BILAKAH TERJADINYA PERISTIWA ISRAK DAN MIKRAJ?
Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

Setiap kali apabila munculnya tarikh 27 Rejab maka
umat Islam seluruh dunia akan rancak membincangkan
tentang peristiwa Israk dan Mikraj. Pelbagai program
keagamaan diatur demi memuliakan peristiwa bersejarah
tersebut. Hal ini merupakan satu usaha murni untuk
mengingatkan kembali umat Islam kepada
peristiwa-peristiwa bersejarah yang mana di dalamnya
terdapat pelbagai pengajaran bermanfaat. Apatah lagi
di waktu umat Islam ketika ini sedang hanyut dibuai
budaya hedonis. Para remaja zaman sekarang lebih
terhibur dengan upacara-upacara berbentuk hiburan yang
melalaikan daripada program-program berbentuk
keagamaan. Mereka lebih mengenali peserta-peserta
program realiti di televisyen daripada para rasul,
sahabat-sahabat Nabi dan ulama-ulama besar yang telah
banyak berjasa dalam menegakkan agama ALLAH. Oleh itu,
semua pihak perlu melipat-gandakan usaha
memperbanyakkan program-program berunsur keagamaan
sebegini tanpa perlu menunggu tarikh-tarikh tertentu
yang datangnya setahun sekali. 

Kembali kepada tajuk asal artikel ini, rata-rata umat
Islam di Malaysia yakin bahawa peristiwa Israk dan
Mikraj memang benar-benar berlaku pada 27 Rejab.
Seolah-olah ia telah disepakati di kalangan para ulama
ahli sunnah wal jamaah. Hakikat yang sebenar adalah
wujudnya perbezaan pendapat di kalangan para ulama
tentang tarikh terjadinya peristiwa Israk dan Mikraj
tersebut. Hal ini telah diperjelaskan oleh tokoh ulama
hadis bermazhab Syafie, iaitu al-Hafiz Ibu Hajar
al-'Asqalani r.h. Menurut beliau:
        
"Para ulama berselisih pendapat mengenai waktu
berlakunya al-Mikraj. Ada yang mengatakan sebelum
baginda dilantik menjadi Nabi. Pendapat ini ganjil
(syaz) kecuali dianggap terjadi dalam mimpi.
Kebanyakan ulama berpendapat setelah baginda menjadi
Nabi. Mereka juga berselisih tentang tarikh sebenar
peristiwa ini. 
        
Antara mereka ada yang menyatakan peristiwa ini
berlaku setahun sebelum hijrah. Ini merupakan pendapat
Ibn Sa'd dan yang lainnya dianggap benar oleh Imam
al-Nawawi dan Ibn Hazm. Bahkan, Ibn Hazm berlebihan
dengan menukil kononnya ulama telah berijmak bahawa
peristiwa itu terjadi pada bulan Rabiul Awal. Dakwaan
ijmak ini tertolak kerana terdapat perselisihan yang
banyak, iaitu lebih dari sepuluh pendapat." – Rujuk
Kitab Fath al-Bari, jil. 19, ms. 305-306 ketika beliau
mensyarah hadis Shahih al-Bukhari no. 3887 & 3888.

Seterusnya al-Hafiz Ibn Hajar menyebutkan pendapat
para ulama tersebut satu pesatu. Antara ringkasannya
ialah:

1.      Berlaku setahun sebelum hijrah, iaitu pada bulan
Rabiul Awal. Ini adalah pendapat Ibn Sa'd dan
selainnya. Pendapat ini dibenarkan oleh Imam
al-Nawawi.

2.      Tarikh peristiwa ini berlaku ialah lapan bulan
sebelum hijrah, iaitu pada bulan Rejab. Ini menurut
pendapat Ibn Hazam. Katanya: Ia berlaku pada bulan
Rejab tahun ke 12 kenabian.     

3.      Ia berlaku enam bulan sebelum hijrah, iaitu pada
bulan Ramadan. Pendapat ini disampaikan oleh Abu
al-Rabie’ bin Saalim.

