Terlebih dahulu salam takziah buat Sdr Jazimin dan
Puan Norazian diatas pemergian anak kesayangannya
Nurin Jazlin, yang telah mendahului kita semua.
InsyaAllah akan menanti kedua ibu bapanya di pintu
syurga. Kita yang tidak mengalami perkara demikian
tidak akan memahami betapa sedih dan tertekannya
perasaan mereka.

Sebelum kita menyalahkan orang lain dalam kes
sebegini, marilah kita salahkan diri kita sendiri
terlebih dahulu. Jika kita sebagai seorang jiran, apa
salah kita. Jika kita sebagai seorang saudara, apa
salah kita. Jika kita sebagai seorang polis, apa salah
kita. Jika kita sebagai seorang wakil rakyat apa salah
kita. Jika kita sebagai seorang pemerintah, apa salah
kita. Hentikanlah tuding menuding jari yang sedang
berlaku sekarang ini.

Ini adalah masalah kita semua. Masyarakat kita,
masyarakat Malaysia, masyarakat Melayu yang sedang
sakit. Kita tidak peka apa yang berlaku di sekeliling
kita. Kita lebih suka menjadi pemerhati, selesa dengan
apa yang ada pada diri kita. Tidak mahu hendak
mengambil peduli keadaan sekeliling kita. Prinsip kita
ialah, kita tak kacau orang, orang tak kacau kita.

Saya bukanlah hendak menyalahkan pihak polis dalam
perkara ini. Pihak polis sepatutnya dibiarkan bersikap
professional dalam lokaliti mereka. Janganlah ada
tangan-tangan tertentu untuk mengarahkan pihak polis
untuk menjaga kepentingan pihak-pihak tertentu.

Sebagai AJK Surau Taman Alamanda, Senawang, saya kerap
kali di soal siasat oleh pihak polis tanpa mengira
waktu akan kegiatan di surau kami. Saya faham tugas
mereka, kerana mereka telah diarahkan untuk
mendapatkan maklumat. Lalu saya berilah maklumat apa
yang sepatutnya. 

Kerana pada saya tujuan saya mengadakan aktiviti di
surau ini adalah untuk memberi keinsafan dan kesedaran
serta merapatkan ukhuwwah sesama kita. Surau bukanlah
medan menunjukkan kehebatan politik. Ianya sebagai
tempat perpaduan. Ada wakil rakyat UMNO dan Barisan
Nasional yang datang anjurkan program kita sambut dan
alu-alukan. Ada penceramah dari PAS atau PKR yang
datang beri kuliah, juga kita alu-alukan. Yang penting
ialah ilmu yang diberikan oleh penceramah tersebut ,
tak kiralah dari parti apa sekali pun. 

Pernah saya menjemput ADUN UMNO/BN Batu Kurau YB
Kapt(B) Dato' Hj Mohd Najmuddin berceramah. Begitu
juga pernah saya menjemput Pesuruhjaya PAS N.Sembilan
Sdr Zulkefly Mohamed Omar berceramah, dan ramai lagi.
Salah ke kalau di jemput mereka dari pelbagai parti
ini ? Biarlah pemikiran orang Melayu ini lebih
terbuka. Soal undi atau tidak undi itu , terpulanglah
kepada individu masing-masing.

Kalau di universiti kita boleh mendapatkan ilmu dari
pensyarah bukan Islam, pensyarah beragama Kristian,
pensyarah beragama Hindhu. Takkan di surau kita tidak
boleh menerima ilmu dari sesama Islam yang berlainan
parti ?

Pihak yang mengarahkan polis memantau ceramah-ceramah
di surau dan masjid, cukuplah. Bantulah polis untuk
mencegah jenayah yang semakin kronik sekarang ini.
Bantulah mencegah jenayah di kejiranan anda sendiri.
Janganlah nak menyibuk arah polis pantau ceramah di
surau dan masjid.

Cuba peka sedikit. Cuba perhatikan keselamatan
anak-anak jiran kita. Tegur sikit anak jiran kita yang
main carbide dan mercun, yang membawa motosikal bawah
umur, yang berjalan seorang diri.

Saya perhatikan di Surau Alamanda minggu lepas setiap
pagi seawal jam 7:15 pagi ada seorang kanak-kanak
perempuan umur sekitar 7 tahun , menunggu seorang diri
dalam surau untuk kelas mengaji yang bermula sekitar
jam 8 pagi. Resah dengan keadaan kanak-kanak perempuan
tadi yang bersendirian saya SMS pada Guru Mengaji agar
menasihati kepada ibu bapa budak tadi supaya jangan
tinggalkan anaknya sendiri, walaupun dalam surau.

Marilah kita lebih peka dengan keadaan sekeliling
kita. Marilah kita bantu polis dengan tugas pencegahan
jenayah. Janganlah kita bebankan polis dengan tugas
yang tidak masuk akal.

Salam Ramadhan Al Mubarak kepada teman-teman saya di
Balai Polis Bandar Baru Senawang, IPD Seremban, IPD
Rembau dan IPK NS serta seluruh muslimin dan muslimat.



     
  Syarak Mengata , Adat Menurut 
   
  Sudi-sudi layari blog saya di http://waghih.blogspot.com
   
  Laman web Misi Kemanusiaan
  Yayasan Amal Malaysia http://www.amalmalaysia.net
  Yayasan Aman Palestin http://www.amanpalestin.com
   





       
____________________________________________________________________________________
Pinpoint customers who are looking for what you sell. 
http://searchmarketing.yahoo.com/

Kirim email ke