Sampai satu masa, kita akan berubah.
   
  Berubah pada pemikiran, gaya menyampaikan dakwah, manhaj dalam berilmu, malah 
sikap dan kelakuan.
   
  Perubahan itu adalah proses biasa dalam kehidupan, ada perubahan yang 
diusahakan atas pilihan, dan ada juga perubahan yang dilakukan kerana terpaksa. 
Pokoknya manusia berubah dari satu masa ke satu masa. Sesuai dengan pertambahan 
usia.
   
  
  Maka, dalam hidup ini, pada setiap peringkat yang kita berada, jangan 
sekali-kali kita lakukan perkara yang nantinya menyukarkan diri untuk berubah. 
Apabila kita sedar yang kita perlu berubah, tetapi kita elakkan diri dari 
berubah kerana hal-hal silam yang telah kita lakukan, maka kita akan mula tidak 
jujur kepada diri sendiri. Kita tetap berubah, tetapi kepada menjadi seorang 
penipu dan pengkhianat kepada diri sendiri.
   
   
  PANAS BARAN DI USIA MUDA
   
  Semasa saya di usia muda di alam persekolahan, saya seorang yang emosional 
dan panas baran. Semasa di tingkatan 5, saya sebagai Presiden Badan Dakwah dan 
Rohani (BADAR) dan juga seorang pengawas sekolah, saya pernah menampar seorang 
pelajar tingkatan 3. Saya menamparnya bukan kerana dia mendengar lagu rock. 
Tetapi kerana dia merakam semua lagu rocknya di dalam kaset nasyid!
   
  Tergerak hati saya untuk memasang semua kaset nasyidnya ketika spot check 
diadakan, dan Subhanallah! Semua kaset nasyidnya hanya nasyid pada kulit tetapi 
isinya semua lagu Rock.
   
  Saya tampar dia kerana kelakuan nifaq yang dibuat.
   
  Saya panas baran dan ada insan yang terluka kerana sikap saya itu.
   
  Saya panas baran, sehingga apabila saya disindir Pengetua, saya sanggup nekad 
berhenti sekolah serta merta sebagai protes.
   
  Ketika saya baru menerima Sijil Berhenti Sekolah, saya meminta nasihat dari 
guru sebelum meninggalkan sekolah. Beliau menasihati saya, ”kawal emosi, kamu 
akan berjaya”.
   
  Benar sungguh nasihat cikgu saya. Dan saya sedar yang panas baran saya tidak 
ke mana. Panas baran saya padam semasa saya kehilangan ayah. Semenjak itu saya 
lebih penyabar, walaupun dalam usaha untuk bersabar itu, saya seperti menelan 
bara api.
   
   
  BANGGA SEBAB CELUPAR
   
  Ada orang bangga yang dirinya panas baran. Bangga kerana mulutnya celupar. 
Laser, kata orang sekarang. Seorang dua kawan yang saya kenal memberikan 
alasan, beliau orang Negeri Sembilan, seorang lagi orang Melaka, seorang lagi 
orang Kedah.
   
  ”Apakan daya, kami memang bangsa yang celupar!”, kata mereka.
   
  Memang ada yang beralasan begitu.
   
  Tetapi mampukah kita memberikan alasan yang sama di depan Tuhan nanti, 
”ampunkan aku ya Allah. Aku celupar kerana aku orang Negeri Sembilan! Aku 
melawak brutal kerana aku orang Kedah! Aku suka laser orang sebab mak bapakku 
semua begitu!”
   
  Mahukah Allah melayan alasan-alasan itu?
   
  Sebelum laser jadi bencana di Sana, muhasabah dulu di alam Sini.
   
  Memang ramai yang bangga atas keceluparan mulutnya. Terasa macho. Terasa 
hebat apabila berjaya memangkah orang.
   
  Celupar adalah sifat yang ada pada kebanyakan kita. Tetapi berbangga diri 
kerana celupar, ini yang bahaya. Orang seperti ini sedang melakukan sesuatu 
yang menyukarkan dirinya untuk berubah.
   
  Mahu terus celuparkah, kalau celupar kita itu menghancurkan rumah tangga? 
Menyakitkan hati isteri dan anak-anak kita? Mahu terus laser mulutkah, kalau 
laser itu telah membunuh sekian banyak persahabatan kita? Sampai bila kita mahu 
terus menipu diri sendiri, berlaku ego semata-mata kerana tidak mahu dilihat 
tidak macho sebab sudah tidak secelupar dulu?
  Sampai masa, apabila usia meningkat dewasa, kita tersedar akan kebodohan 
silam. Jika kita hanya celupar di hari silam, kesedaran boleh mengundang 
perubahan. Tetapi jika kita pernah berbangga dengan keceluparan, dan melukiskan 
imej diri sebagai macho kerana laser dan celupar, terimalah balasannya. Ketika 
hari kita sedar yang kita kena berubah, selepas melihat kehidupan ini binasa, 
kita tersepit antara menguzurkan keceluparan diri, dengan hilang maruah diri 
yang selama ini telah memperkenalkan kita sebagai seorang yang hebat kerana 
celupar.
   