4.      Ia berlaku 11 bulan sebelum hijrah, iaitu pada
bulan Rabiul Akhir. Ini pendapat Ibrahim bin Ishaq
al-Harbiy. Katanya: Ia berlaku pada bulan Rabiul
Akhir, setahun sebelum hijrah. Pendapat ini dibenarkan
Ibn al-Munayyir di dalam Syarh al-Sirah karya Ibn
Abdul Bar.
5.      Setahun dua bulan sebelum hijrah. Pendapat ini
disampaikan oleh Ibn Abdul Bar.

6.      Setahun tiga bulan sebelum hijrah. Pendapat ini
disampaikan oleh Ibn Faaris.

7.      Setahun lima bulan sebelum hijrah. Ini adalah
pendapat al-Suddiy.

8.      Lapan belas bulan sebelum hijrah dan jatuh pada
bulan Ramadan. Pendapat ini disampaikan Ibn Saad, Ibn
Abi Subrah dan Ibn Abdul Bar. 

9.      Berlaku pada bulan Rejab tiga tahun sebelum hijrah.
Pendapat ini di sampaikan Ibn al-Atsir. 

10.     Lima tahun sebelum hijrah. Ini menurut pendapat
Imam al-Zuhriy dan dibenarkan oleh al-Qadhi ‘Iyaadh’. 

Justeru itu dapatlah kita fahami bahawa sebenarnya
tidak ada dalil yang tegas menunjukkan bila tarikh
sebenar terjadinya peristiwa Israk dan Mikraj ini.
Bahkan, Imam Abu Syamah al-Syafie r.h menegaskan:
 
        "Sebahagian ahli cerita menyebut bahawa Israk dan
Mikraj terjadi pada bulan Rejab. Dalam hal ini,
menurut ahli al-Jarh wa al-Ta’dil (ulama hadis) hal
itu merupakan pembohongan.” – Rujuk Kitab al-Ba’its
karya Abu Syamah Abdul Rahman bin Ismail, ms. 171.


PENGAJARAN DARI PERSELISIHAN INI

        Apa kepentingannya untuk membawa perbezaan pendapat
tentang tarikh peristiwa Israk dan Mikraj ini?
Tidakkah ia hanya akan menimbulkan kekeliruan? Bagi
penulis, apabila kita ingin menyampaikan ilmu
berkaitan agama kita hendaklah berlaku adil dan
memastikan kesahihan fakta. Walaupun sesuatu perkara
yang ingin kita sampaikan itu bertentangan dengan
pandangan majoriti masyarakat setempat. Namun, kita
tetap mesti bersifat amanah demi menjaga ketulenan
agama. Pengajaran yang dapat kita ambil dari
pendedahan ini adalah:

1.      Kita perlu mempertingkatkan kefahaman kita terhadap
agama ALLAH. Jangan kita menelan bulat-bulat apa yang
disuapkan oleh pihak lain terhadap kita. Kita harus
berusaha bersungguh-sungguh untuk memahami ajaran
sebenar Rasulullah s.a.w agar dapat membezakan antara
perkara hak dan batil. Hal ini hanya dapat
direalisasikan melalui kesungguhan kita dalam
mempelajari ilmu-ilmu agama. Ketahuilah bahawa
menuntut ilmu itu diwajibkan ke atas setiap Muslim. 

Sabda Nabi s.a.w:

"Menuntut ilmu adalah wajib ke atas setiap muslim." -
Hadis riwayat Imam Ibn Majah di dalam Sunannya, no:
220.

ALLAH juga meninggikan darjat mereka yang memiliki
ilmu melalui firman-NYA:

"ALLAH akan meninggikan kedudukan orang-orang yang
beriman antara kamu dan orang-orang yang diberikan
ilmu pengetahuan beberapa darjat." – Surah
al-Mujadilah: 11.

Ini merupakan ganjaran paling besar bagi mereka yang
berusaha bersungguh-sungguh mempelajari apa jua bidang
ilmu terutamanya ilmu-ilmu berkaitan agama. Sekiranya
kita hanya berpuas hati dengan ilmu agama yang telah
dipelajari ataupun yang telah kita warisi secara
turun-temurun tanpa mempunyai niat untuk
mempertingkatkannya, natijahnya  kita hanya berpegang
kepada pendapat bahawa tarikh peristiwa Israk dan
Mikraj tersebut berlaku pada malam 27 Rejab kononnya
menurut ijmak para ulama. 

