Awas teknik-teknik mengelirukan semasa ditahan                            
                          
                         
                                            Saari Sungib |  [EMAIL PROTECTED] 
com      
         Fri | Mar 02, 07 | 08:38:17 AM                             Selain 
teknik "we know all", teknik-teknik lain yang digunakan oleh SB semasa 
soal-siasat ISA yang sama dengan teknik yang digunakan oleh CIA di Guantanamo 
Bay adalah:
       
        
   "Repetition approach" 
Teknik ini pada dasarnya adalah sama dengan teknik "rapid fire". Teknik rapid 
fire telah saya huraikan dengan panjang lebar dalam beberapa siri sebelum ini. 
Jika teknik rapid fire tujuan utamanya adalah untuk melahirkan rasa kecewa 
dalam diri tahanan, maka teknik repetition approach ini tidak ada tujuan selain 
daripada semata-mata meletihkan dan melahirkan rasa bosan dalam diri tahanan.
       
        
 Ini kerana rapid fire biasanya dilakukan oleh ketua Pegawai Penyiasat (IO), 
sedangkan repetition approach ini hanya sekali-sekala sahaja digunakan oleh 
ketua IO. Dalam banyak keadaan teknik ini ditugaskan kepada timbalan ketua IO 
atau IO-IO lain dalam pasukan. Ada kalanya juga, teknik ini digunakan apabila 
satu pasukan baru mengambil-alih tugas soal-siasat terhadap tahanan.
       
        
 Bagi tahanan yang berharap bahawa memberi kerjasama dengan menjawab 
soalan-soalan yang diulang-ulang itu boleh membuka peluang kepadanya untuk 
dibebaskan awal atau tidak dihantar ke Kem Kamunting, maka biasanya ia akan 
berusaha untuk mengatasi rasa bosannya itu. Proses membosankan tahanan oleh 
IO-IO dan juga proses mengatasi kebosanan oleh tahanan sebenarnya adalah 
bertujuan untuk meletakkan tahanan di bawah kawalan penuh IO-IO!
       
  
  Keadaan ini akan mewujudkan rasa pergantungan dalam diri tahanan terhadap 
IO-IO. Satu manfaat yang hendak dicapai oleh IO-IO apabila wujud rasa rasa 
kebergantungan ini adalah agar hapus perasaan benci terhadap perbuatan dan 
tindakan IO-IO terhadap tahanan.
       
  
  Setelah berlalunya 'proses kerjasama' tahanan dengan menjawab soalan-soalan 
yang diulang-ulang oleh IO-IO dan IO-IO pula sudah berpuas hati, maka wujudkan 
rasa seperti persahabatan di antara tahanan dengan IO-IO!
       
        
 Tahanan akan merasakan bahawa IO-IO itu adalah rakannya! Tahanan akan menjadi 
terlupa bahawa selama proses berjalan ia sebenarnya telah dizalimi oleh satu 
undang-undang yang zalim!
       
        
 Awas! Teknik ini amat mengelirukan. Saya tidak ada jawapan yang putus bagi 
menghadapi teknik ini. Saya sendiri ketika melalui proses ini mendapatinya 
sukar untuk tidak melayan soalan-soalan IO-IO yang berulang-ulang ditujukan 
kepada saya.
       
  
  Apa yang penting adalah jika ia berlaku kepada anda, ingatkanlah diri anda 
bahawa tujuan teknik ini hanyalah bagi membuat anda merasa bosan. Jika anda 
cuba mengatasi perasaan bosan ini, risikonya adalah akan wujud rasa 
kebergantungan diri anda terhadap IO-IO itu.
       
        
  Oleh itu berhati-hatilah agar ini tidak berlaku kepada anda!
       
        
 Langkah terbaik adalah dengan anda tidak perlu bersusah payah mengatasi 
perasaan bosan anda itu. Ini anda lakukan dengan menjawab saja soalan-soalan 
yang dikemukakan walaupun ianya diulang-ulang berkali-kali.
       
  
  Atau, kalau mampu anda boleh berdiam diri sahaja tanpa perlu menjawab. Itu 
pun jika anda sanggup dihukum dengan solitary confinement untuk beberapa hari 
kerana tidak mahu menjawab soalan-soalan mereka!
       
