The Little Khalifah Shop pusat aktiviti Islamik  
http://utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2007&dt=0824&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm
   
        
        
---------------------------------
    TENTU ramai yang tidak sanggup meninggalkan kerusi empuk, bilik berhawa 
dingin dan gaji lumayan, hanya kerana ingin menceburi satu bidang yang diakui 
mencabar dan berisiko tinggi iaitu dunia perniagaan. 
   
  Namun, tidak bagi pemilik tunggal The Little Khalifah Shop, Roslinah Daud 
yang mengambil keputusan muktamad berhenti kerja dan melepaskan segala 
keistimewaan bergelar pengurus operasi sebuah syarikat kewangan pada November 
2006 demi menguruskan perniagaannya secara sepenuh masa, sekali gus 
merealisasikan impian mewujudkan generasi perubah (transforming generation) 
seiring dengan landasan Islam. 
   
  Wawancara wartawan ZUARIDA MOHYIN dan jurufoto NOOR AZLINA JAAFAR dengan 
Roslinah, 36, di The Little Khalifah Shop yang terletak di 2750A, Mezzanine 
Floor, Jalan Changkat Permata, Taman Permata, Ulu Klang, Kuala Lumpur cuba 
berkongsi iltizamnya dalam memenuhi peranan setiap manusia sebagai Khalifah 
Allah di muka bumi ini.
   
  UTUSAN MALAYSIA: Bagaimanakah The Little Khalifah Shop bermula dan terangkan 
serba ringkas tentang perniagaan yang diusahakan?
   
  ROSLINAH: The Little Khalifah Shop telah ditubuhkan pada November 2003 
sebagai kedai buku agama kanak-kanak siber. Kemudian, ia telah dibuka secara 
fizikal pada Mei 2004 atas permintaan yang tinggi dan juga sambutan yang baik. 
Pada Julai 2006, kami telah berpindah dari Wangsa Maju ke lokasi sekarang iaitu 
di Taman Permata, Ulu Klang.
   
  The Little Khalifah Shop ialah sebuah kedai yang menyediakan platform dan 
bahan-bahan untuk kanak-kanak Islam yang mana dapat membantu ibu bapa dalam 
mendidik anak-anak menjadi seorang Muslim yang sebaiknya serta memenuhi 
tanggungjawab mereka sebagai Khalifah Allah. Jadi, kesemua bahan yang terdapat 
di sini adalah berlandaskan Islam atau nilai moral yang baik, sama ada buku, 
beg, pin, permainan atau pun pakaian.
   
  Alhamdulillah, kini ia telah berkembang di mana aktiviti-aktiviti kanak-kanak 
Islam juga diadakan. Antaranya; Sesi Bercerita Islamik (Islamic Story Telling), 
Seni Kraftangan (Art Attack Style) yang berlandaskan cerita Islamik, Kelas 
Memasak Kanak-kanak, Kelas Menjahit Kanak-kanak, Kelas Solat, Bengkel Sains dan 
sebagainya.
   
  Terkini, kami juga telah membuka sebuah butik untuk kanak-kanak serta ibu 
Muslimah yang menyediakan pakaian-pakaian menutup aurat seperti baju mandi 
Muslimah, baju kanak-kanak yang lengkap dengan tudung serta kemeja T labuh 
untuk ibu serta kanak-kanak perempuan.
   
  UTUSAN MALAYSIA: Mengapa perniagaan ini yang dipilih dan tidak kepada bentuk 
perniagaan lain?
   
  ROSLINAH: semuanya bermula selepas berjumpa dengan seorang pakar psikologi 
kanak-kanak terkenal, Allahyarham Professor Muhammad Al-Mahdi. Beliau telah 
mencetuskan idea-idea pembentukan keperibadian cemerlang di dalam diri anak 
melalui Projek Khalifah. 
  Beliau telah meyakinkan kami bahawa keadaan masyarakat sekarang yang semakin 
merosot dari segi pembangunan sosial dan akhlaknya dapat dipulihkan dengan 
membekalkan mereka dua perkara asas iaitu; pandangan dunia yang betul dan tepat 
yang berlandaskan al-Quran dan sunah serta pengetahuan mengenai Hukum 
Pembelajaran, iaitu bagaimana pemikiran dan keperibadian seseorang insan itu 
terbentuk.
  Rentetan dari situ maka kami telah mengasaskan The Little Khalifah Shop untuk 
mengembangkan Projek Khalifah dengan tujuan untuk merealisasikan idea ini 
dengan lebih cepat dan efektif serta mewujudkan generasi per ubah (transforming 
generation). Kami yakin dengan penubuhan The Little Khalifah Shop, ia dapat 
menyediakan platform bagi ibu bapa dan kanak-kanak secara terus dan dengan 
kaedah yang menyeronokkan. Kami juga merasakan ini adalah tuntutan fardu 
kifayah untuk membuka kedai yang menjual barangan untuk kanak-kanak Islam 
kerana belum ada lagi kedai seumpama itu sebelum ini.
   
  UTUSAN MALAYSIA: Apakah usaha yang dijalankan untuk mengembangkan lagi 
perniagaan atau perancangan akan datang?
   
