Altantuya dan kapal selam: Najib mesti disiasat!
Azamin Amin
Sat | Apr 07, 07 | 11:33:31 AM KUALA LUMPUR, 7
April (Hrkh) - Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak mesti
disiasat segera berhubung kes Altantuya dan pembelian dua buah kapal selam
Perancis yang melibatkan komisen RM500 juta demi mempertahankan imej negara.
Mantan Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Anwar Ibrahim berkata beliau
sanggup untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa seperti Badan Pencegah Rasuah
(BPR) dan Polis untuk memberi keterangan dan dokumen-dokumen yang berkaitan
bagi tujuan penyiasatan kes tersebut.
"Tapi jangan buang masa saya, jika sekadar datang ambil kenyataan dan dokumen,
lepas itu tutup kes, simpan fail," katanya sewaktu berucap di Majlis Makan
Malam KeADILan semalam yang merupakan acara sambutan ulang tahun ke-8 parti
tesebut semenjak ditubuhkan pada 4 April 1999.
Anwar menjelaskan bahawa isu ini bukan bersifat peribadi antara beliau dan
Najib tetapi lebih tertumpu kepada kepentingan negara yang perlu dilindungi
dan keselamatan rakyat yang perlu dijamin.
"Najib kata tak mahu layan saya disebabkan kenyataan saya di Al-Jazeera dan
BBC berhubung kes ini," katanya.
"Ini bukan soal 'personal' tetapi tentang negara dan rakyat yang perlu
penjelasan dan pendedahan," katanya lagi.
Sebelum itu Anwar dalam satu kenyataannya awal tahun ini, mendakwa terdapat
beberapa faktor yang mengaitkan Najib dengan kes pembunuhan wanita 28 tahun
itu.
Ini termasuk peranan mangsa di dalam pembelian kapal selam Scorpene dan Agosta
dari Perancis oleh kerajaan Malaysia dalam perjanjian bernilai RM4.6 bilion
dan pembabitan dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK) yang bertugas di pejabat
Timbalan Perdana Menteri.
Di samping itu beliau turut menimbulkan persoalan siapakah yang meluluskan
penggunaan bahan letupan C4 yang didakwa digunakan oleh kedua-duanya bagi
menghapuskan bahan bukti dalam kes itu.
"Saya tidak pernah ke Mongolia. Satu tahu mengenai isu ini kerana saya membuat
'research' sendiri. Jika tidak, saya tidak akan berani buat sidang akhbar
hari ini," katanya dalam kenyataannya yang terdahulu.
"Ini bukanlah sesuatu yang saya suka lakukan. Saya menghabiskan banyak masa
mencari bahan dari seluruh dunia kerana saya mahu kenyataan saya ini
bertanggungjawab. Ini bukanlah satu agenda politik saya," katanya di satu
sidang media di Petaling Jaya, Januari lalu.
DEB untungkan Umno dan kroni
Selain itu dalam ucapan di majlis makan malam tersebut, Anwar turut menyentuh
beberapa isu antaranya yang melibatkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang secara
praktikal katanya telah gagal membantu kaum bumiputra termasuk juga kaum lain
dan wajar diubah kepada dasar yang lebih mengalakkan persaingan ekonomi yang
sihat antara kaum.
DEB katanya, diguna pakai kononnya untuk membantu rakyat Melayu miskin tetapi
sebenarnya untuk memberi keuntungan dan kekayaan berlipat kali ganda kepada
pemimpin Umno dan kroninya.
Beliau turut memperkatakan tentang kelemahan kerajaan menangani isu-isu
sensitif berhubung agama dan kaum sehingga mengundang masalah seperti perkara
Artikel 121 (1A) yang menjadi ancaman kepada kaum dan agama lain.
"Saya sudah jelaskan bahawa Artikel tersebut untuk menjamin hak orang Islam
dan saya harap jangan sesiapa mempertikaikannya," katanya.
"Agama Islam sendiri menjamin hak orang bukan Islam dan tidak pernah memaksa,"
"Hak orang Islam dipertahankan dan Orang bukan Islam juga punya hak untuk bawa
satu-satu kes ke mahkamah sivil."
Kelemahan pemimpin katanya telah mengakibat isu ini mengundang rasa tidak
senang orang bukan Islam seolah-olah akta ini ingin 'dipaksa' kepada orang
bukan Islam seolah-olah hak mereka terancam.
Majlis makan malam yang diberi tema 'masa untuk perubahan' itu adalah di bawah
anjuran Jawatankuasa Perhubungan Wilayah Persekutuan dan Bahagian Batu
bertempat di Dewan Heng Hong Gai SJKC Sentul Kuala Lumpur.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Bendahari KeADILan, Tan Sri Khalid
IBrahim, Ketua Penarangan Tian Chua, wakil pembeli rumah kos rendah Tan Sri
Pelangi, wakil Tabung Pendidikan Cina, aktivis politik dan hadirin sejumlah
sekitar 600 orang.
Rakaman imbasan reformasi
Pada majlis makan malam itu Anwar turut menyampaikan sumbangan KeADILan
sejumlah RM1,000 kepada Tabung Pendidikan Cina iaitu LLG Cutural Development
Cebntre Berhad sebagi tanda sokongan gerakan rakyat terhadap perjuangan
menegakkan bahasa ibunda meraka.
Di samping itu, Anwar juga menerima sumbangan cenderamata daripada wakil
pembeli rumah kos rendah sebagai tanda terima kasih meraka kepada KeADILan
kerana telah membantu menyelasaikan masalah rumah mereka yang terbengkalai
selama 10 tahun.
Dalam pada itu, sewaktu para hadirin dijamu dengan hidangan nasi briyani dan
makanan laut, pihak penganjur menayangkan video imbasan reformasi sekitar
tahun 1999 yang merakam beberapa babak penting yang menyentuh hati hadirin
antaranya perhimpunan terbesar bersejarah di Masjid Negara, perarakan dan
siri demonstrasi serta keganasan polis terhadap para reformis dan rakyat yang
menyatakan sokongan kepada perjuangan keADILan. - mns
---------------------------------
The all-new Yahoo! Mail goes wherever you go - free your email address from
your Internet provider.