di http://www.harakahdaily.net/

      Melayu sendiri yang buang bahasa Melayu!                                  
           Saidah Hairan      
         Tue | Apr 17, 07 | 12:56:41 PM                          Jika jambatan 
bengkok Johor-Singapura boleh dibatalkan, tiada sebab pelaksanaan bahasa 
Inggeris dalam Sains dan Matematik tidak boleh diubah - demikian tegas pejuang 
bahasa, Prof Dr Awang Sariyan. Beliau berkata soal bahasa amat penting kerana 
ia membabitkan keperibadian bangsa dan negara. Ikuti wawancara SAIDAH HAIRAN 
dengan Presiden Persatuan Linguistik Malaysia, DR AWANG SARIYAN itu di 
pejabatnya di Universiti Malaya baru-baru ini.

    

 Minta Prof ulas keputusan peperiksaan yang didakwa menunjukkan peningkatan 
dalam mata pelajaran Sains dan Matematik sesudah kedua-dua mata pelajaran itu 
diajarkan dalam bahasa Inggeris?

  
 Saya sendiri tidak pasti. Saya boleh memberikan ulasan secara umum. Kita perlu 
faham bahawa sistem peperiksaan PMR, SPM dan STPM berdasarkan sistem norma. 
Maksudnya, keputusan dan prestasi calon peperiksaan diukur berdasarkan prestasi 
keseluruhan.

 
Andai kata pada sesuatu tahun pencapaian keseluruhannya cemerlang, graf atau 
markah lulus dinaikkan. Tetapi kalau pada tahun-tahun tertentu pencapaian calon 
pada umumnya kurang cemerlang, markah lulus diturunkan.

 
Saya hanya dapat mengatakan bahawa dalam konteks pelaksanaan peperiksaan Sains 
dan Matematik dalam bahasa Inggeris, ada kemungkinan prestasi pelajar (yang 
tidak diketahui sebenarnya) agak rendah. Maka markah lulus mungkin diturunkan 
sehingga tampak seolah-olah keputusannya cemerlang. Di universiti yang 
diamalkan ialah kaedah kriteria, iaitu berdasarkan prestasi sebenar calon.

 
Selain itu, kita perlu menimbangkan faktor lain juga. Media menyiarkan 
kenyataan Kementerian Pelajaran bahawa 70 peratus pelajar masih menjawab soalan 
Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu. Hanya 30 peratus yang menjawab dalam 
bahasa Inggeris. Jadi, tidak munasabah dikatakan pencapaian dalam kedua-dua 
subjek itu meningkat sesudah pengajaran dilaksanakan dalam bahasa Inggeris, 
kerana 70 peratus pelajar masih menjawab dalam bahasa Melayu.

 
Jika benar cemerlang, maka yang cemerlang besar kemungkinannya yang menjawab 
dalam bahasa Melayu. Kemudian pencapaian pelajar luar bandar yang kebanyakannya 
kurang menguasai bahasa Inggeris tiba-tiba dikatakan cemerlang dalam Matematik 
dan Sains. Hal ini pun sukar diterima akal. Kajian DBP dan UKM menunjukkan 
bahawa murid luar bandar menghadapi masalah besar apabila bahasa Inggeris 
dijadikan bahasa pengantar Sains dan Matematik. Guru yang mengajar pun 
menghadapi masalah yang besar sehingga merosot motivasi mereka.

 
  Mungkin ada sebahagian besar orang Melayu yang lebih mengagungkan bahasa 
Inggeris? 
Kalau itu kesnya mengapa kerana marahkan nyamuk kelambu dibakar. Kalau ada 
masalah, selesaikan masalah itu. Tidak munasabah kita menghukum bahasa Melayu 
semata-mata kerana ada sejumlah orang Melayu yang mengagungkan bahasa Inggeris. 
Hujah itu pada hemat saya tidak logis.

 
Ada orang mengatakan bahawa seluruh dunia sudah beralih kepada bahasa Inggeris. 
Itu suatu pembohongan, lebih-lebih lagi jika orang itu berkesempatan ke 
pelbagai negara maju. Republik Rakyat China, Korea, Jepun dan negara lain 
meningkatkan pengajaran dan penguasaan bahasa Inggeris. Memang itu pun yang 
kita lakukan di Malaysia. Tiada salahnya. Namun China masih mengekalkan 
bahasanya dalam pengajaran Sains dan Matematik atau pokoknya bahasa Cina masih 
menjadi bahasa utama dalam urusan kenegaraan. Begitu juga halnya di 
negara-negara maju lain.

