Ke arah pilihan raya telus, adil Dr Shafie Abu Bakar
Fri | Apr 06, 07 | 01:03:57 PM Perbincangan mengenai tajuk di atas secara
formal dianjurkan oleh Web TV 8 bagi mengisi ruang penerbitannya. Menurut
penganjur ia bersifat Forum Perdana.
Ahli panel forum ini sepatutnya terdiri daripada Dato' A Kadir Jasin, Ketua
Editor Berita Publishing yang juga bekas Ketua Editor Kumpulan NST; Prof Dr Abd
Aziz Bari, Public Law Department, Kuliyah Undang-Undang UIAM; Jeff Ooi,
Pengendali Laman Web Screenshots di www.jeffooi.com dan Anuar Mohd Nor, Editor
Umno-reform.com. Malangnya dua daripada panel - Kadir dan Jeff Ooi tidak hadir.
Tetapi majlis yang berlangsung pada Ahad 18 Mac 2007 bertempat di Kompleks
3K, Subang Jaya mulai jam 2.30 - 5.00 petang dihadiri lebih kurang 60 jemputan
khas itu berlangsung dengan jaya berikutan dengan perubahan format yang penulis
sifatnya sebagai diskusi. Kejayaan diskusi pada pertemuan ini dengan hadirnya
tokoh-tokoh jemputan terkenal yang secara spontan mereka dijemput berbicara
mengenai topik di atas. Antara hadirin termasuklah Pak Said Zahari, Bekas Ketua
Pengarang Utusan Melayu yang pernah ditahan selama 17 tahun oleh Kerajaan Lee
Kuan Yew di Singapura yang juga Bekas Karyawan
Tamu UKM; Syed Shahir Syed Mohamud Presiden MTUC; Dr Tan Seng Giaw, Ahli
Parlimen Kepong; Mahfuz Omar, AJK PAS Pusat; Senator Mumtaz Ubaidah dari
Kelantan; Abu Zarr Mohd Yasin bekas Setiausaha Umno Bandar Tun Razak; Anual
Bakri Haron Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan; penulis Dinsman dan
lain-lain. Diskusi dipimpin oleh Roslan Shahir Mohd Shahir yang juga selaku
Ketua Penerbit WTV8. Diskusi yang dilangsungkan ini bolehlah disifatkan salah
satu pendekatan yang dapat memberi kesedaran dan kefahaman kepada rakyat
tentang perjalanan pilihan raya di Malaysia. Pandangan dari tokoh-tokoh
berwibawa di dalam berbagai-bagai bidang lebih diyakini rakyat dari sebuah
penulisan biasa. Forum yang sedemikian juga memberi kesan kepada pihak
pemerintah, khususnya BN yang bermati-matian mempertahankan perjalanan
pilihanraya yang sudah berusia lebih setengah abad dan dianggap ketinggalan
zaman. Dari kedua-dua sasaran ini, kefahaman terhadap rakyat amatlah penting,
kerana walau
bagaimana kerajaan ingin terus mempertahankan kaedah dan perjalanan pilihan
raya seperti selama ini, kerana banyak faedah yang dapat dimanfaatkan oleh BN,
tetapi jika kesedaran menyeluruh dapat sampai kepada rakyat betapa perlunya
perubahan dan pembaikan pilihanraya secara telus dan adil yang merupakan hak
rakyat, maka rakyat akan dapat merubah pemerintahan yang membuka jalan ke arah
perubahan kaedah dan perjalanan pilihan raya di negara ini. Titik tolak
diskusi
Anuar Mohd Nor dijemput pengerusi sebagai pemula bicara. Dari awal beliau
melontarkan pandangannya yang bersifat provokatif bahawa telus dan adil di
dalam pilihan raya menurutnya bersifat subjektif dan relatif. Sukar menentukan
ukuran sebenar. Bagi pihak tertentu, khususnya pembangkang berpendapat pilihan
raya sebagaimana telah dijalankan tidak telus dan adil berdasarkan salahlaku
yang mereka buktikan. Manakala bagi pihak penguasa atau kerajaan BN, mereka
berpendapat pilihan raya yang berlangsung selama ini adalah telus dan adil.
