Assalamualaikum warahmatullah… Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah selain Allah yang Esa, tiada sekutu bagiNya dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammmad saw itu hamba dan pesuruhNya. Selawat berserta salam buat Baginda saw yang memiliki akhlaq terpuji dan menjadi ikutan selamanya berserta ahli keluarga Baginda. Juga sejahtera buat kita semua dan orang-orang yang beramal soleh.
Bismillahir Rahmanir Raheem… Dunia Darul Asbab. Saya sangat suka perkataan ini. Dari semenjak kali pertama saya mendengarnya, sehinggalah ke hari ini, perkataan ini selalu terngiang-ngiang di telinga saya. Maksudnya dunia ini dipenuhi dengan asbab atau sebab, atau punca. Atau lebih jelas, segala perkara yang berlaku di dalam dunia ini, ada penyebab kepada kejadiannya. Tetapi segalanya adalah ketentuan Allah. Allah-lah yang menjadikan segalanya. Misalnya Allah menjadikan kelahiran. Tetapi setiap kelahiran itu Allah ciptakan asbab untuknya. Dan asbab untuk kelahiran itu adalah seorang lelaki (ayah) dan seorang perempuan (ibu). Begitu juga halnya dengan hujan. Allah-lah yang sebenarnya menurunkan hujan kepada sekalian penduduk bumi. Tetapi hujan itu Allah turunkan dengan berasbabkan awan mendung yang mengandungi air di dalamnya. Tetapi Allah tidak berkehendak kepada asbab-asbab ini. Allah tidak perlu kepadanya untuk menjadikan dan menciptakan segala sesuatu. Jika Allah ingin menjadikan apa sekalipun, dengan hanya berkata “Jadi”, maka jadilah ia. Allah telah menciptakan dunia ini, syurga, neraka tanpa berasbab apa-apa pun. Mungkin orang kafir percaya kepada teori Big Bang bagi penciptaan dunia tetapi syurga dan neraka, tidak ada punca kepada penciptaannya. Bahkan Allah telah menciptakan manusia tanpa ibu dan tanpa ayahnya. Iaitu Nabi Adam as. Begitu juga, Allah pernah menciptakan manusia dari seorang lelaki tanpa kehadiran wanita iaitu Hawa as, isteri Adam as yang dicipta dari rusuk Nabi Adam as sendiri. Dan Allah juga pernah menciptakan manusia hanya dari seorang wanita, tanpa perlu wanita itu disentuh oleh mana-mana lelaki. Itulah Nabi Isa al-Masih as, anak kepada Maryam. Sungguhpun Allah mampu menciptakan segalanya tanpa asbab, namun Allah tetap menjadikan asbab sebagai sebahagian intipati penting dalam kejadianNya. Ini bukanlah sebagai tanda kelemahan Allah. Sebaliknya inilah bukti kekuasaan Allah. Sungguhpun sesuatu kejadian itu mempunyai asbab, namun asbab itu tidak berdiri dengan sendirinya. Di sebalik asbab itu, masih terdapat banyak lagi perkara lain yang menjadi asbab kepada asbab. Contohnya seseorang yang menghidapi sakit kepala. Maka pergilah dia ke kedai untuk mendapat sekian jenama ubat. Kemudian dengan taqdir Allah, sembuhlah dia selepas memakan ubat tersebut. Maka dikatakan dia sembuh dari sakit kepalanya kerana ubat yang dimakannya. Tetapi ubat itu hanya suatu asbab. Allah yang menyembuhkan penyakitnya. Asbab ini hanya sebagai hiasan mata kita sahaja. Namun ubat itu semata-mata, tidak mampu menjadi asbab untuk penyembuhan penyakit itu. Kerana di dalam ketulan ubat tersebut, terdapat bahan lain, contohnya paracetamol, yang meredakan penyakit itu tadi. Dan sebenarnya, bahan itu juga tidak mampu menjadi asbab untuk penyembuhan. Perlu ada bahan sampingan yang lain barulah ia boleh bekerja. Dan begitulah seterusnya. Sentiasa ada asbab kepada asbab-asbab ini tadi. Saya teringat kepada sebuah kisah yang saya dengar dalam sebuah bayan. Kisah mengenai seorang lelaki dari sebuah kampung yang sungguh terasing dari bandar. Kampung ini begitu jauh daripada kemajuan. Masih tidak ada bekalan air dan elektrik di kampung ini. Penduduknya mendapatkan bekalan air dari perigi yang mereka gali sendiri. Air