 
Ada orang keliru mengenai usaha meningkatkan pengguasaan bahasa Inggeris dengan 
usaha mengubah dasar bahasa pengantar ilmu atau dasar bahasa negara. 
Kedua-duanya hal yang berlainan. Pejuang bahasa tidak menentang usaha 
peningkatan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar, bahkan rakyat di 
negara ini. Tetapi yang tidak kami setujui ialah penurunan darjat bahasa Melayu 
sebagai bahasa negara dalam pelbagai bidang dan peranan itu digantikan dengan 
bahasa Inggeris.

 
 Memang wajar kita meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa 
lain bagi membantu kemajuan bangsa. Hal ini pun dituntut oleh agama Islam. Nabi 
menganjurkan penguasaan bahasa asing. Nabi pernah mengupah sahabatnya yang 
pandai bahasa Ibrani dan bahasa lain menterjemahkan karya ke dalam bahasa Arab.

 
Ini bererti bahawa kita perlu menguasai bahasa asing tetapi tanpa mengorbankan 
bahasa sendiri. Ini dua isu yang berlainan. Al-Quran menekankan perbedaan 
bangsa dan bahasa supaya manusia saling mengenal. Untuk saling mengenal pasti 
perlu kita menguasai bahasa bangsa lain.

 
  Adakah bahasa Melayu tidak dapat membawa kemajuan? 
Soal bahasa Melayu tidak mampu membawa kemajuan itu tidak timbul sama sekali. 
Hanya orang yang buta sejarah sahaja yang berkata demikian. Bahasa Melayu bukan 
baru sehari dua atau 10 atau 20 tahun wujud. Bahasa Melayu sudah lebih dua alaf 
wujud di alam Melayu, menurut kajian ahli linguistik sejarah dan ahli 
antropologi serta arkeologi.

 
Jika bahasa Melayu tidak mampu menjadi bahasa kemajuan, bagaimana Kesultanan 
Melayu Melaka dan Kesultanan Melayu di seluruh alam Melayu pada abad ke-15 
hingga abad ke-19 maju daripada segi perdagangan, undang-undang, ekonomi dan 
hubungan diplomasi yang semuanya berlangsung dalam bahasa Melayu.

 
Saksikanlah bagaimana undang-undang pada zaman itu ditulis dalam bahasa Melayu 
seperti dalam Hukum Kanun Melaka dan pelbagai kitab undang-undang yang lain. 
Perdagangan berlangsung dalam bahasa Melayu. Hubungan diplomasi antara kerajaan 
Melayu dengan kerajaan bukan Melayu, termasuk kuasa Barat, semuanya berlangsung 
dalam bahasa Melayu.

 
Kita masih dapat menyaksikan surat-surat antara kerajaan asing dengan kerajaan 
Melayu semuanya dalam bahasa Melayu bertulisan Jawi. Perjanjian-perjanjian pun 
semuanya dalam bahasa Melayu bertulisan Jawi. Singkatnya, bahasa Melayu telah 
menjadi bahasa sejagat atau bahasa global pada satu waktu dahulu.

 
Apabila Unesco mengiktiraf surat-surat Sultan Kedah dengan Kerajaan Inggeris 
pada abad ke-19 sebagai salah satu warisan dunia bagi wilayah rantau ini, 
bukankah itu bukti nyata bahawa bahasa Melayu telah memajukan bangsa?

 
 Jangan lupa juga akan peranan bahasa Melayu mengilmukan bangsa Melayu, 
daripada bangsa yang percaya kepada tahayul dan khurafat kepada bangsa yang 
bertamadun tinggi menerima konsep-konsep agama Islam melalui bahasa Melayu. 
Kata Prof Syed Naquib al-Attas, bahasa Melayu telah dipilih oleh Allah menjadi 
salah bahasa Islam yang penting di dunia.

 
 Bagaimana kita mengatakan bahasa Melayu tidak dapat menjadi alat kemajuan 
sedangkan hal itu sudah ratusan tahun berlangsung begitu. Sekarang ini tampak 
bahasa Melayu seakan-akan belum dapat menjadi bahasa kemajuan kerana kita 
sendiri yang salah.

