Oleh Kunta Kinte Malaysia
Posted on Tuesday, February 27 @ 04:30:52 MYT
Selama seminggu kumpulan akhbar yang "dikuasai" oleh Datuk
Kalimullah Hassan (yang dikaitkan dengan skandal penggabungan ECM
LIbra - Avenue Capital Resources Berhad), The New Strait Times Press
(NSTP) mengembar-gemburkan beberapa penyata ekonomi yang cukup
memberangsangkan.
Selain mendakwa nilai dagangan Malaysia mencatat RM 1 trillion,
peningkatan di Bursa Saham Kuala Lumpur yang begitu besar, pelaburan
asing dan domsetik berjumlah RM 40 billion, kemasukan pelaburan
langsung asing (FDI) yang tertinggi sejak 1998 diuar-uarkan sebagai
satu kejayaan besar ekonomi negara.
Malangnya, dengan tiba-tiba segala cubaan untuk mewujudkan feel good
factor (meminjam frasa NTV7 dan Naib Ketua Pemuda, Khairy
Jamaluddin) terhadap suasana ekonomi hari ini menjadi kelam kabut.
Bukan sahaja pembangkang, malah ramai rakyat dan usahawan tidak
mempercayai fakta ini. Adalah mustahil untuk kerajaan sanggup menipu
fakta-fakta yang ada kerana ia akan menjejaskan kredebiliti kerajaan
kemudian hari. Itu pun jika kerajaan hari ini amsih dipercayai umum
setelah pelbagai keputusan tunggang-langgang yang boleh berubah
dalam masa beberapa bulan.
Mengapa rakyat tidak percaya dengan fakta-fakta ini sehingga
menyebabkan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri
Kewangan II dan Naib Ketua Pemuda UMNO terpaksa diperuntukkan sekian
banyak ruang untuk mempertahankan fakta-fakta ini?
Sungguh melucukan, kerana sepatutnya spin doctors yang menyelamatkan
boss, tapi kini jadi terbalik, boss pula yang menyelamatkan para
pakar propaganda ini.
Hakikat utama mengapa semua ini tidak dipercayai rakyat ialah kita
tidak merasa apa yang mereka nyatakan.
Mereka mendakwa ekonomi negara berada dalam keadaan terbaik sejak
tujuh, lapan tahun lalu. Malangnya, rakyat makan gaji, usahawan
kecil dan sederhana merasakan tiga tahun terakhir hampir sama perit
dengan 1998.
Gaji tidak meningkat, jualan runcit tidak meningkat tetapi harga
barang naik, tol naik, petrol naik dan kadar pinjaman asas (BLR)
turut naik. Semuanya naik dengan kadar yang banyak. Justeru di mana
kemakmuran ekonomi yang dilaungkan?
Padahnya memaparkan statistik yang dimanipulasi ini ialah rakyat
semakin hilang kepercayaan kepada cakap-cakap kerajaan dan media
massa pro UMNO.
Mungkin ada kenaikan seperti yang didakwa dalam FDI dan juga nilai
dagangan. Tapi aneh sekali mengapa kenaikan yang kononnya cukup
besar ini tidak terasa kepada rakyat? Rakyat lebih tertanya-tanya
apabila jumlah-jumlah angka yang diberi ialah dalam jumlah RM
bukannya Dollar seperti kebiasaannya. Apakah terdapat manipulasi
fakta di sini berikutan kelemahan nilai Dollar sekarang ini?
Kenaikan BSKL
Kenaikan BSKL sememangnya tidak dapat dinafikan dan tidak
menghairankan. Ini kerana kerajaan membenarkan kembali spekulasi
pasaran saham. Kebenaran ini sedikit sebanyak membantu kenaikan
BSKL. Selain itu trend kenaikan ini amat global sekali sehinggakan
indeks Nikkei Jepun turut mencatatkan paras tertinggi sejak beberapa
minggu lalu.
Namun terdapat juga keraguan bahawa apakah aliran masuk ini tulen
atau banyak dibantu oleh dana-dana KWSP dan Khazanah melalui
pengurus dana asing yang kemudiannya melaburkan semula di sini.