Oleh itu, dalami ilmu agama dari sumber sahih
bersumberkan al-Quran dan sunnah menurut fahaman
generasi salafussoleh. Siapakah generasi salafussoleh?
Mereka adalah generasi terbaik bagi umat Islam
sebagaimana sabda Nabi s.a.w:

"Sebaik-baik generasi ialah generasiku (sahabat),
kemudian orang-orang yang sesudahnya (tabi’in) dan
kemudian orang-orang yang sesudahnya (tabi’
al-Tabi’in)." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam
Sahihnya, no: 3650.

Inilah manhaj sebenar ahli sunnah wal jamaah, iaitu
mereka yang berpegang teguh dengan al-Quran dan sunnah
dan mengikuti semua ajaran yang di bawa oleh
Rasulullah s.a.w sama ada berupa iktikad, ibadah,
muamalah atau akhlak sebagaimana yang difahami dan
dilaksanakan oleh generasi salafussoleh  dan para
pengikut mereka hingga ke hari ini.

2.      Apabila tarikh sebenar terjadinya peristiwa Israk
dan Mikraj tidak diketahui secara jelas oleh generasi
salafussoleh, ini menunjukkan bahawa mereka tidak
mengkhususkan apa-apa upacara sambutan atau amal
ibadah tertentu seperti puasa, solat, bacaan wirid
mahupun doa yang khusus sempena tarikh tersebut. 

Ada golongan yang lebih ekstrem beranggapan bahawa
beribadah pada malam 27 Rejab ini adalah lebih utama
berbanding ibadah pada malam lailatulqadar. Sekiranya
terdapat amalan khusus sempena peristiwa Israk dan
Mikraj tentu generasi salafussoleh mengetahui dengan
pasti tentang bila sebenarnya ia berlaku sebagaimana
amalan sunnah lain yang ditentukan waktu amalannya
seperti puasa ‘Asyura pada tarikh 9 dan 10 Muharram,
puasa pada hari-hari 'putih', iaitu pada tarikh 14, 15
dan 16 setiap bulan, beribadah pada malam
lailatulqadar yang boleh berlaku pada mana-mana malam
ganjil pada 10 malam terakhir bulan Ramadan dan
lain-lain lagi. 

Ini semua hanya memperlihatkan bahawa tidak terdapat
amalan khusus sempena peristiwa Israk dan Mikraj.
Sekiranya memperingati malam Israk dan Mikraj dengan
ibadah tertentu itu disyariatkan serta membawa
kebaikan di dunia mahupun akhirat, tentu sekali orang
pertama yang akan melaksanakannya adalah Rasulullah
s.a.w, para sahabat serta generasi salafussoleh  yang
lain. 

Namun, tidak ada satu riwayat yang sahih daripada
baginda, para sahabat serta generasi salafussoleh
termasuk imam-imam mazhab seperti Imam Abu Hanifah,
Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Ahmad tentang
wujudnya amal-amal ibadah tertentu sempena malam Israk
dan Mikraj. 

Menurut Syeikh Muhammad Abdul Salam Khadr al-Syaqiry
r.h:

"Pembacaan kisah al-Mikraj dan berkumpul untuk
merayakannya pada malam 27 Rejab adalah bid'ah.
Sementara oang yang mengistimewakan malam tersebut
dengan zikir dan ibadah adalah bid'ah. Doa-doa yang
khusus dibaca pada bulan Rejab, Syaaban dan Ramadan
hanyalah ciptaan manusia dan bid'ah. Sekiranya
amalan-amalan tersebut baik, sudah pasti para sahabat
telah melakukannya terlebih dahulu. Juga tidak ada
dalil pasti yang menetapkan bilanya terjadi peristiwa
Israk dan juga bulannya." - Rujuk Kitab al-Sunan wa
al-Mubtada’at karya Syeikh Muhammad Abdul Salam Khadr
al-Syaqiry (edisi terjemahan bertajuk Bid'ah -Bid'ah 
yang Dianggap Sunnah), ms. 153-154.

3.      Ulama ahli sunnah wal jamaah melihat pentingnya
sentiasa berpegang teguh dengan sunnah Nabi s.a.w
dalam melakukan amal ibadah. Setiap amalan yang tidak
ada contohnya daripada Nabi s.a.w, ia tertolak
walaupun dianggap baik.
 
