IPTA jadi perkakas BN di Machap: Ini buktinya!
Ahmad Lutfi Othman
Thu | Apr 05, 07 | 08:38:31 AM Isu Umno
memperalatkan urusetia hal ehwal pelajar (HEP) universiti tempatan bukan satu
berita yang mengejutkan lagi. Sejak pegawai-pegawai kanan HEP seluruh IPTA
diperbodohkan oleh Pemuda dan Puteri Umno, dengan mengarahkan mereka ke
mesyuarat khas di ibu pejabat Umno, Tingkat 38, Menara Dato' Onn, PWTC,
pertengahan 2005, maruah timbalan-timbalan naib canselor HEP bergelar Profesor
dan Dato' jatuh menjunam.
Manakan tidak, selama dua bulan, pada setiap malam Rabu, mereka (TNC) mendapat
arahan langsung daripada, antara lain anggota Exco Pemuda dan Puteri Umno
(mewakili Biro Pendidikan), bagi merancang dan merangka helah untuk mengalahkan
semua calon bukan Aspirasi (dianggap propembangkang) yang bertanding dalam
pilihan raya majlis perwakilan pelajar (MPP).
Bagaimanapun apa yang ditulis Intan Abdullah, "Universiti kerah tenaga pantau
pelajar yang sokong pembangkang di Machap", harakahdaily 4 April, bagi saya,
mempunyai nilai berita yang agak tinggi. Ia patut membuka mata khalayak politik
negara, dan menyingkap tragedi hitam yang menimpa nasib IPTA kita, dan
menambahkan lagi senarai kebobrokan di zaman Abdullah Ahmad Badawi menjadi
perdana menteri.
Sejumlah 19 TNC dan Dekan HEP (sebenarnya seluruh urusetia HEP sendiri)
universiti seluruh negara kini sudah menjadi sebahagian daripada jentera kempen
Umno-BN, dan ini dibuktikan dalam pilihan raya kecil Dun Machap, Melaka,
bermula pada hari penamaan calon 3 April sehingga hari mengundi, Khamis 12
April nanti. Mereka bukan lagi berusaha menghalang pelajar-pelajar berkempen
untuk calon pembangkang, tetapi bertindak proaktif menyokong calon BN, satu
operasi yang begitu memalukan.
Saya ingin berkongsi maklumat baru dengan anda. Kementerian Pengajian Tinggi
telah mengeluarkan "Standard Operating Procedure Pemantauan Pilihan Raya Kecil
DUN N08 Machap" yang terangkum dalam 10 halaman bercetak, yang memperincikan
panduan khusus mengumpul bukti bagi tujuan membolehkan pihak universiti membuat
pendakwaan terhadap mana-mana pelajar atau kakitangannya yang berkempen untuk
calon pembangkang di Machap.
HEP dedah kebodohan sendiri
Rupanya KPT telah menubuhkan (sejak pilihan raya kecil Pengkalan Pasir,
Kelantan lagi) satu Jawatankuasa Pemantauan Pilihan Raya "untuk mencegah
(prevention) terhadap mana-mana pelajar dan juga kakitangan IPTA dari terlibat
secara langsung atau tidak langsung dalam gerakan atau kempen pilihan raya. Ini
bertujuan bagi menghalang mereka daripada terlibat dalam aktiviti politik
seperti yang termaktub dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti."
Nampak seolah-olah jawatankuasa ini bertindak secara objektif, tanpa mengira
kecenderungan politik. Seolah-olah begitu. Tapi cabutan itu saya kutip daripada
halaman terakhir SOP berkenaan, sedangkan dalam perenggan awal, mereka sendiri
mendedahkan "kebodohan" sehingga segalanya tersingkap dan menyimpulkan bahawa
jawatankuasa ini adalah alat dan perkakas Umno-BN semata-mata.
Dalam Perkara 5, Modus Operasi, dijelaskan lapan lapan kaedah pemantauan yang
akan diguna pakai. Saya cukup tertarik dengan tiga kaedah daripadanya. Untuk
memudahkan kita membuat rumusan, elok saya salin saja tiga kaedah itu
(Selanjutnya klik di sini untuk senarai penuh):
Membuat rondaan di kawasan-kawasan yang sensitif seperti bilik-bilik
gerakan parti pembangkang dan markas-markas parti pembangkang. Rondaan adalah
untuk mencari maklumat dan cara untuk mencegah penglibatan pelajar.