Jika berlaku sebarang kesalahan dan penyelewengan undang-undang memperuntukkan
boleh dicabar di mahkamah. Sememangnya banyak kes-kes 'kesalahan' pilihan raya
dibawa ke mahkamah. Ada pihak pencabar menang disamping ada yang kalah.
Lontaran pendapat Anuar segera disambut Abd Aziz Bari. Beliau tidak bersetuju
dengan Anuar yang melihat soal telus dan keadilan sebagai sesuatu yang
subjektif dan ilusif, sebaliknya `telus` dan `adil` dua istilah
yang penting dari segi perundangan, bahkan pembuktian secara telus dengan
bukti dan fakta membawa kepada tertegaknya keadilan. Telus dan adil dua istilah
yang mempunyai maknanya yang konkrit yang membezakannya dari makna sebaliknya,
iaitu tidak telus, tidak terbuka, tertutup dan perjalanan yang boleh
menimbulkan keraguan. Manakala adil ialah lawan bagi zalim, iaitu melaksana
atau menghukum sesuatu secara tidak betul, tidak memberi hak kepada yang berhak
dan meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya. Dari segi akta pilihan raya
sebagai contoh, menurut Profesor Abd Aziz, adakah amalan yang tidak telus dan
adakah pihak parti pemerintah lebih mendapat faedah dari pihak pembangkang?
Jika ada menandakan ada ketidaktelusan dan ketidakadilan. Pada dasarnya
menurut Profesor Abd Aziz, Suruhanjaya Pilihan Raya seharusnya bebas dan tidak
sepatutnya diambil kesempatan oleh pihak politik tertentu yang berkuasa.
Suruhanjaya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong. Dalam hal ini Baginda
berhak membuat keputusannya sendiri tanpa mendengar nasihat Perdana Menteri.
Yang di-Pertuan Agong kemuncak bagi `check and balance` dalam pemerintahan.
Secara menyindir Profesor Abd Aziz berkata, kita berdepan krisis dari golongan
Mat Rempit, tapi Bapak Mat Rempit yang berkuasa dan mengeksploitasi pilihan
raya sepatutnya lebih merisaukan kita. Tidakkah sewajarnya bila berlaku perkara
yang sebegini kalangan rakyat yang prehatin mengangkatkan perkara ini kepada
Agong? Tuntutan `Bersih`
Selepas dua panel menyampaikan pandangan masing-masing, Syed Shahir dijemput
menyampaikan pandangannya. Beliau melahirkan rasa tidak puas hati beliau
terhadap perjalanan pilihan raya. Beliau merujuk kepada Badan Bertindak
`Bersih` yang beliau sama terlibat memperjuangkan pilihan raya secara bersih
yang menuntut agar SPR membersih senarai pilihan raya dari `illegitimate`
pengundi, menghapuskan `undi pos` kerana negara kita bukan di dalam keadaan
perang dan menandakan jari dengan dakwat bagi yang telah mengundi. Menurutnya
biarpun cara ini dianggap kolot, asalkan bersih. Beliau juga membangkitkan
tuntutan, selepas pembubaran parlimen dan sebelum pilihan raya berlangsung
tentang`Care Taker Government` hendaklah benar-benar dijalankan. Dalam keadaan
sekarang, walaupun sesudah dibubarkan parlimen, seolah-olah tidak wujud `Care
Taker Government` dan kerajaan sebelumnya terus menjalankan pemerintahan, bukan
atas dasar `Care Taker Government`, tapi merupakan penerusan dari
kerajaan yang memerintah, bahkan meluluskan projek-projek yang baharu bagi
kepentingan pilihanraya. Ini melanggar amanah dalam tempoh `Care Taker
Government` yang diamanahkan. Menurut Syed Shahir peruntukan bagi sesuatu
kawasan parlimen RM100,000 dan DUN RM30,000 adalah tidak dipatuhi. Bagi kawasan
parlimen yang perlu menghadkan perbelanjaan kepada RM100,000, maka perbelanjaan
oleh parti yang berkuasa dan berkewangan melebihi RM100,000,000 dan
perbelanjaan bagi DUN RM30,000, maka perbelanjaan sebenar berjumlah
RM30,000,000. Bagi Batu Talam selain dari perbelanjaan melebihi had, turut
ditumbangkan 81 ekor lembu. Ini tidak termasuk `lembu kotak`! Pilihan raya bagi
parti yang memerintah adalah tempat pesta melambakkan peruntukan dan kewangan.
