MENJAWAB SALAM BUKAN MUSLIM
  Dr. Mohd Asri Zainul Abidin
  (Mufti Kerajaan Negeri Perlis)
  Apabila saya menyebut bahawa hendaklah kita menjawab salam ‘bukan muslim’ 
yang tidak memerangi Islam, ada kelompok ekstrimis yang membantah mati-matian. 
Alasan mereka senang sahaja; ‘kami tidak pernah dengar pun ada tok guru pondok 
kami ajar demikian’. Mereka ini jadikan seakan ilmu Islam keseluruhannya 
terkumpul di pondok-pondok yang pernah mereka belajar. Sesetengahnya ustaz pula 
telah mengharamkan diri dari membaca atau mentelaah apa yang tidak pernah 
disebut oleh mazhab nusantara atau generasi lama di tempatnya. Sumbangan 
pengajian pondok di rantau ini tidak boleh dinafikan. Namun sentimen tanpa 
hujah bukan ilmu yang diiktiraf dalam Islam.
              Islam adalah agama yang sejahtera. Penampilan dan inti 
kandungannya adalah berteras kekukuhan nilai dan keindahan hakiki. Islam itu 
akan indah jika kita benar-benar jadikan teras kefahaman kita terhadapnya 
bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah. Pendapat golongan ‘ustaz’ bukan kesemuanya 
tepat dengan kedua sumber agung tersebut. Bukan semua yang dianugerahkan darjah 
kenamaan ‘ustaz’ menguasai tajuk yang dia mengajar atau memperkatakannya. Jika 
semua seiras dengan ajaran al-Quran dan al-Sunnah tentu tiada perselisihan 
pokok antara sesama ‘ustaz’. Jika tidak, masakan ada ustaz-ustaz yang berlainan 
kumpulan politik dan sesat menyesatkan antara satu sama lain. Kesimpulannya, 
pandangan golongan agama boleh diterima dan ditolak. Hanya yang tidak boleh 
ditolak ialah nas-nas al-Quran dan al-Sunnah. Sesiapa yang mengemukakan hujah 
berteraskan kedua sumber agung itu dan menuruti kaedah kefahaman nas yang 
diakui oleh disiplin kesarjanaan, maka pendapat diiktirafnya. Jika
 tidak, ‘ustaz’ atau ‘tok guru’ atau ‘mufti’ bukan rasul yang diutuskan 
sehingga setiap kalimah dari mulut mereka dinilai dengan neraca kewahyuan.
              Berbalik kepada isu salam, apakah kenyataan saya mengenai boleh 
menjawab salam kepada bukan muslim ini sesuatu yang baru direka, atau 
sesetengah golongan agamawan lebih cenderung kepada sentimen tempatan dan tidak 
terdedah kepada perbincangan ilmiah. Di sini saya petik apa yang disebut oleh 
al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H) dalam karyanya yang terkenal 
Zad al-Ma’ad: “Telah berbeza pendapat para ulama salaf dan khalaf mengenai 
hukum memberi salam kepada Yahudi dan Kristian. Kata kebanyakan ulama tersebut: 
“tidak dimulakan ucapan salam kepada mereka”. Ulama yang lain berpendapat: 
“harus memulakan ucapan salam kepada mereka, seperti mana harus menjawabnya. 
Pendapat ini (kedua) diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas, Abu Umamah dan Ibn 
Muhairiz. Ia juga salah satu pendapat dalam Mazhab al-Syafi’i. Namun empunya 
pendapat ini dalam Mazhab al-Syafi’i menyatakan: Disebut Al-Salam ‘Alaika tanpa 
menyebut wa rahmat ALLAH, dan secara ifrad (untuk seorang sahaja).
 Segolongan ulama berpendapat: “Harus memulakan salam kepada Yahudi dan 
Kristian disebabkan kemaslahatan yang lebih utama yang diperlukan, atau bimbang 
tindakannya, atau hubungan kekeluargaan, atau apa-apa yang memerlukannya. 
Diriwayatkan pendapat ini dari Ibrahim al-Nakha’i dan ‘Alqamah. Kata al-Auza’i: 
“Jika engkau memberi salam kepada mereka (Yahudi dan Kristian), telah pun 
memberi salam kepada mereka golongan soleh. Jika engkau tidak memberi salam 
kepada mereka, telah pun tidak memberi salam kepada mereka golongan soleh yang 
lain”.
              Sambung al-Imam Ibn Qayyim lagi: “Para ulama berbeza pendapat 
tentang menjawab salam mereka. Mijoriti ulama berpendapat wajib menjawab. 
Inilah pendapat yang benar. Kata segolongan ulama tidak wajib menjawab..”
              Kata al-Imam Ibn Qayyim lagi: “Telah sabit dalam hadith, Nabi 
s.a.w lalu dalam satu majlis yang bercampur antara muslim, musyrikin penyembah 
berhala dan Yahudi, lalu baginda memberi salam untuk mereka semua”.(rujukan: 
Ibn Qayyim al-Jauziyyah, Zad al-Ma’ad, 2/425-426, Beirut: Muassasah al-Risalah 
1990).
              Al-Imam al-Bukhari dalam kitabnya Al-Adab al-Mufrad di bawah 
tajuk Bab Kaif al-Radd ‘ala Ahl al-Zimmah (Bab Bagaimana Menjawab Salam Kafir 
Zimmi) meriwayatkan kata-kata Ibn ‘Abbas: “Jawablah salam sama ada Yahudi, 
Nasrani atau Majusi. Ini kerana ALLAH berfirman (maksudnya dari Surah al-Nisa 
ayat 86) Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat, 
maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau 
balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung 
tiap-tiap sesuatu. (riwayat ini bertaraf ‘hasan’).
              Dalam riwayat yang lain dalam al-Adab al-Mufrad juga di bawah bab 
Iza Kataba al-Zimmi Pasallama, Yuradd ‘Alaihi (Bab Apabila Kafir Zimmi Menulis 
