Assalamualaikum warahmatullah…
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan 
yang disembah selain Allah yang Esa, tiada sekutu bagiNya dan aku bersaksi 
bahawa Nabi Muhammmad saw itu hamba dan pesuruhNya. Selawat berserta salam buat 
junjungan mulia Nabi Muhammad saw yang memiliki akhlaq terpuji dan menjadi 
ikutan selamanya berserta ahli keluarga Baginda. Juga sejahtera buat kita semua 
dan orang2 yang beramal soleh.
 
Bismillahir Rahmanir Raheem…
 
Baru-baru ini kecoh diperkatakan tentang tindakan merobohkan rumah setinggan di 
Kampung Beremban, Selangor. Tindakan tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada 
masyarakat. Ada yang mengutuk tindakan yang dikatakan kejam itu, malah tidak 
kurang juga yang menyokong. Kesemuanya berdasarkan hujjah dan pandangan 
masing-masing. Juga berdasarkan sokongan terhadap parti pemerintah atau parti 
pembangkang.
 
Bagi sesetengah orang, mereka berkata tindakan penduduk setinggan yang enggan 
berpindah setelah diberikan notis dan rumah gantian sebagai melampau. Lagipun, 
tanah itu dikatakan tanah kerajaan dan mereka (para setinggan) adalah 
penceroboh. Manakala bagi mereka yang mungkin pernah tinggal di kawasan 
setinggan dan memahami permasalahan yang mereka alami pula berkata sebaliknya.
 
Saya sendiri di ketika ini tinggal di sebuah rumah setinggan. Pada asalnya 
keluarga kami hidup di dalam kemiskinan menyebabkan ayah bertindak membeli 
rumah ini dari rakannya memandangkan hanya rumah sebegini yang kami mampu. Kini 
sudah 26 tahun kami menetap di sini. Bukan tidak mahu berpindah. Malah saya 
sebenarnya sudahpun membeli sebuah rumah hanya ia masih belum siap sepenuhnya.
 
Tetapi ada yang lebih dari itu. Kejiranan yang kami miliki pada ketika ini. 
Tinggal di rumah setinggan, keadaannya sungguh berbeza dengan tinggal di taman 
perumahan. Walaupun kejiranan kami di tengah-tengah bandar, suasana kampung 
masih wujud di sini walaupun hanya saki baki. Namun hakikat tetap hakikat. 
Tanah ini bukan milik kami dan kami tetap akan terpaksa meninggalkannya apabila 
tiba masa diusir nanti.
 
Tetapi ada warga tua yang benci dengan perkataan ‘tanah milik kerajaan’ ini. 
Kata mereka, bumi ini milik Allah. Jika diikutkan, kerajaan sendiri tidak 
berhak apa-apa kerana ‘tidak pernah membayar apa-apa’ kepada Allah sebagai 
tanda memilikinya. Saya tidak mahu komen tentang ini. Bagi saya, kata-kata itu 
hanya dipengaruhi emosi. Namun, apa yang mereka dakwakan bukanlah silap 
sepenuhnya…
 
Apa sebenarnya yang dikatakan setinggan? Saya tidak punya masa untuk ke 
perpustakaan untuk merujuk maknanya di dalam Kamus Dewan kerana tidak 
memilikinya sendiri. Tetapi berdasarkan apa yang saya fahami, setinggan adalah 
mereka yang mendirikan rumah atau bangunan di kawasan milik kerajaan atau 
individu atau syarikat tertentu tanpa izin dan tanpa sebarang bayaran.
 
Kemudian kita kutip semula kata-kata warga tua di tempat saya. Bumi ini milik 
Allah dan kita semua tinggal di bumi ini atas belas dan ihsan dariNya. Sebagai 
Tuhan Yang Maha Mengetahui, Allah telah menetapkan garis panduan tertentu yang 
perlu kita ikuti ketika ‘mendirikan kehidupan’ di dunia ini. Dan garis panduan 
ini terdapat di dalam kitab suci al-Quran dan juga sunnah rasulNya, Muhammad 
saw.
 
Tetapi jika kita teliti kehidupan kita hari ini, apakah sebenarnya kita 
menjalankan kehidupan berdasarkan garis panduan yang telah ditetapkan olehNya? 
Dari segi hukum privat seperti solat, puasa dan sebagainya sehinggalah kepada 
perihal pentadbiran sebuah kerajaan. Apakah yang kita amalkan ini berdasarkan 
apa yang telah diturunkan olehNya kepada kita ataupun sekadar sesuka hati kita 
sendiri?
 