 
Kita tidak meletakkan bahasa Melayu di tempatnya yang wajar. Pentadbiran sudah 
dapat dilaksanakan bahasa Melayu tetapi orang lebih berminat menggunakan bahasa 
Inggeris.

 
Kira-kira 60 peratus mesyuarat rasmi di sesetengah jabatan kerajaan menggunakan 
bahasa Inggeris. Bukan soal bahasa Melayu yang lemah tetapi soal orang yang 
bermesyuarat itu yang mungkin tidak menguasai bahasa Melayu atau sikapnya 
terhadap bahasa yang salah. Ada kesombongan yang tidak kena pada tempatnya 
apabila menganggap bahawa bermesyuarat dalam bahasa Inggeris lebih selesa atau 
hebat. Itu riak namanya.

 
Di UKM semua syarahan perdana dalam bahasa Melayu. Kalau universiti lain tidak 
mahu menggunakan bahasa Melayu, maka itu bukan soal bahasa Melayu yang lemah 
tetapi soal orangnya. Yang diamalkan di UKM bagus, kerana menghormati Dasar 
Pendidikan Kebangsaan dan universiti itu pun ditubuhkan atas desakan 
cendekiawan Melayu untuk membuktikan bahawa bahasa Melayu mampu menjadi bahasa 
ilmu.

 
Pelajar luar negara jika menulis dalam bahasa asing sekalipun, mereka perlu 
mempelajari bahasa Melayu. Saya berharap bahawa UKM tidak akan beralih paksi 
semata-mata untuk menyertai arus perdana yang belum teruji itu. Tun Mahathir 
Mohamad sendiri sewaktu menjadi Pengerusi Jemaah UKM pada awal tahun 1970-an 
membuat kenyataan akhbar perlunya bahasa Melayu menjadi bahasa penghantar ilmu 
di universiti.

 
Di UKM semua syarahan perdana dalam bahasa Melayu. Kalau universiti lain tidak 
mahu menggunakan bahasa Melayu, maka itu bukan soal bahasa Melayu yang lemah 
tetapi soal orangnya. Yang diamalkan di UKM bagus, kerana menghormati Dasar 
Pendidikan Kebangsaan dan universiti itu pun ditubuhkan atas desakan 
cendekiawan Melayu untuk membuktikan bahawa bahasa Melayu mampu menjadi bahasa 
ilmu.

 
Pelajar luar negara jika menulis dalam bahasa asing sekalipun, mereka perlu 
mempelajari bahasa Melayu. Saya berharap bahawa UKM tidak akan beralih paksi 
semata-mata untuk menyertai arus perdana yang belum teruji itu. Tun Mahathir 
Mohamad sendiri sewaktu menjadi Pengerusi Jemaah UKM pada awal tahun 1970-an 
membuat kenyataan akhbar perlunya bahasa Melayu menjadi bahasa penghantar ilmu 
di universiti.

 
  Bagaimana hendak melakukan anjakan pradigma dalam kalangan golongan 
profesional tentang pentingnya melestarikan bahasa Melayu? 
Anjakan paradigma kadang-kadang dapat berlaku dari hati golongan profesional 
itu sendiri, jika mereka bersemangat kebangsaan dan bersemangat untuk 
menghidupkan tamadun bangsanya. Tetapi kalau kita berharap semangat itu muncul 
dalam diri masing-masing, saya kira hal itu sulit. Sebilangan penjawat awam 
bersemangat tetapi seringkali beralasan bahawa sebagai penjawat awam mereka 
perlu patuh melaksanakan perubahan yang sekalipun bertentangan dengan dasar 
negara yang asal.

 
Oleh itu dasar dan penguatkuasaan perlu jelas. Kita dapati dalam masyarakat 
sedang membangun, jika ada keputusan yang jelas daripada pimpinan, rakyat akan 
mengikut. Kalau semua orang wajib lulus bahasa Melayu untuk lulus peperiksaan 
atau mendapat kerja, semua orang ikut. Jika bahasa Melayu diwajibkan menjadi 
bahasa penghantar utama di universiti, hatta di IPTS, saya yakin pimpinan 
universiti akan patuh.

