- Pendahuluan
 - Hukum halal dan haram yang berkait dengan kehidupan
 sehariannya
 - Ilmu akhlak dan adab
 - Pendekatan belajar pada masa kini
 - Apa yang wajib diawasi
 - Belajar melalui pembacaan
 - Buku yang paling merbahaya

 Soalan:
 Apakah ilmu syarak yang setiap muslim pada masa kini
 wajib tahu dan bagaimanakah cara untuk mempelajarinya?

 Jawab Syeikh Dr Yusuf Al-Qardhawi:

 Pendahuluan:
 Bismillahir Rahmanir Rahim, Wassalatu wassalam eala
 Rasulillah:

 Setiap muslim hendaklah mempelajari hukum-hakam
 Bersuci dan Solat, Zakat – bagi orang yang kaya- dan
 Puasa. Dia juga hendaklah tahu tentang hukum halal dan
 haram dalam perkara makan, minum, pakaian, perhiasan
 kehidupan dan sebagainya.

 Dia boleh mempelajarinya melalui kaset, CD atau VCD
 dan buku-buku agama masa kini. Juga, dia boleh
 mendapatkannya dengan memanfaatkan kemudahan internet
 tetapi dia perlu memastikan latar belakang orang alim
 tersebut. Dia hendaklah seorang yang menguasai bidang
 Fiqh dan Hadis, Maqasid Syariah, luas pengetahuannya
 dalam pelbagai mazhab Salaf dan Khalaf, lebih
 cenderung ke arah memudahkan –ketika terdapat dalil-
 dari menyusahkan dan menyempitkan.

 Hendaklah juga seorang muslim itu mempelajari hukum
 Islam dan syariatnya mengikut keperluannya, seperti
 hukum-hakam Bersuci dan solat seharian iaitu solat
 fardhu lima waktu dan solat mingguan iaitu Solat
 Jumaat yang wajib atas setiap lelaki muslim. Yang
 diperlukan hanyalah cukup tahu tentang perkara-perkara
 asas bukan masalah-masalah yang pelik, yang jarang
 berlaku dan pendetailan yang perlu ditinggalkan
 permasalahan tersebut kepada para ulama yang khusus
 dalam bidangnya.

 Contohnya, seorang muslim hendaklah tahu tentang
 hukum-hakam Puasa sebelum datangnya bulan Ramadhan,
 hukum-hakam Zakat apabila cukup nisabnya, mengikut
 keperluannya, seperti seorang peniaga perlu
 mempelajari Zakat Perniagaan dan dia tidak dituntut
 untuk tahu tentang Zakat Ternakan, Pertanian dan
 Tanaman. Jika dia sudah berkemampuan untuk mengerjakan
 Haji maka dia perlu tahu tentang hukum-hakam yang
 penting tentang Haji.

 Hukum Halal dan Haram yang berkait dengan kehidupan
 seharian:
 Dia juga hendaklah mengambil tahu tentang perkara
 halal dan haram yang berkait dengan kehidupan
 sehariannya seperti makan, minum, pakaian, perhiasan
 hidup, rumah, kerjaya dan tatacara hidup berkeluarga
 dan bermasyarakat. (Kami telah menjelaskannya dalam
 buku kami gHalal dan Haram dalam Islamh yang telah
 diulang cetak lebih dari 50 kali dalam Bahasa Arab dan
 telah diterjemahkan ke pelbagai bahasa,
 alhamdulillah).

 Setiap muslim perlu mengetahui hukum-hakam yang
 berkait dengan dirinya. Seorang pemimpin mesti tahu
 hukum-hakam kepimpinan, seorang peniaga mesti tahu
 hukum-hakam perniagaan, seorang doktor mesti tahu
 hukum-hakam perubatan, seorang suami mesti tahu hak
 dan kewajipan suami-isteri, begitu juga isteri,
 seorang bapa mesti tahu hukum-hakam berkaitan
 keibubapaan dan pendidikan anak, begitu juga ibu.. dan
 begitulah seterusnya.

 Ilmu akhlak dan adab:
 Setiap muslim wajib mempelajari ilmu akhlak dan adab
 yang dapat mendisiplinkan tingkah lakunya dengan
 kaedah syarak. Maka dia tidak meninggalkan apa yang
 Allah perintahkan kepadanya dan dia tidak melakukan
 apa yang Allah larang kepadanya, menghiasi peribadinya
 dengan akhlak mulia dan meninggalkan sikap yang buruk.

 Dia boleh mempelajari ilmu ini sama ada dengan berguru
 dan mendengar daripada orang alim yang dipercayai dari
 segi ilmu dan taqwanya serta mempunyai kefahaman yang
 jelas dalam agama dan kehidupan realiti semasa.

 Inilah cara dan kaedah yang perlu diketahui oleh orang
 awam dan tidak ada pilihan yang lain. Dia hanya perlu
 memilih orang alim mana yang dia hendak belajar
 daripadanya.