Berada di tempat ceramah parti pembangkang dengan tujuan untuk mendapat
maklumat kehadiran dan penglibatan pelajar. Ia juga adalah untuk proses
pencegahan. Ini kerana kehadiran secara terbuka akan menyekat kehadiran
pelajar.
Mengadakan perbincangan dan lawatan ke bilik gerakan Pemuda, Wanita dan
Puteri Umno bagi mendapat maklumat mengenai pelajar.
Salah hanya jika sokong pembangkang
Nah! Apa lagi yang mahu diselindungkan? Bagaimanapun saya pasti jawatankuasa
pemantau yang dianggotai seluruh TNC dan Dekan HEP ini pun bersedia untuk
mendedahkannya kepada umum kerana di zaman Abdullah Ahmad Badawi ini segalanya
dilakukan secara terbuka. Mereka tidak segan silu lagi melakukan kerja-kerja
politik murahan yang selayaknya dilakukan pengerusi JKKK ataupun ketua-ketua
Pemuda Umno peringkat cawangan!
Maknanya, pelajar hanya tidak dibenarkan berkempen untuk calon pembangkang.
Salah hanya apabila berada di tempat ceramah pembangkang. Salah hanya kerana
dilihat ada di bilik-bilik gerakan atau markas pembangkang. Jika berkubu di
pejabat operasi Umno-BN, atau dalam kes di Machap ini, MCA-BN, ia tidak
dianggap satu kesalahan, mungkin dilihat satu sumbangan!
Malah jawatankuasa yang dipengerusikan Timbalan Naib Canselor HEP Universiti
Kebangsaan Malaysia ini seolah-olah menjadikan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno
sebagai "rakan kongsi", untuk bertukar-tukar maklumat dan risikan. Difahamkan
bahagian risikan jawatankuasa pemantau ini diketuai oleh Timbalan Hal Ehwal
Universiti Malaysia Terengganu (UMT); ia boleh dilihat satu pengiktirafan di
atas kehebatan Umno Terengganu mengalahkan Kerajaan PAS dalam pilihan raya 2004.
Satu jadual kerja pasukan pemantauan turut diedarkan KPT kepada 19 IPTA di
seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak. (Cuba bayangkan bagaimana seriusnya
operasi ini sehingga pegawai-pegawai HEP terpaksa mengabaikan tugas asasi
mereka dan cuba kirakan berapa banyak pula dana awam atau wang rakyat yang akan
dibelanjakan untuk usaha sia-sia dan tidak bermanfaat ini).
Mustapha Mohamad turun padang
Bermula jam 8 pagi, 3 April, semua kakitangan yang terbabit dikehendaki berada
di kawasan penamaan calon, di Dewan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Cina
Machap Baru, Alor Gajah. Menariknya, untuk pagi berkenaan, Timbalan-timbalan
Naib Canselor dan Dekan-dekan HEP sendiri dimestikan hadir jikalau tiada
tugasan lebih penting.
Menurut sumber, Menteri Pengajian Tinggi, Mustapha Mohamad sempat mengadakan
perbincangan dengan mereka di sebelah petang hari yang sama.
Selesai proses penamaan calon, mereka - alat dan perkakas BN - hanya sempat
berehat sehingga jam 4 petang sebelum diagih-agihkan dalam lapan daerah
mengundi, iaitu Felda Hutan Percha (diketuai pasukan UTM dan dianggotai
Universiti Sains Islam Malaysia, USIM dan Universiti Teknikal Malaysia, UTeM),
Tebong (diketuai Universiti Malaya dan dianggotai Universiti Malaysia Perlis,
UniMAP dan UTM), Kemuning (diketuai UKM dan dianggotai Universiti Darul Iman
Malaysia, UDM dan UM), Machap Baru (diketuai UPM dan dianggotai UUM dan UKM),
Solok Menggong (diketuai UiTM dan dianggotai Universiti Malaysia Trengganu, UMT
dan UPM) Melaka Pindah (diketuai UPSI dan dianggotai Universiti Malaysia
Pahang, UMP dan UiTM), Machap Umboo (diketuai USM dan dianggotai Universiti
Malaysia Sabah, UMS dan UPSI) dan Ayer Pasir (diketuai Universiti Tun Hussein
Onn Malaysia, UTHM dan dianggotai UIAM dan Universiti Malaysia Sarawak, UNIMAS).
