Khutbah dari Rusila: Hindari rezeki bawa kepada azab Allah
Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
Thu | Apr 12, 07 | 12:28:09 PM Marilah kita
mendengar dan memahami serta beramal dengan petunjuk Allah SWT di dalam
al-Quran berkaitan rezeki yang dikurniakan kepada kita di dunia ini berdasarkan
Firman Allah (maksudnya): "Wahai orang-orang yang beriman, makanlah dari
benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu dan
bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadaNya."
(Al-Baqarah: 172)
Yang dimaksudkan dengan memakan rezeki yang halal ialah mengambil manfaat
daripada rezeki yang diberikan oleh Allah SWT, bukan sahaja dalam soal makan,
minum, pakaian, tempat tinggal termasuk juga kenderaan yang digunakan.
Semua perkara yang digunakan itu mestilah diambil daripada rezeki halal dan
diizinkan oleh Allah SWT. Dengan lain pengertian, bukan sahaja rezeki itu
daripada bahan-bahan halal tetapi perlu memastikan daripada sumber-sumber halal
dan dimanfaatkan dengan cara yang diizinkan oleh Allah SWT.
Perkara ini dijelaskan oleh sabda Rasulullah s.a.w. (maksudnya): Daripada Abu
Hurairah r.a., katanya: "Sabda Rasulullah s.a.w: Wahai manusia! Sesungguhnya
Allah SWT itu baik, Dia tidak menerima melainkan yang baik. Allah memerintah
orang-orang yang beriman sahaja dengan apa yang diperintahkan kepada rasul-Nya.
Firman Allah SWT: Wahai rasul-rasul, makanlah kamu daripada yang baik lagi
halal dan beramallah kamu dengan amal yang soleh, sesungguhnya Aku amat
mengetahui apa yang kamu kerjakan. (Al-Mukminun: 51).
Dan firman Allah SWT: Wahai orang-orang yang beriman, makanlah kamu yang halal
yang Aku rezekikan kepada kamu. (Al-Baqarah: 172).
Kemudian Rasulullah s.a.w menceritakan seorang lelaki yang terlalu banyak
musafirnya sehingga kusut masai rambutnya, berdebu pakaiannya. Lelaki itu
berdoa kepada Allah: "Wahai Tuhanku, wahai Tuhanku, padahal makanannya haram,
minumannya haram, pakaiannya haram dan sejak kecil lagi dia diberi makan dengan
makanan yang haram, maka bagaimana Allah akan memperkenankan doanya?" (Riwayat
Muslim)
Ini menunjukkan perkara yang halal sangat mempengaruhi kehidupan di dunia ini
dan hubungan dengan Allah SWT dari kehidupan dunia sampai akhirat.
Bukan sahaja dimasukkan ke dalam syurga bagi mereka yang mengambil dan
menggunakan yang halal dan dimasukkan ke dalam neraka bagi mereka yang
menggunakan yang haram, bahkan mereka akan menjalani kehidupan dunia dalam
keadaan yang tidak berkat serta mendapat kutukan Allah.
Yang dimaksudkan mengambil yang haram itu ialah mengambil harta dengan cara
yang tidak diizin oleh Allah sama ada mencuri, merompak, menyamun, menipu,
rasuah dan lain-lain lagi, termasuk mengambil harta sesama manusia dengan cara
yang tidak diizinkan oleh syarak.
Itulah perkara-perkara yang haram yang dinyatakan oleh Allah SWT, bukan sahaja
mengambil makanan dengan cara mencuri adalah haram di sisi Allah sepertimana
meminum arak.
Maka begitu juga mengambil barang milik orang lain dengan cara yang tidak
betul, termasuk juga menggunakan kenderaan dan rumah dengam sumber yang haram,
termasuk juga tanah-tanah yang diambil, duit yang diambil dengan cara yang
tidak halal, membahagi harta pusaka dengan cara yang tidak betul, semua yang
diambil adalah haram di sisi Allah dan diberi amaran keras oleh Rasulullah
s.a.w.
Amaran oleh Allah SWT kepada mereka yang memakan makanan yang haram, makanan
yang diambil dengan harta yang haram, minuman yang haram atau minuman yang
dibeli dengan harta yang haram, semuanya itu akan menjadi umpan api neraka
dalam perut mereka.
Termasuklah mereka yang memakai pakaian dengan cara dan gaya yang haram juga
akan menjadi umpan api neraka kepadanya pada hari kiamat.
Begitu juga kepada mereka yang mengambil tanah orang lain dengan cara yang
haram. Ini bukannya satu perkara yang boleh dipermain-mainkan, termasuklah
mereka yang cerdik pandai dan bijak, mencari rezeki secara rasuah.
Sabda Rasulullah s.a.w. (maksudnya): "Allah melaknat orang yang memberi rasuah
dan orang yang menerimanya."
Dalam hadis yang lain, sabda Rasulullah s.a.w (maksudnya): "Orang yang memberi
rasuah dan menerima rasuah semuanya di dalam neraka."
Begitulah amaran yang keras daripada Nabi s.a.w. Rasuah bukan sahaja untuk
mendapat sesuatu tetapi termasuklah untuk mendapat pengaruh seperti melantik
pemimpin-pemimpin melalui rasuah sebagaimana yang dilakukan oleh kaum Bani
Izrail yang memilih pemimpin-pemimpin yang memberi rasuah kepada mereka. Maka
pemimpin itu akan bersama dengan para pengikutnya di dalam neraka pada hari
kiamat.
Marilah kita memahami hakikat ini dan berpegang dengan petunjuk yang
ditunjukkan oleh Allah serta petunjuk yang dibawa oleh Nabi kita Muhammad
s.a.w. terutamanya pada zaman manusia yang mabuk dengan keduniaan, kemewahan
dan kesenangan.
Mereka mengambil apa sahaja dengan tidak mengikut petunjuk daripada Allah SWT
tetapi mengikut selera hawa nafsunya. Marilah kita menyelamatkan diri kita
dengan agama.
Firman Allah (maksudnya): "Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta
(orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah dan jangan pula kamu
menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak
memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa
padahal kamu mengetahui (salahnya). (Al-Baqarah: 188). - lanh
---------------------------------
Yahoo! Mail is the world's favourite email. Don't settle for less, sign up for
your freeaccount today.