        
   "File and dossier"
Teknik ini merupakan satu teknik yang digunakan oleh IO-IO dengan 
mempersalahkan anda kerana mereka sendiri telah dimarahi dan dipersalahkan oleh 
boss-boss atasan mereka.
       
        
 Sandiwara ini bermula dengan mereka menampakkan diri mereka sebagai amat 
bersungguh-sungguh mencatatkan kenyataan-kenyataan anda semasa beberapa hari 
pertama soal-siasat.
       
  
  Seorang IO akan ditugaskan oleh ketua IO dari semasa ke semasa keluar masuk 
bilik soal-siasat membawa lembaran-lembaran print-out daripada komputer yang 
menunjukkan itulah laporan yang telah mereka sediakan tentang siasatan terhadap 
tahanan.
       
        
 Ketua IO akan berulang-ulang menyatakan bahawa mereka akan mengemukakan 
laporan tersebut kepada bos-bos atasan mereka. Sesudah boss-boss mereka berpuas 
hati, barulah laporan siasatan terhadap tahanan itu akan dibawa kepada satu 
pasukan khas di KDN – Kementerian Dalam Negeri.
       
        
 Ketua IO menerangkan bahawa selepas pasukan elit KDN menyemak laporan tersebut 
dan membandingkannya dengan semua maklumat tentang tahanan, jika ada perkara 
yang tidak tepat dalam laporan tersebut, maka laporan siasatan itu akan 
diserahkan semula ke Bukit Aman.
       
        
 Setelah IO-IO memperbetulkan perkara-perkara yang tidak tepat itu barulah 
sekali lagi laporan siasatan itu diserahkan kepada pasukan elit KDN. Bila 
pasukan elit KDN berpuas hati sepenuhnya, barulah laporan siasatan tersebut itu 
diserahkan kepada Menteri Dalam Negeri.
       
        
 Ketua IO dan IO-IO pembantunya akan berulang-ulang kali mengatakan bahawa 
sesudah laporan siasatan yang mereka sediakan diserahkan kepada pasukan elit 
KDN, mereka sudah tiada kuasa apa-apa lagi terhadap tahanan!
       
        
 Mereka berkali-kali akan berkata mereka tidak suka menganiaya sesiapa. Mereka 
hanya membuat kerja penyiasatan. Tugas untuk mendalami laporan siasatan adalah 
kerja pasukan elit KDN. Pasukan inilah yang menasihatkan Menteri Dalam Negeri 
apa yang perlu dilakukan terhadap tahanan!
       
        
 SB-SB, IO-IO dan Bukit Aman sudah tiada apa-apa kuasa lagi terhadap laporan 
siasatan yang telah diserahkan kepada pasukan elit KDN itu!
       
        
 Kalau tahanan peka dan sensitif sepanjang sesi-soal siasat, tahanan akan sedar 
bahawa lenggok bahasa seperti ini berlaku sekitar tiga atau empat minggu 
selepas tahanan disoal-siasat.
       
       
  Lenggok bahasa IO-IO seperti ini sebenarnya bercanggah dengan apa yang mereka 
sendiri tuturkan pada minggu pertama tahanan disoal-siasat oleh mereka. Pada 
peringkat awal, mereka mengatakan bahawa masa depan dan berapa lama tahanan 
akan disoal-siasat semuanya bergantung kepada mereka! Merekalah yang menentukan 
segala-galanya. Mereka jugalah yang akan menentukan nasib tahanan sama ada akan 
dihantar ke Kem Kamunting atau tidak!
       
        
 Ingat jika ini berlaku kepada anda, sebenarnya anda sedang berada dalam fasa 
soal-siasat di mana ketua IO dan IO-IO sedang  menyediakan anda untuk mereka 
gunakan teknik "file and dossier" terhadap anda.
       
        
 Pada hari yang semalamnya ketua IO mengatakan bahawa beliau telah mengemukakan 
laporan siasatan terhadap anda, ketua IO akan masuk ke dalam bilik soal-siasat 
dengan menampakkan wajah yang murung, berserabut dan membebel-bebel mempersalah 
anda.
       
