*Intan Abdullah*
Mon | Jul 16, 07 | 04:24:31 PM

*CHERAS, 16 Julai (Hrkh) -* Wanita kini mengharapkan perlindungan tidak kira
di mana sahaja mereka berada termasuk ketika berada di rumah dan dalam
senario hari ini wanita dirasakan berada dalam keadaan tidak selamat.

Sila layari www.englishsection.com untuk Laman Utama English Section atau
www.harakahdaily.net/wap/ untuk melayari HarakahDaily.Net menggunakan
telefon bimbit GPRS (General Packet Radio Service) anda.

"Kita berasa sangat bersyukur ada kumpulan wanita yang gigih menjalankan
usaha murni membantu dan membimbing golongan yang dipinggirkan oleh
masyarakat hari ini dalam kebobrokan yang kian mencengkam keselamatan
semua," ujar Tan Sri Zaleha Ismail yang berucap merasmikan pelancaran Kempen
'Anda Bijak Jauhi Zina' dalam majlis Makan Malam Amal Raudhatus Sakinah
(Mars) anjuran yang diadakan di Dewan Wawasan Convention & Exhibition
Centre, Seri Cempaka Service Suites, Menara PGRM Cheras baru-baru ini.

Majlis yang dipengerusikan oleh pengacara Akademi Al-Quran, Farah Adeeba
menerima sambutan yang sangat memberangsangkan daripada pelbagai pihak
terutama dari segi penajaannya.

Namun begitu, ramai yang hadir hampa kerana tetamu diraja yang
dinanti-nantikan oleh semua iaitu Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong,
Tuanku Nur Zahirah sebelum ini dijangka hadir sebagai perasmi, dimaklumkan
gering oleh pegawai protokol istana.

Sementara itu, Penasihat Mars, Prof Madya Dr Harlina Haliza Hj Siraj dalam
ucapan aluannya berkata semua pihak hendaklah menggembeleng tenaga secara
'smart partnership'dalam usaha mempromosi usaha nahi munkar atau mencegah
kemungkaran ini.

Masyarakat juga ujar beliau, diminta agar memahami definisi sebenar zina
bukan sekadar ketelanjuran remaja yang tewas kepada runtunan nafsu syaitan.

Dr Harlina yang juga merupakan Ketua Wanita Pertubuhan Jemaah Islah Malaysia
(Jim), berkata melalui kempen ini, ibu bapa juga diseru agar sentiasa
prihatin terhadap anak-anak dalam menangani permasalahan gejala sosial.

Menurut Pengarah Mars, Rosmawati Zainal, selain pelancaran kempen tersebut
Mars diadakan bertujuan untuk menjana dana pembangunan dan pengurusan tiga
buah pusat perlindungan yang sedang beroperasi di Kelantan, Selangor dan
Pulau Pinang.

Pusat Bimbingan Remaja Puteri Raudhatus Sakinah yang telah beroperasi sejak
Ogos 1998 yang dikendalikan oleh Wanita Jim telah membimbing lebih 230 orang
remaja.

Majlis gilang gemilang tersebut diserikan dengan persembahan penyanyi yang
telah berhijrah, Dayangku Intan serta kumpulan Wayfarers.

Di samping itu, penonton juga disajikan dengan persembahan pertunjukan
Busana Muslimah yang ditaja oleh Gaya Wawasan Collection, Butik STR
Terengganu, Butik Smart and Chic dan Butik Torkuaz.

Perasmian Mars telah disempurnakan dengan gimik persembahan multimedia
mengisahkan kemelut kehidupan penghuni RS dalam senario keruntuhan akhlak
masyarakat pada hari ini.

Selain itu, antara maklumat dalam persembahan multimedia yang ditayangkan
pada majlis tersebut, ibu yang termuda berusia 11 tahun dengan bapanya
berumur 13 tahun di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

Majlis yang diadakan ini turut dihadiri oleh selebriti Wardina Safiyyah
serta anaknya, Amna yang berjaya mencuri tumpuan penonton dengan gelagatnya.
- mks.

Kirim email ke