Dun Ijok: KeADILan keluar profil Tan Sri Khalid
Harakahdaily
Tue | Apr 17, 07 | 03:59:10 PM KUALA LUMPUR,
17 April - Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) dalam satu kenyataan kepada
Harakahdaily sebentar tadi melampirkan profil Bendahari Agungnya, Tan Sri Dato'
Abdul Khalid Ibrahim sebagai antara pilihan calon di pilihan raya kecil Dun
Ijok pada 28 April kelak.
Berikut adalah profil penuh yang disampaikan;
Tan Sri Dato' Abdul Khalid Ibrahim, dilahirkan pada tahun 1946 di Kampung Jalan
Raja Abdullah, Jeram Batu 20, Kuala Selangor dan merupakan anak watan
kebanggaan penduduk di kawasan tersebut dari dulu hingga kini.
Khalid Ibrahim mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Jeram sekitar 1956
dan menduduki peperiksaan Special Malay Class. Beliau seterusnya menyambung
pelajaran di sebuah sekolah Inggeris di Kampung Kuantan.
Beliau kemudiannya lulus dengan cemerlang Ijazah Sarjana Muda Ekonomi daripada
Universiti Malaya dan memperoleh Sarjana Pentadbiran Perniagaan daripada
Universiti Queensland, Australia.
Khalid Ibrahim, anak jati Kuala Selangor, kini Pengerusi Dana Amanah Mellenia
Berhad dan ahli lembaga pengarah Sirim Berhad. Khalid Ibrahim juga dilantik
sebagai penasihat Bank Pembangunan Islam Jeddah, sebuah syarikat pelaburan
kewangan Islam yang tersohor.
Beliau juga merupakan Fellow Institut Penyelidikan Strategik dan Antarabangsa
Malaysia (ISIS), Majlis Produktiviti Kebangsaan dan Ahli Kehormat Majlis
Penasihat Perniagaan Persidangan Ekonomi Asia-Pasifik (APEC).
Bekas guru dan pensyarah institut pengajian tinggi ini pernah memegang jawatan
Ketua Pegawai Eksekutif di Permodalan Nasional Berhad (1979-1994) dan Ketua
Pegawai Eksekutif di Kumpulan Guthrie Berhad (1995-2003).
Penduduk Kuala Selangor selalu mengingati jasa Khalid Ibrahim yang membina
pusat latihan penyelenggaraan jentera perindustrian dengan kerjasama UMW Berhad
di Kuala Selangor. Pusat tersebut telah membantu memberi latihan kepada remaja
miskin dari kawasan sekitar termasuk Ijok, sebelum diserapkan sebagai tenaga
kerja di UMW Berhad. Pusat tersebut mula beroperasi dari tahun 1994 sehingga
kini.
Khalid Ibrahim juga memperkenalkan Program Rakan Jaya Diri yang khusus untuk
melatih pelajar-pelajar yang tercicir dari persekolahan. Mereka diberi peluang
di Guthrie Berhad, dan diajar kemahiran komunikasi dan kemahiran asas pejabat
bagi memudahkan mereka diserapkan berkerja di mana-mana syarikat.
Kedua-dua program ini berjaya menaik taraf kehidupan penduduk sekitar Kuala
Selangor termasuk Ijok.
Atas kesedaran bahawa perubahan politik amat penting dalam memperbetulkan
sistem sosio ekonomi negara ini, Khalid Ibrahim menyertai Parti Keadilan Rakyat
pada tahun 2006 dan dilantik sebagai Bendahari Agung, Pengerusi Jawatankuasa
Perhubungan Negeri Selangor dan Ketua Bahagian Kuala Selangor sehingga kini.
Menaikkan taraf kehidupan rakyat dan pendidikan anak-anak muda menjadi
keutamaan Khalid Ibrahim. Dibesarkan di Kuala Selangor, sekiranya beliau
dipilih sebagai wakil penduduk Ijok, beliau akan berusaha untuk memperbaiki
taraf kehidupan penduduk Ijok dengan memperkenalkan program-program ekonomi,
sosial dengan penekanan khusus kepada maju diri dan pendidikan belia, supaya
Ijok menjadi contoh DUN terbaik dan termaju dalam Parlimen Kuala Selangor. -
mks.
---------------------------------
Yahoo! Answers - Got a question? Someone out there knows the answer. Tryit now.