Para ulama ahli sunnah wal jamaah telah menetapkan
satu kaedah asas dalam menentukan sama ada amal ibadah
kita diterima atau ditolak oleh ALLAH iaitu ibadah
tersebut hendaklah dikerjakan semata-mata ikhlas
kerana ALLAH dan mengikuti (ittiba’) sunnah Nabi
s.a.w. yang tsabit.  

Firman ALLAH S.W.T:

"DIAlah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup
(kamu)  untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu;
siapakah antara kamu yang lebih baik amalnya dan DIA
Maha Berkuasa (membalas amal kamu) lagi Maha Pengampun
(bagi orang-orang yang bertaubat)." – Surah al-Mulk:
2.

Maksudó ‘yang lebih baik amalnya’ adalah sebagaimana
tafsiran Fudhail bin ‘Iyaadh r.h, iaitu:

"Yang paling ikhlas dan yang paling benar. Mereka
bertanya: Wahai Ali (nama gelaran untuk Fudhail bin
‘Iyaadh), apakah yang dimaksudkan dengan yang paling
benar dan yang paling ikhlas? Jawab Fudhail bin
‘Iyaadh: Sesungguhnya amal itu apabila dikerjakan
dengan ikhlas akan tetapi tidak benar nescaya tidak
akan diterima dan apabila amal itu dikerjakan dengan
benar tetapi tidak ikhlas nescaya tidak akan diterima
sehingga amal itu dikerjakan dengan ikhlas dan benar.
Yang dimaksudkan dengan ikhlas ialah amal itu kerana
ALLAH dan yang dimaksudkan dengan benar ialah amal itu
di atas dasar sunnah.” - Dinukil daripada Kitab
al-Masaa-il (Masalah-Masalah Agama), karya Abdul Hakim
bin Amir Abdat, jil. 2, ms. 258.

Berlandaskan pada kaedah ini maka para ulama ahli
sunnah wal jamaah menolak untuk mengkhususkan amalan
tertentu pada malam 27 Rejab sempena peristiwa Israk
dan Mikraj kerana Nabi s.a.w tidak pernah
memerintahkan umatnya untuk melakukannya. 

Tidak dapat dinafikan lagi bahawa peristiwa Israk dan
Mikraj merupakan tanda kebesaran ALLAH dan ia
membuktikan betapa tingginya darjat sayyidul mursalin
(penghulu segala rasul), iaitu Muhammad bin Abdullah
s.a.w. 

Firman ALLAH S.W.T:

"Maha Suci ALLAH yang telah menjalankan hamba-NYA
(Muhammad) pada malam hari dari masjidilharam (di
Makkah) ke masjidilaqsa (di Palestin, yang KAMI
berkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya
tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) KAMI.
Sesungguhnya ALLAH jualah yang Maha Mendengar lagi 
Maha Mengetahui." – Surah al-Israa’: 1.

Melalui peristiwa tersebut terdapat begitu banyak
pelajaran yang begitu bermanfaat yang tidak selayaknya
sekiranya ia hanya ingin diketengahkan pada tarikh 27
Rejab. Mari kita perhatikan beberapa pegajaran penting
dari peristiwa tersebut secara ringkas:

a.      Ia membatalkan fahaman bahawa ALLAH berada di
mana-mana sebagaimana iktikad kelompok menyeleweng
seperti Muktazilah dan Jahmiyah. Melalui peristiwa ini
Nabi Muhammad s.a.w telah di angkat ke atas langit
untuk bertemu dengan ALLAH. Ini membenarkan iktikad
bahawa ALLAH bersemayam di atas ‘Arasy yang terletak
di atas langit sebagaimana Firman-NYA sendiri:

"ALLAH yang menciptakan langit dan bumi serta segala
yang ada di antara keduanya dalam enam masa, kemudian
DIA bersemayam di atas Arasy; kamu tidak akan beroleh
sebarang penolong dan pemberi syafaat selain daripada
ALLAH. Oleh itu, tidakkah kamu mahu insaf dan
mengambil iktibar (untuk mencapai keredhaan-NYA)?." -
Surah al-Sajadah (32) : 4.