Surat Dengan Memberi Salam, Maka Dijawab Salamnya). Dalam bab ini dimuatkan 
kisah yang sahih di mana Abu Musa al-Asy’ari menulis surat kepada seorang 
paderi lalu memberi salam dalam surat itu. Maka dia ditanya: Adakah engkau 
memberi salam kepadanya, sedangkan dia kafir?. Jawab Abu Musa: “Dia telah 
menulis surat kepadaku dengan memberi salam, maka akupun menjawabnya”.
              Riwayat-riwayat yang seperti ini sepatutnya dibaca oleh para 
ustaz atau sesiapa yang ingin membicarakan tajuk ini sebelum menghukum sesuatu 
pandangan sebagai menyeleweng. Malangnya di negara ini, sesetengah golongan 
agama tidak menjadikan fakta sebagai teras perbincangan, sebaliknya sentimen 
guru tradisionalnya yang jadikan ukuran kebenaran.
              Adapun hadith-hadith yang menyuruh dijawab ‘wa ‘alaika’ (ke atas 
kamu) terhadap salam Yahudi ialah disebabkan orang Yahudi pada zaman Nabi s.a.w 
apabila memberi salam menyebut as-samu ‘alaikum yang bermaksud: maut atau 
kemusnahan ke atas kamu. Mereka cuma mengelirukan pendengaran orang Islam. 
Justeru itulah Nabi s.a.w menyuruh dijawab dengan ungkapan ‘wa alaikum’ sahaja. 
Perkara ini jelas disebut dalam hadith baginda: “Sesungguhnya Yahudi apabila 
memberi salam kepada kamu, sebenarnya dia menyebut: as-samu ‘alaika (maut atau 
kemusnahan). Maka kamu jawablah wa ‘alaika (ke atas kamu). (Riwayat al-Bukhari 
dan Muslim).
              Maka dengan ini jelas hadith ini mempunyai Sabab al-Wurud (sebab 
terbentuknya sesuatu hadith) yang tersendiri. Iaitu ia merujuk kepada suatu 
kejadian atau keadaan yang mana orang Yahudi memberikan ucapan salam secara 
mainan dan sendaan dengan diubah lafaz yang kedengarannya hampir sama, tetapi 
maksudnya amat berbeza. Dalam ertikata lain hadith ini bukan untuk semua 
keadaan.
              Maka jika keadaan berbeza, di mana jika ada bukan muslim 
memberikan salam dengan cara yang betul serta tujuan yang betul pula iaitu 
untuk mengucapkan kesejahteraan kepada kita, maka hadith di atas tiada kaitan 
lagi. Apakah wajar untuk kita sebagai penganut agama yang membawa kesejahteraan 
dan rahmah, menolak ucapan baik orang lain dengan cara yang tidak 
sepatutnya?!!. Sudah pasti tidak wajar demikian. Apatah lagi dalam situasi 
Islam yang cuba dipandang serong oleh musuh-musuh yang mengelilingi umat. Tidak 
menjawab salam yang betul yang diberikan oleh bukan muslim yang tidak memerangi 
Islam sekurang-kurangnya telah tersasar dari mematuhi dua ayat al-Quran berikut:
  Pertama: Surah al-Nisa: ayat 86: (maksudnya) “Dan apabila kamu diberikan 
penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat, maka balaslah penghormatan itu 
dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). 
Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu”.
  Kedua: Surah al-Mumtahanah ayat 8-9, (maksudnya) “Allah tidak melarang kamu 
daripada berbuat baik dan memeberikan sumbangan harta kepada orang-orang yang 
tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari 
kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berlaku 
adil.9. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman 
rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan mengeluarkan 
kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir 
kamu. dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka 
itulah orang-orang yang zalim”.
              Justeru itu tokoh ulama hadith yang terkenal pada zaman ini, 
al-Syeikh Nasir al-Din al-Albani r.h. menyebut: “Ayat ini (Surah al-Mumtahanah 
ayat 8) dengan jelas memerintahkan agar melakukan kebaikan dan keadilan kepada 
orang kafir warga negara Islam yang berdamai dan tidak menyakiti kaum mukminin. 
Tanpa syak lagi, jika seseorang di kalangan mereka memberi salam dengan 
menyebut secara jelas as-salam ‘alaikum , lalu kita menjawabnya sekadar wa 
‘alaika, adalah sesuatu yang tidak adil dan meninggalkan sikap baik. Ini kerana 
kita telah mensamakan antara dia dengan orang yang mengucapkan as-samu ‘alaikum 
 (maut atau kemusnahan ke atas kamu). Ini adalah kezaliman yang nyata”. (Nasir 
al-Din Al-Albani, Silsilah al-Ahadith al-Sahihah, 2/322, Riyadh: Maktabah 
al-Ma’arif :1995).
              Di kalangan para ulama yang melarang menjawab salam pun, 
berpendapat jika keadaan memerlukan maka diboleh untuk menjawab. Mereka 
contohkan seperti bimbang disakiti atau berlaku perkara yang tidak baik. Saya 
katakan keadaan umat hari ini menuntut kita menjawabnya dari segi nas, juga 
realiti kehidupan. Islam sudah dihodohkan rupa parasnya yang indah oleh 
penganut dan penentang. Enggan membalas ucapan baik dengan ucapan yang baik 
juga hanya akan menambahkan contengan di wajah Islam yang kudus. Maka menjawab 
salam bukan Islam di zaman ini adalah suatu kewajiban dari segi nas dan 
tanggungjawab dakwah.
              