 
Tetapi apabila dasar yang telah termaktub dalam akta pun diubah, seperti 
peruntukan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam Akta Pendidikan, 
maka orang yang tidak mengikut atau ikut dengan hati yang tidak ikhlas akan 
cepat-cepat kembali kepada bahasa Inggeris, bahkan kadang-kadang terjadi 
keadaan 'lebih sudu daripada kuah'.

 
Misalnya ada sebuah universiti yang mengarahkan kuliah sastera Melayu 
disampaikan dalam bahasa Inggeris, sekurang-kurangnya dalam satu waktu kuliah 
dalam seminggu. Ini berlaku kerana ada ruang untuk mereka tidak melaksanakan 
dasar bahasa Melayu (yang sebenarnya tidak pernah diubah oleh Parlimen atau 
oleh rakyat).

 
Kita nampak kesan positif dalam dasar Tun Razak melalui soal bahasa, kebudayaan 
dan politik. Kita juga nampak jika dasar berubah orang pun cepat berubah. Saya 
melihat dasar kerajaan perlu mengekalkan dasar-dasar awal. Usah cepat kita 
melatah mengatakan bahawa dasar-dasar kenegaraan yang diacu Tun Razak sudah 
tidak relevan pada zaman sekarang.

 
Sekarang ini ada orang yang sudah berani bercakap bahawa bahasa Melayu sudah 
tidak boleh menjadi bahasa perpaduan dan jika hujah itu diterima pula oleh 
pimpinan, bahaya besar sedang menunggu kita. Kita tidak patut mudah melatah dan 
mudah mengaku kalah atau mudah percaya bahawa dasar yang dibuat itu salah, 
sedangkan dasar itu menunjukkan banyak kesan yang positif.

 
 Dasar sekarang yang berkaitan dengan penggunaan bahasa Inggeris dalam 
pengajaran Sains dan Matematik belum menunjukkan hasil yang baik, malah 
mencemaskan, baik kepada bangsa dan juga nasib bahasa Melayu sebagai bahasa 
ilmu pada masa hadapan. Sebaliknya dasar yang diasaskan oleh Tun Razak telah 
terbukti menghasilkan anak watan yang berilmu dan berkemahiran dan 
berkeperibadian menurut acuan sendiri.

 
  Prof, ada kemungkinan bahasa Melayu akan pupus jika tidak ada usaha 
meningkatkan penguasaannya?  
 Saya yakin bahawa bahasa Melayu tidak akan pupus. Bagi saya yang kita cemaskan 
bukan pupusnya bahasa Melayu dari muka bumi. Pupusnya sesuatu bangsa dari muka 
bumi adalah dengan takdir Allah. Kita ada lebih 250 juta orang penutur di 
Indonesia, Brunei, Kemboja, Thailand dan di tempat-tempat lain. Jika bangsa 
Melayu dengan takdir Allah pupus daripada muka bumi seperti kaum-kaum dahulu 
tentu bahasa Melayu ikut pupus. Tetapi yang kita risaukan bukan soal pupusnya 
bahasa Melayu tetapi pupusnya 'sebagai bahasa tamadun'. Jika bahasa Melayu pada 
satu waktu kelak tidak menjadi bahasa ilmu, pentadbiran, undang-undang, ekonomi 
dan sebagainya, maka itulah bentuk kepupusan yang cukup menakutkan.

 
Adakah kita cukup puas hati bahasa Melayu sekadar wujud di muka bumi dan hanya 
menjadi bahasa perbualan biasa. Tentu tidak, kerana bahasa Melayu sudah 
berabad-abad menjadi bahasa tamadun tinggi. Mengapa kini hendak dirobek mata 
rantai sejarah yang baik itu? Pada zaman Kesultanan Melayu Melaka, bahasa 
Melayu digunakan dalam bidang falsafah, undang-undang, diplomasi, metafizik 
atau tasawuf, perdagangan dan sebagainya... Jika tiba-tiba bahasa Melayu tidak 
lagi diberi peranan sebagai bahasa tamadun, maka kita sebagai satu bangsa besar 
menuju kemerosotan.

 
 Bahasa dan akal itu nikmat Allah yang paling besar. Kalau kita sia-siakan 
bahasa Melayu itu pun satu bentuk kekufuran. Ini perlu kita fahami daripada 
segi agama. Jika kita kufur nikmat, kita terima sajalah azab Tuhan esok. 
Bukankah itu janji Allah? Dalam bentuk apa azab itu terserah kepada Allah. Kita 
mungkin lemah daripada segi tamadun. Kita akan jadi bangsa yang terjajah 
fikirannya walaupun mungkin zahirnya tidak terjajah daripada segi ketenteraan 
dan politik.