 Orang Islam perlu membezakan di antara orang alim
 sebagai penceramah yang boleh diambil daripadanya
 pelbagai nasihat dan peringatan dan orang alim yang
 faqih yang boleh diambil daripadanya hukum-hakam
 syarak. Maka bukanlah setiap penceramah dan pemberi
 nasihat, atau alim dalam tafsir dan hadis, boleh
 dipercayai dari segi kefaqihannya dan fatwanya.

 Sesungguhnya Allah telah membahagikan kelebihan dan
 kemampuan antara setiap manusia, kecuali bagi sesiapa
 yang Allah telah anugerahkan kelebihan dan kemampuan
 dalam pelbagai cabang ilmu, dan bilangan mereka ini
 hanyalah sedikit.

 Ramai orang awam yang keliru dalam hal ini. Mereka
 sangka semua yang pandai berceramah itu faqih dalam
 hukum-hakam syarak, maka mereka pun bertanyakan para
 penceramah ini permasalahan yang rumit, kemudian
 menjawab persoalan mereka ini berdasarkan ilmu yang
 cetek, maka mereka telah melakukan kesalahan yang
 banyak dan besar, tanpa mereka sedari. Kalau mereka
 insaf, mereka akan mengatakan: gTanyalah orang lain,
 kami tidak tahuh. Semoga Allah merahmati sesiapa yang
 sedar akan kemampuannya dan mengetahui batasnya.
 Sesungguhnya telah ada satu hadis yang sahih (Muttafaq
 eAlaih) yang menyuruh kita berhati-hati terhadap orang
 yang ditanya, kemudian diberi fatwa tanpa ilmu, mereka
 ini sesat dan menyesatkan orang lain.

 Pendekatan belajar pada masa kini
 Antara pendekatan belajar pada masa kini ialah dengan
 mendengar melalui kaset/cd, ianya merupakan pendekatan
 yang penting dan berkesan. Seseorang boleh
 menggunakannya dalam keadaan dia berada di dalam
 keretanya atau di tempat kerjanya, seorang wanita
 ketika berada di dapur dan selainnya tanpa perlu
 bersusah payah bagi tujuan selain pendengaran dan
 pemahaman yang memerlukan pada penumpuan.

 Selain itu, pada masa kini terdapat pelbagai rancangan
 agama yang disiarkan melalui televisyen dan radio, dan
 juga yang boleh didapati melalui video cd dan audio
 cd, maka seorang muslim itu hendaklah bijak dalam
 memilih kaset/cd yang sesuai untuk didengar. Tidak
 semua kaset/cd agama baik untuk didengar kerana
 sebahagian dari kaset/cd ini umpama makanan yang telah
 rosak dan tercemar. Hakikatnya, ianya lebih banyak
 membawa mudarat dari manfaat, dan meruntuhkan dari
 membina kerana ia tidak didasarkan pada disiplin
 ilmiah dan dalil-dalil syarak yang sahih.

 Kebanyakan dari kaset/cd seperti ini melampau dalam
 memberi peringatan tentang azab kubur dan azab hari
 akhirat, didasarkan atas metodologi menyusahkan dari
 memudahkan, menakutkan bukan menggembirakan, bukan
 seperti yang diperintahkan oleh Nabi SAW.

 Ada bapa yang menceritakan kepada saya tentang anak
 perempuannya yang bangun pada tengah malam dalam
 keadaan mengigau dan takut, dan ini berlaku sejak
 beberapa tempoh, sejak dia mendengar kaset yang
 melampau dalam menceritakan azab kubur termasuk apa
 yang terdapat di dalamnya dengan pelbagai binatang dan
 serangga yang berbahaya dan berbisa serta macam-macam
 lagi yang diperkatakan.

 Sebagai tambahan, pada masa kini terdapat kemudahan
 internet yang menyajikan pelbagai maklumat tentang
 Islam.

 Apa yang wajib diawasi
 Adalah menjadi satu kewajipan bagi kami untuk
 mengingatkan orang Islam supaya tidak mengambil ilmu
 agamanya melainkan daripada orang yang dipercayai dari
 segi ilmunya dan amalan agamanya dan tidak mengambil
 ilmu agama daripada sesiapa sahaja. Bahkan seorang
 muslim hendaklah menapis dan berhati-hati dalam
 mengambil ilmu agama dari pelbagai sumber. Bukan semua
 buku yang dicetak dan diterbitkan boleh dipercayai
 dari segi semakan ilmiahnya. Berapa banyak buku yang
 telah dicemari dengan perkara-perkara khurafat dan
 sesat. Antara yang perlu diawasi ialah: Israiliyat
 dalam Tafsir, hadis-hadis palsu yang direka sebagai
 Hadis Nabi, cerita dongeng dan kisah mimpi yang tidak
 logik yang disertakan sekali ketika memberi nasihat
 dan peringatan.