  ROSLINAH: The Little Khalifah Shop ditubuhkan atas dasar kasih sayang ke atas 
semua kanak-kanak serta atas dasar ingin memberi sesuatu yang cantik dan baik 
kepada anak-anak Muslim. Ia merupakan satu sumbangan kecil kami kepada ummah 
dan kami berharap ibu bapa akan terus memberikan sokongan di atas usaha dan 
aktiviti kami supaya kami dapat mengembangkan lagi kedai kami untuk menjadi 
sebuah pusat sehenti (one-stop-center) bagi ibu bapa mendapatkan bahan-bahan 
untuk anak-anak mereka supaya mereka boleh membesar menjadi seorang Khalifah 
Allah yang baik.
  Sejajar dengan matlamat kami, The Little Khalifah Shop kini telah dibahagikan 
kepada 6 divisyen: 
  *Kedai Buku Little Khalifah 
  *Butik Little Khalifah 
  *Kedai Alat Tulis Little Khalifah 
  *Kedai Audio/Video Little Khalifah
  *Kedai Mainan Little Khalifah 
  *Pusat Aktiviti Little Khalifah
   
  Pada 9 Ogos lalu, kami juga telah mencapai satu lagi kejayaan di mana kami 
telah menyediakan perkhidmatan secara online untuk memberi peluang kepada 
mereka yang tidak dapat datang ke kedai kami. Orang ramai boleh mengunjungi 
gedung membeli belah keluarga yang diwujudkan secara maya di laman web kami 
www.littlekhalifahshop.com untuk membeli bahan-bahan dari kedai kami.
   
  Pada masa akan datang pula, kami juga bercadang membuka Kafe Little Khalifah 
di mana kami berharap dapat menyediakan makanan yang enak dan berkhasiat untuk 
anak-anak.
   
  UTUSAN MALAYSIA: Apakah cabaran yang dihadapi dalam bidang ini dan bagaimana 
anda mengatasinya?
   
  ROSLINAH: Cabaran yang dihadapi dalam bidang ini adalah menyebarkan maklumat 
mengenai The Little Khalifah Shop kepada ibu bapa agar mereka dapat menggunakan 
fasiliti atau bahan yang telah kami sediakan di dalam proses pembangunan insan 
anak-anak mereka. 
   
  Bagi mengatasi cabaran ini, kami sentiasa mencari peluang-peluang atau 
saluran-saluran yang baru untuk menyampaikan mesej baik ini. Buat masa ini, 
kami menyebarkan maklumat melalui e-mel, laman web kami di 
www.littlekhalifahshop.com, keahlian percuma The Little Khalifah Club, SMS dan 
juga sebaran mulut ke mulut.
   
  UTUSAN MALAYSIA: Kepuasan bagaimanakah yang diperoleh dalam bidang ini?
   
  ROSLINAH: Kepuasan yang diperoleh di sini merangkumi segala aspek daripada 
keluarga, kawan-kawan, masyarakat dan juga ekonomi. Di sini, saya dapat melihat 
impak hasil kerja kami secara langsung kepada kanak-kanak tersebut di dalam 
menjalankan tanggungjawab mereka sebagai Khalifah Allah dan juga kepuasan 
apabila mengetahui bahawa kami telah menyumbang sedikit usaha sebagai permulaan 
arus perubahan merealisasikan generasi perubah (transforming generation). 
Insya-Allah. 
   
  UTUSAN MALAYSIA:  Sebagai seorang korporat Muslim, bagaimana pandangan anda 
mengenai saranan Islam iaitu 9/10 punca rezeki adalah melalui perniagaan. 
Ulaskan?
   
  ROSLINAH: Saranan ini sangat bertepatan dengan kajian dan konsep tentang 
ekonomi Islam berbanding dengan ekonomi konvensional. Asas ekonomi Islam adalah 
perniagaan (Bai') berbanding dengan ekonomi konvensional ia itu penabungan. 
Oleh itu, galakan berniaga adalah tunggak bagi menjayakan ekonomi Islam yang 
mana ia dapat menjanjikan keadilan kewangan kepada masyarakat. 
  
   
  UTUSAN MALAYSIA:  Alhamdulillah dengan kejayaan yang dicapai, bagaimana pula 
sumbangan anda kepada orang terdekat dan mereka yang berada di sekeliling? 
   
  ROSLINAH: Saya berharap dengan memulakan riak-riak kecil arus perubahan minda 
kepada ibu bapa dan anak-anak amnya, orang terdekat dan mereka yang berada di 
sekeliling juga akan merasa dan mengikuti arus per ubahan minda yang menjurus 
ke arah kebaikan. 
  Hakikatnya, semua orang mampu melakukan perubahan dan sekiranya masyarakat 
bersatu dan menyumbang sedikit tenaga dan usaha, insya-Allah, ia mampu 
membentuk gelombang yang lebih besar yang dapat merealisasikan usaha menjadikan 
dunia ini lebih baik pada masa akan datang.

       
---------------------------------
 Yahoo! Answers - Get better answers from someone who knows. Tryit now.

Kirim email ke