di http://www.detikdaily.net/
Pemusnah hantu diperlukan!
Posted on Wednesday, April 18 @ 00:42:53 CDT by reformis
Pengundi di Ijok perlu memberikan mesej jelas bahawa mereka mahukan Tan Sri
Khalid bukan sekadar sebagai wakil rakyat, sebagai ADUN Ijok, malah sebagai
bakal Menteri Besar Selangor. - EZAM MOHD NOOR
Oleh Ahmad Zaki Yamani
Penggunaan Sistem Maklumat Pilihanraya (SISMEP) secara praktikal akan
benar-benar diuji di Pilihanraya Kecil Ijok. SISMEP yang dibangunkan oleh
Jawatankuasa Pilihanraya Pusat keADILan di bawah pimpinan Azmin Ali akan
digunakan secara meluas di Ijok.
Sistem ini apabila dilaksanakan akan dapat mengesan pelbagai taktik kotor BN
untuk membuat penipuan pilihanraya.
Beberapa data Pilihanraya Umum 2004 bagi DUN Ijok yang diperolehi daripada
SISMEP benar-benar menarik perhatian dan menuntut kita berfikir.
Di Daerah Mengundi Jaya Setia, keADILan menang dengan kelebihan 50 undi.
Angka genap begini sebenarnya menimbulkan persoalan. Tambahan pula di Saluran
1, keADILan menang dengan 30 undi dan di Saluran 2 dengan 20 undi. Bagaimana
kemenangan dengan undi genap begini dan di Saluran 1 lebih baik sedangkan di
daerah-daerah lain, prestasi keADILan di Saluran 2 (orang muda) adalah lebih
baik.
Di Daerah Mengundi Bukit Badong, BN mendapat 150 undi di kedua-dua saluran 1
dan 2.
Saya kira kita perlu memberi penelitian yang tekun terhadap keputusan-keputusan
dengan angka yang terlalu cantik ini.
Justeru, salah satu misi utama keADILan ialah untuk memastikan adanya pasukan
PACA (Polling Agent, Counting Agent) yang mantap bagi mengesan dan menghalang
cubaan-cubaan membuat penipuan semasa pengiraan undi.
Pada masa yang sama, mungkin kita perlu pasukan pemusnah hantu untuk menghalang
pengundi-pengundi hantu daripada berleluasa di Ijok.
II. Ezam akan kempen di Ijok
Pengerusi Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (GERAK), Ezam Mohd Nor telah
mengesahkan bahawa beliau akan turun padang berkempen kepada pengundi di Ijok
agar memberikan sokongan kepada Tan Sri Khalid Ibrahim.
Saya akan berkempen untuk memastikan rakyat tahu dan sedar apa yang menjadi
pilihan mereka. Pengundi di Ijok perlu tahu bahawa jika mereka mengundi BN,
maka mereka memberi sokongan dan merelakan rasuah dan korupsi."
Rakyat perlu tahu bahawa setiap undi yang mereka berikan kepada calon BN
bermakna mereka merelakan kekayaan negara dirompak dan diselewengkan, kata
Ezam apabila dihubungi oleh Ijok2007.
Beliau menganggap tidak ada sebab untuk pengundi di Ijok tidak memberikan
sokongan kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Tan Sri Khalid ialah seorang tokoh yang berkaliber. Beliau adalah anak
tempatan yang membesar di Kuala Selangor dan menjadi kebanggaan masyarakat di
sana. Kejayaan-kejayaan beliau selama ini memimpin syarikat-syarikat korporat
menjadi bukti akan kemampuan dan keupayaan beliau."
Kerana itu pengundi di Ijok perlu memberikan mesej jelas bahawa mereka mahukan
Tan Sri Khalid bukan sekadar sebagai wakil rakyat, sebagai ADUN Ijok, malah
sebagai bakal Menteri Besar Selangor, jelas Ezam.
III. Latar belakang calon KeADILan, Khalid Ibrahim
Abdul Khalid Ibrahim dilahirkan pada tahun 1946 di Kampung Jalan Raja Abdullah,
Jeram, Batu 20, Kuala Selangor dan merupakan anak watan kebanggaan penduduk di
kawasan tersebut.
Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Jeram sekitar awal 1950an dan
menduduki peperiksaan Special Malay Class. Khalid Ibrahim seterusnya menyambung
pelajaran di sekolah Inggeris di Kampung Kuantan.
