Salahguna Akta Polis - PAS akan saman Kerajaan Malaysia
Harakahdaily
Tue | Apr 17, 07 | 01:25:05 PM KUALA LUMPUR,
17 April (Hrkh) - PAS akan memfailkan saman terhadap Kerajaan Malaysia dengan
meminta mahkamah memerintahkan kerajaan memansuhkan keseluruhan Seksyen 27
dan 27 (A) Akta Polis 1967, kerana ia memberi ruang kepada pihak polis
melakukan tindakan yang bercanggah dengan prinsip kebebasan bersuara dan
demokrasi.
Ketua Lujnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia PAS, Mohamed Hanipa Maidin
berkata, pihaknya akan memfailkan saman atas nama Setiausaha Agung PAS, Dato'
Kamarudin Jaffar terhadap kerajaan, dalam waktu terdekat ini.
Menurutnya keputusan untuk menyaman kerajaan dibuat dalam mesyuarat bulanan
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ahad lepas.
Hanipa menjelaskan kedua-dua akta berkaitan dengan perhimpunan di tempat awam
yang memerlukan lesen daripada Ketua Polis Daerah dan kuasa polis untuk
menghentikan sebarang aktiviti di tempat persendirian.
Menurut beliau, dua Inkuiri Awam yang dikendalikan Suhakam berhubung dengan
keganasan polis di Lebuhraya Tol Kesas dan Perhimpunan Anti Tol di KLCC
mencadangkan supaya akta tersebut dimansuhkan.
Beliau berkata, saranan tersebut terkandung dalam semua laporan Suhakam
secara terperinci dalam kedua-dua kes terbabit.
Manakala katanya, Suruhanjaya Di Raja Bagi Meningkatkan Operasi Polis Di Raja
Malaysia turut mencadangkan kedua-dua akta tersebut dipinda.
"Saman ini akan difailkan kerana pihak Suhakam telah dua kali mencadangkan
supaya kerajaan memansuhkan Seksyen 27 dan 27 (A), namun sehingga kini
kerajaan tidak berbuat apa-apa," tegasnya.
Setakat ini kata beliau, empat kes di Johor, masing-masing satu kes di Pahang
dan Negeri Sembilan dibicarakan di bawah akta tersebut, semuanya dimenangi
oleh PAS.
"Terbaru dalam kes Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu di Jelebu, mahkamah
membebaskan beliau dan semua yang tertuduh."
"Setakat ini, semua pemimpin dan ahli PAS yang didakwa berhimpun secara haram
di bawah akta tersebut, dibebaskan," jelas Hanipa. - mr
---------------------------------
Yahoo! Mail is the world's favourite email. Don't settle for less, sign up for
your freeaccount today.