perigi itulah yang mereka gunakan untuk memasak, bersuci dan sebagainya. Pada suatu hari, seorang dari penduduk kampung ini telah pergi ke bandar. Maka tercengang-cenganglah dia melihat keadaan bandar yang jauh berbeza dari keadaan kampungnya. Seketika kemudian dia terdengar laungan azan dari sebuah masjid berdekatan. Maka begegaslah dia ke masjid itu untuk solat berjamaah. Namun sesampainya dia di sana, terkejutlah dia melihatkan keajaiban di hadapan matanya. “SubhanAllah…”. Terbeliak matanya melihat orang ramai sedang mengambil wudhu’ dengan air yang keluar daripada dinding melalui kepala paip. Kemudian dia terfikir. Sekiranya dia membeli kepala paip itu dan memasangnya di kampung, tentu seluruh kampung akan mendapat faedahnya. Selesai solat, segeralah dia ke kedai dan kemudian pulang ke kampung dengan hati yang berbunga-bunga. Setelah memasang kepala paip itu ke dinding rumahnya, dia pun memanggil seluruh orang kampung untuk berkumpul. “Mulai hari ini, kita semua tidak perlu bersusah payah lagi menimba air dari perigi. Cuma perlu buka paip ini dan air akan keluar dengan sendiri” katanya sambil memusing kepala paip tesebut. Namun terkejutlah dia kerana tiada setitik air pun yang keluar dari situ. Dengan perasaan marah bercampur malu, dia segera ke bandar semula, ke kadai tempat dia membeli paip tersebut. Dia bertanya kepada pemilik kedai tersebut mengapa paip yang dibelinya tidak mengeluarkan air sebagaimana paip yang dilihatnya di masjid. Lalu pemilik kedai bertanya kepadanya cara-cara dia memasang paip tersebut. Setelah diceritakan, fahamlah pemilik kedai tersebut seraya menceritakan keadaan yang sebenarnya… Begitulah. Kita sebenarnya tidak boleh memandang sesuatu asbab itu secara zahirnya sahaja. Tidak boleh menilai dari permukaannya sahaja. Kerana sebenarnya tiada kuasa pada asbab itu untuk menjadikan sesuatu kejadikan. Seperti contoh kisah di atas. Meskipun air itu keluar dari kepada paip yang ada, namun jika tidak dipasang batangnya dan tidak dihubungkan ke tangki air dan seterusnya, tetap air tidak akan keluar juga. Lebih dari itu, segala jenis asbab di dalam dunia ini pun tidak akan mampu menjadikan apa-apa kejadian tanpa izin dari Allah. Jika sekalipun paip itu disambungkan secara betul dari punca hingga ke kepala paip tersebut, jika Allah tidak mengizinkan untuk air mengalir keluar dari muncungnya, nescaya tidak akan ada setitis pun air yang akan keluar. Kerana semua ini makhluk dan hanya Allah Maha Kuasa, makhluk langsung tidak berkuasa. Maha Suci Allah dari sebarang kekurangan. Agaknya, jika Allah menciptakan perkara-perkara atas muka bumi ini tanpa berasbab, mungkin kebanyakan kita sudah menjadi gila. Bayangkan, malam ini kita masih bujang, esok bangun pagi kita sudah pun punyai anak. Atau hari ini kita hanya seorang kuli yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang tetapi tiba-tiba keesokannya kita adalah seorang jutawan. Bukankah haru jikalau sebegitu? Apa yang paling penting, kita tidak boleh meletakkan iman ke atas asbab-asbab ini. Tidak boleh sama sekali kita yakin bahawa ubat yang menyambuhkan penyakit, atau makan yang menjadikan kita kenyang. Kerana semua itu Allah yang menentukannya. Tanpa izin darinya, ubat boleh menjadi racun, semakin ditelan semakin sakit dan nasi bisa menjadi angin, semakin dimakan semakin senak. Sesungguhnya kuasa Allah mengatasi segala sesuatu….. Sekian buat kali ini. Segala yang baik datang dari Allah dan yang tidak baik adalah akibat kelalaian saya sendiri. Wabillahitaufiq walhidayah. Wassalamualaikum warahmatullah… -Abu Naqibah- Komen dan kritikan membina dialu2kan. Email saya di [EMAIL PROTECTED] atau lawati http://abunaqibah.blogspot.com/