        
 Ketua IO akan mengatakan bahawa dia telah dimarahi oleh boss-boss atasannya 
kerana terlalu mempercayai anda sehingga sanggup memuatkan maklumat yang tidak 
tepat dan palsu dalam laporan siasatan!
       
        
 Ketua IO akan mengatakan kepada tahanan bahawa sepanjang beliau bertugas 
sebagai pegawai penyiasat tidak pernah beliau dimarahi sedemikian teruk oleh 
bos-bosnya. Kerana itu, beliau mesti bekerja lebih waktu dan tidak boleh balik 
malam untuk membetulkan perkara-perkara yang tidak tepat dalam laporan siasatan 
terhadap tahanan itu.
        
        
 Teknik mempersalahkan anda yang digunakan oleh ketua IO biasanya tidak dalam 
bentuk agresif dan radikal. Sebaliknya ianya dilakukan dalam bentuk yang begitu 
emosional.
       
  
  Teknik emosional yang digunakan oleh ketua IO dalam mempersalahkan anda itu 
sekali gus menampakkan seolah-olah beliau turut mempersalahkan dirinya sendiri 
kerana telah berjaya diperdaya oleh anda!
       
        
 Jika anda tidak berhati-hati, secara spontan anda akan menjadi simpati dengan 
keadaan emosional yang dipamerkan oleh ketua IO itu. Untuk itu dengan tidak 
sedar anda akan terbawa-bawa mempertahankan beliau!
       
        
 Bila keadaan ini wujud, anda akan merasa seperti kasihan terhadap ketua IO dan 
IO-IO dan seterusnya wujudlah hubungan yang lebih bersahaja antara anda dengan 
mereka.
       
        
 Awas, jika ini berlaku kepada anda ingatlah bahawa teknik  "file and dossier" 
hanyalah bertujuan untuk mewujudkan 'working relationship' yang lebih intim 
antara anda dengan IO-IO!
       
  
  Sekiranya anda terjerumus ke dalam perangkap ini, satu hubungan emosional 
akan terjalin antara anda dengan mereka hinggakan anda tidak sedar bahawa 
seluruh proses tersebut sebenar telah mencabul hak asasi anda, merampas 
kebebasan anda dan ISA telah menzalimi diri anda serta keluarga anda!
       
        
 Tidak hairan kenapa ramai bekas tahanan ISA seolah-olah tidak merasakan bahawa 
SB-SB itu adalah instrumen kejam pemerintah dalam mencabul hak asasi mereka 
serta menzalimi mereka di atas nama ISA!
       
        
 Jika anda melalui fasa soal-siasat dengan IO-IO menggunakan teknik ini, 
ingatkan apa yang mereka katakan tentang pasukan elit KDN itu hanyalah bohong 
belaka. Tidak wujud perkara seperti itu. Seluruh operasi ISA adalah di bawah 
pengendalian penuh SB di Bukit Aman!
       
  
 
---------------------------------
 Jumlah dilihat: 184 | Cetak | Emel
       
 Jika terdapat sebarang cadangan atau pandangan mengenai artikel di atas sila 
hantarkan komen anda kepada kami. Untuk sebarang aduan, cadangan, pendapat, 
rencana atau sebagainya, sila emelkan ke hdaily_editor@ yahoo.comAlamat email 
ini telah dilindungi dari spam bots, anda perlukan Javascript enabled untuk 
melihatnya  .
             
              
 Sertakan bersama nama, nama pena, alamat, no. kad pengenalan, dan no. telefon 
(maklumat anda adalah rahsia dan tidak akan disiarkan). Artikel yang diterima 
dan dikemaskini akan disiarkan di ruangan Surat Pembaca atau bersesuaian.
             
              
 Sila hantarkan karya anda yang asli melalui emel sahaja. Sebarang tulisan yang 
dihantar melalui kepilan/Attachment fail (Word, Notepad dll) emel tidak akan 
dilayan.
             
             
 
 [input]  [input]  [input]  [input] Hantar Komen AndaNama [input]  [input] Emel 
[input] Subjek [input] Komen

Kod* [input]   [input] 
  [input]   
                
---------------------------------
 New Yahoo! Mail is the ultimate force in competitive emailing. Find out more 
at the Yahoo! Mail Championships. Plus: play games and win prizes.

Kirim email ke