 Maka saya menasihatkan kepada setiap muslim yang
 mementingkan ilmu pengetahuan yang betul: Jangan
 mengambil sesuatu hadis melainkan daripada orang yang
 alim dalam hadis, bukan semua ulama dan penceramah
 tahu tentang perkara itu.

 Adalah baik juga dalam hal ini bagi seorang muslim
 untuk merujuk buku tentang hadis-hadis masyhur seperti
 gAl-Maqasid Al-Hasanahh oleh As-Sakhawi atau gKasyful
 Khafaf wa Mazilul Ilbas fi masytuhira minal hadis eala
 Alsinatin Nash oleh Al-Ajluni dan seumpamanya.

 Belajar melalui pembacaan
 Seorang muslim juga boleh belajar melalui pembacaan
 buku-buku karangan ulama yang dipercayai kerana setiap
 perkataan yang ditulis mempunyai nilai dan kesannya
 dalam memberi panduan dan menambah pengetahuan. Ia
 lebih panjang umurnya dan lebih kekal kesannya. Maka
 seorang muslim hendaklah bijak membezakan antara buku
 agama yang sesuai dibaca oleh orang awam dan buku
 agama yang sesuai dibaca oleh golongan yang khusus
 dalam bidang agama. Terlalu banyak buku yang dicetak
 saban tahun, baru atau lama, ada yang memberi manfaat
 dan ada yang memberi mudarat. Maka setiap orang
 hendaklah buang yang keruh dan ambil yang jernih.

 Telah berkata seorang bijak pandai: Anda adalah apa
 yang anda baca.

 Di sini kita mengingatkan tentang bahaya buku yang
 dibaca sepertimana bahaya kaset/cd yang didengar.

 Ada buku-buku yang memang diketahui kemudaratannya dan
 jelas bahayanya seperti buku-buku karangan golongan
 Atheis yang ingkar, ada buku-buku umpama meletakkan
 racun di dalam manisan seperti kebanyakan buku
 golongan sekular, Marxis dan seumpamanya yang boleh
 menyesatkan masyarakat Islam awam dari kebenaran dan
 memperelokkan yang sesat tanpa disedari.

 Buku yang paling merbahaya
 Antara buku yang paling merbahaya untuk dibaca ialah
 buku-buku agama yang tiada disiplin ilmiah, yang tiada
 dibuat editan dan semakan, penuh dengan kebatilan,
 terlalu banyak perkara-perkara melampau dan sesat,
 yang biasanya disasarkan kepada masyarakat awam, yang
 tidak mampu untuk membezakan di antara yang baik dan
 buruk.

 Termasuk juga: buku-buku yang ditulis oleh golongan
 zahir yang melampau dan keras dalam pendapat, yang
 seolah-olah mahu mengharamkan kepada manusia semua
 benda yang halal, dengan menggunakan pendekatan
 menyusahkan bukan memudahkan, menakutkan bukan
 mengembirakan.

 Sepatutnya diadakan satu pengawasan atau kawalan
 terhadap buku-buku dan terbitan yang disasarkan untuk
 masyarakat awam ini sepertimana pengawasan dan kawalan
 terhadap mutu dan kualiti makanan yang tercemar, rosak
 dan menjejaskan kesihatan. Saya yakin bahawa
 pencemaran pemikiran lebih berbahaya dari pencemaran
 tubuh badan.

 Selain itu, tidak semua orang ada kebolehan dalam
 membaca buku-buku klasik. Ia memerlukan kemahiran
 khusus untuk memahaminya kerana terdapat dalamnya
 istilah-istilah, perkara-perkara ilmiah yang
 berhubungan dengan pelbagai disiplin ilmu, sama ada
 dari segi bahasa, syarak dan mantiq, menyebabkan orang
 ramai terhalang dari memahaminya. Maka, hendaklah dia
 berguru dengan orang yang alim, yang dapat membuka
 kata kuncinya dan meletakkan sesuatu pada tempatnya
 yang betul. Barangsiapa yang membacanya seorang diri
 yang mana dia bukan ahlinya, diumpamakan orang yang
 berjalan di padang pasir tanpa penunjuk arah, ditakuti
 dia akan musnah atau hilang.

 Oleh itu, para ulama umat ini telah mengingatkan
 supaya tidak mengambil ilmu daripada golongan penulis
 yang hanya mendapat ilmu melalui pembacaan buku-buku
 sahaja tanpa pernah belajar di pusat-pusat ilmu,
 menjalani kehidupan bersama masyarakat di dalamnya,
 bergaul dengan para guru dan muridnya. Dengan sebab
 ini, sebahagian universiti pada masa kini mensyaratkan
 peratus kehadiran seorang pelajar ke kuliah tidak
 boleh kurang dari 75% dan tidak diiktiraf sebagai
 pelajar universiti tersebut jika tidak hadir ke
 kuliah.

 Artikel ini diterjemahkan dari sumber asal:
 www.qaradawi.net
 Fatwa bertarikh 21 September 2004.

[SUMBER]


Kirim email ke