LAPORAN AGENDADAILY

Saranan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya Proton
Holdings Bhd. mencari kaedah mengelak 70 peratus
pengedar kereta nasional itu daripada gulung tikar
memperlihatkan masalah tersebut adalah serius dan amat
perlu diselesaikan segera. 

Sekiranya 280 daripada 400 pengedar Proton terpaksa
ditutup kerana terus mengalami kerugian sejak setahun
lalu, pelbagai masalah lain akan timbul. Jika setiap
pengedar mempunyai 10 orang kakitangan, bermakna 2,800
orang akan hilang pekerjaan. 

Katakan setiap kakitangan itu mempunyai empat orang
isi rumah yang bergantung hidup kepada mereka, 11,200
orang akan hilang sumber rezeki dan dari sini
bermulalah pelbagai kemungkinan lain termasuk
melibatkan pembelajaran anak-anak dan gaja hidup yang
akan berubah. 

Oleh itu memang wajar sangatlah Perdana Menteri
mengeluarkan arahan sedemikian kepada Proton Holdings
apatah lagi, selama ini syarikat gergasi itu telah
menikmati ‘hidup selesa’ hasil kerja kuat para
pengedar berkenaan. 

Para pengedar, sepatutnya dilihat sebagai rakan kongsi
kepada Proton Holdings kerana mereka mengeluarkan 100
peratus modal untuk menyediakan premis atau pusat
jualan masing-masing. 

Seperti juga syarikat induk kereta berjenama lain,
Proton hanya mengeluarkan garis panduan mengenai
lokasi dan rekabentuk pusat jualan. Stok dibeli secara
tunai (kebanyakannya membuat pinjaman daripada bank)
dan pengedar wajib menjual antara 35 hingga 40 unit
sebulan. 

Syarikat-syarikat induk atau pengedar utama terpaksa
mengenakan kuota jualan tertentu kerana ia juga perlu
memastikan keluaran kilang dapat dipasarkan segera
untuk mengelakkan banyak stok tersadai dan akhirnya
menjejaskan jadual pengeluaran. 

Presiden Persatuan Pegedar Proton Edar Malaysia
(PEDA), Wan Ahmad Sepwan Wan Abdul Rahman memberitahu
baru-baru ini bahawa minat orang ramai berubah kepada
jenama lain kerana kebanyakan kereta nasional masih
mengekalkan model lama. 

Kenyataan beliau itu kemudiannya mendorong Perdana
Menteri mengesyorkan agar para pengedar Proton
dibenarkan mengedar jenama lain. 

Bolehkah para pengedar jenama lain menerima hakikat
ini? Umpamanya, Proton akan turut menjual Mitshubishi,
menjual Volskwagen, Fiat atau Nissan sedangkan mereka
adalah pesaing? 

Katakanlah, pengedar-pengedar utama bersetuju Proton
mengedarkan jenama mereka, apa pula halnya dengan
pengedar-pengedar mereka. Adakah pengedar-pengedar
pesaing ini akan dibenarkan juga menjual Proton? 

Jika pengedar Proton dibenarkan menjual jenama lain,
takut-takut nanti jenama lain juga yang terjual kerana
kata Presiden Peda, masalahnya ialah Proton kekurangan
model baru sehingga menyebabkan penjualan Proton
terjejas kerana pengguna beralih kepada model-model
canggih dan terkini. 

Jika pengedar Proton ditakdirkan menjual lebih banyak
jenama pesaing, bermakna pengedar pesaing yang sedia
ada pula akan terjejas kerana jualan mereka merosot
kerana telah ‘disedut’ oleh Proton. 

Jika demikian terjadi, apakah pula pilihan yang akan
diberikan kepada pengedar-pengedar bukan Proton? Siapa
pula yang akan membela mereka kerana mereka tidak
berstatus kereta nasional kecuali Perodua. 

Soalnya, apakah masalah sebenar yang melanda industri
kereta? Benarkah kerana Proton tidak mempunyai
model-model baru atau ada faktor-faktor lain.?
Pengedar jenama lain juga menghadapi masalah yang
sama. 

Pernah dilaporkan bahawa hanya Perodua yang berjalan
rancak dalam industri kereta, manakala yang lain,
semuanya merudum. Ekoran daripada itu,
pengedar-pengedar membuat pelbagai promosi dengan
pemberian hadiah barangan, percutian, minyak petrol
dan yang drastik sekali penurunan harga kenderaan yang
mencapai puluhan ribu ringgit. 

Banyak pengedar jenama lain yang sudah gulung tikar
tetapi mereka gulung sendiri-sendiri sahaja kerana
tidak ada tempat hendak mengadu. Jualan mereka merosot
sehingga 60 peratus atau setidak-tidaknya 40 peratus.
Ini terjadi kepada pengedar-pengedar yang berada bukan
di pusat-pusat bandar. 