Perkara seperti ini tidak disiasat dan diambil tindakan. Ragu pada perjalanan
pilihan raya
Manakala Pak Said Zahari menyatakan keraguan dan ketidakyakinannya terhadap
`kebersihan`perjalanan pilihan raya. Sepatutnya rakyat mendapat kebebasan dan
benar-benar menjadi `hakim` di dalam pilihan raya. Apa yang berlaku sebagaimana
yang dialami, mereka yang dianggap menggugat kerajaan ditahan di bawah ISA.
Mereka yang seumpama ini, walaupun sudah `bebas` diekori. Beliau sendiri
mengalaminya, lap topnya yang banyak mengandungi maklumat diselongkar dan
dicuri semasa menghadiri bengkel di PD. Rakyat, terutama pegawai-pegawai
kerajaan ditakut-takutkan daripada menyokong pihak pembangkang. Untuk
pusingan kali kedua Anuar Mohd Nor bersetuju perjalanan pilihan raya di batu
Talam, walaupun diboikot tetap tidak adil. Pihak yang datang ke Batu Talam dari
parti kerajaan adalah berkuasa yang tidak mau melepaskan kuasa dan datang
dengan habuan-habuan, memperlihatkan pertandingan yang jauh tidak seimbang dan
tidak bebas. (Sebagai tambahan pilihan raya kecil Macap yang berlangsung
pada 12 April yang sedang rancak dengan kempen-kempen tidak terlepas daripada
umpan dan habuan-habuan sebagai contoh pada masa ini berbagai projek dan habuan
segera sedang dicurahkan di Machap seperti menurap kembali jalan daripada
Kampung Bulat ke Macap Baru. Projek dan habuan di sini tentulah jauh lebih
banyak dan lebih mahal daripada di Batu Talam. Dijangka umpan dan habuan
seperti ini juga akan dilakukan di Ijok, Selangor yang wakil rakyat di DUN
tersebut meninggal pada 4 April 2007 itu dan apabila pengumuman pilihan raya
kecil dadakan). Suburkan demokrasi
Bagi pusingan kedua ini Prof Abd Aziz, mau rakyat dan pihak-pihak tertentu,
khususnya NGO bersifat positif menyedarkan semua pihak ke arah perubahan.
Sebagai contoh penyelewengan `Care Taker Government` di Bangladesh disanggah
rakyat dan pilihan raya terpaksa ditangguhkan sehingga dilakukan perubahan pada
sistem pilihan raya di negara tersebut. Beliau mahukan amalan demokrasi
berkembang subur dan menggalakkan rakyat memahami dan menggunakan saluran
perundangan bagi sesuatu perkara yang dianggap tidak wajar dan tidak adil.
Beliau memberi contoh bagaimana pelajar membawa kes AUKU ke mahkamah yang
dianggap bercanggah dengan peruntukan perlembagaan negara dan bagaimana seorang
pelajar yang lain tidak berpuas hati dengan perjalanan pilihan raya kampus
membawa kes berkenaan ke mahkamah. Perundangan sewajarnya memberi keputusan
dan penjelasan mengenai kes-kes berkenaan. Namun Profesor Abd. Aziz juga
menyatakan pendapatnya bahawa mahkamah juga kadang kala kelam kabut, bahkan
bercelaru dari segi pengendalian kes-kes pilihan raya. Di dalam hubungan
dengan pengendalian pilihan raya, Malaysia sepatutnya malu dan mencontohi
perjalanan pilihan raya yang lancar dan teratur sebagaimana berlaku di India,
Taiwan dan Thailand, bahkan kita patut malu dengan Indonesia yang dapat
menjalankan pilihanraya secara teratur dan baik, biarpun Indonesia 20 tahun
terkebelakang dari Malaysia dari segi mengamalkan demokrasi. Peranan media
Untuk pusingan ketiga pengerusi mengalihkan fokus pembicaraan kepada peranan
media yang menurutnya dimonopoli oleh pihak kerajaan dan amat tidak adil
terhadap pembangkang. Pihak parti yang memerintah mengawal sepenuhnya media
letronik seperti TV dan radio bagi semua saluran dan menguasai semua media
cetak perdana. Pembangkang tidak dibenar mengeluarkan penerbitan kecuali
