orang Islam
sendiri yang berbuat begitu, alangkah malangnya nasib umat ini. Berdasarkan
perkembangan ini, alangkah baiknya jika ada kumpulan umat yang prihatin dapat
segera menyegerakan penubuhan sebuah sekolah atau pusat pengajian 'Kewartawanan
Islam'.
---------------------------------
All New Yahoo! Mail Tired of unwanted email come-ons? Let our SpamGuard
protect you.