Beliau melanjutkan pengajian ke Universiti Malaya dan lulus cemerlang dengan
memperolehi Ijazah Sarjana Muda Ekonomi. Khalid Ibrahim kemudian memperolehi
Sarjana Pentadbiran Perniagaan daripada Universiti Queensland, Australia.
Khalid Ibrahim, anak jati Kuala Selangor, kini adalah Pengerusi Dana Amanah
Millenia Berhad dan Ahli Lembaga Pengarah Sirim Berhad. Beliau juga dilantik
sebagai penasihat Bank Pembangunan Islam (IDB), Jeddah.
Beliau adalah Ahli Lembaga, Institut Penyelidikan Strategik dan Antarabangsa
Malaysia (ISIS), Majlis Produktiviti Kebangsaan dan Ahli Kehormat Majlis
Penasihat Perniagaan Persidangan Ekonomi Asia-Pasifik (APEC).
Bekas guru dan pensyarah di beberapa institusi pengajian tinggi ini pernah
memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif di Permodalan Nasional Berhad
(1979-1994) dan Ketua Pegawai Eksekutif di Kumpulan Guthrie Berhad (1995-2003).
Di PNB, beliau adalah antara tenaga utama yang menjayakan Skim Amanah Saham
Nasional dan kemudiannya Amanah Saham Bumiputra sehingga mampu memberikan
pulangan yang baik kepada pelabur. Skim ini kemudiannya diperkembangkan kepada
seluruh rakyat malaysia melalui pelbagai tabung lain.
Penduduk Kuala Selangor sering mengingati jasa Khalid Ibrahim yang mengusahakan
pembinaan Pusat Latihan Penyelenggaraan Jentera Perindustrian dengan kerjasama
UMW Berhad di Kuala Selangor. Pusat tersebut telah membantu memberi latihan
kepada remaja miskin dari kawasan sekitar termasuk Ijok, sebelum diserapkan
sebagai tenaga kerja di UMW Berhad. Pusat tersebut mula beroperasi dari tahun
1994 sehingga kini.
Khalid Ibrahim juga memperkenalkan Program Rakan Jaya Diri yang khusus untuk
melatih pelajar-pelajar yang tercicir dari persekolahan. Mereka diberi peluang
latihan dalam kerja di Guthrie Berhad dan diajar kemahiran komunikasi dan
kemahiran asas pejabat bagi memudahkan mereka diserapkan berkerja di mana-mana
syarikat.
Kedua-dua program ini memberi sumbangan bermakna kepada meningkatkan taraf
kehidupan penduduk sekitar Kuala Selangor termasuk Ijok.
Atas kesedaran bahawa negara dan negeri Selangor sendiri berada di dalam
keadaan yang parah akibat penyelewengan, korupsi dan salahguna kuasa yang
berleluasa; Khalid Ibrahim mengambil keputusan bahawa keadaan mesti
diperbetulkan melalui perubahan politik.
Kerana itu, Khalid Ibrahim menyertai Parti Keadilan Rakyat pada tahun 2006 dan
dilantik sebagai Bendahari Agung dan kemudiannya Pengerusi Perhubungan Negeri
Selangor. Pada tahun 2007, beliau telah dipilih sebulat suara oleh ahli-ahli
parti di Bahagian Kuala Selangor sebagai Ketua Bahagian.
Usaha menaikkan taraf hidup rakyat dan pendidikan anak-anak muda adalah
keutamaan Khalid Ibrahim. Pengalaman beliau sendiri yang membesar di dalam
suasana kampung di Kuala Selangor, membolehkan Khalid Ibrahim memahami
kepentingan pendidikan untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat.
Sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat Ijok, beliau akan memberi tumpuan kepada
usaha untuk memperbaiki taraf kehidupan penduduk Ijok dengan memperkenalkan
program-program ekonomi dan sosial, dengan penekanan khusus kepada maju diri
dan pendidikan belia supaya Ijok dan seluruh warganya menjadi contoh kepada
negeri Selangor dan seluruh Malaysia.
Berbekalkan pengalaman dan pengetahuan beliau, Khalid Ibrahim yakin akan dapat
memainkan peranan berkesan, dengan sokongan rakyat, untuk menjayakan misi ini.
---------------------------------
Yahoo! Answers - Got a question? Someone out there knows the answer. Tryit now.