kepada ahli secara terhad dan untuk tempoh dua minggu sekali. Malaysia
sebenarnya jauh ketinggalan dari segi mengamalkan kebebasan media. Rakyat
disogokkan dengan pandangan sepihak dan berpihak. Bagi pembangkang saluran
terbuka pada masa ini ialah menggunakan website dan blog. Namun bagi Profesor
Abd. Aziz beliau kurang percaya dengan apa yang diisi di dalam internet,
website dan blog dan menganggap menghabiskan masa mengikutinya, walaupun beliau
tidak menafikan turut mengikutinya. Namun bagi Anuar kita patut memberi
kebebasan bagi mereka yang mau menyampaikan idea dan pandangan. Masyarakat
bebas
membuat penilaian dan keputusan. Internet satu-satu saluran segera yang dapat
digunakan secara bebas. Sebab itu pembangkang hendaklah menggunakannya sebaik
mungkin. Berhubung dengan media ini Mahfuz Omar setuju bahawa pihak pembangkang
perlu menggunakan apa saja media yang boleh menyampaikan maklumat kepada rakyat
termasuk menggunakan internet, web site dan blog. Kita tidak boleh mengharapkan
kepada media perdana yang dikuasi kerajaan. Melalui media rakyat dididik
memahami proses pilihan raya, cara menggunakan kekuasaan yang ada pada mereka
dan cara dan proses pemindahan kuasa. Menurut Mahfuz media lebih banyak
mengulas isu tapi kurang mendidik minda dan budi masyarakat. Izam Hashim
mempertahankan bloggers, menurutnya inilah satu-satunya cara yang ada bagi
masyarakat mengeluarkan pendapat secara bebas yang menurut pendapatnya pada
dasarnya membawa manfaat, walaupun mungkin mengancam pihak pemerintah dan mau
mendaftar dan mengongkong pengendali-pengendali blog. Beliau
mahu pihak-pihak pengendali blog hendaklah bersifat professional dan
bertanggungjawab. Sewajarnya pengendali-pengendali blog bersatu di dalam satu
`Coalation Bloggers` bagi menjaga kepentingan mereka dan masyarakat. Manakala
Mumtaz menyesali generasi baru kurang memberi perhatian kepada perkembangan
semasa dan tidak menyedari potensi yang ada pada mereka. Mereka disekat di
dalam masa persekolahan dan sesat bila keluar ke tengah masyarakat terbuka.
Sebab itu mereka harus dididik dan disedarkan dengan perkembangan semasa yang
mengelilingi mereka. Politik dan undang-undang
Persoalan politik dan undang-undang disinggung oleh pengerusi dengan apa yang
ditimbulkan oleh Profesor Abd. Aziz sebagai kelam kabut di atas dengan membawa
beberapa contoh bandingan kes Pulau Pinang (Padang Kota) dibatalkan kerana
pembawa peti undi ke pusat pengiraan singgah dalam perjalanan yang boleh
membawa keraguan, manakala kes Dr. Lee Chong Meng yang dicabar BN yang
kemenangannya ditarik balik dan diberi kemenangan kepada calon kedua dan juga
Kes Ismail Kamus Gombak dengan penambahan waktu mengundi dari jam 5.00 - 7.00
petang yang tidak dianggap menjejaskan keputusan. Bagi Profesor Abd Aziz
sekiranya perjalanan politik berlaku secara matang tidak memerlukan mahkamah,
sekiranya perjalanan pilihan raya dijalankan secara teratur dan menurut
akta-akta termaktub di dalam peraturan-peraturan pilihan raya di samping
perlunya pembaikan SPR. Sebarang perubahan contohnya persempadanan hendaklah
dijalankan secara betul dan tidak berkepentingan kepada sesuatu pihak. Dr
Tang Seng Giaw Ahli Parlimen Kepong bersetuju sepatutnya perjalanan pilihan
raya selesai tanpa ke mahkamah, tetapi banyak perkara yang menjadikan pihak
terutama pembangkang tidak puas hati contoh cara perubahan sempadan Kepong yang
dialami di kawasan beliau dan banyak kes-kes yang lain yang perlu dibawakan ke
