Salam perkenalan.

Saya ingin memberikan sedikit pendapat tentang isu
mufti Perlis yang meminta pihk berkuasa agar berhenti
daripada mengintip kesalahan orang muslim yang lain.

Pada dasarnya, saya bersetuju dengan pandangan beliau.
Sebab, di dalam al quran sendiri meminta kita umat
Islam agar tidak mengintip-intip perbuatan
saudara-saudara kita yang terlanjur berbuat maksiat.

Ini ada diterangkan secara jelas (muhkamat) di dalam
al Quran. Kalau tak silap saya dalam surah al
Hujuurat. Saya tidak ingat ayat ke berapa.

Tetapi, apabila saya baca kembali beberapa kisah
terutama kisah Saidina Umar yang mengintip kesalahan
seorang jiran yang berbuat maksiat, maka jiran itu
membacakan ayat tersebut lalu Saidina Umar tersedar
akan kesilapannya, lalu beredar dari rumah tersebut.

Tetapi itu bukan persoalannya.Hari ini sebenarnya,
umat islam terlalu leka dengan perbezaan pendapat
mengenai syariat dan langsung tidak mengindahkan
perkara terpenting yang sepatutnya dilakukan oleh umat
Islam pada hari ini, saat ini dan zaman ini.

Dalam keadaan zaman Islam sedang difitnah, umat Islam
sepatutnya bersatu dan sekiranya berbalah, perbalahan
itu tidak akan mengundang rasa benci dan permusuhan,
apatah lagi ianya berkaitan syariat fekah.

Di negara ini, sepatutnya para mufti dan ulama serta
cendekiawan Islam perlu membuka fikiran masyarakat
dari melihat Islam dalam keadaan yang sempit dan
tertutup dan melihat istilah ibadah itu dengan
pemikiran yang begitu tertutup.

Hari ini, ramai diantara kita, termasuk ulama mengakui
bahawa Islam sedang terancam. Jika Islam sedang lemah,
apa yang kita perlu lakukan? Jika kita sedang lemah,
sepatutnya kita berbincang bagaimana untuk jadi kuat,
dan bukannya berbincang dengan hal-hal syariat fekah
yang pastinya banyak cabang dan perbezaana pendapat.
Apatah lagi jika yang berbincang itu tidak mengetahui
adab-adab ikhtilaf dan hanya tahu pada satu mazhab?

Adalah lebih baik rasanya jika para ulama, cendekiawan
dan umat Islam itu menyeru kepada satu perpaduan
mutlak dibawah kalimah Islam dan ketepikan segala
perbalahan dan perbezaan pendapat serta ideologi.

Kita tidak perlu terlalu berfikir atau menumpukan
sepenuh perhatian kepda syariat sahaja, sedang
ayat-ayat al Quran yang menceritakan tentang syariat
hanya lebih kurang 500 ayat sahaja. Kita hari ini
sedang berbalah tentang sesuatu yang penting tetapi
kita terlupa untuk memikirkan perkara yang terpenting
dari perkara penting.

Di seluruh dunia, kita boleh lihat umat Islam terus
berpecah belah. Di Palestin, selepas berperang dengan
Israel, kini Hamas dan Fatah saling berbunuhan. Mereka
tidak belajar dari sejarah bagaimana setelah
mujahidden menumpaskan Rusia, mereka pula berperang
sesama sendiri kerana merebut kuasa.

Umat bukan Islam bertepuk tangan melihat kita bergaduh
dan benci-membenci sesama Islam. Di dalam buku tulisan
Syeikh Dr. Yusuf Qardawi, beliau membawakan sebuah
hadis yang mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w.
melarang para sahabat mencerca sahabat lain yang masih
minum arak. Kata Baginda : Janganlah dicerca orang itu
kerana sesungguhnya aku mengetahui, bahawa dia
mencintai Allah dan Rasul.

Arak itu memang satu dosa, tetapi orang yang meminum
arak itu tidak murtad sehingga kita boleh mencaci dan
menghina mereka. Terkeluarkah mereka dari Islam jika
meminum arak? Terkeluarkah mereka dari Islam sekiranya
berzina? Terkeluarkah mereka dari Islam jika mereka
berjudi?

Tentunya tidak. Jika tidak, maka haram bagi kita
mencaci mereka, kerana umat Islam tidak boleh memaki
dan mencaci sesama saudara mereka sendiri. Apa yang
perlu dilakukan ialah bukannya mencaci, tetapi
mendekati golongan ini agar dakwah dan nasihat kita
kepadanya sampai kepadanya. Bukannya kita menjauhkan
diri dari mereka dan menghina mereka. 

Sebenarnya panjang lagi yang ingin saya tulis, tetapi
cukuplah sekadar ini buat masa ini. Ada sebuah kisah
mengenai Saidina Muawiyah dan Saidina Ali. Ketika itu
Ali dan Muawiyah sedang dalam perbalahan yang telah
mengakibatkan peperangan Siffin dan Jamal.

Dalam suasana genting itu, Raja Rom ingin mengambil
kesempatan lalu mengutus utusan untuk berjumpa
Muawiyah. Lalu utusan itu datang dan bertemu dengan
Muawiyah dan mengatakan Raja Rom ingin menyerang Ali
sebagai tanda sokongan terhadap Muawiyah. Muawiyah
bangkit lalu mengatakan kepada  utusan tersebut :

"Jangan kamu sangka, dalam keadaan aku dan Ali sedang
bermusuhan, kamu boleh mengambil kesempatan. Katakan
pada Raja kamu, jika dia berani menyerang Ali, maka
kau akan dapati akulah yang akan duduk di barisan
hadapan tentera Islam untuk berperang dengan tentera
kamu bagi melindungi Ali."

Semoga Allah satukan hati umat Islam, sebagaimana Dia
menyatukan hati kaum Ansar dan Muhajirin sedikit masa
dulu.






 
____________________________________________________________________________________
Get your own web address.  
Have a HUGE year through Yahoo! Small Business.
http://smallbusiness.yahoo.com/domains/?p=BESTDEAL

Kirim email ke