 
    Jika pelajar-pelajar Melayu dapat menguasai bahasa Inggeris apakah dasar 
pendidikan akan ditukar? 
Dalam waktu terdekat kita selalu menggunakan hujah bahawa anak-anak Melayu akan 
ketinggalan dalam proses menguasai ilmu. Itu satu kesan yang dapat kita 
ramalkan berlaku, berdasarkan kenyataan bahawa sebahagian orang Melayu tinggal 
di luar bandar yang masih kekurangan dalam hal pendedahan kepada prasarana ilmu.

 
Tetapi takdirnya, katakan dalam penguasaan bahasa Inggeris semua anak Melayu 
akan hebat pada satu waktu kelak, jangan lupa kita menekankan bahawa perjuangan 
bahasa bukan sahaja menekankan kemajuan bangsa kita secara lahiriah, tapi dalam 
masa yang sama kita perlu ada jati diri.

 
 Dengan peningkatan penguasaan bahasa Inggeris, anak-anak Melayu tidak ada 
masalah belajar Sains dan Matematik dalam bahasa itu. Tetapi jangan lupa akan 
kesan jangka panjang yang besar akibatnya, iaitu kehilangan jati diri - 
kehilangan tamadun yang besar dan kufur nikmat Allah. Kehilangan itu tidak akan 
dapat diganti.

 
 Adakah orang Melayu sendiri yang membuang bahasa Melayu?  
Memang orang Melayu. Saya yang berketurunan Jawa pun tidak membuang bahasa 
Melayu malah memperjuangkannya. Soal penjajah Inggeris mengetepikan bahasa 
Melayu memang sudah jelas menjadi dasar penjajah. Tetapi selepas penjajah pergi 
kita hendak menyalahkan siapa? Almarhum Tun Razak sudah membela bahasa Melayu 
cukup baik.

 
Tun Abdul Rahman Yaakub sudah meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar 
utama dalam sistem pendidikan kita. Sekarang ada orang yang pandai-pandai 
hendak mengubahnya tanpa belajar daripada sejarah. Saya masih ingat Tan Sri 
Ghazali Shafie pernah menyebut bahawa sekarang banyak orang yang pandai-pandai 
mengalihkan tiang gol orang Melayu sehingga tidak kesampaian hasrat orang 
Melayu hendak memasukkan bola ke pintu gol. Itu sindiran yang amat tepat kepada 
orang yang tidak halus fikiran dan bacaannya dalam mengendalikan nasib bangsa 
dan negara.

 
 Jika bangsa lain tolong merobohkan bangsa Melayu kita tidak boleh menyalahkan 
mereka kerana kita yang mula merobohkannya.

  
  Apakah pejuang bahasa akan terus memperjuangkan nasib bahasa Melayu? 
Kami tetap dengan perjuangan kami kerana yakin kami memperjuangkan yang hak, 
bukan ada kepentingan diri, tetapi kepentingan bangsa dan negara. Bahkan yang 
kami perjuangkan itu bersandarkan perkara yang termaktub dalam Perlembagaan 
negara dan beberapa akta yang berkaitan, seperti Akta Bahasa Kebangsaan dan 
Akta Pendidikan. Cara perjuangan kami melalui lisan, iaitu bahasa, melalui 
seminar, dialog dengan pemimpin dan menulis makalah atau buku. Ibaratnya, kata 
ulama iman ada tiga tingkat. Tingkat pertama ialah melaksanakannya dengan 
tangan atau kuasa. Tingkat kedua ialah dengan lisan atau bahasa. Tingkat ketiga 
dengan hati.

 
Kami hanya ada lidah dan pena untuk bercakap dan menulis dalam memberikan 
pendapat ikhlas. Kami tidak ada kuasa untuk mengubah dasar. Kami tidak boleh 
menuntut sekolah supaya jangan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa 
penhantar jika itu arahan yang diberikan oleh pihak berkuasa. 


       
---------------------------------
 Yahoo! Answers - Got a question? Someone out there knows the answer. Tryit now.

Kirim email ke