Mohon depan Kaabah<http://www.hmetro.com.my/Sunday/BeritaUtama/20070408105527>

KUALA LUMPUR: Siapa sangka, seorang isteri berperawakan lemah lembut,
bertudung labuh dan kuat pegangan agama rupa-rupanya bertuankan nafsu
apabila sanggup menjalin hubungan sulit dengan suami orang.

Padahnya, dia dicekup suami dalam keadaan hanya memakai baju tidur tanpa
coli manakala pasangannya tidak berbaju, sekali gus membawa kepada runtuhnya
rumah tangga yang dibina selama 10 tahun.

"Nyata doa saya ketika di Makkah supaya Allah SWT menunjukkan kebenaran di
dalam rumah tangga saya termakbul. Saya bukan mahu memalukan bekas isteri,
tapi ingin berkongsi pengalaman supaya menjadi iktibar kepada orang lain,"
kata Azman, 30-an.

Ikuti pengakuan Azman sepenuhnya:

"TERUS terang saya katakan, sepanjang hidup bersamanya, tidak sedikitpun
saya meragui kesetiaannya. Saya yakin dia setia kepada saya memandangkan
perkahwinan kami atas dasar suka sama suka.

Ketika bersusah payah membangunkan perniagaan, dia menjadi inspirasi dan
semangat untuk saya. Tanpa dia, mungkin saya tidak mampu mengharungi pahit
getir dalam dunia perniagaan.

Lebih daripada itu, saya yakin, perawakannya yang lemah lembut, bertudung
labuh dan latar belakangnya yang kuat pegangan agama tidak mungkin
membuatkan dia sanggup melakukan perbuatan yang menyalahi hukum agama.

Dia melayan saya dengan sepenuh tanggungjawabnya sebagai isteri. Apa saja
permintaan saya dia akan penuhi.

Kami bertambah bahagia apabila dikurniakan seorang anak lelaki yang kini
berusia sembilan tahun.

Namun, ketika perniagaan saya berkembang dan kami sekeluarga mengecap
kesenangan, ada rakan memberitahu pernah melihat isteri saya bersama lelaki
lain dalam keadaan mencurigakan.

Ketika itu memang saya tidak percaya langsung dan akibatnya saya bertumbuk
dengan rakan yang menyampaikan maklumat itu.

Begitupun, cerita mengenai kecurangan isteri saya tidak pernah tamat kerana
ada saja rakan menyampaikannya kepada saya.

Antara yang paling menyakitkan hati ialah ada yang memberitahu, isteri saya
membuat pengakuan bahawa dia sudah berpisah dengan saya.

Dalam keadaan sedemikian, saya masih bersabar dan membuang perasaan curiga
terhadap isteri. Saya tetap melayannya dengan baik dan pada masa sama dia
juga begitu.

Pada Ramadan tahun lalu, saya ke Makkah mengerjakan umrah dan di depan
Kaabah saya berdoa supaya Allah SWT terus merapatkan hubungan saya dan
isteri. Pada masa sama saya juga memohon kepada Allah supaya menunjukkan
kebenaran jika ada kekurangan dalam rumah tangga saya.

Pulang dari Makkah, saya menghadiahkan isteri gelang kayu Kokka. Tidak lama
selepas itu rakan memberitahu, lelaki yang dikatakan menjalin hubungan sulit
dengan isteri saya ada memakai gelang sama.

Apa disampaikan rakan saya memang benar kerana tanpa pengetahuan saya,
isteri saya menghadiahkan gelang berkenaan kepada lelaki itu.

Saya memang sakit hati tetapi kerana perasaan sayang masih menebal, saya
buat tak tahu saja.

Bagaimanapun, pada satu malam doa saya dimakbulkan Allah apabila saya
bagaikan diberi petunjuk mengenai kecurangan isteri.

Entah bagaimana, ketika itu tidak semena-mena kereta yang biasa saya gunakan
rosak secara tiba-tiba dan saya pulang ke rumah menggunakan kereta lain.

Tidak seperti kebiasaan, saya pulang awal sedikit. Ketika sampai di rumah,
saya melihat kelibat seorang lelaki keluar dari pintu belakang dan
menguncinya.

Berderau darah saya ketika itu dan dengan menggunakan segala kudrat yang
ada, saya mengejar dan berjaya menangkapnya.

Ternyata, dia adalah lelaki seperti digambarkan rakan saya. Dalam keadaan
tidak berbaju, saya mengheretnya ke dalam rumah dan ketika itu isteri saya
dalam keadaan kusut, memakai baju tidur tanpa coli. Saya periksa bilik dan
mendapati katil 'bersepah'.

Tanpa sedar, air mata saya mengalir dan benarlah apa yang diberitahu rakan
selama ini. Sudah jelas, isteri saya curang. Jika bersama lelaki lain di
dalam rumah dalam keadaan mencurigakan, apa lagi yang mereka lakukan jika
tidak membuat maksiat?

Namun, seperti orang tidak bersalah, kedua-duanya berbuat muka selamba.
Isteri memberi alasan lelaki itu datang ke rumah kerana mahu membetulkan
paip.

