Detikdaily
Sehingga terpaksa mengadu kepada Tengku Mahkota Johor
Posted on Wednesday, August 22 @ 22:03:45 CDT by reformis
Oleh Roslan SMS
Saya yakin Othman Ahmad tidak pernah meminta nasib sebegini. Tetapi Allah swt
mentakdirkan demikian. Beliau yang dari Kampung Jawa, Segamat bekerja sebagai
seorang buruh kontrak. Pendapatannya sekadar RM500 sebulan. Anaknya pula Mohd
Amirul, 16 tahun lumpuh sejak lahir. Dalam usia 16 tahun berat badan Amirul
sekadar 25 kg.
Bayangkan bagaimana beliau menyara hidup keluarganya dengan 5 orang anak dalam
keadaan begitu? Beliau mencuba mendapatkan bantuan dari Jabatan Kebajikan
Masyarakat untuk meringankan bebannya menyara anak yang cacat itu. JKM
meluluskan bantuan sekadar RM65 sebulan. RM65 ini saya kira bagi
setengah-setengah keluarga adalah belanja makan anak-beranak satu malam di
restoran biasa, dan Othman terpaksa terpaksa mengunakan jumlah itu untuk
pakaian, makan-minum anaknya yang cacat untuk sebulan!
Selain itu beliau terpaksa pula menyewa rumah di Taman Jenalik, Kampung Jawa,
dan dikenakan sewa RM200 sebulan. Kata beliau usaha untuk mendapatkan rumah
mesra rakyat (untuk golongan miskin) di Segamat tidak mendapat perhatian
sehingga sekarang.
Tidak sampai 10 hari lagi kita akan merayakan ulangtahun kemerdekaan negara
yang ke 50. Bumi bertuah ini telah jatuh ke tangan anak bangsa sudah 5 dekad.
Tiada lagi penjajah, tiada lagi kuasa asing. Namun rupanya masih ada anak
bangsa yang melarat sebegini rupa.
Lalu apabila Konvoi Malaysia Gemilang 50 Tahun Merdeka 2007 diketuai DYTM
Tengku Mahkota Johor, Tengku Ibrahim Ismail, mengunjungi kawasannya semalam,
Othman mendukung anaknya Amirul untuk mengadu hal dan keperitan hidupnya terus
kepada Tengku Mahkota sendiri.
Saya yakin Tengku Mahkota Johor turut bersimpati dengan nasib Othman walaupun
akhbar Utusan yang memaparkan kisah ini tidak memaklumkan apakah yang telah
disumbangkan oleh kerabat Johor ini kepadanya.
Kesimpulannya anak bangsa yang diberi kuasa memerintah sejak 50 tahun lalu
masih ada yang lupa asal usul mereka. Perjuangan kemerdekaan kita dahulu bukan
sekadar membebaskan negara ini dari cengkaman penjajah, kerana hakikatnya
British dahulu tidak zalim terhadap anak-anak jajahannya sehingga mereka lapar
dan kebulur. Mereka sekadar memunggah kekayaan negara untuk kepentingan mereka.
Kerana itu kita berjuang menuntutu kemerdekaan kerana kita mahu menentukan
nasib kita sendiri. Kekayaan dan hasil mahsul negara akan kita urus sendiri
utnuk manfaat anak bangsa.
Kes Othman ini membuktikan rupanya kita masih gagal. Pihak istana yang wujud
sejak beratus tahun sebelum Merdeka jugalah akhirnya tempat rakyat mengadu
nasib. Semoga pintu pagar istana akan terus terbuka untuk mendengar hiba dan
tangis rakyat dalam keadaan pagar-pagar PM dan MB serta wakil-wakil rakyat
tertutup rapat.
---------------------------------
Sick sense of humor? Visit Yahoo! TV's Comedy with an Edge to see what's on,
when.