      Recent Activity
    
      3
  New Files

Visit Your Group 
  SPONSORED LINKS
      
   Colleges and universities  
   College and university search  
   School education  
   Pre school education  
   College and university information

      Best Mascot
  Original or Cool
  Play the Bix.com
  faceoff to see!

    Yahoo! Music
  Hot music videos
  Check our Top 10,
  and many more.

    Yahoo! Avatars
  Express Yourself
  Show your style &
  mood in Messenger.



  .

 
         


Ya Allah Engkau mengetahui hati-hati ini telah berkumpul kerana 
mengasihi-Mu,bertemu untuk mematuhi perintah-Mu,bersatu memikul beban 
dakwah-Mu, 
  hati-hati ini telah mengikat janji setia untuk mendaulat dan menyokong 
syariat-Mu, maka eratkanlah Ya Allah akan ikatannya.Kekalkan kemesraan antara 
hati-hati ini akan jalan-Nya. Penuhkan hati ini dengan cahaya Rabbani-Mu yang 
tidak kunjung malap.Lapangkan hati-hati ini dengan limpahan iman dan keindahan 
tawakkal kepada-Mu.
  Suburkan hati-hati ini dengan ma'rifat (pengetahuan sebenar) 
tentang-Mu,matikanlah pemilik hati-hati ini sebagai para syuhada dlm 
perjuangan-Mu.
Engkaulah sebaik-baik sandaran dan sebaik-baik penolong. Ya Allah 
perkenankanlah permintaan ini.

Kirim email ke