Misalnya, jika KWSP dan Khazanah memperuntukkan beberapa billion
kepada pengurus dana asing dengan syarat mereka melabur kembali ke
Malaysia ini akan dikesan sebagai pelabur asing. Adakah ia akan
menguntungkan negara? Tidak. Yang untung hanyalah pengurus dana
asing yang mengutip komisyen.
Sehingga beberapa bulan lagi, rakyat akan terus bersikap pesimis dan
menanti sejauh mana benarnya fakta kerajaan.
Soalnya mampukah kerajaan mempertahankan momentum ini? Jika tidak
apakah akan terjadi pecahan buih ekonomi seperti 1997. Dan jika ini
berlaku masih adakah kemampuan kerajaan untuk menyelamatkan ekonomi
negara seperti 1997 jika benar dakwaan bahawa kenaikan statistik
sekarang ini banyak dibantu oleh wang dalam negara sendiri tetapi
berselindung di sebalik nama pengurus dana asing? Jangan nanti
ketika itu, wang KWSP dan Khazanah sendiri yang terperangkap dalam
kejatuhan BSKL.
Selebihnya, kenaikan BSKL tidak akan memberi apa-apa kesan ketara
kepada rakyat biasa yang masih terhimpit dengan kenaikan kos sara hidup.
Pelaburan Asing dan Tempatan
Laporan PBB mengenai FDI ke Malaysia juga amat berbeza dengan
laporan yang dikeluarkan oleh kerajaan atau NSTP.
Kerajaan juga melaporkan bahawa jumlah pelaburan asing dan tempatan
meningkat sebanyak RM 40 billion. Tapi bukankah pada tahun lalu
kerajaan meluluskan satu peruntukan berjumlah RM 46 billion kepada
MITI untuk pelaburan dalam dan luar negara?
Apakah kita pasti bukan wang tersebut yang digunakan semula untuk
melabur secara terus dalam negeri dan juga secara tidak langsung
menggunakan pengurus dana asing seperti Standard and Poor dengan
syarat mereka kembali melaburkan wang tersebut ke dalam Malaysia?
Kenaikan Nilai Dagangan
Sekali lagi isu ini menimbulkan persoalan di kalangan orang ramai.
Apakah kenaikan nilai dagangan ini disebabkan kelemahan Dollar atau
sememangnya ia merupakan peningkatan kuantiti yang sebenar dan menyeluruh.
Jika ia hanyalah merupakan peningkatan akibat perubahan kedudukan
nilai mata wang, maka sekali lagi peningkatan ini sebenarnya tiada
signifikan kepada rakyat negara ini keseluruhannya. Dengan kata lain
tidak wujud peluang kerja lebih masa, pembayaran bonus produktiviti
sekaligus tidak mewujudkan kekuatan kuasa beli rakyat.
Kekuatan kuasa beli kita telah pun dibunuh melalui kenaikan mendadak
harga petrol, BLR, Tol dan harga barang. Justeru apa sahaja kenaikan
indikator ekonomi yang tidak menjurus kepada peningkatan
produktiviti dan pendapatan dalam negara sebenarnya tiada makna
sekali kepada kita semua.
Propaganda Murahan Makan Diri
Tujuan sebenar Kalimullah dan Khairy Jamaluddin mengusulkan
propaganda ini hanyalah untuk memburukkan Tun Dr. Mahathir dan
menutup mulut bekas Perdana Menteri tersebut dari terus mengkritik kerajaan.
Malangnya, ia menjadi masalah besar bila fakta-fakta bombastik ini
menimbulkan kemarahan rakyat. Jika kita lihat, Perdana Menteri mahu
pun Timbalan Perdana Menteri tidak mengatakan sikap-sikap skeptikal
ini datang dari pembangkang.
Ini bermakna laporan yang diterima mereka menunjukkan bahawa
majoriti rakyat tidak menerima kenyataan propaganda ini. Tentulah
rakyat berasa marah bila hidup mereka yang lebih susah dari 4 tahun
lalu tiba-tiba didakwa jauh lebih baik. Apakah mereka terlalu bodoh
untuk menilai sendiri kehidupan mereka?