  ”Seorang Muslim yang sebenar, adalah seorang yang manusia lain terhindar dari 
kejahatan lisan dan tangannya” (Muslim)
   
  Itu soal mengubah sikap dan kelakuan.
   
   
  BERUBAH MANHAJ ILMU
   
  Dalam soal ilmu, isunya berbangkit juga.
   
  Ketika saya tiba di Jordan, saya tidak Salaf, tidak juga Khalaf. Hanya insan 
biasa.. seperti kebiasaan yang ada.
   
  Saya dan rakan-rakan menadah kitab mengaji Syarah Ibn Aqil dan Kutaib Kubra 
al-Yaqiniyyat al-Kauniyyah setiap hari selepas subuh. Di peringkat itu, saya 
mengukuhkan kefahaman saya tentang apa yang telah saya pelajari semasa di 
Malaysia. Mengemaskan hujah-hujah dan cara berfikir sebagai seorang Khalaf.
   
  Tetapi walaupun ketika itu saya kira saya seorang yang selesa dengan manhaj 
Khalaf, syukur Alhamdulillah saya tidak mencaci Salaf. Saya tidak bernafsu 
besar membongkar dan mengumpul hujah bagi menentang lawan, kerana semasa saya 
mendalami manhaj Khalaf, saya mendalaminya kerana mahu menyembah Allah, bukan 
kerana mahu menyembelih Ibn Taimiyah.
   
  Walaupun saya amat kasih dan cinta kepada guru yang mendidik saya itu, ia 
tidak sampai saya mengikat diri kepada peribadinya. Penghormatan dan kasih 
sayang saya kepada Ustaz Ahmad al-Kaf adalah setinggi-tinggi kasih sayang 
seorang murid kepada gurunya.
   
   
  
   
  Bersama Ustaz Ahmad al-Kaf di sebelah kiri saya
   
  Sebab itulah, apabila Ustaz Ahmad al-Kaf menegur kemungkaran segelintir 
pelajar dan mereka mahu membelasah beliau, saya tidak teragak-agak bersama 
rakan yang lain untuk mempertahankan Ustaz Ahmad al-Kaf, walaupun terpaksa 
mengangkutnya lari di malam hari.
   
  Tetapi proses pengajian itu berterusan. Selepas satu demi satu subjek di 
universiti diambil, dan atas keterbukaan diri yang saya syukuri, saya 
memberanikan diri mengkaji pula aliran Salaf.
   
  Saya percaya, isu ini sensitif. Maka untuk mengkaji dan memahami tentang 
seseorang atau sesuatu topik, maka jangan mulakan kajian dengan membaca komen 
penyokong atau komen musuh. Pergi kepada hasil kerjanya sendiri.
   
  Apabila saya mahu memahami tentang Ibn Taimiyah, saya mulakan dengan meneliti 
kitab-kitab karangan Ibn Taimiyah. Bermula dengan kitab sekecil Ubudiyyah, 
hinggalah kepada Minhaj al-Sunnah, saya bertemu dengan Aqidah, Ibadah, dan 
Akhlak yang sejahtera. Memang ada satu dua tempat yang keras dan kasar, tetapi 
apabila terkenangkan ganasnya jiran-jiran Arab di sekeliling rumah saya, maka 
saya boleh berusaha memahami dan bertolak ansur pada pendekatan Ibn Taimiyah 
kepada manusia di zamannya. Pendekatan tidak jadi masalah, tetapi fakta yang 
dikaji untuk jadi penentu.
   
  Semasa kita kecil, kita mungkin berdendam sehari dua apabila ayah mencubit 
kita yang bermain hujan. Tetapi semasa kita menjadi ayah, tanpa sedar kita 
melakukan perkara yang sama semasa anak kita bermain hujan. Ia soal pendekatan… 
lain zaman, lain caranya, lain umur, lain kaedahnya.
   
  Saya tidak membaca kitab-kitab musuh Muhammad bin Abdul Wahhab atau 
kitab-kitab pemuja dan pemujinya. Tetapi saya pergi kepada kitab yang dikarang 
oleh Muhammad bin Abdul Wahhab sendiri.
   
  Alhamdulillah, saya boleh bertenang.
   