RM2 juta hangus untuk operasi HEP
Jadual ini berubah setiap hari, berdasarkan sistem kerja dua shif, bermula 8
pagi hingga 4 petang dan 4 petang hingga 12 malam. Ia berterusan hari terakhir
kempen, 11 April, Selasa, manakala pada hari pembuangan undi, 12 April, bermula
jam 8 pagi sehingga 5 petang semua pasukan bertugas dimestikan berada di
kawasan mengundi.
Saya tekankan lagi soal wang rakyat yang terus dibazirkan(disalahgunakan).
Daripada 19 IPTA (sebenarnya 18 kerana Universiti Malaysia Kelantan belum
beroperasi sepenuhnya), setiap satu menghantar antara empat hingga lapan
kakitangan HEP masing-masing. Kalau diambil kiraan mudah, setiap universiti
terpaksa membazirkan RM100,000, maka hampir RM2 juta dana awam dihanguskan
dengan begitu mudah.
Kalau saya mengira lebih terperinci, rasanya jumlah RM2 juta itu akan
meningkat, apatah lagi jika dicampurkan dengan belanja (dan elaun-elaun makan,
penginapan, keraian, perjalanan, pentadbiran) kakitangan HEP Universiti
Malaysia Sarawak, UNIMAS dan Universiti Malaysia Sabah, UMS. Tentunya
pegawai-pegawai kanan seperti Timbalan Naib Canselor mendapat kemudahan,
misalnya, penerbangan kelas perniagaan. Dan bayangkan, mereka (yang jumlahnya
tidak kurang 100 orang) terpaksa berkampung selama 10 hari di Machap.
Anda terkejut dengan berita ini? Rasanya, mungkin tidak! Ramai sudah "mangli"
dengan kisah salahguna kuasa, apatah lagi anggaran wang yang hangus pun hanya
sekadar RM2 juta, ya, apa bende RM2 juta? Sewaktu orang bercakap soal tuntutan
pilihan raya bersih dan adil, apakah usaha serius seluruh TNC dan Dekan HEP
untuk "menambah majoriti kemenangan besar BN di Machap" ini boleh menarik
perhatian umum?
Pilihan raya kecil Ijok lebih menarik?
Apa pun, selepas mendengar kenyataan Pengerusi SPR bahawa pilihan raya kecil
perlu diadakan ekoran kematian Adun Ijok yang juga anggota Exco Kerajaan Negeri
Selangor, Dato' K. Sivalingam, kerana Dewan Undangan Negeri Selangor mula
bersidang pada 13 April, 2004 dan ia belum mencapai usia tiga tahun, seorang
teman lama menelefon minta saya fokuskan penulisan terhadap peristiwa terbaru
ini.
"Kenapa pula?" tanya saya.
'Bukankah hang ada simpan banyak kes tentang kes-kes rasuah Khir Toyo? Inilah
masanya dibentangkan semula. Lagi pun banyak isu-isu baru sekitar Lembah Klang.
Dan aku rasa Ijok adalah pilihan raya kecil terakhir sebelum pilihan raya umum
ke-12," balasnya.
"Ijok, kawasan kampung, pengundi pula hanya 12,000, isu-isu nasional
sesuaikah?" pintas saya.
"Isu Khir masih relevan. Malah kelemahan kepimpinan Pak Lah, tuduhan Mahathir,
penguasaan Khairy, rasuah Johari Baharom dan tuduhan ke atas bekas Ketua
Pengarah BPR, serta faktor Anwar juga boleh ditonjolkan. Desakan Gerakan minta
Mufti Perak dipecat pun menarik. Ijok memang pentas paling sesuai untuk
bahaskan isu-isu nasional, berbanding empat pilihan raya kecil sebelum ini."
Sebelum sahabat saya itu menamatkan perbualan, dia bertanya: "PAS dan KeADILan
masih nak boikot pilihan raya?"
Saya belum ada jawapan. Tapi isu HEP ini masih menganggu saya. Ia tidak boleh
padam begitu saja. Ya, ia mungkin menjadi lebih panas kerana Ijok pastinya
lebih sensitif kepada Umno dan "pemantauan gila" itu pasti akan diperhebatkan
lagi! - mks.
---------------------------------
Now you can scan emails quickly with a reading pane. Get the new Yahoo! Mail.