Saya pasti ramai yang akan bersetuju jika saya katakan kita dirikan kehidupan 
di atas muka bumi ini adalah berdasarkan apa yang kita suka tanpa mengira atau 
mungkin sedikitpun tidak mengambil tahu apa sebenarnya yang Allah mahukan dari 
kita sebenarnya. Terlalu ramai yang ingkar terhadap arahanNya. Apatah lagi 
undang-undang Allah (Hudud). Telah kita letakkan di bawah telapak kaki kita.
 
Jika kita ambil kira perkara ini, maka sebenarnya kita tidak ada bezanya dengan 
setinggan yang dihina kerana dikatakan menceroboh hak orang lain. Kerana kita 
juga menceroboh hak Allah. Kita abaikan perintahNya dan buat apa yang 
dilarangNya. Dengan setiap kemungkaran yang telah dilakukan, apakah kita tidak 
rasa bahawa kita juga telah menceroboh bumi Allah ini dengan memperlakukannya 
sesuka hati kita?
 
Ada yang memberikan contoh. Katanya, bayangkan kita miliki sebuah tanah dan 
kemudian ada orang yang menceroboh dan mendirikan bangunan di atasnya. Sehingga 
suatu masa, apabila kita hendak mendirikan bangunan di atas tanah milik kita 
itu, si penceroboh enggan berpindah. Lalu jika kita robohkan bangunan milik si 
penceroboh, bolehkah kita didakwa sebagai zalim? Sebenarnya ini adalah satu 
contoh yang baik.
 
Saya applikasikan contoh ini kepada bumi Allah. Mungkin bezanya kita tinggal di 
bumi ini bukan sebagai penceroboh kerana Allah telahpun memberikan keizinan 
dengan menghantar Adam as, manusia pertama dan pasangannya Hawa diikuti 
beberapa ayat al-Quran yang menghalalkan ‘kependudukan’ kita. Namun dari satu 
segi, apabila Allah mahu mendirikan agamaNya di bumi ini dan kita enggan, 
apakah kita tidak kelihatan serupa?
 
Maka jika Allah turunkan bala bencana, musnahkan kehidupan dengan gempa bumi, 
ribut taufan malah tsunami dan pelbagai bencana alam yang lain, apakah tindakan 
Allah itu zalim? Tentu sekali tidak. Kerana tujuan dan maksud asal dunia dan 
seluruh kehidupan di dalamnya diciptakan sudah tidak dicapai. Tentulah, kerana 
hendak mendirikan ‘bangunan yang halal’, ‘bangunan yang haram’ perlulah 
dihancurkan terlebih dahulu.
 
Jadi sebenarnya, siapakah yang setinggan? Dengan suasana hari ini, salahkah 
kalau saya katakan kita semua adalah setinggan? Setinggan di bumi Allah. 
Setinggan bukan kerana menceroboh bumi Allah tetapi setinggan kerana dengan 
sifat dan sikap kita hari ini, kita telah menghalang Allah mentadbirkan bumi 
ini sebagai mana yang telah ditetapkan olehNya. Setinggan kerana menceroboh hak 
Allah di bumi milikNya.
 
Saya jadi tertawa. Manakan tidak, para pemerintah yang telah secara 
terang-terangan membenci dan menghina para setinggan rupanya juga sang 
setinggan. Mereka yang dengan jelas mengatakan setinggan memburukkan keindahan 
Malaysia juga sebenarnya telah secara terang dan nyata memburukkan nama Islam. 
Rupanya, tindakan mereka membenci setinggan seumpama membenci diri mereka 
sendiri.
 
Saya tidak kata para setinggan tidak boleh diusik. Segala perkara yang bukan 
hak perlu dikembalikan kepada haknya. Namun begitu juga Agama Allah. Sudah 
terang dan jelas bumi ini milik Allah dan Allah berhak ke atasnya. Maka 
mengembalikan hak Allah adalah satu kewajipan. Mendirikan Agama Allah di atas 
muka bumi adalah satu kemestian. Jika tidak, kitalah sebenarnya yang setinggan. 
Kitalah sebenarnya yang menceroboh… 
 
Sekian buat kali. Segala yang baik datang dari Allah dan yang tidak baik adalah 
akibat kejahilan saya sendiri.
 
Wabillahitaufiq walhidayah.
 
Wassalamualaikum warahmatullah…
 
-Abu Naqibah-
 
Komen dan kritikan membina dialu2kan. Email saya di [EMAIL PROTECTED] atau 
lawati http://abunaqibah.blogspot.com/


 
____________________________________________________________________________________
TV dinner still cooling? 
Check out "Tonight's Picks" on Yahoo! TV.
http://tv.yahoo.com/

Kirim email ke