Jika pengedar Proton masing-masing kerugian kira-kira
RM240,000, pengedar jenama lain ada yang kehilangan
melelihi RM1 juta. Jika diteruskan juga, mereka akan
kerugian lebih besar. 

Masalah yang paling besar dihadapi sekarang ialah
mendapatkan pinjaman daripada bank. Tidak banyak orang
yang membeli kereta secara tunai dan jika adapun,
pengedar tidak menyukainya. Ini kerana jika membeli
secara pinjaman, pengedar akan mendapat komisyen RM600
daripada bank pembiaya bagi setiap kenderaan. 

Sejak tahun 2005, pihak bank telah memperketat
syarat-syarat kelayakan mendapat pinjaman. Pembeli
yang telah disenaraihitamkan walaupun tidak
melangsaikan baki pinjaman RM500 tidak akan mendapat
pinjaman baru. 

Mereka diperlukan mengemukakan penjamin, mestilah
bergaji besar, tidak mempunyai pinjaman dan tanggungan
yang lain dan pelbagai macam kriteria lagi. Para
peniaga, walaupun berpendapatan RM500 sehari amat
sukar mendapat pinjaman kerana mereka tidak mempunyai
slip gaji yang amat dititikberatkan oleh pihak bank. 

Apabila pinjaman diluluskan, kadar faedah pula tinggi
sehingga mencecah hampir lima peratus. Pembeli cuba
beralih ke bank lain dengan harapan mendapat faedah
yang lebih rendah dan jumlah pinjaman yang tinggi. 

Apabila gagal, pembelian kereta dibatalkan dan beraleh
kepada kereta terpakai. Kereta terpakaipun satu hal
juga. Harganya amat murah buah masa ini. Yang dibeli
dengan harga RM200,000 selepas tiga tahun boleh dibeli
RM100,000 sahaja. 

Harga kereta terpakai yang amat merudum juga
menjejaskan pembelian kereta baru. 

Bayangkan, jika kereta terpakai dijual dengan harga
RM100,00 nilai ‘trade-in’nya mungkin RM85,000 atau
RM90,000 sahaja. Ini akan mengakibatkan penjual tidak
mempunyai wang di tangan untuk dijadikan wang muka. 

Akhirnya mereka membeli kereta terpakai kerana kereta
sedemikian tidak memerlukan wang muka. 

Apakah sebenarnya masalah yang menimpa industri kereta
negara? Jika terus dianalisis, kita akan mendapat
jawapan seperti lagu ‘Bangau oh bangau’ – ada banyak
pihak dan sebab yang hendak dipersalahkan. 

Jadi, apabila kerajaan merasa kemungkinan para
pengedar kereta akan gulung tikar, pendekatan
menyeluruh haruslah diambil. Membela pengedar Proton
sahaja tentulah akan mengakibatkan pengedar bukan
Proton akan terguris hati, kerana mereka juga adalah
anak Malaysia. 

Satu mekanisme harus dihasilkan untuk menilai dan
menentukan keperluan kereta di peringkat nasional.
Mengeluar dan mengedar kereta tanpa had juga
mengundang masalah. Lihatlah Proton Saga yang kini
boleh dibeli dengan harga RM1,500 sahaja sebuah. 

Yang tidak terjual, tentulah menyumbang kepada
peningkatan kereta terpakai di bawah pokok-pokok
rendang yang jumlahnya kini melebihi setengah juta
unit. Banyak juga model atau jenama lain yang terpaksa
dijual sebagai besi buruk sahaja. 

Mekanisme kawalan harga juga harus dicari. Kawalan ini
untuk menentukan harga kereta baru tidak terlalu
tinggi sehingga menyukarkan mendapat pinjaman daripada
pihak bank. 

Mekanisme ini juga perlu untuk menyediakan garis
panduan mengenai susut-nilai kereta bagi menentukan
harga kereta terpakai tidak ditentukan
sewenang-wenangnya oleh para penjual sahaja. 

Bank Negara juga harus menilai semula kadar faedah
yang berbeza-beza yang dikenakan oleh bank-bank
pedagang. Pendek kata, pendekatan yang menyeluruh
harus digunakan kerana apabila pengedar kereta
terpaksa gulung tikar, tidak mungkin kita sanggup
melihat mereka tumbang, terlentang dan bergelimpangan
begitu sahaja.- 4/4/2007 

http://www.agendadaily.com/cms/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_be2cddf5-cabec5bb-154de0b0-130ea036







 
____________________________________________________________________________________
We won't tell. Get more on shows you hate to love 
(and love to hate): Yahoo! TV's Guilty Pleasures list.
http://tv.yahoo.com/collections/265 

Kirim email ke