  Apabila saya semakin selesa (saya tidak guna istilah ’saya rasa semakin 
betul’) dengan manhaj Salaf, saya menoleh ke belakang dan Alhamdulillah jika 
saya mahu beralih manhaj, saya tidak ada luggage yang terbeban di dalam sirah 
hidup. Maka saya berubah dengan tenang. Kasih sayang saya kepada guru-guru yang 
mendidik manhaj Khalaf, tidak terusik walaupun sedikit. Malah saya dapat 
memahami apa yang mereka fikirkan dan saya berubah tanpa perlu bermuka-muka.
   
   
  SALAFI VERSI CELUPAR, KHALAFI VERSI ‘LASER’
   
  Malang sekali ada sebahagian kita yang semasa bermanhaj Salaf, dia seorang 
yang celupar. Habis semua orang dibid’ahkannya. Berapa ramai insan yang 
dilukakannya. Dan dirinya tidak pernah mahu meneliti betul atau salah sikap 
begitu, kerana beralasan bahawa semuanya dibuat kerana Allah! Subhanallah dari 
kecelaan akhlak si makhluk.
   
  Tiba-tiba dirinya tersedar bahawa dia telah terlalu banyak melukakan orang. 
Dan dengan pertimbangan yang sungguh tidak rasional, dia menyalahkan manhaj 
Salafnya itu sebagai punca dirinya berlaku buruk. Dia berubah menjadi Khalaf 
tetapi dengan lidah yang terpaksa ditajamkan, menyerang golongan Salaf dengan 
cara yang tidak berhikmah, demi untuk menjustifikasikan perubahan dirinya. 
Ramai sungguh x-Salafi yang saya temui sedemikian rupa.
   
  Begitu juga bagi yang Khalaf…
   
  Sebab itulah saya pesan, selagi kita masih hidup, selama itu jugalah kita 
akan menempuh perubahan. Sama ada berubah ilmu, berubah sikap, berubah gaya, 
apa sahaja… Itu fitrah namanya. Apakah segala-gala yang saya putuskan hari ini 
sudah muktamad? Mungkin ya, mungkin tidak. Andai ada lagi perubahan yang mahu 
dibuat, saya menyediakan diri untuknya, di jalan abdi saya kepada-Nya.
   
  Ketika membaca kisah hidup Imam Syafi’e, Abu al-Hasan al-Ashaari, malah 
terutamanya riwayat hidup Abu Hamid al-Ghazzali, mereka menempuh pelbagai 
peringkat perubahan diri dan manhaj… sesuai dengan challenge vs. response.
   
  Maka lapangkanlah jalan di liku-liku usia agar perubahan diri tidak 
dikhianati.
   
   
  MENGUBAH SIKAP TERHADAP SESAMA KUMPULAN ISLAM
   
  Mungkin atas sifir yang sama, mereka yang agar senior di dalam PAS, IRC dan 
ABIM sukar untuk mencari damai. Dalam hal ini juga manusia itu boleh berubah 
dari satu keadaan kepada keadaan yang lain. Sebab itulah jangan kita terlalu 
mencederakan lawan. Sampai satu masa, kita mungkin perlu berubah. Mungkin tidak 
mengubah jemaah, tetapi mengubah sikap terhadap sesama jemaah.
   
  Sudah binasa umat kita dimakan hedonisma dan maksiat yang menggila. Kezaliman 
makin melampau, dan setiap kita lemah untuk pergi ke medan sendirian. Di 
peringkat kepimpinan, kesedaran telah ada untuk saling bekerjasama. Tetapi di 
peringkat yang lain, sukar benar untuk kita berlapang dada.
   
  Mengapa?
   
  Kerana semasa kita di kumpulan A, kita sangat rakus mencederakan kumpulan B 
dan C. Semasa kita di kumpulan B, kita membina kejayaan dengan memijak dan 
mengkhianati kumpulan A dan C. Maka kita telah menyulitkan perubahan.
   
  Apabila tiba masa kita bekerjasama, kita sukar berlapang dada. Kerana luggage 
kita berat dengan perbuatan silam.
   
  Maka bagi generasi amilin Islam yang baru, bersederhanalah…
   
  Izinkan diri untuk menempuh perubahan dari satu usia ke satu usia, kerana ia 
sebahagian dari proses kematangan Bani Insan.
   
  ABU [EMAIL PROTECTED]



www.qualitysunnah.blogspot.com   www.abulfadhl.blogspot.com

www.al-ahkam.net  www.saifulislam.com

"al-'ilm: qaala Allah wa qaala ar-Rasul"

  
---------------------------------
Looking for earth-friendly autos? 
 Browse Top Cars by "Green Rating" at Yahoo! Autos' Green Center.  

Kirim email ke