Iktikad ini juga telah disepakati oleh imam-imam
mazhab yang empat termasuk Imam Syafie r.h. Imam
al-Zahabi r.h telah menyebutkan di dalam kitabnya
al-‘Uluw li al-‘Aliy al-Ghaffar bahawa Imam Syafie r.h
pernah berkata:
        
“Pendapatku tentang sunnah, di mana aku berpegang
kepadanya dan juga sebagaimana ia menjadi pegangan
orang-orang yang aku lihat seperti Sufyan, Malik dan
lain-lain, iaitu pengakuan terhadap persaksian bahawa
tiada TUHAN selain ALLAH dan sesungguhnya Muhammad
adalah Rasulullah serta beriktikad bahawa ALLAH itu
berada di atas Arasy-NYA yang terletak di atas
langit-NYA.” - Rujuk kitab Manhaj al-Imam asy-Syafi’i
Rahimahullah Ta’ala fi Itsbat al-Aqidah (edisi
terjemahan dengan tajuk Manhaj Akidah Imam al--Syafie)
karya Dr. Muhammad A.W. al-‘Aqil, ms. 282.

b.      Melalui peristiwa inilah ALLAH telah memfardukan
ibadah solat sebanyak lima waktu sehari. Ini
membuktikan keagungan serta keistimewaan ibadah solat
ini berbanding dengan ibadah-ibadah lain. Tidak
seperti ibadah lain, kewajipan ibadah solat diwahyukan
terus kepada Nabi Muhammad s.a.w pada malam berlakunya
peristiwa Israk dan Mikraj tanpa melalui perantaraan
malaikat Jibril.

c.      Peristiwa ini juga membuktikan bahwa Rasulullah
s.a.w memilki status yang lebih tinggi berbanding
rasul-rasul yang lain. Ketika Israk baginda telah
menjadi imam kepada semua para Nabi dan Rasul, iaitu
mengerjakan solat dua rakaat di dalam Masjidilaqsa.
Oleh itu, sewajarnya kita taat kepada ajarannya serta
menghindari segala larangannya.

d.      Rasulullah s.a.w juga telah diperlihatkan balasan
ngeri yang dikenakan kepada penghuni neraka yang
melakukan dosa-dosa besar seperti mengumpat dan
manusia yang menyeru ke arah kebaikan namun dia
sendiri tidak mengamalkannya. 

e.      Rasulullah s.a.w juga telah diperlihatkan keindahan
syurga melalui peristiwa ini dan ia boleh dijadikan
sumber motivasi untuk kita melakukan perkara-perkara
yang makruf.

f.      Melalui peristiwa ini juga kita dapat mempelajari
nilai-nilai murni yang terdapat dalam diri para
sahabat. Ketaatan serta keyakinan tanpa
berbelah-bahagi kepada Rasulullah s.a.w jelas
kelihatan di dalam jiwa mereka apabila menerima berita
yang dianggap tidak munasabah oleh golongan musyrik
Makkah. Ketika dikhabarkan berita ini walaupun
dianggap tidak logik oleh golongan musyrikin, namun
Abu Bakar r.a hanya menjawab:

"Sesungguhnya aku telah membenarkan baginda terhadap
apa yang lebih jauh dari ini. Aku membenarkan baginda
terhadap berita dari langit yang baginda bawa." -
Hadis riwayat al-Hakim di dalam al-Mustadrak.

Jawapan daripada Abu Bakar al-Shiddiq tentang
peristiwa ini menunjukkan keyakinan serta ketaatan
tanpa berbelah-bahagi kepada baginda. Walaupun baginda
telah lama wafat, namun umat Islam pada zaman ini
masih boleh menunjukkan ketaatan yang sama sebagaimana
amalan generasi para sahabat dengan mematuhi segala
perintah Rasulullah s.a.w dan menghindari segala
larangan. Selain itu, setiap umat Islam perlu
mengamalkan segala sunnahnya dan menjauhkan segala
bentuk amalan bid'ah, syirik, khurafat dan perkara
lain yang membawa kepada kekufuran.

Perkara-perkara yang telah penulis gariskan di atas
merangkumi hal-hal berkaitan akidah, ibadah, muamalah
serta akhlak yang amat penting dan ia memerlukan
penjelasan yang berterusan terhadap umat Islam
keseluruhannya agar ianya dapat meresap dalam jiwa
setiap umat Islam. 



       
____________________________________________________________________________________
Sick sense of humor? Visit Yahoo! TV's 
Comedy with an Edge to see what's on, when. 
http://tv.yahoo.com/collections/222

Kirim email ke