mahkamah. Beliau secara berseloroh menyatakan Chin Peng juga membawa kesnya -
hak kembali ke Malaysia ke mahkamah. Autonomi universiti, AUKU
Turut bercakap dalam diskusi ialah wakil dari Solidariti Mahasiswa Malaysia,
iaitu Mohd Nazri Mohd Yunus. Beliau membangkitkan tentang kehilangan kuasa
autonomi universiti dan terikatnya mahasiswa dengan AUKU yang menyebabkan
mahasiswa bahkan tenaga pengajar terpenjara di menara gading. Akibatnya,
walaupun bertambah jumlah universiti tidak lahir bakat-bakat kepimpinan dari
kalangan mereka. Pemimpin-pemimpin tajaan biasanya teruji dan patah
diperjalanan. Kalangan tenaga pengajar yang pada satu masa dahulu berani
mengeluarkan fikiran dan pandangan kepada masyarakat dan pernah menjadi
pemimpin pelajar kini membisu dan kelu. Beliau mhau akta dan sistem pendidikan
sekarang dikaji agar ianya dapat memberi faedah kepada rakyat dan negara, bukan
bagi menjamin kepentingan penguasa secara sementara. Kesimpulan
Sebagai kesimpulan dapatlah dibuat rumusan dari berbagai-bagai pendapat di
atas bahawa: Sistem pilihan raya yang telah berjalan selama lebih dari
setengah abad itu perlu kepada perubahan dan perombakan agar Akta dan Peraturan
Pilihan Raya menjadi lebih lengkap dan semperna dan pilihanraya menjadi lebih
telus dan adil. Pembaikan peraturan pilihan raya ini dapat dilakukan dengan
penubuhan Suruhanjaya Bebas yang terdiri dari pakar-pakar perundangan,
wakil-wakil parti politik, kalangan NGO, para professional dan individu
berkedudukan dan dihormati masyarakat. Sebagai Suruhanjaya Bebas ianya
hendaklah terpisah daripada kekuasaan politik pemerintah dan bertanggungjawab
langsung kepada Yang di-Pertuan Agong. Badan ini diberi kuasa perundangan
yang boleh menegur kesalahan dan penyelewengan yang berlaku di dalam pilihan
raya. Kes-kes kesalahan pilihan raya boleh dibawa ke saluran mahkamah pilihan
raya dan diputuskan oleh mahkamah pilihan raya. Rakyat hendaklah diberi
kefahaman berterusan betapa pentingnya sistem pilihan raya yang dapat
mengangkat, mengekalkan sesuatu pemerintahan negara dan menurunkannya dengan
menggantikan dengan yang lain. Rakyat hendaklah dididik agar menggunakan kuasa
yang ada pada mereka secara bebas dan sebaik mungkin. Media seharusnya
bersifat bebas dan tidak berpihak. Pihak berkuasa seharusnya tidak menguasai
media. Peluang yang sama harus dinikmati pembangkang dan orang awam.
Perjalanan pilihan raya hendaklah benar-benar bersifat bersih dan telus. Rakyat
dan pegawai-pegawai kerajaan tidak dipaksa dan diugut di dalam membuat pilihan.
Larangan keras dari rasuah politik dan kewangan hendaklah dilakukan sama ada di
dalam parti, maupun menggunakan peruntukan kewangan kerajaan bagi
kawasan-kawasan parti seperti pernah ditimbulkan perkara ini di dalam parlimen
(2.4.2007 , Peruntukan RM3 juta bagi satu kawasan parlimen parti kerajaan).
Hukuman sewajarnya hendaklah dikenakan terhadap pertubuhan politik dan mereka
yang terbabit Pemerintahan secara `Care Taker Government` hendaklah
dilaksanakan secara telus dan jujur dari masa perletakan jawatan kerajaan yang
memerintah sebelum diambil alih pemerintahan kerajaan yang baharu. Autonomi
universiti hendaklah dikembalikan dan AUKU hendaklah ditarik balik. Kalangan
akademik dan mahasiswa diberi hak menyuarakan pendapat termasuk di dalam bidang
politik. Bangi, 17 R. Awal 1428, 5 April 2007. - lanh
---------------------------------
Food fight? Enjoy some healthy debate
in the Yahoo! Answers Food & Drink Q&A.