Apabila diperiksa, ternyata isteri saya berbohong apabila paip rumah saya
tidak rosak dan lelaki itu tidak pula membawa peralatan membaiki paip.

Seperkara lagi, lelaki itu masuk ke rumah secara bersembunyi berikutan
keretanya diletakkan jauh dari pekarangan rumah.

Bengang dengan reaksi mereka, saya bawa mereka ke balai polis dan membuat
laporan. Sedikitpun mereka tidak menunjukkan perasaan takut. Kesudahannya
mereka dilepaskan selepas dijamin keluarga masing-masing.

Sejak itu, kami duduk berasingan hinggalah kami bercerai baru-baru ini. Saya
mendapat hak penjagaan anak.

Apabila difikirkan kembali, apa salah saya sehingga dia sanggup berbuat
begitu. Hendak apa saja saya berikan. Malah satu ketika dia pernah berkata
kepada anggota keluarga saya, dia tidak tahu hendak membeli apa lagi kerana
semua benda boleh dimilikinya.

Keluarga saya memang kecewa, apatah lagi ibu saya. Dia adalah menantu
kesayangannya, tetapi apa yang berlaku benar-benar mengejutkannya.

Keluarga bekas isteri pula meletakkan kesalahan di atas bahu saya. Mereka
menyifatkan saya terlalu cemburu.

Saya hairan, adakah perbuatan bekas isteri saya melakukan maksiat bersama
lelaki lain dan saya sendiri yang menangkap mereka perlu dimaafkan?"


Perkahwinan satu
amanah<http://www.hmetro.com.my/Sunday/BeritaUtama/20070408105434>

KUALA LUMPUR: Walaupun yakin terhadap kejujuran pasangan, setiap suami atau
isteri masih perlu berjaga-jaga kerana perkara yang tidak diduga boleh
berlaku dalam kehidupan berumah tangga.

Perunding motivasi, Ahmad Shukri Yusoff, berkata walaupun ada latar belakang
agama yang kukuh, ia bukan jaminan seseorang itu tidak terlanjur melakukan
perbuatan yang menyalahi hukum agama.

Mengulas kejadian yang berlaku ke atas Azman dan isterinya, Ahmad Shukri
berkata, dalam melayari alam rumah tangga, tumpuan utama yang perlu
diberikan suami isteri adalah menyuburkan kasih sayang antara satu sama
lain.

Katanya, melalui kasih sayang, ia sekurang-kurangnya mampu menghalang suami
atau isteri berbuat perkara yang mampu meruntuhkan ikatan perkahwinan.

"Satu lagi perkara yang perlu dititikberatkan ialah, suami isteri perlu
sentiasa membincangkan apa jua masalah yang dirasakan perlu diketengahkan.

"Begitupun, pada zaman ini apa yang berlaku ialah suami isteri jarang duduk
semeja untuk berbincang berikutan masing-masing sibuk.

"Natijahnya, sama ada suami atau isteri yang ada masalah hanya mampu
memendam perasaan sehingga timbul masalah seperti curang dengan pasangan,"
katanya.

Ahmad Shukri berkata, sesebuah perkahwinan juga perlu dianggap sebagai
amanah Allah yang perlu dijaga sebaik mungkin.

"Kini, kebanyakan suami isteri beranggapan perkahwinan sebagai sesuatu yang
biasa. Jika perkahwinan dianggap sebagai amanah, suami atau isteri akan
menganggapnya sebagai tanggungjawab dan ia menimbulkan perasaan takut untuk
berbuat perkara yang menyalahi hukum Islam," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Syariah, Undang-Undang, Akademi Pengajian
Islam, Universiti Malaya, Prof Madya Dr Raihanah Abdullah, berkata jika
benar seperti didakwa, bekas isteri Azman hanya mempunyai asas agama yang
kukuh, tetapi benteng imannya rapuh.

"Sepatutnya jika ada ilmu, ia perlu dijadikan benteng untuk mengelak
melakukan perkara yang menyalahi hukum agama, tetapi jika sampai ke satu
tahap sanggup berlaku curang kepada suami, mungkin jiwanya rosak," katanya.

Sambil menyifatkan pelakuan wanita seperti bekas isteri Azman sebagai pelik
dan kes terpencil, Raihanah mengakui kesal dengan apa yang berlaku.

Katanya, dosa ditanggung bekas isteri Azman lebih berat kerana dia tahu
perbuatannya salah.



Related post: berita <http://del.icio.us/fullfilth/berita>,
malaysia<http://del.icio.us/fullfilth/malaysia>,
metro <http://del.icio.us/fullfilth/metro>,
kahwin<http://del.icio.us/fullfilth/kahwin>,
keluarga <http://del.icio.us/fullfilth/keluarga>

--
Posted By Faizal to RANDOMNESS
<http://fullfilth.blogspot.com/2007/04/perkahwinan-satu-amanah.html> at
4/08/2007 12:44:00 PM

--
+ ("\(.:...:.)/") Rawwwwwrrr!
http://fullfilth.blogspot.com

Kirim email ke