Jika sesiapa yang membaca tulisan Khairy Jamaluddin dalam Mingguan
Malaysia ahad lalu tentu berasa malu dengan penilaian yang beliau tulis.
Menantu Perdana Menteri ini, yang dianggap oleh Perdana Menteri
sebagai anak muda yang brilliant, antara lain mendakwa kita perlu
menerima kenaikan kos hidup dari semasa ke semasa. Beliau juga
mendakwa bahawa kita harus bersyukur kerana Malaysia masih merupakan
negara yang paling murah untuk didiami?
"Hakikatnya, ini bukanlah retorik yang tidak berasas. Inilah hakikat
yang terbukti hasil kajian yang dilakukan oleh UBS, sebuah bank
bertaraf dunia. Kajian yang dijalankan menunjukkan bahawa Kuala
Lumpur merupakan bandar termurah untuk didiami berbanding 71
bandar-bandar utama yang lain. Ini menunjukkan walaupun kerajaan
berani untuk mengurangkan subsidi dan menerima pelbagai cemuhan,
Malaysia masih lagi merupakan negara yang paling murah dari segi kos
sara hidup."
Yang tidak dinyatakan oleh Khairy Jamaluddin kajian tersebut
menggunakan sampel apa, responden mana dan untuk siapa?
Malahan kajian tersebut tidak pun mengatakan Kuala Lumpur negara
paling murah. Sebaliknya ia menyatakan "Western shoppers, on the
other hand, can pick up goods cheaply in Kuala Lumpur, Manama, Dubai and Kiev."
Laporan inflasi (Indeks harga Pengguna) Kuala Lumpur oleh kajian
yang sama juga menunjukkan peningkatan sekali ganda dari 1.1 (2003)
kepada 3.0 pada 2006.
Adakah berlaku peningkatan ketara dalam pendapatan kita dari 2003 ke 2006?
Kesimpulan
Rakyat negara ini pernah berkorban, mengikat perut, malah ada yang
menghulurkan sumbangan berjuta ringgit untuk mempertahankan ekonomi
negara pada 1997. Justeru janganlah merendah-rendahkan pengorbanan
rakyat negara ini.
Kami tiada masalah untuk bersusah payah bersama kerajaan jika
keadaan memerlukan. Namun tentulah kami tidak rela bersusah payah
bila melihat pelbagai isu kelemahan pentadbiran ekonomi dan skandal
penggabungan syarikat-syarikat milik kerajaan berlaku
sewenang-wenangnya dalam setahun dua ini.
Perlukah kami bersama kerajaan ini jika harga tol dinaikkan sesuka
hati, janji tinggal janji dalam isu harga petrol (yang dulu
dijanjikan akan turun jika pasaran kembali turun), kenaikan BLR yang
tinggi menambah beban hutang, kelembapan ekonomi kerana tindakan
"bodoh" kerajaan menangguh tanpa sebab, mengubah tanpa perlu dan
membelanja sesuka hati kepada sektor yang tidak mengembangkan
ekonomi, menarik balik janji memberi buku teks percuma, mengurangkan
perbelanjaan Kementerian Pelajaran tetapi membeli kapal terbang
harga beratus juta, memperbaiki Seri Perdana berpuluh juta, membaik
pulih sebuah sekolah dengan harga RM 20 juta.
Lebih lagi kami ingin bertanya sampai bilakah kerajaan ini berdolak
dalik dan bermain tarik tali dalam pelbagai dasar yang telah diumumkan.
Usah lagi mempertahankan isu ini. Buktikan bahawa semua ini fakta
dan rakyat makin senang. Nescaya BN menang lagi pilihan raya akan
datang. Sebaliknya jika terus berbangga tidak bertempat atas ilusi
ekonomi ciptaan kerajaan ini, tidak mustahil sebahagian kerusi BN
akan ternyah kepada pembangkang.
----------------------------------------- (on mail)
email-body was scanned and no virus found
---------------------------------------------------------