*Azamin Amin* Mon | Jul 16, 07 | 10:15:32 AM *KUALA LUMPUR, 16 Julai (Hrkh) -* PAS Negeri Pahang telah meminta dan mengarahkan semua cawangan PAS di seluruh negeri untuk mengadakan solat hajat agar semua enam krew Nuri yang hilang dapat ditemui dengan selamat dalam tempoh segera.
Sila layari www.englishsection.com untuk Laman Utama English Section atau www.harakahdaily.net/wap/ untuk melayari HarakahDaily.Net menggunakan telefon bimbit GPRS (General Packet Radio Service) anda.[image: Image] Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man meminta semua ahli PAS dan orang ramai mendoakan keselamatan anggota terbabit dan yakin akan dapat ditemui dalam masa terdekat ini dengan kesungguhan yang dilakukan oleh pelbagai pihak dan agensi dalam operasi penyelemat ini khususnya Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) termasuk perhatian serius daripada Sultan Pahang sendiri. "Malam ini dan esok, solat hajat akan diadakan di Masjid Lama Bandar, Jengka Pahang selepas solat Isyak, supaya Allah memberi petunjuk serta jalan mudah untuk menemui mereka," katanya ketika dihubungi Harakahdaily sebentar tadi. "Kami juga bersedia membantu dengan bantuan unit amal dan ahli-ahli untuk turut serta dalam operasi penyelamat jika diperlukan walaupun diakui gerak kerja dan usaha yang dilakukan oleh semua pihak termasuk tentera setakat ini jauh lebih cekap dan pantas," katanya. Dalam pada itu beliau berharap supaya ahli keluarga anggota yang terbabit bersabar dengan ujian dan ketentuan yang diterima dan mendoakan yang terbaik atas kesejahteraan mereka semua. Insiden yang berlaku amatlah mendukacitakan dan berharap ianya menjadi satu pengajaran yang pahit kepada kerajaan agar mengkaji dengan lebih serius penggunaan helikopter Nuri yang telah dianggarkan jatuh sekitar 15 buah semenjak operasi Nuri dimulakan, katanya. [image: Image]Sementara itu, Sultan Pahang yang juga Kolonel Yang Dipertua TUDM, turut mendengar taklimat Panglima TUDM, Tan Sri Azizan Ariffin, di markas operasi di Institut Aminuddin Baki di sini selepas menyertai tinjauan udara di kawasan berkenaan. Ketika ditemui pemberita, Sultan Ahmad Shah yakin operasi itu akan berjaya hasil berkat doa dan usaha keras semua pihak. Baginda juga mengarahkan pegawai daerah Bentong mengadakan solat hajat di setiap masjid di daerah itu pada malam tadi untuk mendoakan agar semua mangsa ditemui dalam keadaan selamat. "Ini adalah salah satu jalan lain yang perlu dilakukan sebagai umat Islam. Terima kasih kepada semua pihak yang bertungkus lumus membantu dalam menjalankan operasi ini," kata baginda. Dilaporkan semasa kejadian, pesawat Nuri itu dipandu oleh juruterbang Kapten Nor Azlan Termuzi dan pembantu juruterbang Kapten Nor Intan Asykeen Mohd Arof, membawa bersama Sarjan Khusnizam Ariffin (kuarter master udara), Sarjan Mohd. Azmie Md. Yassin, Laskar Udara Kanan Saifulizam Alias dan Laskar Muhammad Ridzuan Ahmad. Dalam pada itu, Panglima Tentera Udara, Tan Sri Azizan Ariffin mengakui setelah lebih 60 jam usaha mencari dan menyelamat enam krew pesawat helikopter itu dijalankan, tiada perkembangan terbaru yang diperoleh. Menurutnya, kelewatan itu disebabkan tiga faktor utama iaitu ketiadaan petunjuk baru, keadaan muka bumi yang sangat curam dan berbahaya serta halangan cuaca menyebabkan jarak penglihatan terhad. - mks.
